Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Tuesday, September 24, 2019

Percutian ke Fraser hill, Apa yang menarik?


Seronok ke bercuti di Fraser Hill?
Ramai yang bertanya, seronok ke pergi ke Bukit Fraser? Baca dulu apa yang saya tulis, dan mungkin anda akan temui jawapan.
Bukit Fraser mendapat namanya sempena seorang lelaki inggeris yang menjalankan urusniaga membeli biji timah daripada pelombong cina di tanah melayu. Pada suatu hari, lelaki itu (Louis James Fraser) hilang dirimba itu dan tidak pernah dijumpai. Ada teori mengatakan dia dimakan binatang buas. Ada juga yang mengatakan bahawa pedagang ini dibunuh oleh orang melayu yang menentang penjajahan inggeris.
Sejarah juga mencatatkan bahawa pesuruhjaya tinggi tanah melayu, sir Henry Gurney telah dibunuh ketika dalam perjalanan ke bukit fraser. Lokasi pembunuhan dikatakan berlaku sekitar kawasan ‘The Gap’. Sebelum ini, The Gap ialah kawasan rehat sementara pengunjung menunggu giliran naik ke bukit fraser. Jalan yang sempit menyebabkan pihak berkuasa terpaksa membuat sistem giliran jam untuk pengunjung naik dan turun.
Menyelusuri Bukit Fraser, kita akan melihat banyak bangunan kolonial inggeris. Melalui pembacaan saya, Bukit Fraser dijadikan sebagai kawasan rumah rehat untuk pegawai-pegawai British pada suatu ketika dulu. Ianya dipilih kerana suasana dan cuacanya hampir menyerupai musim bunga dan musim luruh di tanah inggeris.
Bangunan kediaman juga direka bercirikan inggeris bagi mengubat kerinduan pegawai-pegawai pada tanah air mereka. Boleh dikatakan bukit fraser dibangunkan ketika itu sebagai mini British. Ciri bangunan itu dikenali sebagai ‘mock tudor’, sejenis rekabentuk inggeris gaya lama.
Disini terdapat balai polis, pejabat pos dan juga klinik pesakit luar selain daripada klinik desa. 3 pejabat tersebut lain daripada bangunan tipikal yang kita lihat dikawasan biasa. Ketiga-tiga pejabat tersebut menggunakan bangunan bercirikan inggeris seperti yang saya sebutkan tadi. Sangat unik dan menarik.
Terdapat banyak banglo dan rumah rehat milik kerajaan dan syarikat korporat disini. Ada antaranya dibuka kepada orang awam untuk sewaan. Harga semestinya agak keras. Banyak banglo yang besar dan cantik, semestinya menarik perhatian saya kerana reka bentuk unik gaya lama tersebut.
Masa yang diperlukan untuk meneroka kawasan bukit fraser ini tidak lama. Beberapa jam sahaja sudah mencukupi. Walaupun ada beberapa aktiviti yang dicadangkan seperti aktiviti air, menunggang kuda, memanah dan berkelah di air terjun, saya merasakan itu ialah aktiviti biasa yang boleh didapati dengan mudah ditempat tinggal kita.
Selain bergambar, apa yang kami buat ialah duduk di kerusi yang diletakkan ditepi jalan. Kami menghayati keindahan seni bina bangunan dan menikmati suasana nyaman kehijauan alam sekitar. Ada yang mengatakan bukit fraser seperti perkampungan desa inggeris, dan saya bersetuju walau saya belum pernah sampai kesana. Bezanya, di sini tiada salji.
Gabungan seni bina, susun atur kerusi ditepi jalan, dan bunga-bunga segar yang berwarna-warni menjadikan suasana itu sama seperti desa inggeris yang selalu saya tonton dalam drama tv. Kebetulan pada petang itu, pengunjung tidak ramai. Jadi, suasana lebih segar dan nyaman.
Suasana malam di kawasan pekan saya tidak pasti, kerana kami sekeluarga hanya bersantai dan tidak keluar dari rumah peranginan. Kami menyediakan steamboat sup panas dan grill buatan sendiri sambil menikmati kesejukan dan kedinginan malam di kawasan tanah tinggi ini.
Saya merasakan saya boleh untuk berada disana lebih lama. Saya mengimpikan untuk duduk bermalas-malasan di balkoni, menikmati secawan air milo panas sambil menghayati kehijauan alam sekitar yang masih terpelihara. Saya mengimpikan untuk keluar berjalan kaki meninjau kawasan sekitar dan melihat bunga-bungaan dengan lebih dekat.
Jujurnya jika anda sukakan percutian yang meriah, suasana hidup dan suka melawat tempat yang menarik ataupun membeli-belah, bukit fraser bukanlah tempat yang sesuai. Tetapi jika anda inginkan keadaan damai yang menenangkan, bau dedaunan yang sangat segar, lari sekejap dari kesesakan manusia dan kesibukan kota, bukit fraser ialah pilihan yang tak mengecewakan.
Duit juga tak banyak habis. Selain daripada penginapan dan makanan, tiada apa yang ada untuk kita membeli belah. Tiada kedai-kedai yang berderetan, selain daripada sebuah kedai cenderamata kecil. Apa yang dijual tak pasti kerana saya tak masuk meninjau. Untuk makan, tidak perlu risau kerana terdapat beberapa gerai makanan dan medan selera yang menjual pelbagai juadah masakan.
Alam sekitar bukit fraser masih terpelihara, jauh jika mahu dibandingkan dengan keadaan di Cameron Highland yang sudah banyak hilang hijaunya. Saya sangat bersetuju jika pihak berkuasa tidak terlalu rakus membenarkan projek pembangunan dikawasan ini bagi mengekalkan flora dan fauna indah tersebut.
Andai ada rezeki, kita akan bertemu lagi bukit fraser!

untuk gambar yang lebih menarik, boleh ke post saya di facebook disini

Monday, September 23, 2019

Annona Squamosa (buah nona) yang manis

Annona squamosa yang manis.
Bangun pagi tadi, tengok ada satu plastik buah-buahan. Ada rambutan, duku, dokong dan yang paling menarik perhatian saya ialah sebiji buah berwarna merah gelap, sudah masak ranum dan hampir terlerai isinya.
Buah nona!
Saya pernah melihat buah nona di pokoknya semasa kanak-kanak dulu, sekali itu sahaja. Lepas tu saya hanya melihat buah nona di dalam gambar. Saya juga hanya mengenali nona berwarna hijau, dan ini pertama kali saya melihat buah nona berwarna merah gelap. Adakah buah nona memang mempunyai dua jenis warna berbeza?
Isi buah nona atau bahasa saintifiknya Annona squamosa, dari segi rasa hampir menyerupai buah durian belanda. Isinya berwarna putih krim, agak manis, terdapat biji seperti biji labu di dalam isi tersebut dan tidak berbau (merujuk kepada buah nona yang saya dapat tadi).
Saiznya sebesar tapak tangan, berbentuk agak bulat dan permukaannya seperti berbatu-batu, tidak ‘berduri’ seperti durian belanda. Kerana sudah masak ranum, saya tidak perlu memotongnya. Sebaliknya hanya menarik kulit berbatu satu demi satu dan isi buah melekat pada kulit tersebut. Sedap!
Harga di pasaran agak mahal, mencecah rm20-25/kg. Siapa di kalangan kalian yang turut menggemari buah anonna ini?
Jujurnya saya sendiri tertanya-tanya pernahkan saya memakan buah nona sebelum ini kerana saya benar-benar terlupa bagaimana rasanya. Terima kasih kepada jiran yang baik hati. Akhirnya hari ni saya dapat memegang dan melihat buat nona dengan lebih dekat, dan merasainya.

Scone, sejarah dan tempat untuk didapati


Scones, sejenis pastri yang dikatakan berasal dari Scotland dan dimakan pada musim sejuk disana. Nama scone diperolehi daripada nama tempat Stone of Destiny (scone), tempat dimana raja mereka ditabalkan. Ada juga versi lain yang mengatakan scone berasal dari perkataan ‘scoonbrot’ yang bermaksud roti cantik (beautiful bread).

Scone jugak dikenali sebagai roti segera (quick bread) oleh orang Scotland kerana tidak menggunakan yis. Teksturnya lembut dan sedikit relai. Pada asalnya, scone dibuat menggunakan oat, dan berbentuk bulat leper sebesar pinggan bersaiz sederhana. Kemudiannya scones tersebut dipotong segitiga untuk dihidangkan.

Pastri ini menjadi terkenal di England apabila pada suatu petang, the Dutchess of Bredford, Lady Anna (1788-1861) meminta pelayannya membawakan teh dan roti manis untuk hidangan petang. Salah satu roti manis yang dibawa ialah scone dan Lady Anna sangat menyukai sehingga memesan hidangan scone setiap petang. Sejak daripada itu, scone menjadi hidangan tradisi untuk minum petang di England.

Scone dimakan panas-panas dengan cream atau mentega dan jem, dalam suasana sejuk. Sekarang, pembuatan scone telah divariasikan dan berbeza disetiap negara.

Pertama kali saya makan scone, di Bharat Tea Cameron Highland 5 tahun yang lalu. Pertama kali makan saya tak menyukainya kerana rasa ketika itu macam kek bantat yang tak masak. Kemudian, saya makan lagi pada tahun lepas dan mula menggemarinya.

Cara makan yang sepatutnya ialah dengan menghiris/membelah/memotong (tak jumpa perkataan yang sesuai) scone tersebut ditengah dan menyapu jem serta mentega dan krim pada hirisan tersebut. Lepas tu cantumkan balik scone tu dan makan. Macam makan roti sapu jem, kapit dua lepas tu ngap. Tapi saya lebih suka memotong kecil dan barulah menyapu jem+krim+butter pada potongan kecil tersebut.

Solahuddin dan Zinnirah panggil scone ni ‘kek’. Solahuddin nak makan kek dengan ‘cicah’ merah sahaja iaitu jem strawberry, dan Ziinirah nak makan kek ni dengan ‘cicah’ putih sahaja iaitu krim.

Minum pula dengan teh panas earl grey kegemaran saya dan suami, memang terasa keenakannya. Jika di Cameron Highland, scone yang agak terkenall sekarang ialah di KHM strawberry di Taman Sedia. Pemilik dan pekerjanya ialah bumiputera melayu. Suasan cafenya juga cantik, dikelilingi dengan pokok strawberry,

Selain itu, saya pernah menikmati scone dia Yz Agrofarm. Kebuh dan cafe juga milik melayu bumiputera, Scone nya agak besar dan lembut. Cuma sayangnya sewaktu kunjungan saya itu, jem strawberry yang dihidangkan bersama scone ialah jem komersial dari supermarket, bukannya homemade.

Dimana lagi agaknya boleh dapatkan scone selain daripada di Cameron Highland?

Monday, September 16, 2019

TANAH KITA


Merenung
tanah warisan dari nenek moyang pejuang kebebasan
kepada pencinta kemakmuran.
Akan
kita perturunkan pada anak-anak masa hadapan
Dengan aman dan damai yang masih bertahan
Luhur
tanah nan bertuah.
Tempat berpijak yang memaknakan cinta dan harapan sesama insan.
Ada berjuta cerita disini.
Kisah sesama manusia, tanpa mengenal warna kulit dan beza fahaman
Yang
Sepatutnya terus kita junjung dan jaga. Seharusnya kita sama sayang dan cinta.
Semoga
terus tenang dipayung anak watan
Walau berbeza kepercayaan.
Inilah
Nikmat kurnian tuhan untuk segenap insan, yang tahu erti syukur. Yang mengerti mahalnya sebuah keamanan.
Aku kau dan dia
Berpijak pada tanah ini. Tanah ini malaysia, dan tanah ini milik kita. Selamanya.
Selamat Hari Malaysia!

Amie Mokhtar
16 sept 2018.

Wednesday, January 30, 2019

Anak juling, apa nak buat?

Ramai yang tanya, kenapa Zinnirah kena pergi klinik pakar mata? Alhamdulillah kesihatan zinnirah baik-baik sahaja. Cuma, mata Zinnirah juling sikit.
Juling yang tak ketara. Kadang -kadang terjadi. Pagi petang siang malam? Tak kira, bila-bila masa boleh jadi juling. Kebanyakan masa juling tu tak kelihatan. Sampaikan 3kali mengadu kat doktor dulu, doktor kata mata Zinnirah ok.
Bila juling dikesan? Kalau tak silap masa umur dia 5-6bulan. Tapi masa tu doktor kata kecil lagi, masih baby. Jadi mata mungkin belum centre, lemak ditepi mata belum mencair sepenuhnya menyebabkan bukaan mata tak sama besar.
Kali ke 4 mengadu, barulah doktor perasan mata zinnirah juling. Sebab kebetulan kejadian juling berlaku depan doktor pada masa tu. Masa tu umur Zinnirah dalam 1 tahun 6bulan. Selepas doktor check, doktor buat surat refer ke klinik pakar mata HRPB ipoh.
Maka bermulalah beberapa siri lawatan ke klinik pakar mata. Beberapa ujian dan test optometris buat, sebelum dan selepas jumpa doktor. Bukan mudah nak buat test kat kanak-kanak sebab mereka mudah hilang fokus dan payah nak menerima arahan. Alhamdulillah, Zinnirah budak baik. Mudah buat test dan tak mengamuk.
Pemeriksaan awal untuk Zinnirah, keputusannya alhamdulillah saraf mata Zinnirah ok. Setakat sekarang, belum ada kerabunan dan lazy eye. Kenapa terjadi juling? Terlupa nak tanya doktor semalam ðŸ˜….
Tapi semalam jumpa ramai kanak-kanak dengan masalah kejulingan yang sangat teruk dan ketara (sebab semalam klinik pakar mata kanak-kanak).
Ada satu kes, seorang budak lelaki usia 10 tahun. Baru je menjalani pembedahan memasukkan kanta baru ke dalam mata. Pada usia 3tahun, mata kiri dia mengalami kerabunan yang sangat tinggi hingga mencecah power 1000. Sedang menunggu untuk pembedahan mata kanan pulak.
Kes lain, kanak-kanak lelaki sama umur dengan Zinnirah (1tahun 10bulan). Kejulingan yang teruk jugak, dijadualkan pembedahan kosmetik untuk membetulkan kedudukan anak mata tu. Kejulingan anak ni sampaikan selalu terlanggar dinding bila berlari. Dikhuatiri bila besar nanti, dia tak mampu untuk menganggarkan jarak dan kedudukan objek dengan tepat. Nak parking kereta pon tak boleh, confirm tergesel kereta orang (doktor yang bagi contoh ni).
Prosedur yang mudah sebenarnya. Hari ni masuk wad, pagi esok operate, kalau tak ada apa-apa, petang dah boleh discaj.
Kebanyakan kes lain, kanak-kanak ni kena pakai cermin mata untuk membetulkan juling dan keadaan lazy eye tu. Tak pasti kes tu macam mana sebab Zinnirah tak perlu semua tu.
Bagi kes Zinnirah, doktor pakar minta selalu bawa dia main outdoor dan terdedah kepada cahaya matahari. Silau cahaya matahari boleh membantu dia mengawal anak mata sendiri. 6 bulan daripada sekarang, doktor pakar akan tengok dia lagi. Semoga natural remedies tu akan membantu menyembuhkan mata zinnirah.
Jadi, doktor minta ambil 1 gambar dan rekod 1 video dia setiap bulan untuk tengok jika ada perubahan. Selain daripada tu, semestinya elakkan bagi tengok gadjet dan lebihkan kepada permainan kanak-kanak yang sebenar. (Jangan salah faham, Zinnirah juling bukan sebab gadjet ðŸ˜…)
Ada beberapa orang kawan yang pm beritahu keadaan anak masing-masing dan tanya, perlu ke berjumpa doktor. Ask yourself dear. Its your kid. Tapi pendapat saya, jumpalah orang yang pakar dalam bidangnya untuk pemeriksaan yang lebih teliti.
Memang ramai yang cakap, tak payah pergi hospital pun nanti juling hilang sendiri bila besar. Pada saya, alhamdulillah kalau hilang sendiri. Tapi kalau tak? Anak akan membesar dengan kejulingan tersebut yang boleh menyebabkan dia rasa rendah diri dan mengganggu keyakinan dia.
Setiap kali jumpa orang, orang akan pandang dia 3-4kali. Orang mungkin akan tanya, “kenapa dengan mata awak?”
Lagi parah, kalau kejulingan tu sebenarnya berkait dengan saraf mata, atau mungkin menyebabkan kerabunan, atau anak akan mengalami mata malas yang teruk.
Sebagai ibu bapa, kita yang akan melihat keadaan anak bila dia besar nanti. Bukan orang-orang yang memberi nasihat, “tak apa nanti juling akan hilang sendiri”. Kita yang akan melihat anak kita kurang keyakinan diri dan mengganggu kehidupan seharian dia.
Saya bukanlah ahli dalam bidang ini, pakar jauh sekali. Maaf kalau info ini ada salah dimana-mana.
Kawan-kawan, doakan kejulingan mata Zinnirah akan baik. Sama ada secara natural remedies atau perubatan moden, saya terima. Asalkan mata Zinnirah tiada masalah, terutamanya rabun. Peritnya rabun teruk tu saya dah rasa. Sebab tu saya bersungguh cuba membawa Zinnirah untuk rawatan, sebelum terlambat.
Terima kasih untuk optometris dan doktor-doktor klinik pakar mata HRPB ipoh yang melayan mood anak kecil saya semasa pemeriksaan. Semoga Allah s.w.t balas kebaikan anda.💗
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...