Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Saturday, November 17, 2012

Cerita Kehilangan

Bagaimana perasaan bila kita berhadapan dengan kehilangan? Ok, ini memang soalan bodoh. Semestinya orang akan jawab sedih, hiba, terkenang dan sebagainya. Tak kira lah kehilangan benda tak bernyawa ataupun makhluk tuhan yang lengkap sempurna. Yang pasti, kita semua pernah merasa kehilangan kan? Sama ada kehilangan kecil atau besar, ia tetap kehilangan dan hanya orang yang merasai kehilangan sahaja yang boleh memahami bagaimana bergolaknya perasaan ketika itu.

Macam aku, kehilangan abah pada usia 12 tahun. Walau bagaimana pun, aku tetap bersyukur sebab Allah s.w.t kurniakan aku selama 12 tahun untuk mencipta kenangan dan merasa kasih sayang seorang abah. Sekurang-kurangnya aku masih punyai 12 tahun tersebut. Sehingga sekarang aku sebenarnya tak kuat untuk bercerita tentang kehilangan tersebut. Bukan itu saja, bahkan aku tak kuat untuk berhadapan dengan orang lain yang mengalami kehilangan. Apatah lagi, orang tersebut ialah manusia-manusia yang aku sayang. Jangan salah faham, post ini bukan untuk cerita aku dan bukan untuk aku minta simpati.

Sebagai contoh, Yat kehilangan kucing kesayangan dia. Pada mata orang lain, kehilangan tu mungkin biasa-biasa saja. Tak memberi sebarang kesan pun. Tapi pada Yat, kucing tu ibarat tempat dia meluahkan perasaan, berkongsi kegembiraaan dan kesedihan, makhluk peneman saat kebosanan. Jadi pemergian kucing tu ialah kehilangan yang cukup besar untuk Yat walaupun pada mata orang lain itu hanya seekor kucing.Takziah sahabat. Aku pun sedih sebenarnya, sebab tu aku tak nak tanya banyak-banyak. Nanti cari kucing ganti ye?

Itu kalau kucing, dan kalau ganti dapat yang baru InsyaAllah kesedihan akibat rasa kehilangan tu akan berkurang dan lama-lama akan hilang. Tapi bagaimana kalau kita kehilangan orang yang kita sayang? Orang yang selama ni menjadi pembakar semangat dan pendorong untuk kita teruskan kehidupan?

Aku ada seorang sahabat, yang kehilangan saudara kandung akibat nahas jalan raya. Saudara kandung yang rapat dengan dia. Setiap kali dia menyebut nama arwah saudaranya, aku tak tahu bagaimana untuk memberi reaksi. Sama ada aku sekadar diam dan mendengar, atau aku cuba mengubah topik perbualan. Bukan sebab aku tak cakna atau aku malas ambil kisah, jauh sekali untuk tak cuba memahami tetapi sebab aku sendiri gagal untuk mengawal perasaan. Bahkan setiap kali aku melihat nama dan gambar arwah (sebab boleh tengok dekat album-album di fb), emosi kesedihan terbawa-bawa hingga ke beberapa ketika. Aku hadkan diri untuk membaca blog tinggalan arwah, malah blog-blog saudara mara dan sahabat handainya juga.

Aku sendiri tidak pasti kenapa aku menjadi sensitif sebegitu. Mungkin kerana kehilangan itu membuatkan aku meletakkan diri sendiri, di tempat sahabat tersebut. Walau hakikatnya, ajal manusia itu pasti tapi aku masih belum kuat untuk membayangkan aku akan kehilangan. Tak mampu rasanya untuk aku bayangkan jika aku bakal menjadi anak yang kehilangan ibu, adik yang kehilangan kakak/abang, kakak yang kehilangan adik, atau mungkin suatu hari nanti isteri yang akan kehilangan suami?

Jujurnya, dalam banyak-banyak sahabat atau kenalan yang mengalami kehilangan, cerita kehilangan sahabat yang satu ini yang paling memberi kesan. Memang aku tak sempat mengenali arwah lebih dekat, tapi melalui penceritaan dan pembacaan aku tahu arwah menjadi sumber inspirasi kepada ramai orang. Kerana kebaikan yang tersebar dan akhlak mulia sewaktu hayatnya, kerana itu lah nama arwah dan pujian ke atasnya masih meniti di bibir-bibir orang yang mengenali. Semoga aku juga mampu menjadi seperti beliau. Sewaktu ada dicari, bila pergi ditangisi malah sentiasa diingati. Al-Fatihah untuk mu abang, semoga kamu tenang disana bersama iringan doa insan-insan menyayangi yang tak pernah melupakan mu walau sesaat. Buat mu sahabat, tabahlah. Selagi diizinkan tuhan, aku akan cuba untuk sentiasa berada disisimu walau sekadar mampu untuk mendengar. Maaf, kerana aku tak sekuat dan setabah kamu. 

Hakikat kehilangan itu pasti, sebagaimana hakikat ajal itu tak mampu kita lari. Tapi kuatkah aku? Aku akur, aku seorang manusia yang lemah jiwa. Al- Fatihah juga untuk arwah abah, dan untuk mereka insan-insan yang telah mendahului kita. Tenanglah kalian disana.

p/s: Mendapat khabar yang hasil penulisan arwah di blog telah dibukukan dan akan berada dipasaran tidak lama lagi. Semoga juga, penulisan itu akan menambahkan lagi saham arwah disana.

 I always been afraid of losing people I love. Sometimes I wonder is there anyone who is afraid to lose me?

                      
Jauh tanpa kita sedari, hidup ini adalah tentang kehilangan dan mendapatkan. Jika kita kehilangan sesuatu, maka fahamilah yang kita telah mendapat sesuatu yang baru.




Friday, November 16, 2012

Mencari hikmah

Masih mencari hikmah, untuk setiap yang berubah.
Kadang-kala terasa seperti masa berlalu begitu pantas, hingga rasa penat dan lelah untuk mengejar agar tak ketinggalan. Tapi kadang-kala juga terasa detik waktu berputar terlalu perlahan, macam dah tak punya daya untuk meneruskan perjalanan. Dan untuk setiap detik yang berlalu itu, sedar tak sedar membawa diri dan persekitaran kepada bentuk yang lain. 

Dulu aku tegas dengan prinsip yang pernah aku gariskan. Aku cuba rencanakan masa depan sebaiknya. Tapi sekarang aku terasa seperti hilang prinsip. Lemah mengawal emosi, hilang rasa tak kisah, seperti gagal untuk jadi rasional. Rupanya masa depan yang direncana, bukan mudah untuk dilaksana. Sekadar menulis dan mencatat di atas kertas kosong lalu simpan angan dalam fikiran, takkan sama dengan memindahkannya ke bentuk tindakan dan perbuatan. Merealitikan perancangan rupanya susah. Tapi sekurang-kurangnya, aku punya angan-angan kan?

Untuk perubahan yang sedang berlaku, aku terganggu. Untuk setiap perkara yang aku terganggu, aku tidak tahu bagaimana untuk diterjemahkan dalam patah-patah perkataan.

Tuhan, tunjukkan aku jalan.
Untuk setiap takdir yang telah Kau tulis untuk aku, kurniakanlah kekuatan agar aku terus redha dengan perancangan dan ketentuanMu. Untuk setiap jalan yang harus aku pilih, berikanlah aku keteguhan iman untuk aku terus lurus dijalan redhaMu. Untuk setiap celaru yang pernah singgah dan bersarang, usirkan rasa keliru itu agar menjauh. Tetapkan dan teguhkan pendirian yang pernah aku tanam andai pendirian itu memberi kebaikan kepada aku. Kurniakan aku fikiran yang lapang dan hati yang tenang.

p/s: Aku kuat, lebih daripada yang kau anggap. kan? Ini bukan mengeluh, ini sekadar meluahkan beban yang sedang bermain di fikiran. Aku masih normal.

Thursday, November 08, 2012

Tahniah Sahabat (3)

Tahniah!

Tahniah yang tak terhingga untuk sahabat aku yang sedang meniti tangga-tangga bahagia dalam kehidupannya. Selamat bergelar ibu. Selamat bergelar bapa. Selamat melengkapi fasa perjalanan kehidupan. Selamat melangkah ke dunia yang lebih matang.

Bila dikenang saat-saat dulu, aku tak sangka mereka akan berada di tahap sekarang. Bercinta, berkahwin dan sekarang sedang berbahagia menerima cahaya mata sulung. Disaat bibit cinta baru nak bermula, aku berada disitu. Mungkin aku tak tahu semua, tapi aku masih lagi orang terawal yang tahu.

Sebagai sahabat rapat dengan Saidatul, semestinya dia bercerita tentang hubungan mereka yang baru berputik. Di penghujung tahun tingkatan 5, tidak lama sebelum SPM bermula. Dulu aku mengenali Ijat sebagai seorang buaya darat paling berpengaruh, jadi aku cuba untuk menasihati Saidatul agar hentikan hubungan cinta itu. Sebagai sahabat, aku takut untuk melihat dia dikecewakan.

"Kalau betul kau sayangkan Saidatul, aku cabar kau. Satu hari nanti aku nak tengok kau kahwin dengan dia" Aku masih ingat ayat ni, sebab ni ayat berbisa yang aku pernah cakap dekat Ijat.

Tamat SPM, kami sama-sama ke matrikulasi. Bezanya Saidatul di Kulim dan aku di Gambang. Ijat? Aku tak ambil tahu, yang aku tahu hubungan cinta mereka masih berterusan. Melanjutkan pelajaran ke Ijazah, kami terputus hubungan sekejap. Jadi, aku tidak tahu perjalanan cinta mereka. Tapi diakhir-akhir waktu pengajian, tahun 3 (atau mungkin pertengahan tahun 2) kami kembali berhubung. Diberitahu bahawa mereka masih bercinta, aku terkejut. Terkejut kerana tidak sangka mereka menjadi insan setia.

Sehinggalah mereka akhirnya disatukan pada November tahun lalu, aku seperti masih tidak percaya. Mengenang kembali sikap kedua-duanya di zaman persekolahan, aku geleng kepala sambil senyum sendiri. Di zaman cinta monyet dulu, mereka bukan pencinta yang setia.

Dan baru beberapa minit yang lepas, aku terima panggilan daripa Ijat. Alhamdulillah, Saidatul sudah selamat melahirkan hero sulung mereka. Semoga mama Saidatul dan papa Ijat akan semakin matang untuk menjadi ibu bapa buat permata hati. Semoga kalian terus berbahagia hingga ke syurga. Semoga akan ada hero-heroin lagi lepas ni. Semoga Allah permudahkan kalian untuk mewujudkan keluarga yang sakinah, mawaddah, wa-rahmah. Sungguh, aku gembira melihat kalian bahagia. Semoga hero kalian juga tumbuh membesar dengan sempurna, menjadi kebanggaan keluarga.

"Aku dah sahut cabaran kau mie. Aku dah kahwin dengan Saidatul. Saidatul dah jadi Isteri aku" ...dan ni ayat Ijat kepada aku, sebaik sahaja mereka berkahwin (lebih kurang macam tu la bunyi ayatnya). Bermula saat tu juga, aku semakin rapat dengan Ijat dan dia bukan lagi buaya di mata aku. Dia, seorang suami kepada sahabat aku dan secara automatik dia juga sahabat aku.

Tahniat Saidatul dan Ijat. Tahniah Sahabat!



Wednesday, November 07, 2012

Selamat malam Rohingya

Selamat malam Rohingya
Meski lena mu di sisi mayat
Jangan menangis sahabat
Ini Tuhan mengujimu

Selamat malam Rohingya
Dunia sedang tidur Lena
Kami doakan untuk mu
Sejahteralah selalu

Selamat malam Rohingya
Esok kan ada matahari
Berbanyaklah berdoa
Jangan kau terlepas talinya

Lagu Syed Amran
Lirik Zainal Rashid Ahmad

*Semoga keperitan saudara kita di Rohingya yang semakin dilupakan, kembali mendapat perhatian. Semoga doa titipan, bantuan emosi dan sokongan kemanusian akan berterusan sehingga Rohingya kembali bernyawa tenang. Daripada bertelagah sesama kita menghina mencaci hanya keran berbeza fahaman politik, ayuh sekali sekala insafi diri. Betapa betuah kita saat ini. Selamat malam Rohingya!



p/s: Haziq accident! gelabah jugak la tadi, asyik pikir apa nak jawab dengan abang long ni. Alhamdulillah, dia ok.

Monday, November 05, 2012

Tahniah Sahabat (2)

"kenapa upload gambar kat fb, nak tayang muka cantik awak kat sape?"

"keluar pergi kelas, tak payah la nak make up sangat. Awak nak sape terpikat kat awak?"

"Kalau boleh, pakai baju kurung je selalu. Jangan pakai jeans"

"Jangan dok layan chatting dengan budak laki lain"

Annoying tak? Dulu-dulu, pesanan-pesanan tu sangat annoying pada aku. Walaupun pesanan tu bukan untuk aku, tapi perasaan annoying aku melebihi perasaan org yang menerima pesanan tu.

Pesanan-pesanan tu sebenarnya untuk sahabat aku, daripada teman lelaki dia. Mungkin dia dah lali dengan pesanan macam tu, sebab tu dia relaks je berbanding aku yang selalu je berapi setiap kali dia bercerita pasal pesanan yang berbunyi arahan tu.

Tapi, dia tetap dia. Masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Mana yang dia nak ikut, dia ikut. Mana yang dia rasa nak langgar, dia abaikan. Pada aku masa tu, pesanan demi pesanan tu memang betul. Sangat betul. Cuma yang tak betul ialah cara pesanan disampaikan. Hilang hemah seorang penyampai. Pesanan menjadi seolah-olah arahan, apatah lagi dia cuma seorang teman lelaki (yang mana jika mengikut Islam, dia langsung  tiada hak ke atas sahabat aku tadi). Pesanan disampaikan seolah-olah sekadar dia mahu tunjukkan bahawa dia mahu menguasai.

Pernah beberapa kali (selalu sebenarnya) aku nasihatkan dia untuk akhiri hubungan cinta yang tak tahu kemana hala tuju itu. Bukan kerana dengki atau iri hati, tapi kasihan melihat seorang sahabat rapat seperti dia, berduka dan berendam air mata hanya kerana lelaki yang tak pasti dimana bakal letak martabatnya suatu hari nanti. Seorang suami? atau sekadar orang yang pernah singgah dihati? Dan hubungan cinta mereka tetap berterusan.

Akhirnya, hubungan itu diikat dengan janji pertunangan pada hari raya korban kedua yang lalu. Akadnya mungkin menyusul di pertengahan tahun akan datang. Tahniah sahabat. Tahniah atas gembira yang kamu kecapi, setelah tumpahnya air mata beberapa ketika dulu. Aku gembira, melihat kamu bahagia. Semoga apa yang dirancang menjadi kenyataan, dan semoga segala urusan dipermudahkan. Tahniah Zurairah, tahniah Farvees.

Sampai sekarang aku terfikir, salah ke nasihat yang pernah aku beri pada sahabat aku dulu? Kalau Zura ikut nasihat aku -putuskan hubungan mereka, adakah dia akan berbahagia seperti sekarang? Mungkin aku sendiri terlalu ikutkan perasaan benci couple masa tu, sehingga lupa untuk menjadi seorang yang empati? Mungkin pendapat aku salah pada waktu tu, atau penyampaian aku sendiri tiada hemah? Walau apa pun, itu kisah lalu. Kisah hampir 5 tahun yang lalu. Sekali lagi, sekalung tahniah sahabat.




p/s: Kadang-kadang kita rasa betul. Kita fanatik dengan apa yang kita rasa dan suka atau kita terlalu obses dengan apa yang kita tak suka. Sehingga setiap tutur bicara dan pendapat yang terluah, kita lupa perasaan orang yang menerima. Tak salahkan, jika sesekali kita membuka ruang untuk mendengar pendapat orang dan berfikir sejauh mana kebenaran? dan tak salahkan jika sesekali kita tukar persepsi yang selama ni membelenggu diri? Tuhan, bantu aku agar orang sekeliling tidak jelek dengan aku.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...