Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Tuesday, May 21, 2013

Mimpi aku


What is my dream?

Aku cuma nak jadi anak yang baik.

adik yang baik.

kakak yang baik.

sahabat dan teman yang baik.

pekerja yang baik.

tetangga yang baik.

kalau ada jodoh, isteri yang baik.

kalau ada rezeki, ibu yang baik.

Tapi nak jadi baik bukan senangkan? Ya Allah, permudahkan jalanku untuk menjadi hambaMu yang baik.  Permudahkan jalan aku untuk menjadi seorang insan yang tidak  membebankan sesiapa. Permudahkan jalan aku untuk  menjadi seorang insan yang mampu  memberi erti kepada orang sekeliling. 

Mimpi aku,  untuk jadi manusia yang baik.
Rabbi Yassir Wala Tu'assir Ya Karim
Ya Tuhan,  permudahkanlah urusanku. Permudahkanlah jangan disulitkan.

Sunday, May 19, 2013

Hebatkah wanita itu?

Hebat wanita bukan kerana kepintarannya
Hebat wanita bukan kerana kecantikannya
Hebat wanita bukan kerana dirinya dikenali ramai
Dan bukan kerana disampingnya ada lelaki kacak dan kaya

Tapi wanita hebat adalah
Wanita yang mampu terus berdiri menyelesaikan masalahnya
Mampu berdoa dan percaya bahawa ALLAH yang adalah sumber “kekuatan”

Wanita hebat melukis kekuatan melalui proses kehidupan
Bersabar saat tertekan
Tersenyum saat hati menangis
Diam saat terhina
Mempesona kerana memaafkan

Itulah WANITA HEBAT

sumber: pakarcinta

Saturday, May 11, 2013

seorang dia

Gugurnya seorang dia
dalam sempat senyum bangga
melihat benih yang dulu sedang bertunas
dia siram dia baja
kini mekar berbunga
indah. harum. istimewa.

dahulunya seorang dia
menadah tangan menerima amanah
dari seorang bapa dengan hati terbuka
waktu kami masih adik kecil tak kenal dunia
sekadar tahu bermain dan meminta
perlahan, seorang dia
ajar kami apa itu hidup
menangis tertawa sedih gembira
semuanya ada.

kini kami kian matang
hampir sempurna sebuah kejadian
dan seorang dia pergi
selepas melihat kami dewasa

seorang dia,
abang sulung teristimewa.

Tuesday, May 07, 2013

Pesan Abang

Abang long dedicate lagu ni, masa ucap birthday dia tahun lepas.


PESAN ABANG
Adikku muda remaja
Awasi bila melangkah
Wajahmu manis bak gula
Pasti ramai kan tergoda

Tidak dilarang kau bersuka
Asal tahu kan batasnya
Jangan sampai adik terlupa
Harapan dan cita-cita

( korus )
Ibu dan ayah
Menaruh harapan
Agar kau berjaya
Di hari kemudian

Bila tiba waktu petang
Dari sekolah kau pulang
Bergalas buku di pinggang
Siapa lihat tertawan

Adik masih bersekolah
Awas segala dugaan
Adik kan ambil periksa
Agar senang masa depan

Tumpukan perhatian
Dengan sepenuhnya
Serahkan selainnya
Kepada yang Esa

Bila adik telah berjaya
Abangkan turut gembira
Tapi andai sebaliknya
Jangan kau rasa kecewa

Sekali kau terkandas
Bukan untuk selamanya
Lihat disematkan pesanan
Ingat abang tetap sayang


Long, terima kasih untuk semua jasa dan pengorbanan abang long pada kami. Terima kasih untuk kasih sayang dan perhatian selama ni. Terima kasih untuk setiap kata semangat dan nasihat. Terima kasih untuk setiap buah fikiran dan peringatan. Terima kasih untuk setiap duit ringgit, masa dan tenaga, harapan dan cita-cita yang abang long dah korbankan demi adik-adik. Walau apa pun jadi keluarga adalah keutamaan, jangan pentingkan diri sendiri, elakkan bergaduh - Pesan abang long orang akan sentiasa ingat.

Rindu ini akan sentiasa ada dalam hati. Setiap kenangan dengan abang long takkan mungkin mampu orang padamkan. Setiap cerita yang abang long kongsi, setiap jalan yang pernah kita lalu, setiap kedai yang pernah abang long bawakan, setiap barang kesukaan abang long- semua itu kenangan. Memang sakit bila terpaksa berhadapan dengan kenangan, seolah-olah abang long masih ada sedangkan hakikatnya abang long dah tinggalkan kami. Long, orang tak kuat. Sampaikan kadang-kadang orang terfikir, kalaulah abang long tak panggil nurse untuk sedut kahak masa tu, mungkin orang masih ada abang long sekarang. Mungkin abang long dah semakin sihat. Mungkin dah boleh balik rumah. Apakan daya, takdir yang terjadi tak mampu untuk kita tolak. Orang sedang cuba untuk menerima dengan hati yang lapang.

Terima kasih Allah, kerana pinjamkan kami seorang abang long seperti dia. Terima kasih kerana memberi nafas selama 42 tahun 10 bulan 13 hari kepada seorang Saharudin bin Mokhtar. Terima kasih kerana memberi kami peluang untuk berada disisi dia disaat Kau timpakan ujian ini. Terima kasih kerana sempat membenarkan tangan ini mengusap ubun-ubun rambutnya, memicit lenguh dibadannya, membasahkan wajah dan bibirnya, mendengar dia berceloteh walau dalam payah dia berkata-kata. Terima kasih kerana mengizinkan kami berada disisi pada saat-saat akhir kau pinjamkan dia kepada kami. Terima kasih atas anugerah seorang abang long seperti dia. Kau tempatkanlah dia dikalangan orang-orang yang beriman, dan kau kuatkanlah hati kami untuk meneruskan hidup tanpa dia disisi.

Tuhan, ikhlaskan aku untuk redha dengan takdir ini.

Thursday, May 02, 2013

Selamat tinggal abang long..

Rasa tak percaya. Rasa kehilangan. Rasa terbang semangat yang ada. Rasa macam tak berdaya nak menerima takdir yang abang long dah kembali menemui pencipta yang Esa.

Petang Jumaat 26 April 2013 jam 6.50 pm, abang long hembuskan nafas terakhirnya tanpa sedikit pun kami sangka dia akan pergi tinggalkan kami. Jam 5 petang, kami masih mampu untuk tengok abang long duduk sambil bergurau dengan kami ahli keluarga. Jam 5 petang tu juga kami masih mampu tengok abang long duduk tanpa wayar yang berselirat seperti sebelumnya. Jam 5 petang tu juga kami masih mampu untuk dengar suara dan melihat senyuman abang long.

 'Bang, Imie dah balik dari KL" 
Kak long beritahu. Abang long senyum sambil tunjuk betis minta dipicit. Aku picit sampai beberapa ketika aku keluar daripada bilik rawatan AMC Hospital Kemaman. Baru tengahari Jumaat 1.40 pm abang long dipindahkan ke wad tu memandangkan Doktor kata abang long dah stabil dan semakin pulih. Sebab kepenatan dan pening kepala memandangkan baru je lepas pembedahan mata, aku minta izin abang long untuk balik awal. Aku janji esok aku datang tengok abang long lagi.

"siapa akan jaga pak long malam ni? Abang long tanya Nabila.
Nabila tanya abang long balik, "Pak long nak siapa jaga?" 
"Haziq"
"Abang haziq kat asrama Pak long, tak boleh balik lagi"
"Bukan Haziq, Najib pm"

Abang long bergurau, kami sama-sama gelak. Dan itu gurauan terakhir. Siapa sangka long, malam tu kami semua tunggu abang long dengan linangan air mata dan bacaan yaasin.

Jam 6.30 pm. Aku, Amir dan Idah baru je sampai kat rumah di kerteh. Kak Liza call, dengan suara menangis. " Mie, abang long berhenti bernafas lagi. Cepat datang hospital balik." Bergegas kami kembali ke hospital. Tapi sayang, abang long pergi semasa kami dalam perjalanan.

Menurut kak long, semuanya terlalu cepat. Masa kak long suapkan puding, abang long batuk ada kahak, abang long minta panggilkan nurse untuk sedut kahak. 15 minit kak long tinggalkan abang long untuk nurse sedut kahak, tiba-tiba doktor panggil beritahu abang long berhenti bernafas. Tepat Jam 6.50 pm. Tapi doktor akan cuba berusaha lagi. Tapi usaha doktor tak mampu menandingi takdir Yang Esa. 

Kami nampak abang long dah sihat, selepas 9 hari bergantung kepada mesin bantuan penafasan. Abang long makin rancak bercerita bila tiub penafasan ditanggalkan. Abang long minta nak makan aiskrim. Abang long minta nak makan pizza. Abang long minta nak bubur lambuk masak sendiri, tak nak bubur mc'D bila nurse cakap abang long dah boleh makan bubur. "Tak boleh long..nanti dah sihat, baru abang long boleh makan ye" Abang long angguk setuju. Abang long senyum menurut.

Long, kami tak sangka abang long tinggalkan kami saat kami semua fikir abang long akan sihat balik. Kami dah tengok abang long senyum, berborak, makan. Abang long beri kami harapan yang abang long mampu untuk kembali menjadi abang sulung kami yang sihat! Tapi abang long tinggalkan kami dalam 15 minit yang sangat kami tak jangka.

Long, kami masih perlukan abang long. Kami masih lagi adik-adik abang long yang mentah, yang masih perlukan perhatian dan nasihat abang long. Selama ni, abang long lah tempat rujukan kami. Abang long umpama kepala kami, umpama tali yang mengikat hubungan kita adik beradik. Semangat apa lagi yang tinggal untuk kami long? Abang long pergi meninggalkan rasa perit yang amat dalam dalam hati ni. Rindu pada abang long yang dah pergi takkan kembali, yang kami tahu takkan mampu kami ketemu lagi, rindu yang amat menyakitkan long.

"Mie, pagi tadi abang dah boleh bangun. Abang dah sihat" 
Kalau abang long dah sihat, kenapa abang long tinggalkan kami?

Long, kami menangis bukan tanda kami meratapi abang long pergi. Jauh sekali untuk kami menolak ketentuan takdir. Kami menangis kerana rindu. Kami menangis kerana tak percaya lelaki terpenting dalam hidup ni telah pergi. Sedih dan pilu yang bersarang bukan boleh dibuang dicampak sesenang itu.

Long, tenang lah abang long di sana. Kami redha. Kami takkan pernah berhenti merindui abang long. Doa ikhlas kami akan sentiasa mengiringi kehidupan abang long disana. Abang long tetap abang sulung terbaik yang paling sempurna yan kami ada.

Al-fatihah untuk abang long, Saharudin Mokhtar (13/06/1970- 26/04/2013)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...