Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Saturday, September 08, 2012

Warkah untuk Abah


Kehadapan ayahanda tercinta,

Apa khabar abah disana? Harapan orang, semoga abah tenang dan baik-baik saja. InsyaAllah abah, doa anakmu ini akan sentiasa menyusul saban hari demi kesejahteraan abah. Sesaat pun, orang tak akan pernah lupa abah.

Abah,
Esok 9 September 2012. Esok juga sudah 12 tahun rupanya abah pergi tinggalkan kami. Cepatnya masa berlalu kan abah? Sedar tak sedar, orang dah pun 24 tahun. Abah tinggalkan orang masa umur 12 tahun, masa tengah main-main walaupun 2 3 hari lagi nak menduduki UPSR. Abah tinggalkan orang, masa saat-saat genting nak menduduki peperiksaan besar bagi budak 12 tahun. Tapi sekarang, orang dah besar abah. Orang dah kerja, dah mampu berbakti pada mak dan adik-adik, dah ada kehidupan dan bakal membina kehidupan baru. InsyaAllah dengan restu daripada mak dan insan-insan disekeliling, orang akan cuba yang terbaik untuk bina kehidupan yang lebih sempurna.

Lebih kurang 3 minggu lepas, abah terima seorang lagi menantu lelaki. Kak Echah dah selamat disatukan dengan Irfan. Abah dah ada 6 orang menantu sekarang. 3 orang abah tak sempat nak kenal kan? Setakat ni, menantu-menantu abah semuanya baik-baik, ringan tulang dan tak berkira. Alhamdulillah. Semoga kesejahteraan rumah tangga mereka berkekalan sampai ke akhir hayat. Lepas ni, giliran orang. InsyaAllah, kalau tersurat dalam takdir dan ada jodoh orang, orang pun akan menyusul. Abah jangan risau, orang juga akan pilih menantu yang baik untuk mak dan abah, untuk keluarga kita.

Abang Edi yang dulunya buat perangai masa abah tengah sakit, sekarang pun dah jadi ayah. Dah ada 2 orang anak pun. Imani dengan Yaya sangat comel abah. Keletah si kecil berdua ni memang menghiburkan, maklumlah yang paling kecil. Zaman manja Nabila dengan Zikir pulak dah berlalu, masing-masing dah besar. Nabila pon dah boleh diharap untuk tolong kerja-kerja kat dapur walaupun selalu kena bebel dengan Kak Liza. Abah tak sempat kenal Zikir kan? Zikir baru 7 bulan dalam kandungan masa abah pergi. InsyaAllah abah, lepas ni mungkin ramai lagi cucu-cucu abah akan menyusul.

Adik pun dah besar abah. Dah 19 tahun rupanya dia. Dah pandai masak mengalahkan kakak-kakak dia yang lain. Berguru dengan Kak Liza katanya, nak masak apa-apa, telefon je tanya. Idah? masih dengan perangai slow dia, kadang-kadang macam blur pon ada. Amir pula, dah 22 tahun. Amir dah jadi saksi perkahwinan untuk Kak Tijah dan Kak Echah. Amir lah yang mengetuai bacaan doa selamat masa majlis kahwin mereka berdua, dan Amir juga lah yang mengetuai bacaan yasin dan doa setiap kali kami melawat kubur abah. Amir memang boleh diharap bah. Walau ilmu agamanya memang tak setinggi mana lagi, tapi kalau abah ada, abah pasti berbangga denga dia.

Mak pula, masih macam dulu. Masih seorang wanita tabah sebagaimana sewaktu melewati hidup semasa abah ada. 12 tahun mak besarkan kami tanpa abah disisi, dan sekarang mungkin mak dah boleh bernafas lega. Apabila melihat anak-anak yang semakin meningkat dewasa, mungkin kesusahan dan kepayahan mak yang dulu berbaloi. Mak sekarang seorang diri di rumah yang abah tinggalkan dulu. Bukan kerana kami tak sayangkan mak, tapi tuntutan kerja dan pelajaran menyebabkan kami terpaksa berjauhan dengan mak. Tambahan, mak juga tak nak tinggalkan rumah tu. Kenangan katanya. Abah jangan risau, selagi nyawa mak dikandung badan, selagi itu lah kami akan jaga mak sepenuh hati kami. Kak Liza pun ada cakap, dia akan kembali balik menetap di rumah tu untuk jaga mak nanti. InsyaAllah..

Jujurnya, rumah tu memang banyak kenangan kan abah? Rumah tu lah yang menjadi saksi leteran dan hukuman abah pada kami. Kerana rotan dan piatan abah, Alhamdulillah kami menjadi orang hari ini. Mungkin kami tidaklah terlalu berjaya dari segi material, tapi anak-anak abah tetap berbangga sebab mampu menggembirakan mak selagi Allah S.w.t memberi peluang. Terima kasih abah, terima kasih yang tak terhingga sebab abah didik kami dengan ketegasan dulu. Kalau abah manjakan kami dengan kelembutan, mesti kami tak mampu nak hadapi kehidupan selepas abah pergi. Terima kasih abah, sebab ajar kami jadi  anak tabah dan tak mudah rebah. Semoga untuk hari-hari yang mendatang juga, kami akan terus kuat.

Walau sedih dan sayu mengenangkan orang tiada abah yang menghantar dan mengambil di asrama suatu ketika di awal remaja dulu, orang tak terkilan. Manusia baik, Allah sayang. Bila Allah sayang, Allah jemput menghadapNya lebih awal. Sekurang-kurangnya kami kenal dan sempat merasa kasih sayang dan didikan abah.  Walau dah 12 tahun berlalu, kasih sayang abah pada kami masih tetap terasa sehingga ke hari ini.

Kalau abah ada sekarang, mesti abah akan berbangga melihat anak-anak abah. Abang long pernah janji bah, dia tak kan biarkan ikatan adik-beradik ni putus walaupun nanti semua adik-adiknya dah bekerluarga dan bina kehidupan sendiri masing-masing. Abang long kata, apa lagi yang tinggal untuk kita bila mak pun tinggalkan kita nanti, melainkan ikatan adik-beradik. Abang long tu, kadang-kadang dia macam tak kisah tapi kami semua tahu dia sebenarnya sangat ambil peduli terutamanya adik-adik perempuan.

Abah,
Cukuplah sampai disini dulu warkah untuk abah. Walaupun orang tahu, abah memang tak baca apa yang orang tulis ni, tapi abah tahu kan yang doa-doa kami sentiasa mengiringi kehidupan abah disana? Tenang dan berbahagialah abah disana. Abah ialah satu-satunya abah kami, dan abahlah ayah terbaik yang pernah kami ada. Orang memang bukan anak yang terbaik, tapi InsyaAllah orang akan sentiasa mencuba untuk memberi yang terbaik dalam hidup ni. Orang mohon restu abah juga untuk teruskan kehidupan ini, walau seperit manapun dugaan yang mendatang, walau kadang-kadang orang terkeliru dalam membuat keputusan, walau kadang-kadang orang terganggu dek emosi berlebihan. Orang mohon restu abah..

Tenanglah abah disana, diiringi doa dan kasih sayang kami.

Alfatihah untuk arwah abah, Mokhtar bin Salleh (29/03/47- 09/09/12).

Puisi Untuk Abah
Surat Untuk Ibu

Saturday, September 01, 2012

55tahun Yang Dilepasi

Hari ini 31 Ogos 2012. Hari ini, 55 tahun genap bumi Malaysia bebas dari belenggu penjajahan. Hari ini, pengorbanan wira-wira negara kembali didendang. Hari ini, ucapan dan harapan patriotisma bergema di segenap penjuru ruang bumi Malaysia. Hari ini, dengan penuh bangga kita laungkan kalimat merdeka.

Dalam kebanggaan bersarang, ayuh kita renung kembali. Sejauh mana sebenarnya merdeka ini membawa kita? Adakah sekadar bangga menjadi negara berbilang bangsa bervariasi adat resam kononnya, padahal kita masih lagi bersifat perkauman, aku melayu, engkau cina dan dia india- sekadar berkongsi tanah yg dipijak, tapi bukan hati yang diikat? Kononnya kita bersatu, tapi isu perkauman tetap dijadikan isu? Kita mengaku pemilikan bangsa timur yang penuh adat kesopanan, tapi hakikatnya berapa ramai yang sedar kita semakin hilang sifat malu dan rasa menjaga antara satu sama lain? Oh, mungkin ramai yang sedar sebenarnya, tapi tak mampu berbuat apa-apa. Termasuk aku. Sekadar mampu melihat, menggeleng, dan menginsafi. Sekali sekala cuba membantu, tapi diri sendiri tak mampu kerana belum cukup sempurna peribadi seorang aku.

Walau seburuk dan seteruk apa pun, Malaysia ialah tanah yang aku pijak, langit yang aku junjung, udara yang aku hirup dan mentari yang menyinari sepanjang kehidupan aku sehingga hari ini. Walau nanti sehitam mana pun tanah berubah warna, langit biru bertukar kelabu, udara kian lupa erti segar dan mentari semakin hangat sehingga membakar nilai kemanusiaan, ini tetap bumi yang membesarkan aku. Terima kasih Malaysia. Terima kasih kerana menjadikan aku, seorang aku hari ini. Dan semoga kamu akan menjadikan aku lebih baik untuk setiap detik yang mendatang.

Doa buat kamu Malaysia, semoga keamanan yang memayungi sekarang tidak terus dicemari dengan hati-hati hitam yang pentingkan diri serta tangan-tangan kotor yang sekadar tahu untuk kenyangkan nafsu tanpa memikirkan tanggungjawab yang digalas. Semoga semua golongan -daripada yang miskin kepada marhaen sehinggalah golongan yang kononnya kaya, sedar akan hakikat bagaimana mudahnya bumi Melaka hancur selepas sekian lama menjadi kebanggaan tanah melayu. 

Kita selalu sibuk untuk memikirkan segala cara dan daya yang bagaimana untuk meninggalkan bumi yang baik kepada generasi akan datang. Sehingga akhirnya kita terlupa, apa pula usaha kita untuk meninggalkan generasi bermoral kepada bumi di masa depan? Kerana walau sebaik manapun bumi ini kita warisi, jika generasi masa depan tak mampu menghargai, segalanya tetap sama. Pengakhirannya tetap kehancuran.

Ayuh kita bebaskan hati, diri, minda dan segalanya milik kita. Bebaskan segalanya kepada kesederhanaan, sesuatu yang dianjurkan oleh agama yang kita cintai dengan sepenuh hati. Salam merdeka Malaysia! Tuhan, rahmatilah bumi bertuah ini.


p/s: sedang cuba merdekakan hati daripada perkara melalaikan =p

Saturday, August 25, 2012

Lebaran: Pesanan Buat Mereka

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya aku masih mampu untuk menghirup udara syawal 2012. Hari ini 7 Syawal telah berlalu, menyaksikan banyak perkara telah berlaku. 7 Syawal yang berbeza daripada syawal terdahulu. Untuk 7 Syawal yang telah menyapa, ingin aku kirimkan pesanan buat insan-insan hebat disekeliling, khas buat kalian yang bakal memulakan fasa kehidupan baru.

Pertamanya, khas buat kekanda ku Aisyah yang telah diijabkabulkan dengan pasangannya pada 2 Syawal, aku titipkan setulus doa untuk kalian. Sebagai adik, tinggi harapanku untuk melihat mahligai yang kalian bina berkekalan hingga ke syurga. Telah dewasa rupanya kamu. Terasa seperti baru semalam kita meniti hari-hari membesar bersama. Bergaduh, berebut dan kembali berdamai. Jujur, aku akan rindu saat itu. Dalam gembira melihat kalian bahagia, sedikit sayu terselit. Sayu mengenangkan keutamaan mu selepas ini teralih pada suami, bukan lagi kami. Buat Irfan, besar harapanku untuk melihat kamu menjadi pemimpin terbaik untuk kekanda ku. Pimpinlah dia ke syurga, bentuklah dia sebaiknya.

Seterusnya, buat sahabat-sahabatku, Raziana & Fahmi (a.k.a Moky), Apis & pasangan, serta Zeqt & Liey. Setinggi tahniah untuk kalian. Tahniah kerana telah berani menyahut cabaran kehidupan matang.  Doaku, semoga bahtera yang kalian layari akan tetap terus teguh berlayar walau sekuat mana badai dan ribut melanda. Tetapkanlah hati kalian untuk terus menjadi pencinta halal yang setia. Semoga dengan iman kalian, akan lahirlah putera puteri cahaya mata generasi terdidik suatu masa nanti. Sungguh, aku kagum dengan kalian.

Buat Ainun, selamat belajar menjadi dewasa sahabat! Selamat melangkah untuk melihat dunia luar yang lebih luas dari bumi Pahang ini. Selamat berdikari dan belajar untuk hidup sendiri, jauh dari pandangan dan jagaan keluarga. Percayalah, sudah tiba masanya untuk kamu belajar dan memerhati, lebih daripada apa yang kamu lihat sebelum ini. Semoga perjalanan kehidupanmu nanti akan mematangkan lagi seorang Sharifah Ainun Nor yang aku kenal. Jaga diri, jaga hati.

Juga pesanan buat kamu, terima kasih. Sungguh saya kagum dengan keberanian yang ditunjukkan, hingga saya rasakan bahawa tak layak sebenarnya untuk kita beriringan. Saya tak punya apa-apa, tiada harta mahupun rupa. Yang saya ada hanyalah harga diri yang selama ini saya junjung (seorang sahabat kata, saya ego). Saya tidak sempurna dan tidak mencari sempurna. Saya tidak berani menjanjikan apa-apa, cukuplah kalau saya katakan saya akan sentiasa belajar. Doa saya, walau apa jua takdir yang tertulis, semoga segalanya dipermudahkan.

Akhir sekali, pesanan untuk diri sendiri. Yakinlah wahai hati dengan keputusan yang diambil. Untuk segala rasa ragu yang bertandang, ingin aku campakkan sejauh yang boleh. Tuhan, bantulah aku perbaiki iman yang masih rapuh. Permudahkanlah langkahku, tetapkanlah hati dengan pilihanku.

Aku doakan semuanya yang baik-baik, untuk kalian dan juga untuk aku. Kerana sesungguhnya, kita layak untuk hidup bahagia jika kita pilih jalan bahagia yang betul.

Sebelum terlupa, Salam lebaran 2012. Maaf jika ada salah dan khilaf, dalam sengaja atau diluar kewarasan akal. Selamat Hari Raya Aidilfitri.



Owh ya, untuk maryani dan yat juga. Tolong, jangan komen pada post ini. haha

Wednesday, August 15, 2012

Merapu

I'm getting nervous! Berdebar, terkaku, hilang kata-kata sekejap. Dulu boleh la jugak merapu kt tweeter tapi sejak follower dh bertambah ni, segan la pulak. Hidup memang tak terjangka, orang datang dan pergi, dan dalam pada itu ada sesuatu yang berlaku. Saat terasa perancangan dulu macam dah tak ada harapan, tiba-tiba api yang dah nak mati kembali menyala.

Ramadhan tahun lepas aku buat keputusan yang besar untuk melepaskan seseorang, walau bukan sepenuhnya. Sekarang aku tahu, keputusan aku dulu tepat. Bulan penyucian yang lepas, aku mulakan seorang aku yang baru, yang ingin jauh dari lalai perasaan sesama manusia. Ramadhan tahun ni, menghadirkan satu lagi kejutan. Ada sedikit keliru, tapi InsyaAllah aku pasti.

Sesungguhnya, aku mengharapkan Ramadhan tahun ini tidak meninggalkan aku dalam keadaan tidak tahu. Semoga Ramadhan yang semakin menghampiri penghujung ini memberikan aku petunjuk dan jalan yang sebenar-benarnya. Jika telah sampai seorang dia dan jika ini waktu yang telah tertulis, aku benar-benar bermohon. Permudahkanlah segala urusan bermula dari terbit fajar hingga bulan menghilangkan diri, dari atas langit ke tujuh sehingga ke pasak bumi. Permudahkanlah hati aku dan hati insan-insan disekeliling. Jauhkanlah kami dari godaan nafsu dan fitnah iblis laknatullah..

p/s: baru baca fakta, anemia boleh menyebabkan rasa berdebar sebab sel darah merah tak cukup dan jantung kena bekerja keras. Aku memang ada masalah kurang darahkan? tapi tak pasti lah anemia ke tak. Jadi aku buat kesimpulan, aku berdebar sebab kekurangan darah. =p

Tuesday, August 14, 2012

Dua golongan pencinta

Orang kata, cinta itu buta. Kerana cinta, sifat manusia jadi terbahagi kepada sepuluh ribu macam ragam. Semua orang berdoa, moga-moga kita menjadi insan bertuah yang hanya perlu dan akan ada satu cinta sahaja. Biarlah cinta itu, jadi cinta teragung untuk dikenang sepanjang perjalanan hayat ini.

Aku suka untuk mengklasifikasikan golongan manusia yang berharap kepada cinta menjadi dua bahagian. Pertama golongan yang taksub pada cinta ,lantas menjadikan cinta adalah takdir hidup dia. Kedua, golongan yang menerima cinta sebagai sebagai salah satu takdir dan sedar banyak lagi takdir-takdir lain yang harus dihadapi.

Ayuh kita mulakan dengan golongan pertama. Golongan yang meletakkan cinta mengatasi segala-galanya, sehingga membiarkan cinta memandu takdir hidup mereka. Contoh paling dekat, drama Dejavu di Kinabalu. Itulah contoh, bagaimana manusia hidup seolah-olah bertuhankan cinta sampaikan sanggup mengabaikan hak kepada diri sendiri. Hak untuk makan, minum, rehat yang cukup dan yang paling penting, hak diri untuk mendapat kesihatan yang baik. Bagi individu yang agak ekstrem pada cinta, mereka percaya bahawa orang yang dicintai itulah jodohnya walau apa juga berlaku. Mereka mungkin golongan yang setia. Tapi, setia mereka itu mungkin juga mengatasi kehambaannya kepada pencipta.

Selain itu, bagi golongan ini biasanya perasaan cinta akan hadir terlebih dahulu sebelum wujudnya rasa tanggungjawab. Bukan tanggungjawab untuk menjadi kekasih tapi tanggungjawab untuk menjadi suami atau isteri sekaligus berani menjadi pencinta yang halal ke atas haknya. Pendek kata, wujudnya nafsu dahulu sebelum kesedaran memegang tanggungjawab itu muncul.

Golongan kedua, suka untuk aku katakan bahawa mereka-mereka ini lebih bersederhana dalam cinta. Mereka tidak keterlaluan mengharapkan cinta. Harapan itu ada sebab mereka tetap manusia biasa yang punya nafsu tapi nafsu itu berjaya dikawal dengan kesederhanaan yang dimiliki. Golongan ini juga tidak menjadikan cinta sebagai pemandu takdir hidup, sebaliknya berserah kepada takdir.

Rasa tanggungjawab juga mungkin akan hadir terlebih dahulu dalam diri golongan ini. Yakni, apabila mereka telah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai khalifah atau bidadari keluarga, apabila telah yakin mereka mampu menjadi pendidik generasi untuk membentuk ummah akan datang. Bersedia bukannya dari segi kemampuan material yang melampau, bukan terletak pada boleh atau tidak menyediakan sebuah banglo besar atau kereta mewah. Apabila sedar bahawa sudah sampai seru jodoh ke atasnya, dan bersedia untuk menerima tugas yang bakal dipertanggungjawabkan, maka barulah bermula perjalanan sebenar mereka untuk mencari calon cinta yang halal.

Jadi, dimana kita tergolong? Jika kita dalam golongan yang pertama, kita masih mampu mengubah diri dan berada pada golongan kedua. Dulu kita mungkin tidak matang, mencari keseronokan perasaan sehingga hidup bertuankan cinta. Meniti hari-hari kedewasaan, insyaAllah..kita akan temui apa yang sebenarnya kita cari. 

Akhir sekali, pilihlah golongan mana yang kita kehendaki tapi penghujungnya kita tetap hamba Dia Yang Esa yang tidak mampu menolak takdir bila Allah S.W.T mahukan ia terjadi. Kun fayakun..

p/s: Orang lain mood raya, tiba-tiba aku post pasal cinta? Jangan terkejut sebab aku dah jatuh cinta. Jatuh cinta pada Zali. Ya, Zali dalam drama Masihkah ada ramadhan?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...