Duhai anak,
Saat pertama kali ibu tahu bahawa ada satu kejadian kecil
sedang tumbuh didalam rahim ibu, ibu senyum sendiri. Hampir air mata kegembiraan
ibu menitis. Tak sabar untuk ibu kongsikan berita gembira itu dengan ayahmu. Sungguh
ibu bersyukur, setelah beberapa bulan ibu mencuba dan menanti, akhirnya Allah
S.W.T makbulkan doa ibu. Setiap hari entah berapa kali ibu usap perut yang
sudah mula nampak sedikit membonjol ini. Setiap kali itu jugalah ibu berdoa
yang dikau akan tenang dan selesa didalam sana. Setiap kali itulah ibu berharap
dikau akan melalui proses perkembangan dengan sempurna.
Duhai anak,
Ibu mungkin bertuah kerana alahan ibu tidaklah seteruk orang
lain. Ibu tidaklah terbaring lemah sepanjang masa, muntah setiap kali sebelum
dan selepas makan hingga nikmat selera hilang. Tapi setiap yang ibu lalui ini,
sudah cukup buat ibu rasa terseksa. Bukan mudah membawa satu nyawa rupanya. Seksanya
hanya ibu yang rasa. Malam ibu kini tidak lagi selena dulu. Daripada tidur
berbaring ibu mengiring, kemudian duduk, dan kemudian bangun. Semuanya serba
tak kena dan serba tak selesa. Entah berapa kali ibu perlu berulang ke tandas
di setiap malam. Senak diperut dan sakit di pinggang ini membuatkan ibu menjadi
cukup malas untuk melakukan kerja rumah. Pening kerana alah dengan bauan mengganggu
ibu setiap masa. Jangan rasa bersalah anakku, pening dan muntah ini masih lagi
mampu ibu kawal.
Duhai anak,
Walau terkadang ibu rasa seperti mahu waktu terus melompat ke
bulan-bulan akhir kelahiranmu nanti kerana sukarnya melalui hari-hari sekarang
ini, percayalah itu sekadar bisikan kosong ibu yang tak bermakna apa-apa.
Sungguh ibu tidak mahu terlepas walau sesaat pun, menikmati detik-detik dikau
membesar didalam perut ibu. Walau berapa minggu pun usiamu sekarang, ibu tidak
peduli sayang. Ibu tidak sabar untuk melihat perkembanganmu nanti. Tidak sabar
rasanya untuk merasai tendangan kecilmu
daripada dalam. Tidak sabar rasanya untuk merasai gerakan-gerakan perlahan mu
nanti. Tidak mengapa anak, segala keperitan dan kesakitan sementara ini akan
ibu tanggung dengan rela jika itu akan membuatkanmu selesa didalam.
Duhai anak,
Berkembanglah kamu dengan sempurna. Ibu mahu lihat keluarnya
kamu nanti dengan sihat dan gembira. Kamu ialah malaikat kecil ibu. Kamu bukti
cinta dan kasih sayang antara ibu dan ayah. Kamu penyambung zuriat keturunan
kami. Kamu akan jadi tanda suka duka kehidupan kami dihari mendatang. Dan ibu akan terus mengusapmu setiap hari walaupun sekadar
daripada luar. Semoga dikau rasa betapa ibu menyayangimu walau kamu masih lagi
di dalam.
Salam sayang,
Ibumu.