Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Friday, September 26, 2014

3: 5 Bulan 2 minggu.

Duhai anak,

5 bulan 2 minggu perjalanan ini telah dilengkapi. Satu perjalanan yang penuh cabaran, sakit perit penat yang bukan sedikit. Seksa dan bahagia yang hanya ibu rasa. Bimbang dan tenang yang hanya ibu mengerti.

Benar anakku,
Perasaan ini sungguh indah. Walau kadang ibu menangis sendiri, menahan emosi yang sentisa berubah kerana hadirnya kamu dalam tubuh ibu. Walau ibu terjaga di tengah malam,kerana kesakitan yang tiba-tiba mengganggu lena ibu. Walau ibu rasa penat dan letih yang teramat tanpa sebab.

harapan ibu,
Tumbuhlah membesar didalam tubuh ibu ini dengan sihat dan sempurna. Apabila tiba waktunya untukmu menjenguk dunia, semoga segalanya akan dipermudahkan. Semoga kamu akan jadi pelindung yang membawa ibu ke syurga. Semoga kamu akan menjadi anak kebanggaan yang akan sentiasa meyenangkan hati ibu.

Janji ibu,
Akan ibu jaga kamu duhai anak, setulus hati ibu. Sungguh ibu tidak sabar menanti hari kamu bakal tiba menjenguk dunia. Andai waktu itu nyawa ibu menjadi galang ganti untuk hidupmu anak, ibu redha. Andai waktu itu ibu tidak sempat menatap wajahmu, mengucup dahimu, mencium pipimu apatah lagi untuk memelukmu seerat yang ibu mahu, ampunkan ibumu anak. Takdir memang selamanya tidak memihak kepada kita dan kita perlu sentiasa bersedia.

Anakku,
Walau apa pun yang akan terjadi, teruslah bertahan. Bernafas dan bernyawalah kerana kasih sayang ibu akan sentiasa mengiringi hidupmu.

Thursday, August 14, 2014

2: Doa untukmu anak

Ya Allah,
Peliharalah anakku selama ia berada didalam perutku dan sihatkanlah dia. Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada penyembuhan selain daripada penyembuhanMu, penyembuhan yang tidak meninggalkan penyakit.

Ya Allah,
Rupakanlah dia yang ada diperutku dengan rupa yang baik dan tetapkanlah ke dalam hatinya iman kepadaMu dan kepada RasulMu.

Ya Allah,
Jadikanlah dia sihat yang sempurna dan berakal dan pandai, alim lagi beramal.

Ya Allah,
Panjangkanlah umurnya sihatkanlah badannya dan baikkanlah akhlaknya. Fasihkanlah lisannya, baguskanlah suaranya untuk membaca al-Quran dan hadis dengan berkat nabi Muhammad S.A.W dan segala puji bagi Allah tuhan semesta alam.

Amin.

Monday, June 23, 2014

1: Catatan pertama ibu.

Duhai anak,
Saat pertama kali ibu tahu bahawa ada satu kejadian kecil sedang tumbuh didalam rahim ibu, ibu senyum sendiri. Hampir air mata kegembiraan ibu menitis. Tak sabar untuk ibu kongsikan berita gembira itu dengan ayahmu. Sungguh ibu bersyukur, setelah beberapa bulan ibu mencuba dan menanti, akhirnya Allah S.W.T makbulkan doa ibu. Setiap hari entah berapa kali ibu usap perut yang sudah mula nampak sedikit membonjol ini. Setiap kali itu jugalah ibu berdoa yang dikau akan tenang dan selesa didalam sana. Setiap kali itulah ibu berharap dikau akan melalui proses perkembangan dengan sempurna.

Duhai anak,
Ibu mungkin bertuah kerana alahan ibu tidaklah seteruk orang lain. Ibu tidaklah terbaring lemah sepanjang masa, muntah setiap kali sebelum dan selepas makan hingga nikmat selera hilang. Tapi setiap yang ibu lalui ini, sudah cukup buat ibu rasa terseksa. Bukan mudah membawa satu nyawa rupanya. Seksanya hanya ibu yang rasa. Malam ibu kini tidak lagi selena dulu. Daripada tidur berbaring ibu mengiring, kemudian duduk, dan kemudian bangun. Semuanya serba tak kena dan serba tak selesa. Entah berapa kali ibu perlu berulang ke tandas di setiap malam. Senak diperut dan sakit di pinggang ini membuatkan ibu menjadi cukup malas untuk melakukan kerja rumah. Pening kerana alah dengan bauan mengganggu ibu setiap masa. Jangan rasa bersalah anakku, pening dan muntah ini masih lagi mampu ibu kawal.

Duhai anak,
Walau terkadang ibu rasa seperti mahu waktu terus melompat ke bulan-bulan akhir kelahiranmu nanti kerana sukarnya melalui hari-hari sekarang ini, percayalah itu sekadar bisikan kosong ibu yang tak bermakna apa-apa. Sungguh ibu tidak mahu terlepas walau sesaat pun, menikmati detik-detik dikau membesar didalam perut ibu. Walau berapa minggu pun usiamu sekarang, ibu tidak peduli sayang. Ibu tidak sabar untuk melihat perkembanganmu nanti. Tidak sabar rasanya untuk merasai tendangan  kecilmu daripada dalam. Tidak sabar rasanya untuk merasai gerakan-gerakan perlahan mu nanti. Tidak mengapa anak, segala keperitan dan kesakitan sementara ini akan ibu tanggung dengan rela jika itu akan membuatkanmu selesa didalam.

Duhai anak,
Berkembanglah kamu dengan sempurna. Ibu mahu lihat keluarnya kamu nanti dengan sihat dan gembira. Kamu ialah malaikat kecil ibu. Kamu bukti cinta dan kasih sayang antara ibu dan ayah. Kamu penyambung zuriat keturunan kami. Kamu akan jadi tanda suka duka kehidupan kami dihari mendatang. Dan ibu akan terus mengusapmu setiap hari walaupun sekadar daripada luar. Semoga dikau rasa betapa ibu menyayangimu walau kamu masih lagi di dalam.

Salam sayang,
Ibumu.

Wednesday, May 21, 2014

Hampa kacau

Bangkitlah semangat
Hapuslah airmata
Berdirilah kembali

Hidup memang begini
Sesekali kamu bahagia
Tapi duka dan kecewa
Tetap kan bersilih gilir

Syukurlah.
Walau dalam hampa
Nafas iman masih lagi bersama.
Walau dalam kacau
Waras akal masih lagi dijangkau.

Monday, February 24, 2014

Ingat Dia

Penatnya jadi orang dewasa yang punya rasa.
Bergilir tawa dan air mata.
Tapi, selagi tuhan itu ada
selagi itulah sesak dada ini punya penawarnya.
Ingat Dia,
dan Dia akan tetap bersama kita.

Monday, January 27, 2014

Dulu. Sekarang. Akan datang.

Kata Tegar, si cilik dari Indonesia yang mengalami perubahan total dalam hidupnya " Aku yang dulu, bukanlah yang sekarang. Dulu-dulu aku menderita, sekarang aku bahagia'. Betul, dulu dan sekarang kita mungkin bukan orang yang sama. Sekarang dan masa akan datang, kita mungkin bukan orang yang hari ini. Masa yang berjalan, membawa kemungkinan yang manusia akan berubah. Sama ada berubah kerana kemahuan dan kesedaran diri, mahupun berubah tanpa disedari akibat peubahan sekeliling, kita tetap akan berubah.

Dulu, aku ada seorang kak long. Seorang kakak ipar yang menjadi telinga saat aku perlu untuk meluahkan apa jua rasa. Seorang kakak ipar yang matang, yang penyayang, yang memahami dan menjadi 'jambatan' kalau aku takut untuk menyampaikan sesuatu kepada abang long.

Kini, seorang kak long ini tidak lagi sesempurna sebelum ini. Luarannya mungkin orang lihat dia tiada apa-apa. Tapi untuk kami yang mengenali dia bertahun lamanya, dia kini seorang kak long yang berbeza. Lagak gaya pertuturan, perbuatan malah pemikiran dia seperti seorang kanak-kanak kecil selepas menjalani pembedahan membuang tumor di kepala. Hilang kematangan seorang kak long yang sebelum ini pernah jadi tempat rujukan, sebaliknya kami yang perlu berikan perhatian kepada dia kini.

Seterusnya, kisah seorang sahabat saya. Hatinya baik, tutur katanya terjaga, tingkahnya sopan. Sedikit kurangnya, kerana dia tidak menyempurnakan salah satu tuntutan agama- tidak bertudung. Memang ramai yang mengutuk dan bercakap belakang. Alhamdulillah hari ini hidayah Allah S.W.T sampai kepada beliau, dan beliau menjadi lebih baik daripada mereka-mereka yang selalu mengata sebelum ini. Bukan sahaja bertudung, bahkan pemakaiannya lebih sempurna.

Hari ini kita dengar pula daripada media, kisah seorang penyanyi wanita baru bertudung yang hanya akan menyanyi dihadapan penonton wanita sahaja. Daripada seorang artis yang dulunya sangat seksi bahkan pernah membuat persembahan yang ditaja oleh syarikat pembuatan arak, kini beliau berubah perlahan-lahan. Bermula daripada bertudung, sedikit demi sedikit menyempurnakan pemakaian, mengalunkan lagu rohani dan ketuhanan, dan kini cuba sebolehnya untuk menyelaraskan kerjayanya dengan hukum agama sebaik mungkin. Artis itu- Miss Nina, semoga beliau akan terus menjadi lebih baik.

Kisah sahabat yang lain pula. Mengenali beliau di zaman sekolah, aku menjadi sangat rendah diri. Seorang yang bertudung labuh, luas dalam ilmu agama, dia ibarat seorang anak gadis muslimah sempurna. Pakej lengkap menjadikan beliau layak untuk memimpin sebuah pertubuhan keagamaan di sekolah. Dialah naqibah, dialah penggerak usrah. Kini, dia ialah dia yang sebaliknya. Tudung labuhnya sudah hilang, sopan santunnya sudah ditelan dek masa yang berjalan, Daripada seorang anti couple, kini gambar bersama teman lelaki memenuhi album di facebok.

Ini sekadar contoh. Kita yang dulu, bukanlah yang sekarang. Dan kerana itu, kita yang sekarang mungkin bukan kita di masa depan. Hari ini, kita mungkin rasakan kita manusia sempurna yang punya segalanya. Tapi tak mustahil satu hari nanti bila kita celikkan mata dari lena, kita ialah manusia yang hilang kewarasan pemikiran. Kita mungkin akan jadi manusia dewasa yang kembali ke zaman kanak-kanak, atau mungkin jadi manusia hilang upaya sehingga kembali menjadi seorang bayi. Siapa tahu kan?

Jika hari ini kita rasakan kita manusia baik yang terjaga pemakaian, tingkahlaku, atau gaya hidup yang selaras dengan kehendak agama. Usah takbur. Jangan kerana kita lebih baik, maka kita mengutuk dan menghentam orang lain seolah-olah kita akan sempurna sehingga ke akhir hayat. Dunia ini bulat dan berputar. Begitu juga hidup kita. Orang yang dikutuk dan dikata hari ini, mungkin akan jadi berjuta kali lebih baik dan sempurna di masa akan datang.

Kita yang dulu, berbeza dengan sekarang. Dan kita yang sekarang mungkin juga akan berbeza dimasa depan. Semoga perubahan itu, adalah perubahan yang membawa kebaikan. Atas apa juga perubahan, itu adalah dengan keizinan daripada Dia yang Esa bilamana dia berkata 'Kun Fayakun'.. Semoga takdir perubahan hidup kita sentiasa dibawah keredhaan dia.

Dulu, sekarang, dan masa akan datang- kita jadi manusia berbeza. Semoga kita bersedia.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...