Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Sunday, June 16, 2013

Selamat hari bapa

Hari ni 16 Mei, Sambutan hari bapa sedunia. Hari untuk menghargai insan-insan yang bergelar bapa. Timeline kt facebook pun penuh dengan ucapan hari bapa, scroll daripada atas sampai ke bawah. Bertuahlah bapa-bapa yang dihargai oleh anak-anak mereka dan bertuahlah juga anak-anak yang masih punya bapa untuk dihargai. Aku tak pernah ucapkan selamat hari bapa kat arwah abah, sebab abah pergi sebelum aku tahu wujudnya hari bapa. Tapi bila aku tahu adanya hari bapa, antara orang yang selalu aku ucapkan ialah 2 orang abang yang dah bergelar ayah - abang long dan abang Edi.

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sehingga ke hujung nyawa. Teringat lagi macam mana kelam-kabutnya arwah abah waktu aku terminum minyak tanah, masa dalam lingkungan 6-7 tahun, atau mungkin 5 tahun. Teringat lagi mak kena leter sebab tak perasan minyak tanah ada dalam cawan di atas meja. Teringat lagi Kak Liza kena leter sebab tak tengok adik minum apa. Sementara nak ke klinik, arwah abah paksa minum air masak banyak-banyak. Sampai rasa kembung perut. Alhamdulillah, aku hidup benyawa dan bernafas lagi hingga ke hari ini. Terima kasih abah, untuk perhatian dan kebimbangan tu.

Rotan arwah abah juga, tak mungkin kami lupa. Aku adalah yang terakhir dalam hierarki adik beradik, yang merasa ketegasan abah. Rotan abah pernah singgah kat belakang dan kaki, sebab bawa adik-adik main air banjir dalam hujan. Sekali balik lewat lebih daripada pukul 6 petang, abah jeling je dulu. Kali kedua, abah panggil tanya kenapa dan bagi amaran. Kali ketiga, bersedialah untuk hukuman rotan dan leteran. Hafalan sifir bermula daripada darjah satu lagi, kalau tak ingat memang bersedialah tadah telinga. Tiga orang adik lagi tak sempat merasa sebab abah jatuh sakit masa diorang masih kecil.

Lepas arwah abah pergi, arwah abang long gantikan tempat abah. Dialah abang tempat kami mengadu rasa. Abang long memang tak diktator macam abah. Tapi tegas dalam diamnya abang long membuahkan rasa hormat yang tak terhingga. Dulu, muka gatal-gatal sebab allergic, naik jerawat banyak, pun mintak duit dengan abang long. Bukan sepuluh ringgit dua, paling kurang dua tiga ratus sebab jumpa pakar. Demi adik perempuan, abang long tak pernah berkira. Setiap kali nak cuti semester mesti abang long tanya dah beli tiket bas ke belum. Keputusan peperiksaan, abang long tak pernah tanya sebab dah jadi kewajipan untuk adik-adik melapor terus kat abang long.

Sepanjang hidup berasrama daripada tingkatan 1, abang long tak pernah lupa nak jenguk kami adik-adik. Boleh dikatakan setiap minggu atau 2 minggu, abang long balik jenguk mak dan adik-adik. Semakin kami besar, semakin kami jauh tinggalkan kampung, kekerapan abang long makin kurang. Abang long kata, dia sedih dan sunyi bila balik rumah mak tapi adik-adik tak ada. Tapi bila Haziq masuk ke MRSM Besut, rutin lama abang long kembali semula. Boleh dikatakan setiap minggu abang long balik kampung untuk jenguk Haziq kat asrama. Sehinggalah antara perkara terakhir yang arwah abang long buat sebelum sakit ialah hantar Haziq ke asrama dan balik ke rumah mak.

Dua orang lelaki terpenting yang sangat berjasa ini, dah pergi tinggalkan kami. Abah pergi tanpa sempat lihat kami dewasa. Abang long pergi, dan sempat tengok kami berjaya. Kami hari ini sememangnya bukanlah insan yang hebat. Masih terlalu jauh untuk kami capai kehebatan dalam hidup ni. Tapi kami berjaya, kerana sekurang-kurangnya abang long pergi tanpa rasa risau dengan masa depan adik-adiknya. Abang long tahu amanah yang dipikul sebagai abang sulung, telah hampir berjaya dia tunaikan. Terima kasih abah, terima kasih abang long. Kasih kalian, membentuk kami hari ini. Jasa kalian, akan aku kenang sampai mati. Rindu pada kalian yang takkan pernah surut, aku kirimkan dalam setiap doa dan al-fatihah. Semoga kita bertemu kembali suatu hari nanti. 

Untuk Abang Edi, selamat hari bapa. Benarlah perkahwinan itu merubah kedewasaan seorang manusia. Daripada seorang lelaki biasa (yang masa kecil-kecil dulu selalu buat hal), sekarang dah jadi ayah yang sangat penyayang untuk tiga orang puteri yang comel. Semoga dirimu abang akan terus menjadi bapa yang terhebat untuk anak-anak. Semoga dirimu juga kuat untuk mengambil alih tugas abang long, menjadi tempat kami merujuk kata dan mengadu rasa.

Akhir kata, selamat hari bapa untuk semua bapa-bapa di dunia. Kalianlah lelaki yang memimpin sebuah institusi terpenting, kerana daripada keluarga yang sempurna akan melahirkan masyarakat yang bermutu. Semoga keluarga sakinah mawaddah warahmah, milik kita semua. Kasih ibu membawa kesyurga, kasih ayah hingga ke hujung nyawa, kasihnya saudara lelaki tempat mengadu duka-lara gundah-gulana dan kerana kasih-kasih nan ikhlas ini menjadikan kita menghargai sebuah ikatan bernama kekeluargaan. Selamat hari bapa.


Wednesday, June 05, 2013

Genap 40 hari

5 Jun 2013, Rabu.

Genap 40 hari abang long pergi. Selama 40 hari ini juga lah aku berdoa, agar aku diberi peluang untuk berjumpa dengan abang long walau sekadar dalam mimpi sesaat. Sungguh, rindu ini sangat hebat. Ya Allah, Kuatkan hati kami untuk menerima kehilangan ni dengan redha. Ikhlaskan hati kami untuk menerima takdir ketentuanMu. Yakinkan hati kami untuk melihat hikmah pada pemergian ini. Sesungguhnya mati itu pasti untuk setiap yang bernyawa. Dan sesungguhnya setiap apa yang kita punya, sekadar satu pinjaman. Kuatlah, tabahlah, redhalah, ikhlaslah wahai hati. 

..dan hujan renyai-renyai membasahi bumi kuantan saat ni, seperti turut memahami apa yang tersirat dalam hati. Rindu. Semoga rindu ini menguatkan lagi iman dan amal kami padaMu Ya Allah.

Al-fatihah.

Monday, June 03, 2013

"Carilah pasangan hidup betul-betul, kawan"

Mari mari marilah
Dengarlah ini kisah silam oh kawan
Sangatlah berguna
Moga hidup aman bahgia

Di malam yang pertama jumpa mertua
Tersentak si jejaka diberitakan
Isterinya tidak sempurna rupa
Anggota zahirnya lumpuh semua
Tiada upaya mengurus diri

Terkejut si jejaka
Penuh persoalan di hatinya
Mungkinlah sudah jodoh
Itulah isterinya

Hibanya rasa hati
Namun tetap redha pada takdir
Asalkan punya iman itulah paling penting

Saat saat berjumpa
Terpesona memandang
Benarkah isterinya menawan sungguh cantik

Cari cari carilah
Pasangan hidup betul betul oh kawan
Bahgia berseri
Rumah tangga akan harmoni

Terhurai jawablah oleh mertua
Zahirnya tak sempurna kiasan saja
Memberi makna sucinya diri
Wanita solehah terpelihara

Terharu jejaka tunduk bersyukur
Terkejut si jejaka
Penuh persoalan di hatinya
Mungkinlah sudah jodoh
Itulah isterinya

Jangan mudah percaya
Harta ataupun rupa
Indahnya di mata berawaslah
Rasul sudah bersabda
Insan punya agama
Akhlaknya mulia fahamilah

Cari cari carilah
Pasangan hidup betul betul oh kawan
Bahgia berseri
Rumah tangga akan harmoni
Cari cari cari

Monday, May 27, 2013

Cerita Manis: Relevan ke?

Stop cerita sedih. Kali ni cerita happy. Cerita suka. Cerita bahagia. Cerita klise. Cerita cinta. (Kononnya)

Sebenarnya baru je terbaca e-cerpen Hai, boleh berkenalan karangan BulanHijau. Kisah seorang Isaac yang tersuka dengan seorang Faiqa di lapangan terbang. Cinta dalam diam, bila selalu lepak bersama secara kebetulan. Kisah bagaimana Isaac masuk meminang Faiqa, tanpa bertanya sepatah pun perasaan Faiqa pada dia dan tanpa mereka mengenali sesama sendiri, sekadar tahu nama dan beberapa maklumat asas yang lain. Memang nampak sangat sweet, ala-ala bahagia sangat.

Tapi betul ke hidup boleh jadi sesenang tu? Dulu-dulu aku selalu beritahu kat kawan-kawan lelaki yang minta pendapat soal cinta ni.

"Kalau betul suka, apa kata jumpa je mak bapak perempuan yang kau suka tu? Beritahu yang kau suka anak dia, dan ikhlas nak jadikan isteri. Senangkan? Tak payah nak habiskan banyak masa dan duit ringgit untuk mengorat perempuan tu dulu. Minta izin wali dia untuk jadikan dia yang sah. Kalau keluarga setuju, terus move on to the next step"

Nampak macam sangat senang. Sangat naif. Sangat baik. Sangat tak perlu bercintan-cintun, bercouple buang masa. Sangat mengikut ujaran agama. Tapi dalam ramai-ramai kawan tu, seorang kawan bertanya balik pada aku.

"Zaman sekarang ni, relevan lagi ke terus jumpa mak ayah untuk beritahu yang si lelaki ni suka dekat anak diorg? Buatnya kalau yang si perempuan tu tak suka pun kat si lelaki ni macam mana? Tak ke malu dia? Dah la perempuan sekarang ni kalau dia reject seseorang, suka sangat update status kat facebook. Macam mana kalau sekarang ni, si lelaki tu tanya perempuan tu dulu? Kalau perempuan tu tak ada masalah, baru jumpa family then move to the next step?"

Ok, kira ni tambah satu step lagi untuk pastikan si lelaki tu ambil keputusan yang betul tanpa perlu menghadapi penolakan bila jumpa mak ayah si perempuan tu nanti. Relevan juga kan? Terdiam aku sekejap. Dalam keadaan sekarang, di mana perempuan bukan lagi duduk di ceruk dapur dan terdedah kepada dunia luar, agak patut sebenarnya untuk lelaki tu bertanya pendapat si perempuan terlebih dahulu. Bukan tanya lebih- lebih. Bukan tanya "saya suka awak, awak suka saya tak?" atau "saya suka awak, kita couple nak?" itu soalan budak bawah umur yang belum matang. Bukan apa, takut nanti bila dah jumpa family, rupa-rupanya si perempuan tu dah ada steady boyfriend yang dah berjanji nak sehidup semati. Tak ke malu dia?

Cuma tanya,
"Saya nak berkawan dengan awak. Serius. Kalau serasi, saya nak move on to the next step. Kalau awak setuju, saya akan jumpa keluarga awak untuk minta izin dan berbincang" 

Kalau si perempuan kata tak ada masalah, si lelaki pun boleh teruskan dengan perancangan dia tu. Akhir sekali, satu soalan dari aku untuk perempuan-perempuan diluar sana. Andai kata suatu hari nanti, kalian balik ke rumah dan tiba-tiba mak beritahu ada orang masuk meminang, dan kalian tak kenal pun siapa gerangan lelaki tu (kalau kenal pun, mungkin cuma kenal nama dan muka), tak tahu macam mana perangai dan pegangan hidup dia, adakah kalian akan kata "Ya mak, saya setuju" Fikir, dan jawablah dalam hati. Mungkin ini yang kawan lelaki aku tu maksudkan, atau mungkin takutkan. Sebab, kalau aku sendiri pun aku akan jawab TAK.

Sekian, bukanpakarcinta memberi pendapat. )=

p/s: dalam e-cerpen ni, faiqa minum coffee latte yang Isaac belanja. Masa baca, memang rasa macam sweet. Tapi dalam dunia realiti, kalau aku kat tempat Faiqa aku tak mungkin minum coffee tu. Pertama, sebab aku tak suka coffee. Kedua, sebab aku tak kenal Isaac. Dulu, seorang kawan pernah bagi aku strawberry, aku tak makan. Sebaliknya bagi kat orang lain, sebab takut dia guna-gunakan aku dengan strawberry tu. I'm sorry, my bad me.

p/s 2: Entry ini bukan untuk menggalakkan couple. Sekadar sebuah peringatan yang tak payah la berharap cerita-cerita sweet tu akan berlaku dalam kehidupan kita. Suka jatuh cinta-Kahwin-Hidup bahagia selamanya, adalah satu penipuan sebab ditengah-tengah tu wajib wujud bertimbun-timbun halangan.

Sunday, May 26, 2013

Genap Sebulan

Hari ini 26 May 2013.

Hari ni, genap sebulan abang long tinggalkan kami. Sedar tak sedar dah sebulan rupanya long. Tapi air mata orang tetap mengalir bila terpandang gambar abang long. Macam tak terasa yang orang dah tak ada seorang abang long.

Minggu lepas orang balik kerteh, wifi internet rumah abang long tak menjadi. Mungkin sebab dah lama tak digunakan. Nak tanya kak long, confirm kak long tak tahu. Terdetik dalam hati orang, 

"Tunggu abang long balik kerja nanti lah, suruh abang long tengokkkan"

Waktu tu juga orang terpandang MPV abang long kat parkir, masa tu juga orang tersedar. Astaghfirullahal'azim.. Abang long dah tak ada.

Hari tu hari rabu, kak long kerja malam. Tiba-tiba orang terasa nak makan yong taufu yang kita suka makan tu. Terus orang drive kereta ke pasar malam tu. Guna jalan kampung, tersesat pulak. Biasanya abang long yang bawa kereta atau jadi penunjuk jalan. Bila dah jumpa, tapak pasar malam tu kosong. Rupa-rupanya pasar malam tu hari selasa. Orang senyum, termenung sendiri dalam kereta. Serba tak kena rasanya. 

Malam tu seorang diri kat rumah, duduk depan tv. Kelainan memang terasa. Biasanya kalau kak long tak ada, kita duduk depan tv sambil tengok berita walaupun orang tak suka berita tv3. Abang long pun tak suka, tapi abang long kata tetap kena tengok barulah tahu perkembangan dan apa yang orang sedang tipu. Masa tu lah macam-macam analisa politik kita yang keluar. Masa tu juga lah biasanya kita sama-sama belek koleksi kereta kebal abang long. Long, kotak kereta kebal tu banyak bertimbun kat bilik orang tidur. Abang long tak sempat buka pun koleksi terbaru tu hari tu.

Terpandang pintu bilik abang long, terbayang-bayang lagi kat mata kali terakhir orang tengok abang long tergolek tidur atas katil masa demam tu. Tak sangka tu lah kali terakhir abang long berada kat dalam rumah tu. Terasa lagi tangan ni usap ubun-ubun kepala abang long, basahkan muka, garu bahu abang long yang gatal, picit tangan dan kaki abang long yang lenguh. Terngiang-ngiang lagi di telinga ni, suara abang long bercerita. Uniform baru abang long masih ada dalam seat kereta belakang, ada borang tulisan tangan abang long dalam tu.

Long, seksanya kehilangan yang Allah uji kali ni. Walau orang tahu hakikat mati tu pasti, tapi untuk jalani hidup biasa macam dulu lepas abang long tak ada bukanlah senang. Setiap jalan yang orang lewati, ada kenangan dengan abang long. Rindu pada abang long yang dah tak ada memang menyakitkan. Bukan orang tak redha long, orang redha dengan sepenuh hati. Tapi untuk hilangkan setiap kenangan dan bayangan tu, orang tak mampu.

Orang sayang abang long, sepenuh hati. Tenanglah abang long di sana. Al-fatihah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...