Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Monday, June 23, 2014

1: Catatan pertama ibu.

Duhai anak,
Saat pertama kali ibu tahu bahawa ada satu kejadian kecil sedang tumbuh didalam rahim ibu, ibu senyum sendiri. Hampir air mata kegembiraan ibu menitis. Tak sabar untuk ibu kongsikan berita gembira itu dengan ayahmu. Sungguh ibu bersyukur, setelah beberapa bulan ibu mencuba dan menanti, akhirnya Allah S.W.T makbulkan doa ibu. Setiap hari entah berapa kali ibu usap perut yang sudah mula nampak sedikit membonjol ini. Setiap kali itu jugalah ibu berdoa yang dikau akan tenang dan selesa didalam sana. Setiap kali itulah ibu berharap dikau akan melalui proses perkembangan dengan sempurna.

Duhai anak,
Ibu mungkin bertuah kerana alahan ibu tidaklah seteruk orang lain. Ibu tidaklah terbaring lemah sepanjang masa, muntah setiap kali sebelum dan selepas makan hingga nikmat selera hilang. Tapi setiap yang ibu lalui ini, sudah cukup buat ibu rasa terseksa. Bukan mudah membawa satu nyawa rupanya. Seksanya hanya ibu yang rasa. Malam ibu kini tidak lagi selena dulu. Daripada tidur berbaring ibu mengiring, kemudian duduk, dan kemudian bangun. Semuanya serba tak kena dan serba tak selesa. Entah berapa kali ibu perlu berulang ke tandas di setiap malam. Senak diperut dan sakit di pinggang ini membuatkan ibu menjadi cukup malas untuk melakukan kerja rumah. Pening kerana alah dengan bauan mengganggu ibu setiap masa. Jangan rasa bersalah anakku, pening dan muntah ini masih lagi mampu ibu kawal.

Duhai anak,
Walau terkadang ibu rasa seperti mahu waktu terus melompat ke bulan-bulan akhir kelahiranmu nanti kerana sukarnya melalui hari-hari sekarang ini, percayalah itu sekadar bisikan kosong ibu yang tak bermakna apa-apa. Sungguh ibu tidak mahu terlepas walau sesaat pun, menikmati detik-detik dikau membesar didalam perut ibu. Walau berapa minggu pun usiamu sekarang, ibu tidak peduli sayang. Ibu tidak sabar untuk melihat perkembanganmu nanti. Tidak sabar rasanya untuk merasai tendangan  kecilmu daripada dalam. Tidak sabar rasanya untuk merasai gerakan-gerakan perlahan mu nanti. Tidak mengapa anak, segala keperitan dan kesakitan sementara ini akan ibu tanggung dengan rela jika itu akan membuatkanmu selesa didalam.

Duhai anak,
Berkembanglah kamu dengan sempurna. Ibu mahu lihat keluarnya kamu nanti dengan sihat dan gembira. Kamu ialah malaikat kecil ibu. Kamu bukti cinta dan kasih sayang antara ibu dan ayah. Kamu penyambung zuriat keturunan kami. Kamu akan jadi tanda suka duka kehidupan kami dihari mendatang. Dan ibu akan terus mengusapmu setiap hari walaupun sekadar daripada luar. Semoga dikau rasa betapa ibu menyayangimu walau kamu masih lagi di dalam.

Salam sayang,
Ibumu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...