Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Wednesday, February 22, 2012

Dalam kenangan: Pembunuhan Intan Yusniza

Laporan akhbar Harian Metro Jun 1991

PEMBUNUHAN pengacara Kelab Kanak-Kanak Angkasapuri Radio Televisyen Malaysia (RTM), Intan Yusniza Mohd Yunus dan ibu angkatnya pada Jun 1991, menarik perhatian umum sehingga ada pihak menawarkan RM20,000 kepada sesiapa yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya pembunuh.

Tawaran dibuat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebanyak RM10,000 selain masing-masing RM5,000 oleh Umno Seputih dan seorang individu yang terkesan dengan kejadian tragis itu.

Ganjaran ditawar bagi memastikan penjenayah ditangkap lantaran perbuatan itu tidak berperikemanusiaan kerana membabitkan kanak-kanak kecil selain khuatir keselamatan penduduk lain turut terancam.

Siasatan awal terhadap keadaan kedua-dua mayat mangsa membawa kepada andaian yang ibu angkat Intan Yusniza, Haniza Ismail, 56, dipercayai dirogol manakala gadis sunti itu pula berkemungkinan dicabul kehormatannya sebelum dibunuh di rumah mereka di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

Keputusan awal bedah siasat yang dilakukan pada mayat mangsa mendapati ada lima kesan kecederaan di kepala Allahyarham Haniza manakala pada jasad Intan Yusniza pula dua kesan kecederaan di kepala akibat hentakan kuat benda keras.

Siasatan awal juga mendapati kedua-dua mangsa mungkin dibunuh antara jam 4 hingga 6 pagi hari Ahad dan orang yang terbabit dalam pembunuhan dipercayai masuk ke dalam rumah melalui cara baik kerana tiada kesan pecah rumah ditemui pada kediaman mangsa.

Intan dan ibu angkatnya didakwa penduduk setempat dilihat kali terakhir dalam sebuah van, kira-kira jam 1.15 pagi Ahad iaitu kira-kira 30 jam sebelum mayat mereka ditemui pada jam 8.30 pagi Isnin.

Seorang penduduk mendakwa, ketika sampai di sebuah warung di kawasan perumahan Penempatan Seri Budiman, Jalan Kuchai Lama, Allahyarham Haniza melambai-lambaikan tangannya kepada beberapa jiran yang masih berada di situ.

Kes pembunuhan itu segera mendapat liputan meluas media massa yang antara lain mendedahkan Intan tinggal bersama ibu angkatnya itu sejak kecil selepas diserahkan ibu kandungnya sebaik dilahirkan.

Laporan akhbar berhubung perkembangan kes ketika itu juga memetik sumber-sumber berkaitan menyatakan sepanjang tempoh 24 jam sejak mayat mangsa dijumpai, polis menerima petunjuk penting dan mengesan empat lelaki disyaki terbabit dalam pembunuhan itu.

Empat lelaki itu dipercayai penghuni Penempatan Seri Budiman, Jalan Kuchai Lama, tempat dua beranak itu tinggal.

Sejak kejadian itu mula heboh dan menarik perhatian ramai, seorang lelaki yang tinggal tidak jauh dari rumah kedua-dua mangsa mula menghilangkan diri.

Pada masa sama, rantai leher berukir nama INTAN, dipercayai milik gadis sunti itu selain loket milik Haniza dilaporkan digadai di sebuah kedai pajak gadai oleh seorang lelaki yang membelinya daripada seorang lelaki lain.

Lelaki yang menggadaikan rantai dan loket itu menghubungi polis selepas terbaca kes pembunuhan Intan dan Haniza dalam akhbar lantaran khuatir dia turut dituduh bersubahat dalam kes itu. Lelaki itu menggadai rantai dan loket yang dipercayai milik mangsa tanpa menyedari rantai emas itu mungkin barang kemas yang dicuri ketika pembunuhan itu.

Akhirnya, pada 1 Julai 1991 iaitu seminggu selepas penemuan mayat mangsa, polis Cawangan Jenayah Berat berjaya menahan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an kerana disyaki terbabit dalam kes pembunuhan berkenaan.

MENTARI pagi sudah lama muncul dan menyinari kawasan perumahan di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur pada Isnin, 24 Jun 1991.

Beberapa penduduk yang melalui berhampiran kedai runcit yang diusahakan Hanizah Ismail, 56, berasa hairan tatkala melihat premis itu masih belum dibuka walaupun jam sudah menunjukkan kira-kira 8 pagi.

Aneh, seolah-olah kedai runcit yang pegun itu tidak akan dibuka terus pada hari itu; tidak seperti hari-hari sebelumnya, Hanizah pasti sudah lama memulakan perniagaannya menjelang waktu berkenaan.

Jiran wanita terbabit mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena lalu bergegas ke rumah Hanizah yang terletak berhampiran. Pintu rumah pengusaha kedai runcit itu diketuk dan nama wanita itu dipanggil berulang kali namun tiada sebarang jawapan diterima.

Bersama dua lagi jiran lain, mereka kemudian menjenguk ke dalam rumah Hanizah melalui tingkap cermin hadapan yang tidak berkunci.

Pandangan mereka segera menangkap sesusuk tubuh yang terbaring di ruang tamu bagaikan sedang tidur. Debaran mula mengasak dada tatkala mereka mula menyedari yang jasad itu adalah Hanizah malah tubuh wanita itu dihurungi semut.

Curiga mula membenih di benak minda masing-masing lalu sekali lagi mereka melaung memanggil nama wanita itu. Bagaimanapun, jasad Hanizah tetap tidak bergerak seolah-olah tidak lagi mendengar laungan lantang mereka.

Cemas melihat keadaan itu, jiran wanita terbabit segera meminta pertolongan seorang penduduk lelaki yang berada berhampiran. Lelaki itu menjenguk ke dalam dan mendapati jasad Hanizah sudah kaku dan diharungi semut. Akan tetapi, lebih mencemaskan apabila pandangannya segera menangkap keadaan tubuh wanita itu yang dalam berlumuran darah.

Tidak lama selepas itu, pintu rumah terbabit berjaya dibuka dan sepasukan polis mula masuk memenuhi ruang rumah terbabit bagi menjalankan siasatan.

Di samping jasad Hanizah, turut ditemui adalah mayat anak angkatnya berusia 12 tahun, Intan Yusniza Mohd Yusof. Kedua-dua beranak itu mati dibunuh di dalam rumah berkenaan dengan kepala kedua-dua mangsa berlumuran darah akibat cedera parah dihentak objek tertentu. Polis juga mendapati barang kemas dan wang tunai milik mangsa, hilang.

Mereka kemudian diberitahu yang Allahyarham Hanizah tinggal di situ bersama Intan Yusniza hampir empat tahun lalu iaitu selepas suami wanita terbabit yang juga bekas anggota polis berpangkat sarjan, meninggal dunia pada 1986.

Mayat Hanizah dan Intan Yusniza kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Damansara, kira-kira jam 10 malam, hari sama.


Aku tertarik untuk mencari maklumat berkenaan berita ini selepas perbualan dengan seorang rakan sekerja yang bercerita pasal kes ni. Maklumlah, 1991 aku baru 3 tahun, jadi aku memang tak tahu langsung pasal kes ni, siapa Intan Yusniza dan rancangan kelab kanak-kanak angkasapuri ni. Menurut sahabat aku, kes ni memang mendapat liputan meluas dan sahabat aku merupakan salah seorang peminat Intan Yusliza. Selepas kes pembunuhan itu, sahabat aku dah tak tengok sebarang program kanak-kanak dah.

Semoga Allah merahmati arwah Intan Yusniza dan arwah ibu angkatnya, Hanizah. Semoga dicucuri rahmat, Al-fatihah..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...