Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Monday, December 31, 2012

Tolong selamatkan dia, abangku.

I'm tired, I want to sleep but I can't because I'm worried.

Ini cerita penghujung tahun 2012 dan permulaan 2013 yang aku tak pernah jangka. Seharian di hospital, menemani saudara kandung yang sedang diuji dengan dugaan kesihatan. Sungguh, aku tak mampu. Pertama kali dalam seumur hidup ini rasanya, melihat saudara rapat sedarah dan sedaging terlantar lemah tak berdaya dengan mesin dan wayar disekeliling. Waktu aku kehilangan arwah abah suatu ketika dulu, bukan pemandangan begini yang aku lihat. Abah harungi kesakitan tanpa wayar yang berselirat. Pemandangan ini benar-benar menakutkan.

Sepasang tangan yang pernah memimpin aku suatu ketika dulu, sedang terketar lemah dan layu. Sepasang telinga yang sebelumnya menjadi pendengar untuk setiap cerita duka dan gembira aku, kini seolah semakin tak berdaya. Suara yang dulu tak pernah lokek memberi pendapat juga nasihat, tadinya kedengaran perlahan. Mata yang dulunya selalu menjadi pemerhati kepada adik-adik, tadinya semakin kuyu. Nafas yang dihela seolah-olah terlalu berat. Dada tidak lagi berombak tenang saat nafas dihembus dan ditarik.  Tapi, jenaka dan tawanya masih mampu menghiasi ruang kecil ICU/HDU.

Seorang abang yang seminggu dua ini tampak biasa-biasa, sungguh aku tak sangka akan terbaring hari ini. Melihat kesakitan itu, aku jadi terdiam. Seperti hampir mengalir air mata. Tapi aku cuba pinjam semangat dan kekuatan kak long, seorang isteri yang tampak seperti tabah dan tenang dari luarannya. Semoga emosinya juga begitu. Aku tidak mahu jadi lemah, kerana untuk hari ini hanya aku peneman dan pemberi sokongan untuknya.

Hari ini, abang long disahkan mengalami kegagalan buah pinggang. Terlalu drastik rasanya, tanpa kami ketahui apa puncanya dan bila bermula. Padahal abang long bukan lah terlalu kerap mengambil ubat berisiko. Dialisis kali pertama tak mampu abang long habiskan kerana pengsan dipertengahan rawatan. Tak pernah aku lihat dia selemah itu. Terlalu sukar untuk digambarkan dengan kata-kata bagaimana abang long yang aku lihat  tadi sangat berbeza dengan abang long yang aku kenali sepanjang hidup ini.

Harapan untuk tahun baru ini, tiada lain yang aku mahu. Cukuplah, kesihatan yang baik untuk kami sekeluarga, dan semoga abang long terus kuat kerana belum mampu untuk aku hadapi sebuah kehilangan.

Tuhan, tolong selamatkan dia abangku. 

p/s: Syukur dan terima kasih Allah, kerana mengelakkan aku dari kemalangan sebentar tadi. Aku terleka seketika, akal tiba-tiba kosong, fikiran melayang hingga aku hilang perhatian. Maaf, aku alpa.


Thursday, December 27, 2012

Itu Ini Begitu Begini



Itu ini begitu begini, Beza persepsi di sana-sini,
Cara dia dan cara mereka, Masing-masing punya citarasa,
Itu ini begitu begini, Gosip sensasi di sana-sini,
Kisah dia cerita mereka, Tak peduli benar atau dusta

Mirwana&Altimet

Tuesday, December 25, 2012

Peduli

There are only two reasons why people can hurt you.
1. You really care about them.
2. They don't really care about you
Betulkan? Maksud kat sini bukan 'hurt' yang biasa-biasa, yang lepas 5-10 minit boleh hilang, paling lama pun setengah jam. Bukan 'hurt' yang kalau seseorang tu buat sesuatu yang dasyat baru terkesan kat hati kita. Tak. Ini adalah 'hurt' yang super-duper menyakitkan walaupun puncanya sebesar zarah.

Kalau seorang kawan yang biasa-biasa je dengan kita, lupa nak ucapkan selamat hari lahir. Bukan lupa, bahkan tak tahu langsung pun bila hari lahir kita. Adakah kita akan rasa kecil hati? Jangan kata kecil hati, bahkan kita langsung tak kisah pun sebenarnya. Sebab dia adalah kawan kita, yang kita tak berapa peduli pasal dia dan kita pun tahu dia tak berapa peduli kat kita. (Peduli kat sini bukan bermakna tak ambil kisah langsung)

Kalau seorang kawan yang biasa-biasa je dengan kita balas mesej selepas seminggu kita hantar text kat dia, kita tak rasa apa-apa kan? Dan kawan tu balas dengan jawapan pendek, sekerat-sekerat. Walaupun mesej tu, 'Hai, ape khabar? Lama tak dengar cerita kau" dan dia reply " Hai, sihat. Aku busy sikit sekarang". Kenapa kita tak rasa apa-apa? sebab kedua-dua pihak, samaada kita ataupun dia tak peduli sangat kat antara satu sama lain.

Peduli kat sini bukan bermakna tak ambil kisah langsung. Tapi peduli yang aku maksudkan ialah tak melibatkan soal peribadi yang mendalam. Kita tak pernah mesej kawan biasa-biasa kita untuk tanya dia dah makan ke belum, kat mana, dengan siapa, buat apa, sihat atau tak, bla-bla-bla-bla. Sebab kita tahu, tak penting untuk kita tahu semua tu. Itu personal life masing-masing dan kalau kita tahu pun, untuk apa kan?

Tapi dengan orang yang kita betul-betul peduli, kisah jadi lain. Keadaan jadi sebaliknya bila orang yang kita peduli, kurang peduli kat kita. Dan kita mudah rasa berjauh hati dengan orang yang kita peduli."Hai, kat mane ni? Buat apa?" kemudian 2 jam lepas tu baru dapat reply " Hai, kat rumah. Tido". Confirm hati rasa macam ada luka sikit kan? sebab macam orang di pihak sana tak berapa minat nak reply mesej kita, sebab tu la reply lambat dan pendek.

Contoh lain, ucap birthday lewat sehari atau pergi mana-mana tak beritahu. Kalau ikutkan hukum dan logik akal, memang tak perlu pun nak berkecil hati sebab birthday is just like the other normal day and every people have their own rights where to go and when. Tapi hukum perasaan menidakkan hukum logik tersebut. Kerana tu lah, perkara sekecil zarah macam ni pun boleh menyebabkan pihak yang satu lagi rasa 'hurt'.

Pada aku, kebanyakan kes 'hurt' ni disebabkan oleh alasan yang pertama yakni terlalu peduli dan cakna pada seseorang. Jadi untuk mengelakkan kita rasa sakit, apa kata ubah diri untuk tak terlalu ambil berat dan berharap pada pihak yang satu lagi. Berkawan dan berhubung seadanya. Bila kita tak terlalu ambil berat ke atas seseorang, maka kita takkan mudah terasa hati bila dia pun abaikan kita. Boleh? Kita peduli, biar yang bertempat.

p/s: Yat, dah tahu ke makna cakna?

I pretend that I don't care, but it makes me miss U more. Eh?

Sunday, December 23, 2012

Selamat tinggal 2012

2012 yang bakal pergi, beberapa detik lagi melabuhkan tirai hari. Membawa impian menjadi mimpi bersama makna hidup yang dicari. 2012 yang pernah memberi  putus asa dan 2012 juga yang kembali memberi rasa. 2012 yang pernah buat aku terduduk seketika, dan 2012 yang kembali memberi senyuman bahagia.

Permulaan 2012 yang penuh dengan keterujaan, memulakan januari dengan penuh rasa ingin tahu akan apa yang bakal terjadi. Perpindahan karier daripada Pfizer ke Nestle, dengan harapan tiap-tiap hari aku akan bersemangat dan ikhlas buat kerja berbanding dengan masa kat Pfizer dulu (tapi sayang impian ni tak berapa menjadi kenyataan). Sehingga selalu juga aku terfikir, ini ke destiny aku? Tak apa, biar takdir yang tentukan.

Permulaan 2012 juga membawa aku menjadi lebih pasrah dan redha. Lebih memikir hala tuju kehidupan Bebaskan pemikiran tak matang dan harapan yang tak berkesudahan. Yang berlalu, aku biarkan ia berlalu. Aku cari semangat yang baru.

Meniti 2012, sendirian merantau di bumi Kuantan, tidak banyak yang berubah. Hampir menyerahkan surat berhenti kerja kepada boss masa probation sebab tak tahan dengan tekanan, takut tak mampu menggalas amanah, tapi kesabaran membawa aku bertahan sehingga hari ini. Setiap hari bangun pagi aku bisikkan pada diri, ikhlaskan hati, kerja itu ibadat. Cabaran kerja memang pelbagai, tapi telankan saja wahai diri.

Pengakhiran 2012, tak mampu aku tulis. Hampir setahun bergelar pekerja Nestle. Setahun lebih membina hidup di bumi Kuantan. Cuba dan terus mencuba, untuk lalui hidup dengan ikhlas. Terlalu banyak rasanya harapan di penghujung tahun ini.

2012 ini, banyak yang berlaku, banyak yang istimewa dan banyak juga pahitnya. Tapi, entah lah.. Selamat tinggal 2012.

p/s: ini bukan post yang bagus. Banyak benda nak ditulis, tapi hilang idea untuk terjemahkan dalam bentuk ayat.

Sunday, December 02, 2012

Catatan hari lahir 021212

Syukur aku panjatkan kehadrat Ilahi kerana masih memberi peluang dan ruang untuk aku bertapak dibumi Mu..

Tarikh hari ini mungkin tak akan punya erti pada orang lain, tapi cukup bermakna pada aku. Tarikh dimana, 24 tahun lalu takdir membawa aku menjadi salah seorang penghuni dunia. Sedar tak sedar, setahun kehidupan ini berjaya aku lepasi lagi. Tiada apa yang ketara berbeza. Penghargaan terbesar untuk insan-insan yang telah bersama aku meniti jatuh bangun, kerana tanpa mereka tak mungkin aku lalui 24 tahun kehidupan dengan penuh erti.

Untuk emak yang melahirkan, dikaulah manusia agung dimata dan hati aku. Bukan sedikit keringatmu tumpah untuk melihat aku tumbuh membesar menjadi manusia. Tuhan, berkatilah dia ibuku. Berilah dia kesihatan yang baik serta sedikit lagi masa untuk melihat kami menjalani hidup bahagia. Peliharalah lidah dan percakapan serta perbuatanku, daripada mengecilkan hati tuanya. Terima kasih mak, untuk semuanya..

Untuk arwah abah, dikau tetap dihati walau masa terus berlalu. Walau abah tak sempat melihat aku menjadi dewasa, tapi percayalah bahawa abah tak pernah hilang dihati. Tanpa garang dan tegas abah, tak mungkin untuk aku berdiri sebagai aku yang hari ini.

Untuk abang long dan kak long yang telah banyak menabur jasa, dari aku sekecil budak yang masih berhingus sehinggalah sedewasa sekarang. Terima kasih kerana menjadi pembimbing dalam sedar ataupun tidak. Terima kasih atas segala pengorbanan material mahupun masa dan waktu yang telah kalian laburkan dari dulu hingga kini. Buat kak long, kaulah kakak ipar kebanggaan yang benar-benar meletakkan diri sebagai kakak sulung kami.

“Kak long panjat bukit Jabal Rahmah sebab nak berdoa untuk kau Mie”

Terima kasih kak long! Tiada ungkapan sehebat syukur dan terima kasih pada Allah kerana mendatangkan insan seperti kak long dalam kehidupan kami.

Buat abang dan kakak-kakak yang lain, terima kasih yang tak terhingga juga.Waktu kecil dulu, kalianlah rakan sepermainan yang paling setia. Dalam bergaduh dan bertengkar, aku masih tetap selamat dalam perlindungan kalian. Meniti perjalanan menuju dewasa, walau berjauhan kerana tuntutan kehidupan masing-masing kalian masih lagi saudara kandung terhebat. Kalianlah antara semangat terkuat setiap kali aku hampir jatuh terduduk menghadapi lewat cabaran dunia. Walau jarang ungkapan sayang antara kita meniti dibibir, tapi jauh disudut hati kita tahu sayang itu kukuh memagari silaturrahim ini.

Buat adik-adik, kalian juga warna terpenting dalam hidup ini. Dari dulu, aku ingin jadi kakak yang boleh kalian banggakan. Aku ingin jadi kakak yang melindungi walau kadangkala tanpak garang dan tak memahami. Leteran yang kadang-kadang membingitkan, tanda bahawa aku sayang dan cakna pada kalian. Walau hakikatnya kalian juga sedang meniti tangga-tangga kedewasaan bersama dengan aku, pada mata ini kalian masih lagi adik-adik kecil hingusan yang masih perlu perhatian. Terima kasih adik-adik, kerana tak pernah bosan mendengar bebelan meletihkan jauh sekali untuk hilang rasa hormat. Terima kasih kerana menjadi sahabat paling rapat dari dulu hingga kini.

Buat keluarga tersayang, kalianlah kekuatan sebenar dalam aku meniti perjalanan ini. Tanpa kalian, aku selemah si tua yang kehilangan daya. Semoga ukhwah ini akan sentiasa terpelihara walau kadangkala bergelora. Kekuatan, semangat, harapan. Itu untuk kalian, juga dari kalian. Untuk 24 tahun genap kehidupan ini, terima kasih atas bakti suci yang kalian berikan.

Buat teman-teman, kalian datang dan pergi. Tak ramai yang mampu untuk kekal disini. Tidak mengapa, kerana tuntutan hidup sememangnya begitu. Terima kasih juga kerana sekurang-kurangnya kalian pernah hadir memberi warna dan rasa walau apa pun ia. Walau cerah atau gelap, walau putih atau kelabu, walau rasa itu pahit atau payau, mahupun manis berselang kelat, sekurang-kurangnya kalian pernah hadir. Untuk yang masih kekal disini, masih terus memahami dan bertahan dengan karenah aku, apa lagi ucapan terhebat yang mampu aku berikan selain terima kasih?

Ya Allah, aku mohon kau berkatilah mereka-mereka ini. Mereka-mereka yang telah membahagiakan aku. Mereka-mereka yang telah memahat semangat dan kekuatan untuk aku terus bertahan dibumi-Mu. Mereka-mereka yang tak lokek menghulur telinga saat aku terlalu ingin untuk berkata meluahkan rasa. Mereka-mereka yang memberikan bahu untuk aku bersandar saat aku terlalu lelah dan penat menyahut cabaran kehidupan. Berkatilah mereka Ya Allah..

Ya Allah, Jika masih diberi peluang untuk aku berjumpa dengan 2 Disember yang akan datang, aku mohon Kau kuatkan dan teguhkan hatiku lebih dari sebelumnya. Kerana aku tahu, hari-hari yang mendatang cabarannya bukan calang-calang. Kau ikhlaskanlah hati ku untuk terus menjadi manusia syukur yang berbudi dibumi-Mu.

                         
p/s: happy birthday untuk diri sendiri! Abang long kata tak sempat beli kek tadi, cepat sangat nak balik sini. Orang baru tengah nak uli tepung kat kedai =p.

Thursday, November 29, 2012

Ter'paling Bahagia?

Semakin hari mata semakin berbulu bila buka facebook. Serius rasa sedikit jengkel dan menyampah. Sebelum ni banyak post yang jenis-jenis tak berapa nak matang macam ' lunch tadi makan nasi ayam' atau 'sedapnya air masak ni'. Tapi sekarang banyak pulak post terlebih matang. Contoh:

"hubby saya semakin gemuk, tiap-tiap hari request suruh masak walaupun hakikatnya saya tak pandai masak"

"hari ni mr. suami masak. yeay!! mr. mama to be"

"tadi encik abang pesan, jaga diri baik-baik ye sayang"

"my incik tunang ajak dating, yeayy!"

Tolong la kalian-kalian semua. Nak umum dekat dunia yang anda ada suami ke? Nak suruh semua orang tahu yang suami anda penyayang tahap tak ada orang boleh lawan? Tak salah untuk buat post bunga-bunga bahagia tu, tapi agak-agaklah kalau dah setiap setengah jam post pasal suami penyayang je tak ke rasa macam nak unfriend je? Nak unfriend pun rasa serba-salah sebab kawan sendiri.

Sekarang masa tengah bahagia, buat la macam tu (maklumlah baru 4-5 bulan kahwin). Nanti dah ada masalah, dah gaduh-gaduh, nak tulis dalam facebook juga? Matang la sikit bila dah jadi suami isteri tu. Tak kan lah cerita-cerita peribadi macam tu pun nak bagitahu satu dunia? Siap dah jadi macam diari pula dalam fb tu.

pagi : "my sayang request nak makan mihun goreng. Demimu suami tersayang.."

setengah jam kemudian,

"tadaaaa! bihun special utk suami dah siap"

Beberapa minit kemudian,

"my jantung hati cakap bihun saya masak sedap..omg! thanks my hensem hubby"

Setengah jam kemudian,

"Encik suami saya bla bla bla..."

Seterusnya sampailah ke malam, post yang berkaitan dengan my hubby! tak penat ke hubby awak tu eh?

Yang menimbulkan rasa jengkel tu, bukan je sebab suka post yang bermaksud 'sayalah insan paling bahagia sebab ada pasangan macam dia', tapi juga penggunaan bahasa yang entah apa-apa je. Mr. suami? Encik abang? Incik tunang? Hellooo cik kak, suami/ tunang/ boyfriend anda-anda ni tak ada nama ke? Jadi trend pula sekarang ni bahasakan diri macam tu, konon macam ala-ala manja la gitu. Konon-konon nak umumkan kat satu dunia, saya ada suami tapi saya tak nak bagitahu nama suami saya. 

Bukan saya jeles dengan kebahagian mereka-mereka ni. Tak sama sekali. Jujurnya saya suka tengok mereka bahagia. Tapi janganlah sampai kebahagiaan tu membuatkan orang disekeliling rasa anda sangat annoying. Orang lain pun ada suami, orang lain pun bahagia, jadi apa yang membezakan suami anda dengan suami orang lain? apa yang membezakan bahagia anda dengan bahagia orang lain?

Yes, each people have their own speciality including your husband a.k.a hubby tu. But, can you please keep your husband's speciality just to your self? Make it special and exclusive. Walau sehebat, semanja atau seromantik mana pun suami anda, anda tak boleh kongsi dengan orang lain kan? Kalau betul nak tulis, make it private la.

Sekali lagi, saya bukan cemburu bahkan saya bahagia dengan hidup saya sekarang walaupun saya belum ada suami. Dan saya percaya di luar sana ramai lagi yang sama macam saya, rasa annoying dengan mereka yang pemurah bercerita soal rumah tangga di fb.

Akhir kata, semoga saya tak kan jadi macam tu. Kalau satu hari nanti saya buat benda yang sama, tolong ingatkan. Tuhan, bantu aku untuk buang rasa jengkel itu dan untuk aku terus bersangka baik.

p/s: baru je terbaca post terbaru.
"@UtzAzharIdrs: Suami yang terbaik adalah suami yang memaafkan segala dosa dari isterinya setiap hari sebelum tidur."
Cc: [Tag nama suami]

Monday, November 26, 2012

Segenggam Tabah

Kehidupan membawa kita mengembara. Walau harus menempuh hutan belantara mahupun meredah laut bergelora. Meski di manapun kita berada, jangan pernah gentar kerana yang dipijak masih lagi bumi dan yang dijunjung masih lagi langit Ilahi. Yakinlah DIA sentiasa menemani.

Ya Allah, tuhan yang maha agung. Bantulah aku. Bantulah dia. Bantulah kami. Peliharalah hati-hati kami, agar  tak tersasar dari redha dan rahmatMu. Amin.

Saturday, November 17, 2012

Cerita Kehilangan

Bagaimana perasaan bila kita berhadapan dengan kehilangan? Ok, ini memang soalan bodoh. Semestinya orang akan jawab sedih, hiba, terkenang dan sebagainya. Tak kira lah kehilangan benda tak bernyawa ataupun makhluk tuhan yang lengkap sempurna. Yang pasti, kita semua pernah merasa kehilangan kan? Sama ada kehilangan kecil atau besar, ia tetap kehilangan dan hanya orang yang merasai kehilangan sahaja yang boleh memahami bagaimana bergolaknya perasaan ketika itu.

Macam aku, kehilangan abah pada usia 12 tahun. Walau bagaimana pun, aku tetap bersyukur sebab Allah s.w.t kurniakan aku selama 12 tahun untuk mencipta kenangan dan merasa kasih sayang seorang abah. Sekurang-kurangnya aku masih punyai 12 tahun tersebut. Sehingga sekarang aku sebenarnya tak kuat untuk bercerita tentang kehilangan tersebut. Bukan itu saja, bahkan aku tak kuat untuk berhadapan dengan orang lain yang mengalami kehilangan. Apatah lagi, orang tersebut ialah manusia-manusia yang aku sayang. Jangan salah faham, post ini bukan untuk cerita aku dan bukan untuk aku minta simpati.

Sebagai contoh, Yat kehilangan kucing kesayangan dia. Pada mata orang lain, kehilangan tu mungkin biasa-biasa saja. Tak memberi sebarang kesan pun. Tapi pada Yat, kucing tu ibarat tempat dia meluahkan perasaan, berkongsi kegembiraaan dan kesedihan, makhluk peneman saat kebosanan. Jadi pemergian kucing tu ialah kehilangan yang cukup besar untuk Yat walaupun pada mata orang lain itu hanya seekor kucing.Takziah sahabat. Aku pun sedih sebenarnya, sebab tu aku tak nak tanya banyak-banyak. Nanti cari kucing ganti ye?

Itu kalau kucing, dan kalau ganti dapat yang baru InsyaAllah kesedihan akibat rasa kehilangan tu akan berkurang dan lama-lama akan hilang. Tapi bagaimana kalau kita kehilangan orang yang kita sayang? Orang yang selama ni menjadi pembakar semangat dan pendorong untuk kita teruskan kehidupan?

Aku ada seorang sahabat, yang kehilangan saudara kandung akibat nahas jalan raya. Saudara kandung yang rapat dengan dia. Setiap kali dia menyebut nama arwah saudaranya, aku tak tahu bagaimana untuk memberi reaksi. Sama ada aku sekadar diam dan mendengar, atau aku cuba mengubah topik perbualan. Bukan sebab aku tak cakna atau aku malas ambil kisah, jauh sekali untuk tak cuba memahami tetapi sebab aku sendiri gagal untuk mengawal perasaan. Bahkan setiap kali aku melihat nama dan gambar arwah (sebab boleh tengok dekat album-album di fb), emosi kesedihan terbawa-bawa hingga ke beberapa ketika. Aku hadkan diri untuk membaca blog tinggalan arwah, malah blog-blog saudara mara dan sahabat handainya juga.

Aku sendiri tidak pasti kenapa aku menjadi sensitif sebegitu. Mungkin kerana kehilangan itu membuatkan aku meletakkan diri sendiri, di tempat sahabat tersebut. Walau hakikatnya, ajal manusia itu pasti tapi aku masih belum kuat untuk membayangkan aku akan kehilangan. Tak mampu rasanya untuk aku bayangkan jika aku bakal menjadi anak yang kehilangan ibu, adik yang kehilangan kakak/abang, kakak yang kehilangan adik, atau mungkin suatu hari nanti isteri yang akan kehilangan suami?

Jujurnya, dalam banyak-banyak sahabat atau kenalan yang mengalami kehilangan, cerita kehilangan sahabat yang satu ini yang paling memberi kesan. Memang aku tak sempat mengenali arwah lebih dekat, tapi melalui penceritaan dan pembacaan aku tahu arwah menjadi sumber inspirasi kepada ramai orang. Kerana kebaikan yang tersebar dan akhlak mulia sewaktu hayatnya, kerana itu lah nama arwah dan pujian ke atasnya masih meniti di bibir-bibir orang yang mengenali. Semoga aku juga mampu menjadi seperti beliau. Sewaktu ada dicari, bila pergi ditangisi malah sentiasa diingati. Al-Fatihah untuk mu abang, semoga kamu tenang disana bersama iringan doa insan-insan menyayangi yang tak pernah melupakan mu walau sesaat. Buat mu sahabat, tabahlah. Selagi diizinkan tuhan, aku akan cuba untuk sentiasa berada disisimu walau sekadar mampu untuk mendengar. Maaf, kerana aku tak sekuat dan setabah kamu. 

Hakikat kehilangan itu pasti, sebagaimana hakikat ajal itu tak mampu kita lari. Tapi kuatkah aku? Aku akur, aku seorang manusia yang lemah jiwa. Al- Fatihah juga untuk arwah abah, dan untuk mereka insan-insan yang telah mendahului kita. Tenanglah kalian disana.

p/s: Mendapat khabar yang hasil penulisan arwah di blog telah dibukukan dan akan berada dipasaran tidak lama lagi. Semoga juga, penulisan itu akan menambahkan lagi saham arwah disana.

 I always been afraid of losing people I love. Sometimes I wonder is there anyone who is afraid to lose me?

                      
Jauh tanpa kita sedari, hidup ini adalah tentang kehilangan dan mendapatkan. Jika kita kehilangan sesuatu, maka fahamilah yang kita telah mendapat sesuatu yang baru.




Friday, November 16, 2012

Mencari hikmah

Masih mencari hikmah, untuk setiap yang berubah.
Kadang-kala terasa seperti masa berlalu begitu pantas, hingga rasa penat dan lelah untuk mengejar agar tak ketinggalan. Tapi kadang-kala juga terasa detik waktu berputar terlalu perlahan, macam dah tak punya daya untuk meneruskan perjalanan. Dan untuk setiap detik yang berlalu itu, sedar tak sedar membawa diri dan persekitaran kepada bentuk yang lain. 

Dulu aku tegas dengan prinsip yang pernah aku gariskan. Aku cuba rencanakan masa depan sebaiknya. Tapi sekarang aku terasa seperti hilang prinsip. Lemah mengawal emosi, hilang rasa tak kisah, seperti gagal untuk jadi rasional. Rupanya masa depan yang direncana, bukan mudah untuk dilaksana. Sekadar menulis dan mencatat di atas kertas kosong lalu simpan angan dalam fikiran, takkan sama dengan memindahkannya ke bentuk tindakan dan perbuatan. Merealitikan perancangan rupanya susah. Tapi sekurang-kurangnya, aku punya angan-angan kan?

Untuk perubahan yang sedang berlaku, aku terganggu. Untuk setiap perkara yang aku terganggu, aku tidak tahu bagaimana untuk diterjemahkan dalam patah-patah perkataan.

Tuhan, tunjukkan aku jalan.
Untuk setiap takdir yang telah Kau tulis untuk aku, kurniakanlah kekuatan agar aku terus redha dengan perancangan dan ketentuanMu. Untuk setiap jalan yang harus aku pilih, berikanlah aku keteguhan iman untuk aku terus lurus dijalan redhaMu. Untuk setiap celaru yang pernah singgah dan bersarang, usirkan rasa keliru itu agar menjauh. Tetapkan dan teguhkan pendirian yang pernah aku tanam andai pendirian itu memberi kebaikan kepada aku. Kurniakan aku fikiran yang lapang dan hati yang tenang.

p/s: Aku kuat, lebih daripada yang kau anggap. kan? Ini bukan mengeluh, ini sekadar meluahkan beban yang sedang bermain di fikiran. Aku masih normal.

Thursday, November 08, 2012

Tahniah Sahabat (3)

Tahniah!

Tahniah yang tak terhingga untuk sahabat aku yang sedang meniti tangga-tangga bahagia dalam kehidupannya. Selamat bergelar ibu. Selamat bergelar bapa. Selamat melengkapi fasa perjalanan kehidupan. Selamat melangkah ke dunia yang lebih matang.

Bila dikenang saat-saat dulu, aku tak sangka mereka akan berada di tahap sekarang. Bercinta, berkahwin dan sekarang sedang berbahagia menerima cahaya mata sulung. Disaat bibit cinta baru nak bermula, aku berada disitu. Mungkin aku tak tahu semua, tapi aku masih lagi orang terawal yang tahu.

Sebagai sahabat rapat dengan Saidatul, semestinya dia bercerita tentang hubungan mereka yang baru berputik. Di penghujung tahun tingkatan 5, tidak lama sebelum SPM bermula. Dulu aku mengenali Ijat sebagai seorang buaya darat paling berpengaruh, jadi aku cuba untuk menasihati Saidatul agar hentikan hubungan cinta itu. Sebagai sahabat, aku takut untuk melihat dia dikecewakan.

"Kalau betul kau sayangkan Saidatul, aku cabar kau. Satu hari nanti aku nak tengok kau kahwin dengan dia" Aku masih ingat ayat ni, sebab ni ayat berbisa yang aku pernah cakap dekat Ijat.

Tamat SPM, kami sama-sama ke matrikulasi. Bezanya Saidatul di Kulim dan aku di Gambang. Ijat? Aku tak ambil tahu, yang aku tahu hubungan cinta mereka masih berterusan. Melanjutkan pelajaran ke Ijazah, kami terputus hubungan sekejap. Jadi, aku tidak tahu perjalanan cinta mereka. Tapi diakhir-akhir waktu pengajian, tahun 3 (atau mungkin pertengahan tahun 2) kami kembali berhubung. Diberitahu bahawa mereka masih bercinta, aku terkejut. Terkejut kerana tidak sangka mereka menjadi insan setia.

Sehinggalah mereka akhirnya disatukan pada November tahun lalu, aku seperti masih tidak percaya. Mengenang kembali sikap kedua-duanya di zaman persekolahan, aku geleng kepala sambil senyum sendiri. Di zaman cinta monyet dulu, mereka bukan pencinta yang setia.

Dan baru beberapa minit yang lepas, aku terima panggilan daripa Ijat. Alhamdulillah, Saidatul sudah selamat melahirkan hero sulung mereka. Semoga mama Saidatul dan papa Ijat akan semakin matang untuk menjadi ibu bapa buat permata hati. Semoga kalian terus berbahagia hingga ke syurga. Semoga akan ada hero-heroin lagi lepas ni. Semoga Allah permudahkan kalian untuk mewujudkan keluarga yang sakinah, mawaddah, wa-rahmah. Sungguh, aku gembira melihat kalian bahagia. Semoga hero kalian juga tumbuh membesar dengan sempurna, menjadi kebanggaan keluarga.

"Aku dah sahut cabaran kau mie. Aku dah kahwin dengan Saidatul. Saidatul dah jadi Isteri aku" ...dan ni ayat Ijat kepada aku, sebaik sahaja mereka berkahwin (lebih kurang macam tu la bunyi ayatnya). Bermula saat tu juga, aku semakin rapat dengan Ijat dan dia bukan lagi buaya di mata aku. Dia, seorang suami kepada sahabat aku dan secara automatik dia juga sahabat aku.

Tahniat Saidatul dan Ijat. Tahniah Sahabat!



Wednesday, November 07, 2012

Selamat malam Rohingya

Selamat malam Rohingya
Meski lena mu di sisi mayat
Jangan menangis sahabat
Ini Tuhan mengujimu

Selamat malam Rohingya
Dunia sedang tidur Lena
Kami doakan untuk mu
Sejahteralah selalu

Selamat malam Rohingya
Esok kan ada matahari
Berbanyaklah berdoa
Jangan kau terlepas talinya

Lagu Syed Amran
Lirik Zainal Rashid Ahmad

*Semoga keperitan saudara kita di Rohingya yang semakin dilupakan, kembali mendapat perhatian. Semoga doa titipan, bantuan emosi dan sokongan kemanusian akan berterusan sehingga Rohingya kembali bernyawa tenang. Daripada bertelagah sesama kita menghina mencaci hanya keran berbeza fahaman politik, ayuh sekali sekala insafi diri. Betapa betuah kita saat ini. Selamat malam Rohingya!



p/s: Haziq accident! gelabah jugak la tadi, asyik pikir apa nak jawab dengan abang long ni. Alhamdulillah, dia ok.

Monday, November 05, 2012

Tahniah Sahabat (2)

"kenapa upload gambar kat fb, nak tayang muka cantik awak kat sape?"

"keluar pergi kelas, tak payah la nak make up sangat. Awak nak sape terpikat kat awak?"

"Kalau boleh, pakai baju kurung je selalu. Jangan pakai jeans"

"Jangan dok layan chatting dengan budak laki lain"

Annoying tak? Dulu-dulu, pesanan-pesanan tu sangat annoying pada aku. Walaupun pesanan tu bukan untuk aku, tapi perasaan annoying aku melebihi perasaan org yang menerima pesanan tu.

Pesanan-pesanan tu sebenarnya untuk sahabat aku, daripada teman lelaki dia. Mungkin dia dah lali dengan pesanan macam tu, sebab tu dia relaks je berbanding aku yang selalu je berapi setiap kali dia bercerita pasal pesanan yang berbunyi arahan tu.

Tapi, dia tetap dia. Masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Mana yang dia nak ikut, dia ikut. Mana yang dia rasa nak langgar, dia abaikan. Pada aku masa tu, pesanan demi pesanan tu memang betul. Sangat betul. Cuma yang tak betul ialah cara pesanan disampaikan. Hilang hemah seorang penyampai. Pesanan menjadi seolah-olah arahan, apatah lagi dia cuma seorang teman lelaki (yang mana jika mengikut Islam, dia langsung  tiada hak ke atas sahabat aku tadi). Pesanan disampaikan seolah-olah sekadar dia mahu tunjukkan bahawa dia mahu menguasai.

Pernah beberapa kali (selalu sebenarnya) aku nasihatkan dia untuk akhiri hubungan cinta yang tak tahu kemana hala tuju itu. Bukan kerana dengki atau iri hati, tapi kasihan melihat seorang sahabat rapat seperti dia, berduka dan berendam air mata hanya kerana lelaki yang tak pasti dimana bakal letak martabatnya suatu hari nanti. Seorang suami? atau sekadar orang yang pernah singgah dihati? Dan hubungan cinta mereka tetap berterusan.

Akhirnya, hubungan itu diikat dengan janji pertunangan pada hari raya korban kedua yang lalu. Akadnya mungkin menyusul di pertengahan tahun akan datang. Tahniah sahabat. Tahniah atas gembira yang kamu kecapi, setelah tumpahnya air mata beberapa ketika dulu. Aku gembira, melihat kamu bahagia. Semoga apa yang dirancang menjadi kenyataan, dan semoga segala urusan dipermudahkan. Tahniah Zurairah, tahniah Farvees.

Sampai sekarang aku terfikir, salah ke nasihat yang pernah aku beri pada sahabat aku dulu? Kalau Zura ikut nasihat aku -putuskan hubungan mereka, adakah dia akan berbahagia seperti sekarang? Mungkin aku sendiri terlalu ikutkan perasaan benci couple masa tu, sehingga lupa untuk menjadi seorang yang empati? Mungkin pendapat aku salah pada waktu tu, atau penyampaian aku sendiri tiada hemah? Walau apa pun, itu kisah lalu. Kisah hampir 5 tahun yang lalu. Sekali lagi, sekalung tahniah sahabat.




p/s: Kadang-kadang kita rasa betul. Kita fanatik dengan apa yang kita rasa dan suka atau kita terlalu obses dengan apa yang kita tak suka. Sehingga setiap tutur bicara dan pendapat yang terluah, kita lupa perasaan orang yang menerima. Tak salahkan, jika sesekali kita membuka ruang untuk mendengar pendapat orang dan berfikir sejauh mana kebenaran? dan tak salahkan jika sesekali kita tukar persepsi yang selama ni membelenggu diri? Tuhan, bantu aku agar orang sekeliling tidak jelek dengan aku.

Tuesday, October 30, 2012

Kosong



Positif. Rasional. Kuat.
itu yang kita selalu nak
bukan nak orang pandang kita hebat
tapi nak diri rasa selamat
selamat diri.selamat emosi.
walau apapun terjadi.

Sesekali mungkin hilang semangat.
Buntu. Keliru.
arah mana harus kita lalu
apa harus kita tuju
dan apa bakal berlaku.

Tapi hidup adalah hidup.
hadapilah.
seru semangat, kembalilah.

Walau apapun yang terjadi
berjalanlah tanpa henti..

Wednesday, October 10, 2012

Tahniah sahabat


2-3 malam yang lepas, aku bertanya khabar dan bertukar cerita dengan seorang sahabat. Sahabat yang aku kenali sepanjang pengajian satu ketika dulu. Sahabat yang baik, walau tidak setiap masa bersama dengan aku tapi masih punya waktu menghulurkan telinga untuk mendengar beban keluh kesah aku.

Sahabat aku itu, telah pun bertukar status beberapa bulan yang lepas. Daripada seorang gadis riang yang lincah tingkahnya, kini telah pun bergelar isteri orang. Melewati kisah cinta sahabat aku itu, jujur aku rasakan bahawa dia bertuah. Dia bertuah kerana jiwanya kental. Di bahu inilah pernah dia hamburkan tangis sewaktu air matanya sudah tak mampu bertahan, saat jiwanya sudah terlalu sakit, saat hatinya bagai dirobek oleh si lelaki yang juga sahabat aku. Saat dia merasakan bahawa kesetiaan dirinya tidak dihargai, saat cintanya bagaikan sudah tiada nilai, saat perasaannya jadi kosong-sekosong-kosongnya. Waktu itu, dia bagaikan tiada semangat apatah lagi melewati hari-hari dengan menatap wajah orang yang menghancurkan hati dia.

Sememangnya aku diantara yang benci pada couple. Tapi, aku juga tak sanggup melihat sahabat aku hilang arah hanya kerana cinta. Sebagai sahabat yang dia pernah percaya, aku sekadar mampu untuk tiupkan kembali kata-kata semangat dan harapan. Entah bagaimana terjadi selepas beberapa ketika jiwanya pulih,  hubungan mereka kembali bertaut. Awalnya aku marah, kerana pada aku dia terlalu mudah menyerah. Apabila melihat dia semakin gembira dengan jalan yang diambil, marah aku hilang. Terserahlah, itu perjalanan hidup dia dan dia berjanji yang dia tak akan jadi selemah dulu lagi.

Setelah lebih kurang beberapa tahun berkawan, mereka akhiri hubungan itu dengan akad yang menghalalkan ikatan. Alhamdulillah buat kalian. Aku gembira, kerana sebagai sahabat yang melihat mereka (kedua-duanya) jatuh, bangun dan cuba bertahan dengan cinta yang mereka semai, akhirnya kini mereka bersatu. 

Berbalik kepada cerita beberapa malam yang lepas, dia khabarkan berita yang mengejutkan untuk aku. Tunas cinta mereka sudah tersemai subur dalam kandungan. Alhamdulillah sekali lagi. Aku katakan pada sahabat itu, telah lengkaplah perjalanan seorang wanita dalam dirinya. Daripada seorang anak kecil yang tumbuh membesar menjadi gadis cantik, kemudian bertukar status kepada isteri orang dan kini sedang membawa satu nyawa didalam rahimnya. Sekali lagi aku gembira. Bukan sahaja kerana menjadi antara orang terawal yang dikhabarkan berita itu, tetapi aku juga gembira melihat dia meniti hari-hari bahagia dengan kematangan. Aku gembira, melihat dia gembira.

Nah! apalagi yang diingini oleh setiap jiwa perempuan? Pada aku, bukanlah karier yang tinggi melangit ataupun harta yang terlalu bertimbun. Cukuplah sebuah keluarga bahagia yang lengkap, punya suami dan anak-anak. Kerana sehebat mana pun wanita mengejar kehendak material itu, jauh di sudut hatinya dia tetap mahu bina syurganya sendiri. Buatmu sahabat, tahniah!

Akhir kata, rezeki itu bukan hanya pada harta dan kerjaya, tapi juga pada jodoh dan anugerah keturunan. Antara kita, rezeki kurniaan tak sama. Hebat dalam kerjaya, tapi jodoh belum menjelma. Kurang dalam berharta, tapi awal jodohnya. Kaya dan mampu memilik semua, tapi lewat atau tiada cahaya mata. Berbahagia dan bersyukurlah kita, walau punya satu daripadanya. Usah berkeluh kesah kerana tanpa sedar kita mungkin miliki apa yang insan lain masih tercari-cari.

Selamat malam manusia, semoga kita redha dengan rezeki yang kita perolehi.

Friday, October 05, 2012

Maaf


Kalau kita sedang marah, maknanya syaitan sedang mendampingi kita. Kalau kita tak mampu nak kawal kemarahan tu, maknanya syaitan dah berjaya menguasai kecetekan nafsu dan lemahnya akal fikiran kita. Apatah lagi, jika kerana perasaan marah tu kita mengeluarkan perkataan-perkataan yang boleh menyinggung perasaan orang lain sama ada kita sedar ataupun tak.

Ya, semalam aku agak marah. Atau lebih tepat lagi mungkin kecil hati? Entah, aku tak tahu. Yang penting, apa yang aku rasa semalam ialah perasaan yang tidak sihat. Rasa panas dan terbakar yang aku cuba kawal, tapi aku tak berjaya padamkan sepenuhnya. Aku mahu untuk tidak marah, menjadi tak kisah dan tidak terkesan walau sedikit pun dengan apa yang sudah dan akan berlaku. Aku mahu jadi seorang sahabat yang sentiasa mahu menyokong tanpa sebarang rasa prejudis. Aku mahu jadi ikhlas dalam memberi tanpa mengharapkan apa-apa penghargaan. Aku mahu jadi seorang teman yang kamu akan selesa bila berdampingan. Aku mahu jadi manusia yang punya perasaan baik-baik saja. Tapi sayang, apa yang aku mahu tak semestinya itu yang terjadi kan?

Aku kecil hati, merasakan diri kurang dihargai. Itu tak ikhlas namanya kan? Aku cuba buang, tapi setakat ini aku belum mampu campakkan jauh-jauh. Syaitan masih cuba menghasut untuk aku tinggalkan rasa itu walau sedikit. Ikhlaslah wahai hati. Bila ini terjadi, aku cuba jarakkan diri seketika. Untuk aku berfikir sejenak, mencari dimana silap dan untuk elakkan diri daripada terus disimbah amarah yang memburukkan lagi keadaan. Walau cuba menjauh, tapi aku tetap mahu kamu dekat. Pelikkan manusia?

Aku termalu sendiri. Aku cuba untuk menjadi sebaik mungkin yang aku mampu, walau jauh untuk mencapai tahap kesempurnaan. Aku berusaha, tapi aku tetap melakukan silap yang sama. Aku masih seorang aku yang pentingkan keinginan diri. Aku rupanya bukan penyokong yang hebat, kadang-kadang aku sekadar melemahkan semangat. Aku tidak sematang dan setenang, seperti yang selalu aku inginkan. Aku buntu bagaimana seharusnya aku memberi reaksi terbaik dalam setiap perkara.

Buat sesiapa sahaja yang diluar sana, maaf atas karenah ini. Terima kasih jika kamu masih sudi bertahan, maaf jika kamu rasa ini membebankan. Maaf atas reaksi keanak-anakan. Maaf..

p/s: oh ya, saya tak nak jadi Gayah yang kehilangan Zali nya. Alfatihah untuk Amirul Mazlan a.k.a zali, pelakon drama masihkah ada ramadhan yang telah kembali ke rahmatullah. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.


Wednesday, October 03, 2012

Mencari Bahagia

Untuk setiap apa yang sedang bermain dijiwa
diwaktu saat dan ketika ini
sama ada bahagia dan gembira
berharap pada bunga-bunga
yang sedang tumbuh mekar dikamar hati
terus berseri indah kembang mewangi
bersama kelopak warna-warni
rama-rama yang menari
dengan riang menebarkan sebuah rasa
yang tak terluah dengan bicara kata-kata

Ini cerita perjalanan mencari bahagia
seorang aku yang tak punya apa-apa
sekadar manusia kecil yang sentiasa percaya
takdir tuhan itu pasti menyapa
walau selewat atau seperit mana yang dilalui
pasti ada
adil untuk mereka yang yakin pada realiti
walau sesekali keliru menyapa di penghujung hari

Tetapkan hati aku
demi bahagia yang aku cari
di jalan redha-Mu
demi bahagia yang Kau kurnia
di jalan benar-Mu
demi bahagia yang Kau janji
selagi mana aku mencari bahagia dijalan-Mu

Jika seorang dia, jawapan yang Kau utuskan
untuk setiap doa bahagia yang aku pinta
saban waktu meniti hari sejak dulu hingga kini
perkenankanlah. permudahkanlah.

Ikhlaskan aku
dalam mencari bahagia itu.
redhakanlah perjalanan ini.

Saturday, September 08, 2012

Warkah untuk Abah


Kehadapan ayahanda tercinta,

Apa khabar abah disana? Harapan orang, semoga abah tenang dan baik-baik saja. InsyaAllah abah, doa anakmu ini akan sentiasa menyusul saban hari demi kesejahteraan abah. Sesaat pun, orang tak akan pernah lupa abah.

Abah,
Esok 9 September 2012. Esok juga sudah 12 tahun rupanya abah pergi tinggalkan kami. Cepatnya masa berlalu kan abah? Sedar tak sedar, orang dah pun 24 tahun. Abah tinggalkan orang masa umur 12 tahun, masa tengah main-main walaupun 2 3 hari lagi nak menduduki UPSR. Abah tinggalkan orang, masa saat-saat genting nak menduduki peperiksaan besar bagi budak 12 tahun. Tapi sekarang, orang dah besar abah. Orang dah kerja, dah mampu berbakti pada mak dan adik-adik, dah ada kehidupan dan bakal membina kehidupan baru. InsyaAllah dengan restu daripada mak dan insan-insan disekeliling, orang akan cuba yang terbaik untuk bina kehidupan yang lebih sempurna.

Lebih kurang 3 minggu lepas, abah terima seorang lagi menantu lelaki. Kak Echah dah selamat disatukan dengan Irfan. Abah dah ada 6 orang menantu sekarang. 3 orang abah tak sempat nak kenal kan? Setakat ni, menantu-menantu abah semuanya baik-baik, ringan tulang dan tak berkira. Alhamdulillah. Semoga kesejahteraan rumah tangga mereka berkekalan sampai ke akhir hayat. Lepas ni, giliran orang. InsyaAllah, kalau tersurat dalam takdir dan ada jodoh orang, orang pun akan menyusul. Abah jangan risau, orang juga akan pilih menantu yang baik untuk mak dan abah, untuk keluarga kita.

Abang Edi yang dulunya buat perangai masa abah tengah sakit, sekarang pun dah jadi ayah. Dah ada 2 orang anak pun. Imani dengan Yaya sangat comel abah. Keletah si kecil berdua ni memang menghiburkan, maklumlah yang paling kecil. Zaman manja Nabila dengan Zikir pulak dah berlalu, masing-masing dah besar. Nabila pon dah boleh diharap untuk tolong kerja-kerja kat dapur walaupun selalu kena bebel dengan Kak Liza. Abah tak sempat kenal Zikir kan? Zikir baru 7 bulan dalam kandungan masa abah pergi. InsyaAllah abah, lepas ni mungkin ramai lagi cucu-cucu abah akan menyusul.

Adik pun dah besar abah. Dah 19 tahun rupanya dia. Dah pandai masak mengalahkan kakak-kakak dia yang lain. Berguru dengan Kak Liza katanya, nak masak apa-apa, telefon je tanya. Idah? masih dengan perangai slow dia, kadang-kadang macam blur pon ada. Amir pula, dah 22 tahun. Amir dah jadi saksi perkahwinan untuk Kak Tijah dan Kak Echah. Amir lah yang mengetuai bacaan doa selamat masa majlis kahwin mereka berdua, dan Amir juga lah yang mengetuai bacaan yasin dan doa setiap kali kami melawat kubur abah. Amir memang boleh diharap bah. Walau ilmu agamanya memang tak setinggi mana lagi, tapi kalau abah ada, abah pasti berbangga denga dia.

Mak pula, masih macam dulu. Masih seorang wanita tabah sebagaimana sewaktu melewati hidup semasa abah ada. 12 tahun mak besarkan kami tanpa abah disisi, dan sekarang mungkin mak dah boleh bernafas lega. Apabila melihat anak-anak yang semakin meningkat dewasa, mungkin kesusahan dan kepayahan mak yang dulu berbaloi. Mak sekarang seorang diri di rumah yang abah tinggalkan dulu. Bukan kerana kami tak sayangkan mak, tapi tuntutan kerja dan pelajaran menyebabkan kami terpaksa berjauhan dengan mak. Tambahan, mak juga tak nak tinggalkan rumah tu. Kenangan katanya. Abah jangan risau, selagi nyawa mak dikandung badan, selagi itu lah kami akan jaga mak sepenuh hati kami. Kak Liza pun ada cakap, dia akan kembali balik menetap di rumah tu untuk jaga mak nanti. InsyaAllah..

Jujurnya, rumah tu memang banyak kenangan kan abah? Rumah tu lah yang menjadi saksi leteran dan hukuman abah pada kami. Kerana rotan dan piatan abah, Alhamdulillah kami menjadi orang hari ini. Mungkin kami tidaklah terlalu berjaya dari segi material, tapi anak-anak abah tetap berbangga sebab mampu menggembirakan mak selagi Allah S.w.t memberi peluang. Terima kasih abah, terima kasih yang tak terhingga sebab abah didik kami dengan ketegasan dulu. Kalau abah manjakan kami dengan kelembutan, mesti kami tak mampu nak hadapi kehidupan selepas abah pergi. Terima kasih abah, sebab ajar kami jadi  anak tabah dan tak mudah rebah. Semoga untuk hari-hari yang mendatang juga, kami akan terus kuat.

Walau sedih dan sayu mengenangkan orang tiada abah yang menghantar dan mengambil di asrama suatu ketika di awal remaja dulu, orang tak terkilan. Manusia baik, Allah sayang. Bila Allah sayang, Allah jemput menghadapNya lebih awal. Sekurang-kurangnya kami kenal dan sempat merasa kasih sayang dan didikan abah.  Walau dah 12 tahun berlalu, kasih sayang abah pada kami masih tetap terasa sehingga ke hari ini.

Kalau abah ada sekarang, mesti abah akan berbangga melihat anak-anak abah. Abang long pernah janji bah, dia tak kan biarkan ikatan adik-beradik ni putus walaupun nanti semua adik-adiknya dah bekerluarga dan bina kehidupan sendiri masing-masing. Abang long kata, apa lagi yang tinggal untuk kita bila mak pun tinggalkan kita nanti, melainkan ikatan adik-beradik. Abang long tu, kadang-kadang dia macam tak kisah tapi kami semua tahu dia sebenarnya sangat ambil peduli terutamanya adik-adik perempuan.

Abah,
Cukuplah sampai disini dulu warkah untuk abah. Walaupun orang tahu, abah memang tak baca apa yang orang tulis ni, tapi abah tahu kan yang doa-doa kami sentiasa mengiringi kehidupan abah disana? Tenang dan berbahagialah abah disana. Abah ialah satu-satunya abah kami, dan abahlah ayah terbaik yang pernah kami ada. Orang memang bukan anak yang terbaik, tapi InsyaAllah orang akan sentiasa mencuba untuk memberi yang terbaik dalam hidup ni. Orang mohon restu abah juga untuk teruskan kehidupan ini, walau seperit manapun dugaan yang mendatang, walau kadang-kadang orang terkeliru dalam membuat keputusan, walau kadang-kadang orang terganggu dek emosi berlebihan. Orang mohon restu abah..

Tenanglah abah disana, diiringi doa dan kasih sayang kami.

Alfatihah untuk arwah abah, Mokhtar bin Salleh (29/03/47- 09/09/12).

Puisi Untuk Abah
Surat Untuk Ibu

Saturday, September 01, 2012

55tahun Yang Dilepasi

Hari ini 31 Ogos 2012. Hari ini, 55 tahun genap bumi Malaysia bebas dari belenggu penjajahan. Hari ini, pengorbanan wira-wira negara kembali didendang. Hari ini, ucapan dan harapan patriotisma bergema di segenap penjuru ruang bumi Malaysia. Hari ini, dengan penuh bangga kita laungkan kalimat merdeka.

Dalam kebanggaan bersarang, ayuh kita renung kembali. Sejauh mana sebenarnya merdeka ini membawa kita? Adakah sekadar bangga menjadi negara berbilang bangsa bervariasi adat resam kononnya, padahal kita masih lagi bersifat perkauman, aku melayu, engkau cina dan dia india- sekadar berkongsi tanah yg dipijak, tapi bukan hati yang diikat? Kononnya kita bersatu, tapi isu perkauman tetap dijadikan isu? Kita mengaku pemilikan bangsa timur yang penuh adat kesopanan, tapi hakikatnya berapa ramai yang sedar kita semakin hilang sifat malu dan rasa menjaga antara satu sama lain? Oh, mungkin ramai yang sedar sebenarnya, tapi tak mampu berbuat apa-apa. Termasuk aku. Sekadar mampu melihat, menggeleng, dan menginsafi. Sekali sekala cuba membantu, tapi diri sendiri tak mampu kerana belum cukup sempurna peribadi seorang aku.

Walau seburuk dan seteruk apa pun, Malaysia ialah tanah yang aku pijak, langit yang aku junjung, udara yang aku hirup dan mentari yang menyinari sepanjang kehidupan aku sehingga hari ini. Walau nanti sehitam mana pun tanah berubah warna, langit biru bertukar kelabu, udara kian lupa erti segar dan mentari semakin hangat sehingga membakar nilai kemanusiaan, ini tetap bumi yang membesarkan aku. Terima kasih Malaysia. Terima kasih kerana menjadikan aku, seorang aku hari ini. Dan semoga kamu akan menjadikan aku lebih baik untuk setiap detik yang mendatang.

Doa buat kamu Malaysia, semoga keamanan yang memayungi sekarang tidak terus dicemari dengan hati-hati hitam yang pentingkan diri serta tangan-tangan kotor yang sekadar tahu untuk kenyangkan nafsu tanpa memikirkan tanggungjawab yang digalas. Semoga semua golongan -daripada yang miskin kepada marhaen sehinggalah golongan yang kononnya kaya, sedar akan hakikat bagaimana mudahnya bumi Melaka hancur selepas sekian lama menjadi kebanggaan tanah melayu. 

Kita selalu sibuk untuk memikirkan segala cara dan daya yang bagaimana untuk meninggalkan bumi yang baik kepada generasi akan datang. Sehingga akhirnya kita terlupa, apa pula usaha kita untuk meninggalkan generasi bermoral kepada bumi di masa depan? Kerana walau sebaik manapun bumi ini kita warisi, jika generasi masa depan tak mampu menghargai, segalanya tetap sama. Pengakhirannya tetap kehancuran.

Ayuh kita bebaskan hati, diri, minda dan segalanya milik kita. Bebaskan segalanya kepada kesederhanaan, sesuatu yang dianjurkan oleh agama yang kita cintai dengan sepenuh hati. Salam merdeka Malaysia! Tuhan, rahmatilah bumi bertuah ini.


p/s: sedang cuba merdekakan hati daripada perkara melalaikan =p

Saturday, August 25, 2012

Lebaran: Pesanan Buat Mereka

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya aku masih mampu untuk menghirup udara syawal 2012. Hari ini 7 Syawal telah berlalu, menyaksikan banyak perkara telah berlaku. 7 Syawal yang berbeza daripada syawal terdahulu. Untuk 7 Syawal yang telah menyapa, ingin aku kirimkan pesanan buat insan-insan hebat disekeliling, khas buat kalian yang bakal memulakan fasa kehidupan baru.

Pertamanya, khas buat kekanda ku Aisyah yang telah diijabkabulkan dengan pasangannya pada 2 Syawal, aku titipkan setulus doa untuk kalian. Sebagai adik, tinggi harapanku untuk melihat mahligai yang kalian bina berkekalan hingga ke syurga. Telah dewasa rupanya kamu. Terasa seperti baru semalam kita meniti hari-hari membesar bersama. Bergaduh, berebut dan kembali berdamai. Jujur, aku akan rindu saat itu. Dalam gembira melihat kalian bahagia, sedikit sayu terselit. Sayu mengenangkan keutamaan mu selepas ini teralih pada suami, bukan lagi kami. Buat Irfan, besar harapanku untuk melihat kamu menjadi pemimpin terbaik untuk kekanda ku. Pimpinlah dia ke syurga, bentuklah dia sebaiknya.

Seterusnya, buat sahabat-sahabatku, Raziana & Fahmi (a.k.a Moky), Apis & pasangan, serta Zeqt & Liey. Setinggi tahniah untuk kalian. Tahniah kerana telah berani menyahut cabaran kehidupan matang.  Doaku, semoga bahtera yang kalian layari akan tetap terus teguh berlayar walau sekuat mana badai dan ribut melanda. Tetapkanlah hati kalian untuk terus menjadi pencinta halal yang setia. Semoga dengan iman kalian, akan lahirlah putera puteri cahaya mata generasi terdidik suatu masa nanti. Sungguh, aku kagum dengan kalian.

Buat Ainun, selamat belajar menjadi dewasa sahabat! Selamat melangkah untuk melihat dunia luar yang lebih luas dari bumi Pahang ini. Selamat berdikari dan belajar untuk hidup sendiri, jauh dari pandangan dan jagaan keluarga. Percayalah, sudah tiba masanya untuk kamu belajar dan memerhati, lebih daripada apa yang kamu lihat sebelum ini. Semoga perjalanan kehidupanmu nanti akan mematangkan lagi seorang Sharifah Ainun Nor yang aku kenal. Jaga diri, jaga hati.

Juga pesanan buat kamu, terima kasih. Sungguh saya kagum dengan keberanian yang ditunjukkan, hingga saya rasakan bahawa tak layak sebenarnya untuk kita beriringan. Saya tak punya apa-apa, tiada harta mahupun rupa. Yang saya ada hanyalah harga diri yang selama ini saya junjung (seorang sahabat kata, saya ego). Saya tidak sempurna dan tidak mencari sempurna. Saya tidak berani menjanjikan apa-apa, cukuplah kalau saya katakan saya akan sentiasa belajar. Doa saya, walau apa jua takdir yang tertulis, semoga segalanya dipermudahkan.

Akhir sekali, pesanan untuk diri sendiri. Yakinlah wahai hati dengan keputusan yang diambil. Untuk segala rasa ragu yang bertandang, ingin aku campakkan sejauh yang boleh. Tuhan, bantulah aku perbaiki iman yang masih rapuh. Permudahkanlah langkahku, tetapkanlah hati dengan pilihanku.

Aku doakan semuanya yang baik-baik, untuk kalian dan juga untuk aku. Kerana sesungguhnya, kita layak untuk hidup bahagia jika kita pilih jalan bahagia yang betul.

Sebelum terlupa, Salam lebaran 2012. Maaf jika ada salah dan khilaf, dalam sengaja atau diluar kewarasan akal. Selamat Hari Raya Aidilfitri.



Owh ya, untuk maryani dan yat juga. Tolong, jangan komen pada post ini. haha

Wednesday, August 15, 2012

Merapu

I'm getting nervous! Berdebar, terkaku, hilang kata-kata sekejap. Dulu boleh la jugak merapu kt tweeter tapi sejak follower dh bertambah ni, segan la pulak. Hidup memang tak terjangka, orang datang dan pergi, dan dalam pada itu ada sesuatu yang berlaku. Saat terasa perancangan dulu macam dah tak ada harapan, tiba-tiba api yang dah nak mati kembali menyala.

Ramadhan tahun lepas aku buat keputusan yang besar untuk melepaskan seseorang, walau bukan sepenuhnya. Sekarang aku tahu, keputusan aku dulu tepat. Bulan penyucian yang lepas, aku mulakan seorang aku yang baru, yang ingin jauh dari lalai perasaan sesama manusia. Ramadhan tahun ni, menghadirkan satu lagi kejutan. Ada sedikit keliru, tapi InsyaAllah aku pasti.

Sesungguhnya, aku mengharapkan Ramadhan tahun ini tidak meninggalkan aku dalam keadaan tidak tahu. Semoga Ramadhan yang semakin menghampiri penghujung ini memberikan aku petunjuk dan jalan yang sebenar-benarnya. Jika telah sampai seorang dia dan jika ini waktu yang telah tertulis, aku benar-benar bermohon. Permudahkanlah segala urusan bermula dari terbit fajar hingga bulan menghilangkan diri, dari atas langit ke tujuh sehingga ke pasak bumi. Permudahkanlah hati aku dan hati insan-insan disekeliling. Jauhkanlah kami dari godaan nafsu dan fitnah iblis laknatullah..

p/s: baru baca fakta, anemia boleh menyebabkan rasa berdebar sebab sel darah merah tak cukup dan jantung kena bekerja keras. Aku memang ada masalah kurang darahkan? tapi tak pasti lah anemia ke tak. Jadi aku buat kesimpulan, aku berdebar sebab kekurangan darah. =p

Tuesday, August 14, 2012

Dua golongan pencinta

Orang kata, cinta itu buta. Kerana cinta, sifat manusia jadi terbahagi kepada sepuluh ribu macam ragam. Semua orang berdoa, moga-moga kita menjadi insan bertuah yang hanya perlu dan akan ada satu cinta sahaja. Biarlah cinta itu, jadi cinta teragung untuk dikenang sepanjang perjalanan hayat ini.

Aku suka untuk mengklasifikasikan golongan manusia yang berharap kepada cinta menjadi dua bahagian. Pertama golongan yang taksub pada cinta ,lantas menjadikan cinta adalah takdir hidup dia. Kedua, golongan yang menerima cinta sebagai sebagai salah satu takdir dan sedar banyak lagi takdir-takdir lain yang harus dihadapi.

Ayuh kita mulakan dengan golongan pertama. Golongan yang meletakkan cinta mengatasi segala-galanya, sehingga membiarkan cinta memandu takdir hidup mereka. Contoh paling dekat, drama Dejavu di Kinabalu. Itulah contoh, bagaimana manusia hidup seolah-olah bertuhankan cinta sampaikan sanggup mengabaikan hak kepada diri sendiri. Hak untuk makan, minum, rehat yang cukup dan yang paling penting, hak diri untuk mendapat kesihatan yang baik. Bagi individu yang agak ekstrem pada cinta, mereka percaya bahawa orang yang dicintai itulah jodohnya walau apa juga berlaku. Mereka mungkin golongan yang setia. Tapi, setia mereka itu mungkin juga mengatasi kehambaannya kepada pencipta.

Selain itu, bagi golongan ini biasanya perasaan cinta akan hadir terlebih dahulu sebelum wujudnya rasa tanggungjawab. Bukan tanggungjawab untuk menjadi kekasih tapi tanggungjawab untuk menjadi suami atau isteri sekaligus berani menjadi pencinta yang halal ke atas haknya. Pendek kata, wujudnya nafsu dahulu sebelum kesedaran memegang tanggungjawab itu muncul.

Golongan kedua, suka untuk aku katakan bahawa mereka-mereka ini lebih bersederhana dalam cinta. Mereka tidak keterlaluan mengharapkan cinta. Harapan itu ada sebab mereka tetap manusia biasa yang punya nafsu tapi nafsu itu berjaya dikawal dengan kesederhanaan yang dimiliki. Golongan ini juga tidak menjadikan cinta sebagai pemandu takdir hidup, sebaliknya berserah kepada takdir.

Rasa tanggungjawab juga mungkin akan hadir terlebih dahulu dalam diri golongan ini. Yakni, apabila mereka telah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai khalifah atau bidadari keluarga, apabila telah yakin mereka mampu menjadi pendidik generasi untuk membentuk ummah akan datang. Bersedia bukannya dari segi kemampuan material yang melampau, bukan terletak pada boleh atau tidak menyediakan sebuah banglo besar atau kereta mewah. Apabila sedar bahawa sudah sampai seru jodoh ke atasnya, dan bersedia untuk menerima tugas yang bakal dipertanggungjawabkan, maka barulah bermula perjalanan sebenar mereka untuk mencari calon cinta yang halal.

Jadi, dimana kita tergolong? Jika kita dalam golongan yang pertama, kita masih mampu mengubah diri dan berada pada golongan kedua. Dulu kita mungkin tidak matang, mencari keseronokan perasaan sehingga hidup bertuankan cinta. Meniti hari-hari kedewasaan, insyaAllah..kita akan temui apa yang sebenarnya kita cari. 

Akhir sekali, pilihlah golongan mana yang kita kehendaki tapi penghujungnya kita tetap hamba Dia Yang Esa yang tidak mampu menolak takdir bila Allah S.W.T mahukan ia terjadi. Kun fayakun..

p/s: Orang lain mood raya, tiba-tiba aku post pasal cinta? Jangan terkejut sebab aku dah jatuh cinta. Jatuh cinta pada Zali. Ya, Zali dalam drama Masihkah ada ramadhan?

Sunday, August 05, 2012

Kain Batik

Selepas membaca, melihat dan meneliti laporan-laporan kemalangan nyawa di jalan raya, akhirnya aku memikirkan satu benda yang juga patut ada dalam kereta. Selain daripada surah yasin dan jugak telekung sembahyang, bermula hari ini aku akan pastikan kain batik atau apa-apa kain dalam bentuk yang panjang perlu aku sediakan dalam kereta. Kenapa? Kerana artikel yang aku baca di facebook ini.



Abdin Xin Qin

semalam aku berbuka dalam keta d highway gurun.lepas berbuka aku drive dlm 100meter aku nampak seseorang dh terbaring atas jalan..aku berenti tolong tapi ada aku ngn sorang lagi yg terlebih dahulu brenti dari aku..aku tanya abg t0o sepa dia kta dia nmpak berasap pas2 dia tgok2 ada org terbaring atas jalan..aku p tengok dia dh meninggal..xda spa pun peduli..aku ngn bader t0o dduk kt dia hampir 15 minit bru org mai..tepon 999 xdapat..pas2 aku tepon abg aku swuh call kwan dia yg keja polis bantuan..setengah jam ambulan mai..tapi depa xleh amik sebab dh mati..pas2 aku amik tepon dia call mak dia..dia org alor staq..org mergong..sejam lebih dia kt citu bru polis mai..awt hampa lmbat sgt..aku sedih sebab dekat motor dia ada baju raya baru beli..aku guna baju t0o untuk ttup dia..apa2 pun Al Fatihah pada arwah.


MARI KITA RAMAI3 SEDEKAHKAN AL-FATEHAH UNTUK ARWAH..MARI KITA SHARE

Juga berita,

REMUK... Anggota bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan pemandu kereta Proton Waja yang terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga buah kereta di kilometer 14.3 Jalan Seremban-Kuala Pilah di Bukit Putus, Negeri Sembilan pada Ahad. Dalam kejadian itu seorang wanita warga emas maut manakala lapan lagi cedera. foto: BERNAMA


Sesungguhnya, hidup dan mati itu kita tak mampu nak jangka. Jadi tak salah untuk kita bersediakan? Andai ditakdirkan nyawa ditarik dalam kejadian seperti itu (mintak dijauhkan sangat-sangat), sekurang-kurangnya bukan surat khabar yang akan menutupi jenazah aku, dan sekurang-kurangnya orang yang membantu tak akan kelam kabut mencari sesuatu yang sesuai.

Tapi, aku tetap berdoa andai satu masa nanti nyawa aku dijemput, aku berharap agar pemergian aku tidak akan menyusahkan orang sekeliling.

Ya Allah, berkatilah mereka-mereka yang telah mendahului kami. Al-Fatihah..

Tuesday, July 31, 2012

Antara dua pilihan

Antara dua pilihan- Julie Remie

Sila tuan tuan dengar derita
Antara dua pilihan
Satu tinggi lampai
Satu gemuk pendek
Riang sungguh hatiku

Gemuk namanya Luncai
Tinggi namanya Papai
Dua dua ku sayang
Inilah cerita inginku paparkan
Untuk hiburan kalian

Luncai Papai pemuda yang riang
Bila berhadapan diriku tak pernah bosan
Tapi bila mereka berduaan
Dunia pun bergoncang
Oh kasihan

Mama sayang kan Luncai
Papa sayangkan Papai
Mereka tak boleh berenggang
Pada mama pun girang
Melihat ku riang
Ku anak kesayangan

Saban hari kita hanya bergurauan
Memecah kesunyian
Kerna hidup itu tak berlanjutan
Lantas senyumlah kawan


[video]

Seminggu dua ni, lagu ni macam terngiang-ngiang je kat telinga. Part yang paling best bila sampai kat 'luncai papai pemuda yang riang, bila berhadapan diriku tak pernah bosan..lalalala..'. Maksud lagu ni? tak faham..
sangat old schooolll..

Friday, July 27, 2012

Selamat pagi cinta

Ke kiri ku buntu
Ke hutan ku hilang
Ke timur ku kosong

Aku terus bosan dan tertekan
Seperti waktu yang terus saja meninggalkan aku
Dalam ke dasar kerak bumi yang belum diterokai

Warnaku rindu
Jiwaku biru
Menunggu cintaku umpama sibuta
Yang melihat syurga

Umpama lampu yang berbunyi hitam
Lalu menunggu aku terus
Kini malam tiba lagi
kerana tinggalkan cahaya matahari
dibebankan dengan bunyi rintisan hujan
seperti mahu sahaja aku mengejar
gunung yang besarnya tidak terdakap
seperti itu jugalah,
rindu aku pada..

kini harus aku terus menunggu
atau hilang saja dilautan luas

*puisi filem selamat pagi cinta

Friday, July 20, 2012

selamat datang

Selamat datang ramadhan. Semoga ramadhan kali ini, lebih bermakna. Semoga Allah izinkan aku untuk bersama kamu, hingga ke penghujungnya. InsyaAllah..

HARAPAN RAMADHAN (RAIHAN FEAT MANBAI)

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Ku memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah…
Dengan rahmatMu oh Tuhanku…
Ku tempuh jua

tiada jawapan

Dia dalam dilema, dengan pilihan yang dibuat sebelum ini. Dan bukan aku, untuk bertepuk tangan atas apa yang terjadi. Sebaliknya, aku kasihan. Kerana sebagai insan yang pernah mengenali dia, aku sentiasa doakan yang terbaik untuk setiap langkah dan pilihan yang dia ambil.

Seorang adik bertanya. Jika dia ingin kembali, apa jawapan aku?

Jujur, aku tiada jawapan untuk itu. Kerana aku tidak pernah dan tidak mahu memikirkan kemungkinan berlaku. The answer is not no and now.

Friday, July 13, 2012

...dan Julai.

Selamat datang Julai. Semoga 6 bulan yang berbaki ini lebih baik daripada 6 bulan yang dah ditinggalkan. Julai dan seterusnya , aku gantungkan banyak harapan pada kalian. Aku gariskan banyak impian, bunga cita juga puing kebahagiaan. Harap aku, salurkanlah semangat dan keyakinan agar dapat aku capai segala mimpi-mimpi indah itu. Izinkan aku untuk terus tersenyum..Benarkan aku untuk terus berpijak di bumi penuh duri ini, menggantang harapan dan impian sama seperti mereka-mereka yang lain.

Selamat tinggal Jun. Andai pernah ada duka, kecewa, air mata atau putus asa sepanjang melewati kamu, maka aku cuba campakkan segalanya itu ke dalam kenangan. Menjauhlah.. izinkan aku untuk menjadi insan tabah. Biarlah segala cerita itu sekadar menjadi tapak untuk aku terus teguh berdiri , tunjang untuk aku yakin mendongak ke langit tinggi.

Angin, tidak perlu kamu menyapu kenangan-kenangan itu. Cukuplah kamu sapu rasa-rasa duka yang pernah singgah dan bersisa. Aku perlukan kenangan itu, kerana kenangan itu peringatan. Agar khilaf yang sama takkan aku ulang untuk kali yang ke seterusnya. Cukuplah kamu nyahkan rasa dendam, atau marah yang pernah tersimpan dan terakam. Sungguh, aku tidak mahu jadi insan yg menyimpan api amarah keseorangan dalam diam.

Apa jua yang berlaku, bermula Januari sehingga kamu Jun, aku yakin dan harus percaya bahawa itu adalah tulisan takdir. Sebagaimana telah tetapnya putaran masa giliran kalian, sebegitulah telah ditetapkannya perjalanan kehidupan seorang aku.

Untuk perjalanan yang akan datang,
semoga semuanya akan baik-baik saja.
InsyaAllah.

Wednesday, June 13, 2012

Tenang, aku tunggu kamu

Pusing. Pening.  
Berdebar.  Sungguh terkeliru.
Sebu. Kaku.
Pahit. Kelat. Sungguh hilang rasa.
Galau. Perit.
Pedih. Seperti tiada deria.
Satu demi satu
Menyesak dada menghimpit jiwa
Berkali lempar rasa kecewa
hampir berjaya

Saat berkata pada diri, 
bebas sudah jiwa
dari kecewa itu.
Saat itu juga
rupanya luka masih bersisa
yang tersiat kian tersayat.

Kebenaran memang pedih.
Tapi takdir tetap takdir
Dan manusia,
tidak aku menyerah pada kecewa ini.

"Tenang, aku tunggu kamu."

Man Jadda Wajada
Sesiapa yang berusaha, dia yang berjaya.
Man Shabara Zhafira
Sesiapa yang bersabar akan beruntung.



Sunday, June 10, 2012

Tragedi Salmah (Part 1)

Sekadar perkongsian satu kejadian pembunuhan yang berlaku lebih 20 tahun lalu. Maklumlah, masa tu memang kes-kes jenayah pembunuhan tak sehebat sekarang, lepas tu mana ada teknologi DNA. Jadi, bila keluar cerita jenayah macam ni, memang liputan meluaslah sampai satu Malaya heboh bercakap. Kalau sekarang, kes jenayah terlampau memang sampai tak ingat sebab banyak sangat. Setakat bunuh-rogol-lupuskan mayat tu, biasa sangat lah sekarang. Jom tengok salah satu kes yang meletup masa tahun 1984, terkenal sebagai Tragedi Salmah.





Fail Jenayah: Dua beradik dibenam dalam lubang tandas
...akibat melihat hubungan terkutuk

MAYAT Azman Wardi, 10, dan adik perempuannya, Saniah, 3, ditemui dalam lubang najis di belakang sebuah rumah di Kampung Muhibbah, Peserai, Batu Pahat, Johor dalam satu insiden pada 1984. Mayat mereka ditemui dalam keadaan reput dan berulat. Dua beradik itu dikatakan dibunuh dengan dicekik hingga mati dan diikat. Mayat mereka kemudian disumbat ke dalam lubang najis untuk mengelak daripada dikesan. Cara pembunuhan dua beradik ini menggambarkan perwatakan pembunuhnya sebagai seorang yang amat kejam. Bagaimanapun jenayah kejam itu terbongkar juga...


FAKTA KES

Tertuduh: Sam Ser Abdul Rahim, 31.
Pekerjaan: Buruh ladang
Asal: Kampung Muhibbah, Perserai, Batu Pahat dan menetap di Kampung Telok Bakung (kira-kira lima kilometer dari kampung kelahirannya).
Tuduhan: Membunuh dua beradik, Azman Wardi, 10, dan Saniah, 3.
Tempat kejadian: Di sebuah rumah di Kampung Muhibbah.
Masa: 9.30 pagi, 30 April 1984.
Hakim Mahkamah Tinggi Muar: Datuk Mohamad Eusoff Chin
Juri: 7 orang
Pendakwa: Timbalan Pendakwaraya Saufee Affandi Mohamad.
Peguambela: GF Nelson.
Tempoh perbicraan: Bermula 17 Januari 1987 dan berlangsung selama 20 hari.
Saksi pendakwa: 16 orang
Saksi utama: Salmah Mohamed Salleh, 26.
Saksi pembela: 4 orang.



PEMANDANGAN Kampung Muhibbah di Peserai, Batu Pahat, tidak ada bezanya dengan kampung lain di Johor, yang penuh dengan suasana ketenangan.

Penduduk bukan setakat saling mengenali, malah ramai yang mempunyai ikatan persaudaraan. Hubungan erat ini menyebabkan ibu bapa biasanya tidak bimbang melepaskan anak-anak bermain sekitar kampung.

Anak-anak pula tahu bahawa mereka mesti pulang sebelum senja menjelang. Jika tidak, berbiratlah belakang badan dirotan atau telinga merah dipulas.

Kejadian jenayah jarang sekali didengar.. Setakat hilang ayam atau itik itu biasalah. Itu pun belum tentu dilakukan oleh manusia. Mungkin juga ular sawa kelaparan punya angkara.

Tanggal 30 April 1984 bagaimanapun mengocak suasana keharmonian itu.

Petang hari yang malang itu bukan lagi petang biasa seperti sebelum ini kepada sepasang suami isteri yang mempunyai lima anak, Wardi Wasis, 48 dan Sukiam Hassan, 42.

Ketika anak-anak jiran sudah berada di rumah, kebimbangan mula menyerang hati mereka kerana dua anak kesayangan, Azman dan Saniah, masih belum muncul-muncul walaupun azan Maghrib sayup kedengaran.

Belum pernah dua beradik itu buat hal untuk pulang lewat seperti petang itu.

Penarik beca, Wardi, akhirnya membuat keputusan membuat laporan polis pada hari itu kerana bimbang ada sesuatu yang tidak kena menimpa kedua-dua anaknya.

Hari-hari berikutnya, Wardi, dibantu sanak saudara dan penduduk kampung berusaha mencari anaknya, tetapi menemui kehampaan.

Kira-kira seminggu kemudian, iaitu pada 7 Mei, Kampung Muhibbah, gempar apabila Azman dan Saniah dijumpai dalam keadaan mengerikan dalam lubang najis di belakang rumah jiran Wardi, Salmah Mohamed Salleh.

Berdasarkan persamaan tali rapia yang digunakan untuk mengikat kanak-kanak malang dan yang dijumpai di rumah Salmah, polis tidak menunggu lama untuk mencari orang yang disyaki.

Salmah ditahan dan keesokan hari pada 8 Mei, seorang buruh ladang di Ayer Bemban dekat Kulai, Sam Ser Abdul Rahim, ditahan di Kampung Teluk Bakung, Batu Pahat.

Dengan penahanan mereka bermulalah pendedahan demi pendedahan menggemparkan bukan saja mengenai pembunuhan itu, tetapi hubungan terlarang antara lelaki bujang, Sam Ser dan isteri orang, Salmah.

Cara dua beradik itu yang dibunuh dengan kejam juga menarik perhatian orang ramai untuk mengikuti perbicaraan Sam Ser yang dituduh membunuh mereka.

Selepas didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, kes Sam Ser dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Muar pada 17 Januari 1987.

Keghairahan orang ramai untuk mengikuti perbicaraan Sam Ser menyebabkan kes itu dilabelkan sebagai `perbicaraan mayat dalam lubang najis

Di depan Hakim Mohamad Eusoff Chin, Sam Ser dibela oleh GF Nelson, manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwaraya Saufee Affandi Mohamed.

Dalam perbicaraan awal, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Asisten Superintendan (ASP) Abdul Rahman Kamil, menceritakan detik penemuan mayat dua beradik itu.

Sebagai pegawai penyiasat kes itu, Abdul Rahman, berkata dia mengetuai sepasukan polis ke Kampung Muhibbah selepas dimaklumkan penemuan mayat itu kira-kira jam 2.15 petang, 7 Mei 1984.

Katanya, lubang najis itu ditutupi kepingan papan dengan sekeping papan lapis di bahagian atas dan apabila dialihkan, ternampak mayat Azman menghadap ke atas dan adiknya, Saniah, ke bawah.

Kedua-dua mayat itu diikat bersama mulai bahagian perut hingga bahagian leher. Azman memakai seluar panjang warna coklat dan baju lengan panjang, manakala Saniah memakai baju-T warna merah hati dan seluar bercorak bunga.

Yang hanya dapat dilihat pada mayat Azman hanya bahagian tulang belakangnya, manakala bahagian badan lain hilang. Mayat Saniah walaupun lebih reput, tetapi tidak seteruk Azman, katanya.

Abdul Rahman berkata, polis menghadapi masalah untuk memisahkan mayat mereka kerana diikat tali yang kemudian terpaksa dipotong.

Kira-kira jam 6.30 petang, katanya seorang pegawai polis wanita, Inspektor Lee Siew Kee, memeriksa rumah Salmah dan menjumpai empat utas tali.

Katanya, seutas tali dijumpai di alang rumah, dua utas di ruang tamu dan seutas lagi di dapur.

Selepas membandingkan tali yang dijumpai dan tali yang digunakan mengikat mangsa, anggota polis menangkap Salmah pada hari itu juga, diikuti Sam Ser keesokan hari, katanya.

Pada 21 Mei, katanya anggota polis menemui sehelai baju-t di rumah Salmah dan hasil pemeriksaan di Jabatan Kimia di Johor Bahru, menemui kesan beberapa warna.

Sumber: CariGold

Wednesday, June 06, 2012

Life goes on


Life  is too short.
Grudges are a waste of perfect happiness.
Laugh when you can.
Apologise when  you should.
And let go of what you can't change.
Love deeply and forgive quickly.
Take chances.
Give everything
and have no regrets.
Life is too short to be unhappy.
You have to take the good with the bad.
Smile when you are sad.
Love what you got always.
remember  what you had.
Always forgive and learn from your mistake.
People change and things go wrong.
but always remember
LIFE GOES ON.

Friday, May 18, 2012

Teach For Malaysia- anda bila lagi?

Memetik maklumat daripada Teach For Malaysia website,

We need our brightest minds to solve our biggest challenge

"If you consider yourself to be a leader in your generation, with the power to inspire and lead change in the lives of others, you may be who we’re looking for.

The Teach For Malaysia Fellowship is a highly selective, challenging and rewarding two-year leadership development programme focused on addressing education inequity in Malaysia through the efforts of outstanding youth leaders.

We invite applications from exceptional Malaysian students in their final year of study and young professionals who want to pioneer this exciting mission and begin their career driving real impact and long-term change. You will teach in high-need schools in Malaysia to significantly transform the academic achievement, aspirations and outcomes of these students. You will receive intensive training and support, taking on huge responsibility and grow through a steep learning curve. You will develop tremendously through amazing personal and professional development opportunities.

Best of all, you will directly impact the lives of children in high-need communities and understand what it takes to solve education inequity in the long-term. After the two years, you become a Teach For Malaysia Ambassador and join an influential national and global alumni platform, becoming a leader in the private, social or public sector to expand education opportunity for all children in Malaysia and the world."


Teach For Malaysia, satu program hasil kerjasama NGO dan Kementerian Pelajaran Malaysia bertujuan untuk memberi peluang kepada anak-anak pedalaman mendapat pendidikan sebagaimana rakan-rakan lain yang tinggal di bandar. Untuk tahun ini, mereka hanya akan memilih 70 orang calon sahaja sebagai perintis dan mereka-mereka yang terpilih ini akan dihantar mengajar di sekolah-sekolah pedalaman Malaysia melibatkan beberapa buah negeri. Calon-calon terpilih itu juga akan berkhidmat secara sepenuh masa selama 2 tahun, mencurah keringat dan bakti untuk sama-sama berkongsi ilmu dengan anak-anak desa yang agak terpinggir.

Calon yang memohon haruslah benar-benar ikhlas kerana tujuan program ini bukan untuk memberi keuntungan kepada individu-individu terpilih, tetapi lebih kepada kesanggupan untuk berkongsi ilmu dan semangat dengan mereka selain membentuk sifat kepimpinan diri sendiri.
They don't care about the incomes, but outcomes. 

..dan aku berharap untuk menjadi sebahagian daripada mereka. Gaji yang ditawarkan mungkin sedikit rendah daripada pendapatan sekarang, tapi bukan itu yang menjadi keutamaan. Just let go this selfish life and lets sacrifice for them, because they also have a right to get what we get before.

Saya sudah memohon, anda bila lagi?




Sunday, May 13, 2012

Sekeping


Sekeping ini, cuma sekeping.
Tersorok dalam ruang paling dalam, yang tak mungkin mampu kamu selam.

Sekeping ini,
Silakan menikam. Gunakan belati paling tajam. Atau, siatlah dengan rakus sepasang tangan. Mungkin akan ada luka merah. Mengalir sekadar menurut norma kehidupan. Luka merah tanda kita sekadar insan lemah. Sesekali dikejut amarah, kita tersentak lelah. Duka itu,sekejap cuma. Sekadar sekejap.  

Sekeping ini takkan mati hanya kerana itu. Kuatnya sekeping ini, hingga mampu memayungi semangat jasad diri meniti hari-hari. Sekeping ini akan terus berfungsi. Sesekali mungkin berkeluh penat, tapi sekeping ini akan kembali mencari semangat. Takkan mati sekeping ini melainkan terpisahnya roh dari diri, saat tibanya waktu dipanggil bertemu Ilahi.

Ia memang cuma sekeping, tapi terpenting.
Sekeping ini, sekeping HATI.

*Ini bukan kecewa, ini sekadar melepaskan sedikit rasa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...