Selamat tinggal Jun. Andai pernah ada duka, kecewa, air mata atau putus asa sepanjang melewati kamu, maka aku cuba campakkan segalanya itu ke dalam kenangan. Menjauhlah.. izinkan aku untuk menjadi insan tabah. Biarlah segala cerita itu sekadar menjadi tapak untuk aku terus teguh berdiri , tunjang untuk aku yakin mendongak ke langit tinggi.
Angin, tidak perlu kamu menyapu kenangan-kenangan itu. Cukuplah kamu sapu rasa-rasa duka yang pernah singgah dan bersisa. Aku perlukan kenangan itu, kerana kenangan itu peringatan. Agar khilaf yang sama takkan aku ulang untuk kali yang ke seterusnya. Cukuplah kamu nyahkan rasa dendam, atau marah yang pernah tersimpan dan terakam. Sungguh, aku tidak mahu jadi insan yg menyimpan api amarah keseorangan dalam diam.
Apa jua yang berlaku, bermula Januari sehingga kamu Jun, aku yakin dan harus percaya bahawa itu adalah tulisan takdir. Sebagaimana telah tetapnya putaran masa giliran kalian, sebegitulah telah ditetapkannya perjalanan kehidupan seorang aku.
Untuk perjalanan yang akan datang,
semoga semuanya akan baik-baik saja.
InsyaAllah.

No comments:
Post a Comment