Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..
Showing posts with label puisi. Show all posts
Showing posts with label puisi. Show all posts

Wednesday, March 21, 2012

malamku untukmu

Selamat malam dunia

andai malam kalian gembira

semoga terus bahagia..

andai malam kalian kecewa

jangan terus berduka

esok masih ada

berharaplah agar ia lebih bermakna


Selamat malam cinta

cukuplah kisah luka pedih jiwa

cerita rasa duka air mata

tutuplah buku lama lambang derita

pejamlah mata dimalam gelita

lupakan segala

mimpikan bahagia

senyumlah dalam lena


Selamat malam manusia

tamatlah kisah dongeng penglipurlara

berakhirnya perjuangan hari yang nyata

semangat yang dibawa

moga terus membara

menerangi perjalanan sepanjang usia

menjadi petunjuk tika buntu tiada daya

perisai iman waktu godaan menimpa

atau pertahanan saat musibah melanda


Selamat malam dunia

selamat malam cinta

selamat malam manusia

berpegang kata pujangga

semalam itu telah berlalu

hari ini harus kita jalani tanpa ragu

dan esok

tiada siapa tahu

apa akan berlaku


Selamat malam semua

salamku buat bulan bercahaya

bintang gemerlap di atas sana

serta buat bumi dan segala isinya

...pejamlah mata!

dan esok itu menunggu kita.


Wednesday, December 07, 2011

lelaki: dulu dan kini


dulu,
bila disebut lelaki,
wanitanya mendongak megah,
lelaki kami Asadullah,Saifullah.
tokoh ramai tak terkira.

kini,
bila disebut lelaki,
wanitanya menunduk lemah,
tokoh kami sedikit sekali,
ramainya,boneka Yahudi.

dulu,
bila disebut lelaki,
wanitanya tenang di hati
lelaki kami menjaga,melindungi,

kini,
bila disebut lelaki,
wanitanya mahu cabut lari,
lelaki khianat,perogol bersiri.

dulu,
bila seorang wanita teraniaya,
sepasukan kuda putih membela,
Al-Mu'tasim kebanggaan wanita,

kini,
ribuan wanita suci dipenjara,
Fatimah diperkosa minta dibela,
lelaki tunduk tak bertenaga.

dulu,
bila wanita di bawah jagaannya,
lelaki memagari sehabis daya,
tiada siapa berani menggoda,

kini,
bila wanita di bawah jagaannya,
lelaki tak kisah auratnya terbuka,
wanitanya dibiar bebas,binasa.

dulu,
lelaki menggadai harta dan nyawa,
untuk mengangkat kemuliaan agama,

kini,
lelaki menggadai ketinggian agama,
demi nafsu, dunia seisinya

dulu,
lelaki bermatian mencipta sejarah,
kental berjihad tekun berdakwah,

kini,
lelaki hanya menyanjungi sejarah,
diri bermalasan,tenaga tak dikerah.

dulu,
lelaki memperjuangkan deen dan ummah,
Al-Farouq, Zunurain mati terbunuh,

kini,
lelaki memperjuangkan diri dan kroninya,
hingga sanggup membunuh.

dulu,
lelaki bersatu menghadapi musuh,
angkatannya kuat dan teguh,

kini,
lelakinya berpuak dan berpecah,
sesama sendiri sering bertelingkah.
kembalilah lelakiku,
pada kelakianmu,
kami rindukan lelaki dulu,
Acuan madrasah Rasul~

(dipetik dari Syabab Musafir Kasih, Fatimah Syarha Mohd. Noordin)

* Kebenarannya ada disitu. Bukan semua, tapi sebahagian. Bukan sebahagian kecil, tapi sebahagian besar. Bukan menidakkan kemampuan lelaki islam sekarang, tapi sedikit sebanyak ini kenyataan. Gumpalan benang maksiat yang terbentang, tangan kalian yang harus mengurainya. Bagaimana? kembalilah pada cara Rasulullah S.A.W. Ayah, lenturkanlah anakmu menjadi islam teguh kepercayaan kuat amalan diusia rebung. Justeru anakmu akan tumbuh membesar menjadi kebanggaan. Suami, didiklah isteri. Justeru isteri akan mendidik anak-anak sebagaimana acuanmu suami. Saudara lelaki, peliharalah maruah saudara wanitamu. Justeru maruah agamamu akan terbela. Jika ramai lelaki mengeluh sukar mencari wanita penjaga jati diri di zaman ini, begitu jugalah sukarnya wanita mencari lelaki pembela maruah dan peribadi. Benar, kita melengkapi. Tetapi, tugasmu lebih getir lelaki. Amanah yang tertanggung di pundak kanan dan kiri, bukan untuk kalian bangga meninggi diri. Bukan juga untuk kalian kesali dan ratapi. Bangkitlah lelakiku, bersama kita bina kembali tamadun kehidupan yang semakin hampir ke arah kemusnahan.

Meminjam tagline program ustazah pilihan, 'didik wanita, terdidik generasi'.
Jadi lelaki, didiklah kami.

Tuesday, November 22, 2011

aku Malaysia kamu Indonesia=kita manusia


aku malaysia
kamu indonesia
darah aku merah, asal aku tanah.
kamu?
eh, sama merah sama tanah!

aku mengaku aku ketimuran
penuh adab penuh sopan
kamu kata kamu
penuh hormat penuh kesusilaan
eh, kita sama lagi!
tapi mengapa kita bertukar cacian?

aku maling,
tapi kamu juga punya perampok bukan?
kamu ramai buat kacau ,
tapi tempat aku juga ramai buat onar
kenapa aku harus benci kamu,
sedangkan aku suka rossa?
kenapa kamu harus jelek dengan aku
bilamana kamu suka siti nurhaliza?

apalagi yang menjadi pendamaian
bila bola pun kita politikkan?
padahal sukan untuk penyatuan

bilakah aku dan kamu akan sedar
antara aku dan kamu
hanya dipisahkan lautan?

* Perlawanan akhir sukan Sea 2011 di Jakarta menyaksikan pertembungan skuad bawah 23 tahun harimau muda menentang pasukan skuad bawah 23 tahun garuda. Juga menyaksikan kemenangan Malaysia hasil kemenangan penalti 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa 120 minit pertarungan (termasuk masa tambahan). Pada akal sihat aku, kedua-duanya sama hebat apabila berjaya mengawal gawang masing-masing, dan penalti sekadar nasib kerana pertarungan sebenar ialah pada aksi 120 minit. Malaysia tidak perlu terlalu berbangga dan Indonesia tidak perlu terlalu kecewa. Kemampuan pada 120 minit itu yang harus kita ukur.

Usai perlawanan, kedua-dua belah pihak saling bertukar cacian. Hilang sudah matlamat utama penganjuran sukan, bertukar menjadi medan perbalahan. Sukan bukanlah gelanggang untuk membuktikan aku hebat kamu tidak, aku menang kamu kalah atau aku juara kamu tercorot. Sukan seharusnya menyatukan pasukan, meraikan kemenangan tapi tidak mengejek kekalahan, berbalas ucapan tahniah bukan sumpah seranah.

Buat sahabat-sahabat senegara: Memang mereka memprovokasi, Tapi kenapa kita terprovokasi? Kemenangan tidak harus diraikan dgn cacian. Kita mengaku berfikir matang jauh ke depan, Tapi kenapa mudah melatah membidas seperti hilang ketamadunan? ejekan ke atas negaraku dan jalur gemilang mmg penghinaan tapi takkan menjadi kudis membuat maruah hilang. Sebaliknya semakin tinggi kita dipandang, jika cacian kita balas dengan persahabatan. Sedangkan sesama pemain yang berhempas-pulas dipadang, kenapa kita penyokong harus bercakaran? Media seharusnya cuba menyatukan kedua2 belah pihak, bukan menjadi minyak membuat api benci bertambah marak! Dalam tahniah atas kejayaan, ada takziah kerana kita hampir hilang peradaban.

Buat sahabat-sahabat di seberang: tahniah atas aksi mantap, tapi takziah juga atas provokasi hebat. Pemain kalian tidak kalah dipadang, tapi penyokong yang kalah melawan perasaan. Sungguh aku tidak bangga dengan kemenangan, jika itu sekadar lambang permusuhan. Sememangnya pingat emas maruah dalam sukan, tapi persahabatan itu maruah dalam kehidupan. Usah lemparkan tuduhan, kerana cacian sekadar kebencian. Bukan tanah yang kita pijak menentukan siapa kita, tapi pembawaan diri dan persepsi, itu sebenarnya.

aku Malaysia, tapi aku bukan maling.
kamu indonesia, tapi kamu bukan penjenayah.

Saturday, November 12, 2011

selamat siang anak-anak malam!


selamat siang anak-anak malam!

mereka anak-anak malam
berkeliaran
hinggap pada cahaya suram
lalu mereka tenggelam
hanyut dalam dunia malam

malam hitam
ibarat kemilau gemerlapan
lalu tertariklah anak-anak malam
pada palsu yang menjadi lorong kehancuran
gelak riang
dansa girang
serbuk jahanam
memandu anak-anak malam
membunuh kehormatan insan

anak-anak malam
bangkitlah dari lena panjang
yang merosakkan
tebuslah maruah yang hilang
kembalikan masa depan yang kelam

carilah..carilah siang mu
siang yang sekian lama
kalian lupakan

selamat siang
anak-anak malam!

* anak-anak hari ini, lebih selesa dengan kehidupan malam. tidak percaya? perhatikan sekeliling, bukan sekadar memerhati, tapi berfikir dan menyelami.

puisi tidak bernama


engkau tetap diam
tatkala mimpi-mimpiku
kau bakar
hangus jadi debu
engkau tidak bersuara
tatkala impianku
kau bunuh dengan
pedang cinta

hanya kerana
sebuah rasa
kau tikam jiwaku
menjadi lumat
hanya kerana
sebuah rasa
seorang lelaki mati
pada saat pertama kali
dia jatuh hati
pada seorang perempuannya

aku ingin petik bintang kejora
menjadi cahaya
menemani
gelita malam mu
aku ingin capai mentari siang
menjadi lentera
menerangi
gelap malam mu

mengapa hanya nama mu
terpateri dalam jiwaku
haruskah aku mengalah
sebelum melangkah?

:.puisi surat ungu untuk nuha.

novel Surat Ungu Untuk Nuha, tulisan NoorSuraya, memang tidak sama dengan novel budak-budak zaman sekarang yang gila glamour nak jadi penulis. isu yang diketengahkan oleh kak su, bukannya isu cari publisiti Kahwin paksa-kena tangkap basah-kahwin sebab wasiat-dan adik beradiknya. tidak percaya? dapatkan sendiri novel ni.

*aku teringin nak jadi Nuha, aku juga ingin punya seorang Alang rebus-tak-empuk seperti Muzammil*

Thursday, October 20, 2011

segalanya aku



celaru aku tidak tahu
tertekan aku jadi bosan
pusing sungguh aku pening
penat dalam dunia sendiri aku sesat
lelah aku bukan insan tabah
keliru aku tidak mengerti walau satu
kecewa seperti mahu gila
kosong seakan sunyi laluan lorong
gopoh aku terasa bodoh
jatuh aku tidak mampumelangkah
bisu aku hanya kaku

segalanya tentang aku
hidup aku
mati aku
ditengahnya perjalanan berliku

terasa mahu rebah
akan adakah tangan gagah
menghulur ikhlas diri
membawa aku berdiri kembali?

oh tuhan, tolong aku.

19 oct 2011, 11 pm


* Pernah tak, saat kamu merasa celaru, tidak tahu apa harus kamu fikir, tidak mengerti apa kamu rasa, seolah-olah nak lenyapkan jasad kamu dari dunia jika kamu mampu, nak menjerit sekuat habis melepas segala beban yang kamu sendiri tak tahu beratnya berapa dan banyak mana, seperti nak keluarkan satu demi satu sel dalam otak agar kamu boleh selesaikan segala persoalan yang kamu sendiri tak tahu dimana harus kamu mula, waktu kamu tenggelam dalam dunia yang kamu sendiri hilang. Aku percaya dan aku pasti, kamu dan aku selalu dalam situasi begini!

Sunday, October 02, 2011

manusia malam



terkedu aku dengan perubahan dia
dari seorang buaya
bertukar menjadi sopan gaya jua bicara
tutur katanya terjaga
hingga aku keliru
bagaimana tingkah bicara ingin aku atur.

manusia malam
sesaat mampu merubah (dengan izinNya)
rebah dengan pasrah bila hidayah menjengah
masa lalu sekadar sejarah
dalam lipatan peringatan

buatmu teman
moga kamu istiqamah
melewati kehidupan yang masih panjang
moga hijrahmu berterusan
menjalani perjalanan penuh cabaran
moga hijrahmu berkekalan
meniti waktu waktu sukar kehidupan

moga jua
hijrahmu
bukan penamat sebuat persahabatan

*buatmu sahabat Mohamed Aiezad Mohamed Zaid, yang aku kagum dengan perubahan ini. hingga aku hilang bicara, salah tingkah tak mampu berkata. kamu bagai insan yang aku tidak pernah kenal. Moga perubahanmu memaknakan lagi kehidupan.

Friday, September 30, 2011

Puisi untuk abah


Puisi ini buat arwah abah yang telah pergi genap 11 tahun pada 9 Sept yang lalu. Terkenang pada waktu itu, saat nyawa abah diangkat ke langit, saat jasadnya disemadi ke liang lahad, saat jantungnya tidak berdegup dan tidak lagi akan berdegup, saat mata abah tertutup rapat dan tidak mungkin akan terbuka lagi, saat hilangnya seorang bapa dalam hidup kami. Sayu, sebak, sedih - hanya air mata menjadi tanda, tidak terluah dengan bicara tutur kata. Apatah lagi, tarikh itu 3 hari sebelum menjelang peperiksaan UPSR yang bakal aku hadapi. Walau 11 tahun berlalu, segala-galanya mengenai abah tetap terakam kemas dalam sanubari. Khas buatmu,

PUISI UNTUK ABAH

Saat pertama kali abah terkulai layu
Kurang mengerti..kami terpaku
Saat daya abah ditarik satu persatu
Cuba memahami..kami mula tahu
Senja nan merah saat tibanya waktu
Abah kaku disitu
Menemui Dia Yang Satu

Tiada kata yang termampu
Sekadar air mata yang mengalir laju
bersama esak hening sayu

Melewati detik sukar kehidupan
Abah pergi jua
Tertunailah janji seorang anak Adam
Tanpa sempat melihat warisnya tumbuh dewasa
sekadar sedikit kesempatan yang pernah ada
Mengajar kami menjadi manusia

Garang, mejadikan kami matang
Tegas abah buat aku tak mudah rebah
Jelingan itu anak panah amarah
Rotan nan sebatang memaknakan hukuman

Pada mata yang memandang
Segalanya mungkin tampak biasa
Tapi jauh dilubuk jiwa
Rindu pada abah tiada tara
Gelodak naluri si anak yang membesar tanpa bapa
Tiada daya untuk berkata
Kerna takdir Tuhan mengatasi segala

Puisi ini untuk abah
Rindu ini untuk abah
Istimewa untuk abah
Hanya untuk abah
Kerana abah tetap abah
Tiada ganti walau waktu terhenti
kerana kasih abah abadi
tenanglah di sana..



Wednesday, August 17, 2011

Ratapan Jiwa, Sesuci kasih

Ratapan Jiwa- Lily Haslina Nasir

Kelmarin langit hamis berwajah kelam
mendung semakin dalam
pilunya hati kepada siapa hendak berpaling
air mata tidak pernah kering
aku semakin gering
mencicip kehidupan yang penuh bertaring

kelmarin, langit itu tempat guruh dan petir bertingkah
ku lihat anak burung bertempiaran
bertarung dan berjuang
mengibar sayap menongkah taufan
Ku lihat lagi, anak- anak burung itu,
tidak tewas dalam pertarungan
biar basah, biar ketar
hidup tetap diteruskan
dalam debar.

Semalam aku bertemu kalian,
dalam cerita yang berbeza
dalam pedih jiwa yang berpusar-pusar
kalian tersiksa dalam nasib yang tiada terkata

semalam itu juga aku teringat pesan pujangga
kasih itu sepotong emas
kasih itu sehela nafas
kasih itu tidak pandai berdusta
kasih itu bukan hanya dikata
kasih itu junjungan jiwa

Lewat semalam,
biar nista ku hiruk, biar cacian ku teguk
kasih aku pada kalian
tidak pernah berubah
semakin menyelinap kian menyusur
pada sela kehidupan kita
biar ada ketika air mata aku larut
dalam bening doa yang aku rangkumkan
dalam degup zikrullah
aku redha..

Anak-anak,
engkau permata hati
engkau belahan raa
kasih mama junjungan jiwa

Biar ribut pasir berkisar
biar taufan melanda
biar kata orang menggila
Kasih..kalian akan mama pastikan
sejuk...tenang..dalam pelukan

Redup kasih meniti perjuangan
mama tetap berdiri disini
bersama panji kebahagian
ini..

Puisi ini pernah saya deklamasikan sewaktu lawatan PERNIM ke tempat saya beberapa tahun yang dulu, untuk siri Jelajah Kasih Pernim. Bila search kat internet puisi ni, tak jumpa. nasib baik saya ada record, so saya taip balik. Sebenarnya, puisi ni ialah karya Lily Haslina Nasir, tajuk Ratapan Jiwa kot, sisipan dalam buku Sesuci Kasih Norlina Alawi.

Pada saya puisi ni menyentuh kalbu, pada sesiapa yang benar-benar menghayati.



Sunday, July 31, 2011

kau mencintai ku..

Kau mencintaiku
Seperti bumi Mencinta
i titah Tuhannya
Tak pernah lelah
Menanggung beban derita
Tak pernah lelah Menghisap luka

Kau mencintaiku
Seperti matahari
Mencintai titah Tuhannya
Tak pernah lelah
Membagi cerah cahaya
Tak pernah lelah Menghangatkan
jiwa

Kau mencintaiku
Seperti air Mencint
ai titah Tuhannya
Tak pernah lelah Membersihkan lar
a
Tak pernah lelah Menyejukkan dahaga

Kau mencintaiku
Seperti bunga Me
ncintai titah Tuhannya
Tak pernah lelah Menebar
mekar aroma bahagiaTak pernah lelah Meneduhkan gelisah nyala..


*ini bukan puisi aku. ini puisi filem ketika cinta bertasbih.

Friday, June 17, 2011

bagai dia yang aku perlu!

Maaf cucuratap, puisi milik kamu aku pinjam untuk tampal di rumah tulis ini.

pernah suatu ketika aku terfikir
kalau tuhan makbulkan apa yang aku ingin

aku akan
dapat dia

dapat cinta dia
dapat sayang dia
dapat kahwin dia
dapat teman dia
dapat sentuh dia
dapat...dia

aku juga akan
dapat bahagia
dapat gembira
dapat kesenangan
dapat ketenangan

dia yang aku tahu
sama dengan dia yang aku mahu
dia itu

bagai dia yang aku perlu.


rangkap pertama dan kedua, tiada impak pada aku. Tapi, rangkap terakhir seperti terakam kemas. Mendalam dan memahami. Ya kamu, kamu yang aku tahu sama dengan kamu yang aku mahu dan kamu itu bagai kamu yang aku perlu!

~love in the air~



terima kasih cucur atap!






Tuesday, April 05, 2011

bila rasa bersabut rasa..

Andai ada rasa dihati, jangan dipendam selama ini. Andai enggan menyesal nanti, pastikan jangan dibiar sepi. Mengapa dibiar sangka membuai rasa, bila rasa menyubur jiwa, mengapa dibiar cinta melara? Bila cinta itu bahagia, cinta itu sejati. Bila layangan doa menguntai harapan, cinta itu mati, bila harapan, cuma tinggal harapan. Cinta itu pasti, bila rasa bersambut rasa

Cinta itu abadi, bila cinta bertemu , dan berakhir, di syurga yang hakiki..


Ya Allah...
Seandainya telah Engkau
catatkan dia akan menjadi teman menapaki hidup

Satukanlah hatinya dengan hatiku
Titipkanlah kebahagiaan diantara kami

Agar kemesraan itu abadi
Dan ya Allah... ya Tuhanku yang Maha Mengasihi
Seiringkanlah kami melayari hidup ini
Ke tepian yang sejahtera dan abadi


Tetapi ya Allah...

Seandainya telah Engkau takdirkan...

...Dia bukan milikku

Bawalah ia jauh dari pandanganku
Luputkanlah ia dari ingatanku
Ambillah kebahagiaan ketika dia ada disisiku
Dan peliharalah aku dari kekecewaan

Serta ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengerti...

Berikanlah aku kekuatan

Melontar bayangannya jauh ke dada langit

Hilang bersama senja nan merah

Agarku bisa berbahagia
walaupun tanpa bersama dengannya


Dan ya Allah yang tercinta...
Gantikanlah yang telah hilang
Tumbuhkanlah kembali yang telah patah
Walaupun tidak sama dengan dirinya

Ya Allah ya Tuhanku...

Pasrahkanlah aku dengan takdirMu

Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan
Adalah yang terbaik buatku

Karena Engkau Maha Mengetahui

Segala yang terbaik buat hambaMu ini


Ya Allah...

Cukuplah Engkau saja yang menjadi pemeliharaku
Di dunia dan di akhirat
Dengarlah rintihan dari hambaMu yang daif ini
Jangan Engkau biarkan aku sendirian

Di dunia ini maupun di akhirat

Menjuruskan aku ke arah kemaksiatan dan kemungkaran

Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman

Supaya aku dan dia dapat membina kesejahteraan hidup
Ke jalan yang Engkau redhai
Dan kurniakanlah padaku keturunan yang soleh

Amin... Ya Rabbal 'Alamin

cinta itu pasti, bila rasa bersabut rasa!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...