Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Tuesday, September 24, 2019

Percutian ke Fraser hill, Apa yang menarik?


Seronok ke bercuti di Fraser Hill?
Ramai yang bertanya, seronok ke pergi ke Bukit Fraser? Baca dulu apa yang saya tulis, dan mungkin anda akan temui jawapan.
Bukit Fraser mendapat namanya sempena seorang lelaki inggeris yang menjalankan urusniaga membeli biji timah daripada pelombong cina di tanah melayu. Pada suatu hari, lelaki itu (Louis James Fraser) hilang dirimba itu dan tidak pernah dijumpai. Ada teori mengatakan dia dimakan binatang buas. Ada juga yang mengatakan bahawa pedagang ini dibunuh oleh orang melayu yang menentang penjajahan inggeris.
Sejarah juga mencatatkan bahawa pesuruhjaya tinggi tanah melayu, sir Henry Gurney telah dibunuh ketika dalam perjalanan ke bukit fraser. Lokasi pembunuhan dikatakan berlaku sekitar kawasan ‘The Gap’. Sebelum ini, The Gap ialah kawasan rehat sementara pengunjung menunggu giliran naik ke bukit fraser. Jalan yang sempit menyebabkan pihak berkuasa terpaksa membuat sistem giliran jam untuk pengunjung naik dan turun.
Menyelusuri Bukit Fraser, kita akan melihat banyak bangunan kolonial inggeris. Melalui pembacaan saya, Bukit Fraser dijadikan sebagai kawasan rumah rehat untuk pegawai-pegawai British pada suatu ketika dulu. Ianya dipilih kerana suasana dan cuacanya hampir menyerupai musim bunga dan musim luruh di tanah inggeris.
Bangunan kediaman juga direka bercirikan inggeris bagi mengubat kerinduan pegawai-pegawai pada tanah air mereka. Boleh dikatakan bukit fraser dibangunkan ketika itu sebagai mini British. Ciri bangunan itu dikenali sebagai ‘mock tudor’, sejenis rekabentuk inggeris gaya lama.
Disini terdapat balai polis, pejabat pos dan juga klinik pesakit luar selain daripada klinik desa. 3 pejabat tersebut lain daripada bangunan tipikal yang kita lihat dikawasan biasa. Ketiga-tiga pejabat tersebut menggunakan bangunan bercirikan inggeris seperti yang saya sebutkan tadi. Sangat unik dan menarik.
Terdapat banyak banglo dan rumah rehat milik kerajaan dan syarikat korporat disini. Ada antaranya dibuka kepada orang awam untuk sewaan. Harga semestinya agak keras. Banyak banglo yang besar dan cantik, semestinya menarik perhatian saya kerana reka bentuk unik gaya lama tersebut.
Masa yang diperlukan untuk meneroka kawasan bukit fraser ini tidak lama. Beberapa jam sahaja sudah mencukupi. Walaupun ada beberapa aktiviti yang dicadangkan seperti aktiviti air, menunggang kuda, memanah dan berkelah di air terjun, saya merasakan itu ialah aktiviti biasa yang boleh didapati dengan mudah ditempat tinggal kita.
Selain bergambar, apa yang kami buat ialah duduk di kerusi yang diletakkan ditepi jalan. Kami menghayati keindahan seni bina bangunan dan menikmati suasana nyaman kehijauan alam sekitar. Ada yang mengatakan bukit fraser seperti perkampungan desa inggeris, dan saya bersetuju walau saya belum pernah sampai kesana. Bezanya, di sini tiada salji.
Gabungan seni bina, susun atur kerusi ditepi jalan, dan bunga-bunga segar yang berwarna-warni menjadikan suasana itu sama seperti desa inggeris yang selalu saya tonton dalam drama tv. Kebetulan pada petang itu, pengunjung tidak ramai. Jadi, suasana lebih segar dan nyaman.
Suasana malam di kawasan pekan saya tidak pasti, kerana kami sekeluarga hanya bersantai dan tidak keluar dari rumah peranginan. Kami menyediakan steamboat sup panas dan grill buatan sendiri sambil menikmati kesejukan dan kedinginan malam di kawasan tanah tinggi ini.
Saya merasakan saya boleh untuk berada disana lebih lama. Saya mengimpikan untuk duduk bermalas-malasan di balkoni, menikmati secawan air milo panas sambil menghayati kehijauan alam sekitar yang masih terpelihara. Saya mengimpikan untuk keluar berjalan kaki meninjau kawasan sekitar dan melihat bunga-bungaan dengan lebih dekat.
Jujurnya jika anda sukakan percutian yang meriah, suasana hidup dan suka melawat tempat yang menarik ataupun membeli-belah, bukit fraser bukanlah tempat yang sesuai. Tetapi jika anda inginkan keadaan damai yang menenangkan, bau dedaunan yang sangat segar, lari sekejap dari kesesakan manusia dan kesibukan kota, bukit fraser ialah pilihan yang tak mengecewakan.
Duit juga tak banyak habis. Selain daripada penginapan dan makanan, tiada apa yang ada untuk kita membeli belah. Tiada kedai-kedai yang berderetan, selain daripada sebuah kedai cenderamata kecil. Apa yang dijual tak pasti kerana saya tak masuk meninjau. Untuk makan, tidak perlu risau kerana terdapat beberapa gerai makanan dan medan selera yang menjual pelbagai juadah masakan.
Alam sekitar bukit fraser masih terpelihara, jauh jika mahu dibandingkan dengan keadaan di Cameron Highland yang sudah banyak hilang hijaunya. Saya sangat bersetuju jika pihak berkuasa tidak terlalu rakus membenarkan projek pembangunan dikawasan ini bagi mengekalkan flora dan fauna indah tersebut.
Andai ada rezeki, kita akan bertemu lagi bukit fraser!

untuk gambar yang lebih menarik, boleh ke post saya di facebook disini

2 comments:

Mariani binti Makhtar said...

Sis, teruskan menulis. Iols akan sentiasa support. Ini boleh jadi terapi kepada housewife. Iols pun nak cuba2 kembali menulis selain boleh cari side income jugak haha

jaimieuhls said...

Casino Slot Machines For Sale | JTM Hub
JT Games is pleased to present you with our 과천 출장샵 latest and 파주 출장마사지 greatest 원주 출장마사지 online 부산광역 출장샵 casino games available for sale at JTM's online slots. Click the search button 공주 출장샵 below to get

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...