Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Wednesday, October 10, 2012

Tahniah sahabat


2-3 malam yang lepas, aku bertanya khabar dan bertukar cerita dengan seorang sahabat. Sahabat yang aku kenali sepanjang pengajian satu ketika dulu. Sahabat yang baik, walau tidak setiap masa bersama dengan aku tapi masih punya waktu menghulurkan telinga untuk mendengar beban keluh kesah aku.

Sahabat aku itu, telah pun bertukar status beberapa bulan yang lepas. Daripada seorang gadis riang yang lincah tingkahnya, kini telah pun bergelar isteri orang. Melewati kisah cinta sahabat aku itu, jujur aku rasakan bahawa dia bertuah. Dia bertuah kerana jiwanya kental. Di bahu inilah pernah dia hamburkan tangis sewaktu air matanya sudah tak mampu bertahan, saat jiwanya sudah terlalu sakit, saat hatinya bagai dirobek oleh si lelaki yang juga sahabat aku. Saat dia merasakan bahawa kesetiaan dirinya tidak dihargai, saat cintanya bagaikan sudah tiada nilai, saat perasaannya jadi kosong-sekosong-kosongnya. Waktu itu, dia bagaikan tiada semangat apatah lagi melewati hari-hari dengan menatap wajah orang yang menghancurkan hati dia.

Sememangnya aku diantara yang benci pada couple. Tapi, aku juga tak sanggup melihat sahabat aku hilang arah hanya kerana cinta. Sebagai sahabat yang dia pernah percaya, aku sekadar mampu untuk tiupkan kembali kata-kata semangat dan harapan. Entah bagaimana terjadi selepas beberapa ketika jiwanya pulih,  hubungan mereka kembali bertaut. Awalnya aku marah, kerana pada aku dia terlalu mudah menyerah. Apabila melihat dia semakin gembira dengan jalan yang diambil, marah aku hilang. Terserahlah, itu perjalanan hidup dia dan dia berjanji yang dia tak akan jadi selemah dulu lagi.

Setelah lebih kurang beberapa tahun berkawan, mereka akhiri hubungan itu dengan akad yang menghalalkan ikatan. Alhamdulillah buat kalian. Aku gembira, kerana sebagai sahabat yang melihat mereka (kedua-duanya) jatuh, bangun dan cuba bertahan dengan cinta yang mereka semai, akhirnya kini mereka bersatu. 

Berbalik kepada cerita beberapa malam yang lepas, dia khabarkan berita yang mengejutkan untuk aku. Tunas cinta mereka sudah tersemai subur dalam kandungan. Alhamdulillah sekali lagi. Aku katakan pada sahabat itu, telah lengkaplah perjalanan seorang wanita dalam dirinya. Daripada seorang anak kecil yang tumbuh membesar menjadi gadis cantik, kemudian bertukar status kepada isteri orang dan kini sedang membawa satu nyawa didalam rahimnya. Sekali lagi aku gembira. Bukan sahaja kerana menjadi antara orang terawal yang dikhabarkan berita itu, tetapi aku juga gembira melihat dia meniti hari-hari bahagia dengan kematangan. Aku gembira, melihat dia gembira.

Nah! apalagi yang diingini oleh setiap jiwa perempuan? Pada aku, bukanlah karier yang tinggi melangit ataupun harta yang terlalu bertimbun. Cukuplah sebuah keluarga bahagia yang lengkap, punya suami dan anak-anak. Kerana sehebat mana pun wanita mengejar kehendak material itu, jauh di sudut hatinya dia tetap mahu bina syurganya sendiri. Buatmu sahabat, tahniah!

Akhir kata, rezeki itu bukan hanya pada harta dan kerjaya, tapi juga pada jodoh dan anugerah keturunan. Antara kita, rezeki kurniaan tak sama. Hebat dalam kerjaya, tapi jodoh belum menjelma. Kurang dalam berharta, tapi awal jodohnya. Kaya dan mampu memilik semua, tapi lewat atau tiada cahaya mata. Berbahagia dan bersyukurlah kita, walau punya satu daripadanya. Usah berkeluh kesah kerana tanpa sedar kita mungkin miliki apa yang insan lain masih tercari-cari.

Selamat malam manusia, semoga kita redha dengan rezeki yang kita perolehi.

1 comment:

mynameisYAT said...

T____________________T

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...