Bagaimana perasaan bila kita berhadapan dengan kehilangan? Ok, ini memang soalan bodoh. Semestinya orang akan jawab sedih, hiba, terkenang dan sebagainya. Tak kira lah kehilangan benda tak bernyawa ataupun makhluk tuhan yang lengkap sempurna. Yang pasti, kita semua pernah merasa kehilangan kan? Sama ada kehilangan kecil atau besar, ia tetap kehilangan dan hanya orang yang merasai kehilangan sahaja yang boleh memahami bagaimana bergolaknya perasaan ketika itu.
Macam aku, kehilangan abah pada usia 12 tahun. Walau bagaimana pun, aku tetap bersyukur sebab Allah s.w.t kurniakan aku selama 12 tahun untuk mencipta kenangan dan merasa kasih sayang seorang abah. Sekurang-kurangnya aku masih punyai 12 tahun tersebut. Sehingga sekarang aku sebenarnya tak kuat untuk bercerita tentang kehilangan tersebut. Bukan itu saja, bahkan aku tak kuat untuk berhadapan dengan orang lain yang mengalami kehilangan. Apatah lagi, orang tersebut ialah manusia-manusia yang aku sayang. Jangan salah faham, post ini bukan untuk cerita aku dan bukan untuk aku minta simpati.
Sebagai contoh, Yat kehilangan kucing kesayangan dia. Pada mata orang lain, kehilangan tu mungkin biasa-biasa saja. Tak memberi sebarang kesan pun. Tapi pada Yat, kucing tu ibarat tempat dia meluahkan perasaan, berkongsi kegembiraaan dan kesedihan, makhluk peneman saat kebosanan. Jadi pemergian kucing tu ialah kehilangan yang cukup besar untuk Yat walaupun pada mata orang lain itu hanya seekor kucing.Takziah sahabat. Aku pun sedih sebenarnya, sebab tu aku tak nak tanya banyak-banyak. Nanti cari kucing ganti ye?
Itu kalau kucing, dan kalau ganti dapat yang baru InsyaAllah kesedihan akibat rasa kehilangan tu akan berkurang dan lama-lama akan hilang. Tapi bagaimana kalau kita kehilangan orang yang kita sayang? Orang yang selama ni menjadi pembakar semangat dan pendorong untuk kita teruskan kehidupan?
Aku ada seorang sahabat, yang kehilangan saudara kandung akibat nahas jalan raya. Saudara kandung yang rapat dengan dia. Setiap kali dia menyebut nama arwah saudaranya, aku tak tahu bagaimana untuk memberi reaksi. Sama ada aku sekadar diam dan mendengar, atau aku cuba mengubah topik perbualan. Bukan sebab aku tak cakna atau aku malas ambil kisah, jauh sekali untuk tak cuba memahami tetapi sebab aku sendiri gagal untuk mengawal perasaan. Bahkan setiap kali aku melihat nama dan gambar arwah (sebab boleh tengok dekat album-album di fb), emosi kesedihan terbawa-bawa hingga ke beberapa ketika. Aku hadkan diri untuk membaca blog tinggalan arwah, malah blog-blog saudara mara dan sahabat handainya juga.
Aku sendiri tidak pasti kenapa aku menjadi sensitif sebegitu. Mungkin kerana kehilangan itu membuatkan aku meletakkan diri sendiri, di tempat sahabat tersebut. Walau hakikatnya, ajal manusia itu pasti tapi aku masih belum kuat untuk membayangkan aku akan kehilangan. Tak mampu rasanya untuk aku bayangkan jika aku bakal menjadi anak yang kehilangan ibu, adik yang kehilangan kakak/abang, kakak yang kehilangan adik, atau mungkin suatu hari nanti isteri yang akan kehilangan suami?
Jujurnya, dalam banyak-banyak sahabat atau kenalan yang mengalami kehilangan, cerita kehilangan sahabat yang satu ini yang paling memberi kesan. Memang aku tak sempat mengenali arwah lebih dekat, tapi melalui penceritaan dan pembacaan aku tahu arwah menjadi sumber inspirasi kepada ramai orang. Kerana kebaikan yang tersebar dan akhlak mulia sewaktu hayatnya, kerana itu lah nama arwah dan pujian ke atasnya masih meniti di bibir-bibir orang yang mengenali. Semoga aku juga mampu menjadi seperti beliau. Sewaktu ada dicari, bila pergi ditangisi malah sentiasa diingati. Al-Fatihah untuk mu abang, semoga kamu tenang disana bersama iringan doa insan-insan menyayangi yang tak pernah melupakan mu walau sesaat. Buat mu sahabat, tabahlah. Selagi diizinkan tuhan, aku akan cuba untuk sentiasa berada disisimu walau sekadar mampu untuk mendengar. Maaf, kerana aku tak sekuat dan setabah kamu.
Hakikat kehilangan itu pasti, sebagaimana hakikat ajal itu tak mampu kita lari. Tapi kuatkah aku? Aku akur, aku seorang manusia yang lemah jiwa. Al- Fatihah juga untuk arwah abah, dan untuk mereka insan-insan yang telah mendahului kita. Tenanglah kalian disana.
p/s: Mendapat khabar yang hasil penulisan arwah di blog telah dibukukan dan akan berada dipasaran tidak lama lagi. Semoga juga, penulisan itu akan menambahkan lagi saham arwah disana.
I always been afraid of losing people I love. Sometimes I wonder is there anyone who is afraid to lose me?
Jauh tanpa kita sedari, hidup ini adalah tentang kehilangan dan mendapatkan. Jika kita kehilangan sesuatu, maka fahamilah yang kita telah mendapat sesuatu yang baru.
4 comments:
Kehilangan itu memang memedihkan. tapi kehilangan itu menjadikan kita lebih tabah. bersabarlah.
Semoga kita dikuatkan hati untuk redha menerima takdir yang tertulis. Amin.
semoga mreka ditempatkn dklangan orang yang beriman...
sedih! baru terbaca & teringat balik kat kucing.. hmm,,
Post a Comment