Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Sunday, June 10, 2012

Tragedi Salmah (Part 1)

Sekadar perkongsian satu kejadian pembunuhan yang berlaku lebih 20 tahun lalu. Maklumlah, masa tu memang kes-kes jenayah pembunuhan tak sehebat sekarang, lepas tu mana ada teknologi DNA. Jadi, bila keluar cerita jenayah macam ni, memang liputan meluaslah sampai satu Malaya heboh bercakap. Kalau sekarang, kes jenayah terlampau memang sampai tak ingat sebab banyak sangat. Setakat bunuh-rogol-lupuskan mayat tu, biasa sangat lah sekarang. Jom tengok salah satu kes yang meletup masa tahun 1984, terkenal sebagai Tragedi Salmah.





Fail Jenayah: Dua beradik dibenam dalam lubang tandas
...akibat melihat hubungan terkutuk

MAYAT Azman Wardi, 10, dan adik perempuannya, Saniah, 3, ditemui dalam lubang najis di belakang sebuah rumah di Kampung Muhibbah, Peserai, Batu Pahat, Johor dalam satu insiden pada 1984. Mayat mereka ditemui dalam keadaan reput dan berulat. Dua beradik itu dikatakan dibunuh dengan dicekik hingga mati dan diikat. Mayat mereka kemudian disumbat ke dalam lubang najis untuk mengelak daripada dikesan. Cara pembunuhan dua beradik ini menggambarkan perwatakan pembunuhnya sebagai seorang yang amat kejam. Bagaimanapun jenayah kejam itu terbongkar juga...


FAKTA KES

Tertuduh: Sam Ser Abdul Rahim, 31.
Pekerjaan: Buruh ladang
Asal: Kampung Muhibbah, Perserai, Batu Pahat dan menetap di Kampung Telok Bakung (kira-kira lima kilometer dari kampung kelahirannya).
Tuduhan: Membunuh dua beradik, Azman Wardi, 10, dan Saniah, 3.
Tempat kejadian: Di sebuah rumah di Kampung Muhibbah.
Masa: 9.30 pagi, 30 April 1984.
Hakim Mahkamah Tinggi Muar: Datuk Mohamad Eusoff Chin
Juri: 7 orang
Pendakwa: Timbalan Pendakwaraya Saufee Affandi Mohamad.
Peguambela: GF Nelson.
Tempoh perbicraan: Bermula 17 Januari 1987 dan berlangsung selama 20 hari.
Saksi pendakwa: 16 orang
Saksi utama: Salmah Mohamed Salleh, 26.
Saksi pembela: 4 orang.



PEMANDANGAN Kampung Muhibbah di Peserai, Batu Pahat, tidak ada bezanya dengan kampung lain di Johor, yang penuh dengan suasana ketenangan.

Penduduk bukan setakat saling mengenali, malah ramai yang mempunyai ikatan persaudaraan. Hubungan erat ini menyebabkan ibu bapa biasanya tidak bimbang melepaskan anak-anak bermain sekitar kampung.

Anak-anak pula tahu bahawa mereka mesti pulang sebelum senja menjelang. Jika tidak, berbiratlah belakang badan dirotan atau telinga merah dipulas.

Kejadian jenayah jarang sekali didengar.. Setakat hilang ayam atau itik itu biasalah. Itu pun belum tentu dilakukan oleh manusia. Mungkin juga ular sawa kelaparan punya angkara.

Tanggal 30 April 1984 bagaimanapun mengocak suasana keharmonian itu.

Petang hari yang malang itu bukan lagi petang biasa seperti sebelum ini kepada sepasang suami isteri yang mempunyai lima anak, Wardi Wasis, 48 dan Sukiam Hassan, 42.

Ketika anak-anak jiran sudah berada di rumah, kebimbangan mula menyerang hati mereka kerana dua anak kesayangan, Azman dan Saniah, masih belum muncul-muncul walaupun azan Maghrib sayup kedengaran.

Belum pernah dua beradik itu buat hal untuk pulang lewat seperti petang itu.

Penarik beca, Wardi, akhirnya membuat keputusan membuat laporan polis pada hari itu kerana bimbang ada sesuatu yang tidak kena menimpa kedua-dua anaknya.

Hari-hari berikutnya, Wardi, dibantu sanak saudara dan penduduk kampung berusaha mencari anaknya, tetapi menemui kehampaan.

Kira-kira seminggu kemudian, iaitu pada 7 Mei, Kampung Muhibbah, gempar apabila Azman dan Saniah dijumpai dalam keadaan mengerikan dalam lubang najis di belakang rumah jiran Wardi, Salmah Mohamed Salleh.

Berdasarkan persamaan tali rapia yang digunakan untuk mengikat kanak-kanak malang dan yang dijumpai di rumah Salmah, polis tidak menunggu lama untuk mencari orang yang disyaki.

Salmah ditahan dan keesokan hari pada 8 Mei, seorang buruh ladang di Ayer Bemban dekat Kulai, Sam Ser Abdul Rahim, ditahan di Kampung Teluk Bakung, Batu Pahat.

Dengan penahanan mereka bermulalah pendedahan demi pendedahan menggemparkan bukan saja mengenai pembunuhan itu, tetapi hubungan terlarang antara lelaki bujang, Sam Ser dan isteri orang, Salmah.

Cara dua beradik itu yang dibunuh dengan kejam juga menarik perhatian orang ramai untuk mengikuti perbicaraan Sam Ser yang dituduh membunuh mereka.

Selepas didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, kes Sam Ser dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Muar pada 17 Januari 1987.

Keghairahan orang ramai untuk mengikuti perbicaraan Sam Ser menyebabkan kes itu dilabelkan sebagai `perbicaraan mayat dalam lubang najis

Di depan Hakim Mohamad Eusoff Chin, Sam Ser dibela oleh GF Nelson, manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwaraya Saufee Affandi Mohamed.

Dalam perbicaraan awal, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Asisten Superintendan (ASP) Abdul Rahman Kamil, menceritakan detik penemuan mayat dua beradik itu.

Sebagai pegawai penyiasat kes itu, Abdul Rahman, berkata dia mengetuai sepasukan polis ke Kampung Muhibbah selepas dimaklumkan penemuan mayat itu kira-kira jam 2.15 petang, 7 Mei 1984.

Katanya, lubang najis itu ditutupi kepingan papan dengan sekeping papan lapis di bahagian atas dan apabila dialihkan, ternampak mayat Azman menghadap ke atas dan adiknya, Saniah, ke bawah.

Kedua-dua mayat itu diikat bersama mulai bahagian perut hingga bahagian leher. Azman memakai seluar panjang warna coklat dan baju lengan panjang, manakala Saniah memakai baju-T warna merah hati dan seluar bercorak bunga.

Yang hanya dapat dilihat pada mayat Azman hanya bahagian tulang belakangnya, manakala bahagian badan lain hilang. Mayat Saniah walaupun lebih reput, tetapi tidak seteruk Azman, katanya.

Abdul Rahman berkata, polis menghadapi masalah untuk memisahkan mayat mereka kerana diikat tali yang kemudian terpaksa dipotong.

Kira-kira jam 6.30 petang, katanya seorang pegawai polis wanita, Inspektor Lee Siew Kee, memeriksa rumah Salmah dan menjumpai empat utas tali.

Katanya, seutas tali dijumpai di alang rumah, dua utas di ruang tamu dan seutas lagi di dapur.

Selepas membandingkan tali yang dijumpai dan tali yang digunakan mengikat mangsa, anggota polis menangkap Salmah pada hari itu juga, diikuti Sam Ser keesokan hari, katanya.

Pada 21 Mei, katanya anggota polis menemui sehelai baju-t di rumah Salmah dan hasil pemeriksaan di Jabatan Kimia di Johor Bahru, menemui kesan beberapa warna.

Sumber: CariGold

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...