Syukur aku panjatkan kehadrat Ilahi kerana masih memberi peluang dan ruang untuk aku bertapak dibumi Mu..
Tarikh hari ini mungkin tak akan punya erti pada orang lain, tapi cukup bermakna pada aku. Tarikh dimana, 24 tahun lalu takdir membawa aku menjadi salah seorang penghuni dunia. Sedar tak sedar, setahun kehidupan ini berjaya aku lepasi lagi. Tiada apa yang ketara berbeza. Penghargaan terbesar untuk insan-insan yang telah bersama aku meniti jatuh bangun, kerana tanpa mereka tak mungkin aku lalui 24 tahun kehidupan dengan penuh erti.
Untuk emak yang melahirkan, dikaulah manusia agung dimata dan hati aku. Bukan sedikit keringatmu tumpah untuk melihat aku tumbuh membesar menjadi manusia. Tuhan, berkatilah dia ibuku. Berilah dia kesihatan yang baik serta sedikit lagi masa untuk melihat kami menjalani hidup bahagia. Peliharalah lidah dan percakapan serta perbuatanku, daripada mengecilkan hati tuanya. Terima kasih mak, untuk semuanya..
Untuk arwah abah, dikau tetap dihati walau masa terus berlalu. Walau abah tak sempat melihat aku menjadi dewasa, tapi percayalah bahawa abah tak pernah hilang dihati. Tanpa garang dan tegas abah, tak mungkin untuk aku berdiri sebagai aku yang hari ini.
Untuk abang long dan kak long yang telah banyak menabur jasa, dari aku sekecil budak yang masih berhingus sehinggalah sedewasa sekarang. Terima kasih kerana menjadi pembimbing dalam sedar ataupun tidak. Terima kasih atas segala pengorbanan material mahupun masa dan waktu yang telah kalian laburkan dari dulu hingga kini. Buat kak long, kaulah kakak ipar kebanggaan yang benar-benar meletakkan diri sebagai kakak sulung kami.
“Kak long panjat bukit Jabal Rahmah sebab nak berdoa untuk kau Mie”
Terima kasih kak long! Tiada ungkapan sehebat syukur dan terima kasih pada Allah kerana mendatangkan insan seperti kak long dalam kehidupan kami.
Buat abang dan kakak-kakak yang lain, terima kasih yang tak terhingga juga.Waktu kecil dulu, kalianlah rakan sepermainan yang paling setia. Dalam bergaduh dan bertengkar, aku masih tetap selamat dalam perlindungan kalian. Meniti perjalanan menuju dewasa, walau berjauhan kerana tuntutan kehidupan masing-masing kalian masih lagi saudara kandung terhebat. Kalianlah antara semangat terkuat setiap kali aku hampir jatuh terduduk menghadapi lewat cabaran dunia. Walau jarang ungkapan sayang antara kita meniti dibibir, tapi jauh disudut hati kita tahu sayang itu kukuh memagari silaturrahim ini.
Buat adik-adik, kalian juga warna terpenting dalam hidup ini. Dari dulu, aku ingin jadi kakak yang boleh kalian banggakan. Aku ingin jadi kakak yang melindungi walau kadangkala tanpak garang dan tak memahami. Leteran yang kadang-kadang membingitkan, tanda bahawa aku sayang dan cakna pada kalian. Walau hakikatnya kalian juga sedang meniti tangga-tangga kedewasaan bersama dengan aku, pada mata ini kalian masih lagi adik-adik kecil hingusan yang masih perlu perhatian. Terima kasih adik-adik, kerana tak pernah bosan mendengar bebelan meletihkan jauh sekali untuk hilang rasa hormat. Terima kasih kerana menjadi sahabat paling rapat dari dulu hingga kini.
Buat keluarga tersayang, kalianlah kekuatan sebenar dalam aku meniti perjalanan ini. Tanpa kalian, aku selemah si tua yang kehilangan daya. Semoga ukhwah ini akan sentiasa terpelihara walau kadangkala bergelora. Kekuatan, semangat, harapan. Itu untuk kalian, juga dari kalian. Untuk 24 tahun genap kehidupan ini, terima kasih atas bakti suci yang kalian berikan.
Buat teman-teman, kalian datang dan pergi. Tak ramai yang mampu untuk kekal disini. Tidak mengapa, kerana tuntutan hidup sememangnya begitu. Terima kasih juga kerana sekurang-kurangnya kalian pernah hadir memberi warna dan rasa walau apa pun ia. Walau cerah atau gelap, walau putih atau kelabu, walau rasa itu pahit atau payau, mahupun manis berselang kelat, sekurang-kurangnya kalian pernah hadir. Untuk yang masih kekal disini, masih terus memahami dan bertahan dengan karenah aku, apa lagi ucapan terhebat yang mampu aku berikan selain terima kasih?
Ya Allah, aku mohon kau berkatilah mereka-mereka ini. Mereka-mereka yang telah membahagiakan aku. Mereka-mereka yang telah memahat semangat dan kekuatan untuk aku terus bertahan dibumi-Mu. Mereka-mereka yang tak lokek menghulur telinga saat aku terlalu ingin untuk berkata meluahkan rasa. Mereka-mereka yang memberikan bahu untuk aku bersandar saat aku terlalu lelah dan penat menyahut cabaran kehidupan. Berkatilah mereka Ya Allah..
Ya Allah, Jika masih diberi peluang untuk aku berjumpa dengan 2 Disember yang akan datang, aku mohon Kau kuatkan dan teguhkan hatiku lebih dari sebelumnya. Kerana aku tahu, hari-hari yang mendatang cabarannya bukan calang-calang. Kau ikhlaskanlah hati ku untuk terus menjadi manusia syukur yang berbudi dibumi-Mu.
p/s: happy birthday untuk diri sendiri! Abang long kata tak sempat beli kek tadi, cepat sangat nak balik sini. Orang baru tengah nak uli tepung kat kedai =p.
2 comments:
happy birtday awak!!!
Happy birthday mie.. :-) *cakna tu ape?
Post a Comment