Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Saturday, September 08, 2012

Warkah untuk Abah


Kehadapan ayahanda tercinta,

Apa khabar abah disana? Harapan orang, semoga abah tenang dan baik-baik saja. InsyaAllah abah, doa anakmu ini akan sentiasa menyusul saban hari demi kesejahteraan abah. Sesaat pun, orang tak akan pernah lupa abah.

Abah,
Esok 9 September 2012. Esok juga sudah 12 tahun rupanya abah pergi tinggalkan kami. Cepatnya masa berlalu kan abah? Sedar tak sedar, orang dah pun 24 tahun. Abah tinggalkan orang masa umur 12 tahun, masa tengah main-main walaupun 2 3 hari lagi nak menduduki UPSR. Abah tinggalkan orang, masa saat-saat genting nak menduduki peperiksaan besar bagi budak 12 tahun. Tapi sekarang, orang dah besar abah. Orang dah kerja, dah mampu berbakti pada mak dan adik-adik, dah ada kehidupan dan bakal membina kehidupan baru. InsyaAllah dengan restu daripada mak dan insan-insan disekeliling, orang akan cuba yang terbaik untuk bina kehidupan yang lebih sempurna.

Lebih kurang 3 minggu lepas, abah terima seorang lagi menantu lelaki. Kak Echah dah selamat disatukan dengan Irfan. Abah dah ada 6 orang menantu sekarang. 3 orang abah tak sempat nak kenal kan? Setakat ni, menantu-menantu abah semuanya baik-baik, ringan tulang dan tak berkira. Alhamdulillah. Semoga kesejahteraan rumah tangga mereka berkekalan sampai ke akhir hayat. Lepas ni, giliran orang. InsyaAllah, kalau tersurat dalam takdir dan ada jodoh orang, orang pun akan menyusul. Abah jangan risau, orang juga akan pilih menantu yang baik untuk mak dan abah, untuk keluarga kita.

Abang Edi yang dulunya buat perangai masa abah tengah sakit, sekarang pun dah jadi ayah. Dah ada 2 orang anak pun. Imani dengan Yaya sangat comel abah. Keletah si kecil berdua ni memang menghiburkan, maklumlah yang paling kecil. Zaman manja Nabila dengan Zikir pulak dah berlalu, masing-masing dah besar. Nabila pon dah boleh diharap untuk tolong kerja-kerja kat dapur walaupun selalu kena bebel dengan Kak Liza. Abah tak sempat kenal Zikir kan? Zikir baru 7 bulan dalam kandungan masa abah pergi. InsyaAllah abah, lepas ni mungkin ramai lagi cucu-cucu abah akan menyusul.

Adik pun dah besar abah. Dah 19 tahun rupanya dia. Dah pandai masak mengalahkan kakak-kakak dia yang lain. Berguru dengan Kak Liza katanya, nak masak apa-apa, telefon je tanya. Idah? masih dengan perangai slow dia, kadang-kadang macam blur pon ada. Amir pula, dah 22 tahun. Amir dah jadi saksi perkahwinan untuk Kak Tijah dan Kak Echah. Amir lah yang mengetuai bacaan doa selamat masa majlis kahwin mereka berdua, dan Amir juga lah yang mengetuai bacaan yasin dan doa setiap kali kami melawat kubur abah. Amir memang boleh diharap bah. Walau ilmu agamanya memang tak setinggi mana lagi, tapi kalau abah ada, abah pasti berbangga denga dia.

Mak pula, masih macam dulu. Masih seorang wanita tabah sebagaimana sewaktu melewati hidup semasa abah ada. 12 tahun mak besarkan kami tanpa abah disisi, dan sekarang mungkin mak dah boleh bernafas lega. Apabila melihat anak-anak yang semakin meningkat dewasa, mungkin kesusahan dan kepayahan mak yang dulu berbaloi. Mak sekarang seorang diri di rumah yang abah tinggalkan dulu. Bukan kerana kami tak sayangkan mak, tapi tuntutan kerja dan pelajaran menyebabkan kami terpaksa berjauhan dengan mak. Tambahan, mak juga tak nak tinggalkan rumah tu. Kenangan katanya. Abah jangan risau, selagi nyawa mak dikandung badan, selagi itu lah kami akan jaga mak sepenuh hati kami. Kak Liza pun ada cakap, dia akan kembali balik menetap di rumah tu untuk jaga mak nanti. InsyaAllah..

Jujurnya, rumah tu memang banyak kenangan kan abah? Rumah tu lah yang menjadi saksi leteran dan hukuman abah pada kami. Kerana rotan dan piatan abah, Alhamdulillah kami menjadi orang hari ini. Mungkin kami tidaklah terlalu berjaya dari segi material, tapi anak-anak abah tetap berbangga sebab mampu menggembirakan mak selagi Allah S.w.t memberi peluang. Terima kasih abah, terima kasih yang tak terhingga sebab abah didik kami dengan ketegasan dulu. Kalau abah manjakan kami dengan kelembutan, mesti kami tak mampu nak hadapi kehidupan selepas abah pergi. Terima kasih abah, sebab ajar kami jadi  anak tabah dan tak mudah rebah. Semoga untuk hari-hari yang mendatang juga, kami akan terus kuat.

Walau sedih dan sayu mengenangkan orang tiada abah yang menghantar dan mengambil di asrama suatu ketika di awal remaja dulu, orang tak terkilan. Manusia baik, Allah sayang. Bila Allah sayang, Allah jemput menghadapNya lebih awal. Sekurang-kurangnya kami kenal dan sempat merasa kasih sayang dan didikan abah.  Walau dah 12 tahun berlalu, kasih sayang abah pada kami masih tetap terasa sehingga ke hari ini.

Kalau abah ada sekarang, mesti abah akan berbangga melihat anak-anak abah. Abang long pernah janji bah, dia tak kan biarkan ikatan adik-beradik ni putus walaupun nanti semua adik-adiknya dah bekerluarga dan bina kehidupan sendiri masing-masing. Abang long kata, apa lagi yang tinggal untuk kita bila mak pun tinggalkan kita nanti, melainkan ikatan adik-beradik. Abang long tu, kadang-kadang dia macam tak kisah tapi kami semua tahu dia sebenarnya sangat ambil peduli terutamanya adik-adik perempuan.

Abah,
Cukuplah sampai disini dulu warkah untuk abah. Walaupun orang tahu, abah memang tak baca apa yang orang tulis ni, tapi abah tahu kan yang doa-doa kami sentiasa mengiringi kehidupan abah disana? Tenang dan berbahagialah abah disana. Abah ialah satu-satunya abah kami, dan abahlah ayah terbaik yang pernah kami ada. Orang memang bukan anak yang terbaik, tapi InsyaAllah orang akan sentiasa mencuba untuk memberi yang terbaik dalam hidup ni. Orang mohon restu abah juga untuk teruskan kehidupan ini, walau seperit manapun dugaan yang mendatang, walau kadang-kadang orang terkeliru dalam membuat keputusan, walau kadang-kadang orang terganggu dek emosi berlebihan. Orang mohon restu abah..

Tenanglah abah disana, diiringi doa dan kasih sayang kami.

Alfatihah untuk arwah abah, Mokhtar bin Salleh (29/03/47- 09/09/12).

Puisi Untuk Abah
Surat Untuk Ibu

1 comment:

wanahaf said...

al fatihah buat ayah kamu dan buat ibu dan abang ku. semoga dengan berkat doa dari anak-anak yang soleh dan solehah, mereka akan tenang di sana. insyaallah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...