Hari ini 31 Ogos 2012. Hari ini, 55 tahun genap bumi Malaysia bebas dari belenggu penjajahan. Hari ini, pengorbanan wira-wira negara kembali didendang. Hari ini, ucapan dan harapan patriotisma bergema di segenap penjuru ruang bumi Malaysia. Hari ini, dengan penuh bangga kita laungkan kalimat merdeka.
Dalam kebanggaan bersarang, ayuh kita renung kembali. Sejauh mana sebenarnya merdeka ini membawa kita? Adakah sekadar bangga menjadi negara berbilang bangsa bervariasi adat resam kononnya, padahal kita masih lagi bersifat perkauman, aku melayu, engkau cina dan dia india- sekadar berkongsi tanah yg dipijak, tapi bukan hati yang diikat? Kononnya kita bersatu, tapi isu perkauman tetap dijadikan isu? Kita mengaku pemilikan bangsa timur yang penuh adat kesopanan, tapi hakikatnya berapa ramai yang sedar kita semakin hilang sifat malu dan rasa menjaga antara satu sama lain? Oh, mungkin ramai yang sedar sebenarnya, tapi tak mampu berbuat apa-apa. Termasuk aku. Sekadar mampu melihat, menggeleng, dan menginsafi. Sekali sekala cuba membantu, tapi diri sendiri tak mampu kerana belum cukup sempurna peribadi seorang aku.
Walau seburuk dan seteruk apa pun, Malaysia ialah tanah yang aku pijak, langit yang aku junjung, udara yang aku hirup dan mentari yang menyinari sepanjang kehidupan aku sehingga hari ini. Walau nanti sehitam mana pun tanah berubah warna, langit biru bertukar kelabu, udara kian lupa erti segar dan mentari semakin hangat sehingga membakar nilai kemanusiaan, ini tetap bumi yang membesarkan aku. Terima kasih Malaysia. Terima kasih kerana menjadikan aku, seorang aku hari ini. Dan semoga kamu akan menjadikan aku lebih baik untuk setiap detik yang mendatang.
Doa buat kamu Malaysia, semoga keamanan yang memayungi sekarang tidak terus dicemari dengan hati-hati hitam yang pentingkan diri serta tangan-tangan kotor yang sekadar tahu untuk kenyangkan nafsu tanpa memikirkan tanggungjawab yang digalas. Semoga semua golongan -daripada yang miskin kepada marhaen sehinggalah golongan yang kononnya kaya, sedar akan hakikat bagaimana mudahnya bumi Melaka hancur selepas sekian lama menjadi kebanggaan tanah melayu.
Kita selalu sibuk untuk memikirkan segala cara dan daya yang bagaimana untuk meninggalkan bumi yang baik kepada generasi akan datang. Sehingga akhirnya kita terlupa, apa pula usaha kita untuk meninggalkan generasi bermoral kepada bumi di masa depan? Kerana walau sebaik manapun bumi ini kita warisi, jika generasi masa depan tak mampu menghargai, segalanya tetap sama. Pengakhirannya tetap kehancuran.
Ayuh kita bebaskan hati, diri, minda dan segalanya milik kita. Bebaskan segalanya kepada kesederhanaan, sesuatu yang dianjurkan oleh agama yang kita cintai dengan sepenuh hati. Salam merdeka Malaysia! Tuhan, rahmatilah bumi bertuah ini.
p/s: sedang cuba merdekakan hati daripada perkara melalaikan =p
2 comments:
tak nak komen dan puji tulisan kali ini.
senyum, tak perlu kata apa-apa =p
Post a Comment