Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Monday, January 27, 2014

Dulu. Sekarang. Akan datang.

Kata Tegar, si cilik dari Indonesia yang mengalami perubahan total dalam hidupnya " Aku yang dulu, bukanlah yang sekarang. Dulu-dulu aku menderita, sekarang aku bahagia'. Betul, dulu dan sekarang kita mungkin bukan orang yang sama. Sekarang dan masa akan datang, kita mungkin bukan orang yang hari ini. Masa yang berjalan, membawa kemungkinan yang manusia akan berubah. Sama ada berubah kerana kemahuan dan kesedaran diri, mahupun berubah tanpa disedari akibat peubahan sekeliling, kita tetap akan berubah.

Dulu, aku ada seorang kak long. Seorang kakak ipar yang menjadi telinga saat aku perlu untuk meluahkan apa jua rasa. Seorang kakak ipar yang matang, yang penyayang, yang memahami dan menjadi 'jambatan' kalau aku takut untuk menyampaikan sesuatu kepada abang long.

Kini, seorang kak long ini tidak lagi sesempurna sebelum ini. Luarannya mungkin orang lihat dia tiada apa-apa. Tapi untuk kami yang mengenali dia bertahun lamanya, dia kini seorang kak long yang berbeza. Lagak gaya pertuturan, perbuatan malah pemikiran dia seperti seorang kanak-kanak kecil selepas menjalani pembedahan membuang tumor di kepala. Hilang kematangan seorang kak long yang sebelum ini pernah jadi tempat rujukan, sebaliknya kami yang perlu berikan perhatian kepada dia kini.

Seterusnya, kisah seorang sahabat saya. Hatinya baik, tutur katanya terjaga, tingkahnya sopan. Sedikit kurangnya, kerana dia tidak menyempurnakan salah satu tuntutan agama- tidak bertudung. Memang ramai yang mengutuk dan bercakap belakang. Alhamdulillah hari ini hidayah Allah S.W.T sampai kepada beliau, dan beliau menjadi lebih baik daripada mereka-mereka yang selalu mengata sebelum ini. Bukan sahaja bertudung, bahkan pemakaiannya lebih sempurna.

Hari ini kita dengar pula daripada media, kisah seorang penyanyi wanita baru bertudung yang hanya akan menyanyi dihadapan penonton wanita sahaja. Daripada seorang artis yang dulunya sangat seksi bahkan pernah membuat persembahan yang ditaja oleh syarikat pembuatan arak, kini beliau berubah perlahan-lahan. Bermula daripada bertudung, sedikit demi sedikit menyempurnakan pemakaian, mengalunkan lagu rohani dan ketuhanan, dan kini cuba sebolehnya untuk menyelaraskan kerjayanya dengan hukum agama sebaik mungkin. Artis itu- Miss Nina, semoga beliau akan terus menjadi lebih baik.

Kisah sahabat yang lain pula. Mengenali beliau di zaman sekolah, aku menjadi sangat rendah diri. Seorang yang bertudung labuh, luas dalam ilmu agama, dia ibarat seorang anak gadis muslimah sempurna. Pakej lengkap menjadikan beliau layak untuk memimpin sebuah pertubuhan keagamaan di sekolah. Dialah naqibah, dialah penggerak usrah. Kini, dia ialah dia yang sebaliknya. Tudung labuhnya sudah hilang, sopan santunnya sudah ditelan dek masa yang berjalan, Daripada seorang anti couple, kini gambar bersama teman lelaki memenuhi album di facebok.

Ini sekadar contoh. Kita yang dulu, bukanlah yang sekarang. Dan kerana itu, kita yang sekarang mungkin bukan kita di masa depan. Hari ini, kita mungkin rasakan kita manusia sempurna yang punya segalanya. Tapi tak mustahil satu hari nanti bila kita celikkan mata dari lena, kita ialah manusia yang hilang kewarasan pemikiran. Kita mungkin akan jadi manusia dewasa yang kembali ke zaman kanak-kanak, atau mungkin jadi manusia hilang upaya sehingga kembali menjadi seorang bayi. Siapa tahu kan?

Jika hari ini kita rasakan kita manusia baik yang terjaga pemakaian, tingkahlaku, atau gaya hidup yang selaras dengan kehendak agama. Usah takbur. Jangan kerana kita lebih baik, maka kita mengutuk dan menghentam orang lain seolah-olah kita akan sempurna sehingga ke akhir hayat. Dunia ini bulat dan berputar. Begitu juga hidup kita. Orang yang dikutuk dan dikata hari ini, mungkin akan jadi berjuta kali lebih baik dan sempurna di masa akan datang.

Kita yang dulu, berbeza dengan sekarang. Dan kita yang sekarang mungkin juga akan berbeza dimasa depan. Semoga perubahan itu, adalah perubahan yang membawa kebaikan. Atas apa juga perubahan, itu adalah dengan keizinan daripada Dia yang Esa bilamana dia berkata 'Kun Fayakun'.. Semoga takdir perubahan hidup kita sentiasa dibawah keredhaan dia.

Dulu, sekarang, dan masa akan datang- kita jadi manusia berbeza. Semoga kita bersedia.




2 comments:

Wanahaf said...

beul tu sayang...

mynameisYAT said...

amie yg dlu bkn amie yg skrg.. dlu amie matang. skrg??? kih3

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...