Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Tuesday, November 29, 2011

tidak mengapa

Tidak mengapa untuk bersedih
Jika selepasnya kamu tahu apa itu pedih

Tidak mengapa untuk menangis
jika selepasnya ada damai

Tidak mengapa untuk kecewa
jika selepasnya ada usaha

Tidak mengapa untuk terluka
jika selepasnya lebih kuat dari biasa

Tidak mengapa untuk rebah
jika selepasnya kamu jadi tabah

Tidak mengapa untuk disakiti sekali
jika selepasnya kamu lebih berhati-hati

biar apa pun yang kita rasa
itu tidak mengapa
asalkan jangan sesekali kita berputus asa
dengan rahmat Yang Esa.

*Verily after each difficulty, there is a relief.

Its doesn’t matter to be heartbreaking, if after you know what is hurting. Its doesn’t matter to cry, if the next to feel calm. its doesn't matter to frustration, if after there is an action.Its doesn’t matter to hurt, if the next is great than usual. Its doesn't matter to fall, if after you so tough. No matter what we feel, its does not matter. As long as we never give up, by the grace of Allah almighty.


Salam Maal Hijrah 1433.

Tuesday, November 22, 2011

aku Malaysia kamu Indonesia=kita manusia


aku malaysia
kamu indonesia
darah aku merah, asal aku tanah.
kamu?
eh, sama merah sama tanah!

aku mengaku aku ketimuran
penuh adab penuh sopan
kamu kata kamu
penuh hormat penuh kesusilaan
eh, kita sama lagi!
tapi mengapa kita bertukar cacian?

aku maling,
tapi kamu juga punya perampok bukan?
kamu ramai buat kacau ,
tapi tempat aku juga ramai buat onar
kenapa aku harus benci kamu,
sedangkan aku suka rossa?
kenapa kamu harus jelek dengan aku
bilamana kamu suka siti nurhaliza?

apalagi yang menjadi pendamaian
bila bola pun kita politikkan?
padahal sukan untuk penyatuan

bilakah aku dan kamu akan sedar
antara aku dan kamu
hanya dipisahkan lautan?

* Perlawanan akhir sukan Sea 2011 di Jakarta menyaksikan pertembungan skuad bawah 23 tahun harimau muda menentang pasukan skuad bawah 23 tahun garuda. Juga menyaksikan kemenangan Malaysia hasil kemenangan penalti 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa 120 minit pertarungan (termasuk masa tambahan). Pada akal sihat aku, kedua-duanya sama hebat apabila berjaya mengawal gawang masing-masing, dan penalti sekadar nasib kerana pertarungan sebenar ialah pada aksi 120 minit. Malaysia tidak perlu terlalu berbangga dan Indonesia tidak perlu terlalu kecewa. Kemampuan pada 120 minit itu yang harus kita ukur.

Usai perlawanan, kedua-dua belah pihak saling bertukar cacian. Hilang sudah matlamat utama penganjuran sukan, bertukar menjadi medan perbalahan. Sukan bukanlah gelanggang untuk membuktikan aku hebat kamu tidak, aku menang kamu kalah atau aku juara kamu tercorot. Sukan seharusnya menyatukan pasukan, meraikan kemenangan tapi tidak mengejek kekalahan, berbalas ucapan tahniah bukan sumpah seranah.

Buat sahabat-sahabat senegara: Memang mereka memprovokasi, Tapi kenapa kita terprovokasi? Kemenangan tidak harus diraikan dgn cacian. Kita mengaku berfikir matang jauh ke depan, Tapi kenapa mudah melatah membidas seperti hilang ketamadunan? ejekan ke atas negaraku dan jalur gemilang mmg penghinaan tapi takkan menjadi kudis membuat maruah hilang. Sebaliknya semakin tinggi kita dipandang, jika cacian kita balas dengan persahabatan. Sedangkan sesama pemain yang berhempas-pulas dipadang, kenapa kita penyokong harus bercakaran? Media seharusnya cuba menyatukan kedua2 belah pihak, bukan menjadi minyak membuat api benci bertambah marak! Dalam tahniah atas kejayaan, ada takziah kerana kita hampir hilang peradaban.

Buat sahabat-sahabat di seberang: tahniah atas aksi mantap, tapi takziah juga atas provokasi hebat. Pemain kalian tidak kalah dipadang, tapi penyokong yang kalah melawan perasaan. Sungguh aku tidak bangga dengan kemenangan, jika itu sekadar lambang permusuhan. Sememangnya pingat emas maruah dalam sukan, tapi persahabatan itu maruah dalam kehidupan. Usah lemparkan tuduhan, kerana cacian sekadar kebencian. Bukan tanah yang kita pijak menentukan siapa kita, tapi pembawaan diri dan persepsi, itu sebenarnya.

aku Malaysia, tapi aku bukan maling.
kamu indonesia, tapi kamu bukan penjenayah.

Saturday, November 12, 2011

selamat siang anak-anak malam!


selamat siang anak-anak malam!

mereka anak-anak malam
berkeliaran
hinggap pada cahaya suram
lalu mereka tenggelam
hanyut dalam dunia malam

malam hitam
ibarat kemilau gemerlapan
lalu tertariklah anak-anak malam
pada palsu yang menjadi lorong kehancuran
gelak riang
dansa girang
serbuk jahanam
memandu anak-anak malam
membunuh kehormatan insan

anak-anak malam
bangkitlah dari lena panjang
yang merosakkan
tebuslah maruah yang hilang
kembalikan masa depan yang kelam

carilah..carilah siang mu
siang yang sekian lama
kalian lupakan

selamat siang
anak-anak malam!

* anak-anak hari ini, lebih selesa dengan kehidupan malam. tidak percaya? perhatikan sekeliling, bukan sekadar memerhati, tapi berfikir dan menyelami.

puisi tidak bernama


engkau tetap diam
tatkala mimpi-mimpiku
kau bakar
hangus jadi debu
engkau tidak bersuara
tatkala impianku
kau bunuh dengan
pedang cinta

hanya kerana
sebuah rasa
kau tikam jiwaku
menjadi lumat
hanya kerana
sebuah rasa
seorang lelaki mati
pada saat pertama kali
dia jatuh hati
pada seorang perempuannya

aku ingin petik bintang kejora
menjadi cahaya
menemani
gelita malam mu
aku ingin capai mentari siang
menjadi lentera
menerangi
gelap malam mu

mengapa hanya nama mu
terpateri dalam jiwaku
haruskah aku mengalah
sebelum melangkah?

:.puisi surat ungu untuk nuha.

novel Surat Ungu Untuk Nuha, tulisan NoorSuraya, memang tidak sama dengan novel budak-budak zaman sekarang yang gila glamour nak jadi penulis. isu yang diketengahkan oleh kak su, bukannya isu cari publisiti Kahwin paksa-kena tangkap basah-kahwin sebab wasiat-dan adik beradiknya. tidak percaya? dapatkan sendiri novel ni.

*aku teringin nak jadi Nuha, aku juga ingin punya seorang Alang rebus-tak-empuk seperti Muzammil*
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...