Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Wednesday, February 29, 2012

sisi hidup kanak-kanak.

Nak tahu apa itu tenang? Tenang ialah bila tengok baby atau anak kecil tengah tidur. Tenang sangat, dada berombak lembut je. Muka pun tak ada kerut-kerut macam orang dewasa. Terhibur? Terhibur pula bila tengok ragam mereka, ada yang menangis, senyum malu-malu, ketawa main cak-cak tanpa segan dan takut walaupun tak kenal dengan siapa.

Tertarik untuk menulis pasal si manja kecil sebab tadi ke Kuantan Specialist Hospital. Sementara menunggu temujanji dengan Dr. Siti Noor, dan sementara doktor merawat patients dia dekat klinik pakar kanak-kanak tu, aku duduk kat situ memerhatikan gelagat baby dan kanak-kanak.

Seorang budak lelaki, umur 4 tahun. Alahai comel! pipi tembam, badan debab! Nama Syahrul, mak ayah dia panggil Yo. Yang kelakarnya, meraung menangis sebab takut nak jumpa doktor. Dekat 1 jam mak ayah dia pujuk. Janji nak belikan ultraman la, kereta remote control la.. doktor hampir-hampir nak check dia kat luar tu je, nasib baik akhirnya dia tertipu dan masuk juga bilik doktor tu.

Seorang budak lelaki lagi, umur 5 tahun. Demam dan mengalami jangkitan dalam telinga. Kesian pulak tengok dia menangis sambil mengadu sakit kat mak ayah dia sambil-sambil pegang telinga.

Lepas tu, seorang budak lelaki jugak. Umur 5 tahun. Badan dia mak aihh kurusnya. Nampak lemah sangat-sangat, macam orang yang dah sebulan tak makan Lengan dia sebesar 2 jari aku je. Pun sebab demam jugak, sekali dengan diarrhea. Cakap macam dengar tak dengar je. Mak dia lilitkan kain dekat pinggang dan perut, tak tahu apa motif buat macam tu. Tapi, memang kurus sangat-sangat. Kesian mak ayah dia.

Ada yang main cak-cak dengan aku. Ada yang senyum hulur-hulur tangan. Kalau baby perempuan, comelnya mak diorang pakaikan baju dengan topi bagai.

Dunia kanak-kanak, indah kan? Main je. Mainlah sepuas hati. Dah penat, tidur. Lapar nanti mak bagi susu. Sakit demam pening terjatuh sikit je, semua orang dah risau. Sekarang dah besar, kalau tak tenat jangan harap ada yang nak bimbang.

Bila tengok anak-anak kecil ni, perasaan nak ada anak macam membuak-buak pulak. Naluri keibuan macam best sangat. Terutama sekali bila tengok baby kat nursery hospital, rasa macam nak masuk cium-cium bawak lari je baby dalam coat tu.

Bila nak kawin ni? Sebab dah kawin barulah boleh cakap pasal anak-anak! baby-baby ku, nanti akak pergi sana kita jumpa lagi ek?

Owh ya! hari ni 29 Feb. Selamat hari lahir kepada sesiapa sahaja yang menyambut hari lahir 4 tahun sekali.
Ini lah Imani. Dah besar dah sekarang, 4 tahun. Dah sekolah pun. Sekejap je masa berlalu kan? macam tak puas lagi main dengan dia.

Wednesday, February 22, 2012

Dalam kenangan: Pembunuhan Intan Yusniza (2)

Kesudahan kes pembunuhan Intan Yusniza.

Fail Jenayah Siri Akhir: Penganggur dihukum gantung sampai mati
Oleh Nasron Sira Rahim (nasron@bharian.com.my)


SELEPAS lebih setahun sejak kes pembunuhan Pengacara Kelab Kanak-Kanak Angkasapuri Radio Televisyen Malaysia (RTM), Intan Yusniza Mohamad Yunus, 12, dan ibu angkatnya dilaporkan akhbar, mahkamah yang bersidang hampir mencapai kata putusnya.


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 Ogos 1992 akhirnya membebaskan Zainuzzaman Mohd Jadasi daripada tuduhan membunuh Hanizah Ismail, 56, ibu angkat Intan Yusniza Mohamad Yunos yang turut dibunuh pada Jun 1991.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Zainuzzaman membela diri terhadap tuduhan kedua membunuh Intan.

Hakim membebaskan lelaki itu daripada tuduhan membunuh Hanizah, selepas lima daripada tujuh juri yang bersidang selama setengah jam memutuskan dia tidak bersalah.

Dalam perbicaraan sebelum itu, Zainuzzaman didakwa membunuh Hanizah di rumah bernombor 74, Blok V, Rumah Panjang, Jalan Kuchai Lama di sini di antara 22 dan 24 Julai tahun lalu.

Mokhtar berkata, pihak pendakwa gagal membuktikan secara positif bahawa lima utas gelang yang dijumpai di rumah tertuduh adalah kepunyaan mangsa.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan Zainuzzaman membela diri terhadap tuduhan kedua membunuh Intan, 12, di rumah bernombor 74, Blok V, Rumah Panjang, Jalan Kuchai Lama antara 22 dan 24 Julai 1991 kerana pendakwa raya berjaya membuktikan tertuduh mempunyai kaitan dengan pembunuhan Intan menerusi rantai berukir
ntan yang dijual tertuduh.

Pada 17 Ogos 1992, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akhirnya mendapati tertuduh bersalah membunuh Intan Yusniza lalu dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Hakim membuat keputusan itu selepas enam daripada tujuh juri yang bersidang selama tiga jam, bersetuju tertuduh bersalah terhadap tuduhan membunuh Intan.

Tanpa seorangpun ahli keluarganya yang hadir ke mahkamah, tertuduh kelihatan tenang ketika hakim membaca hukuman terhadapnya.

Selepas keputusan dibaca, hakim bertanya kepadanya sama ada tertuduh ingin berkata apa-apa tetapi dia hanya mampu berdiam diri. Zainuzzaman kelihatan bersalaman dengan peguambelanya sebelum dibawa ke lokap.

Ketika menggulung hujah, hakim berkata, tertuduh dikaitkan dengan Intan kerana adanya seutas rantai bersama loket yang berbentuk perkataan I
ntan
.

Tertuduh juga memberitahu mahkamah pada 23 Jun 1991, dia masuk ke rumah Intan kira-kira jam dua pagi melalui lubang angin di ruang dapur untuk mencuri.

Keputusan gantung sampai mati itu menyebabkan tertuduh membuat rayuan tetapi Mahkamah Persekutuan pada 29 September 1997 menolak rayuan itu sekali gus mengekalkan hukuman mati terhadapnya.

Dengan penolakan rayuan itu, Zainuzzaman diiring pegawai penjara ke suatu lokasi di Penjara Kajang pada 5 Oktober 2001. Kemudian kepalanya ditutupi kain dan lehernya dililit tali gantung.

Ketika gear ditarik, lantai di bawah kakinya terbuka dan jasadnya menjunam ke bawah. Lehernya dijerut tali gantung dan pada hari itu, berakhirnya satu daripada kisah pembunuhan yang pernah menarik tumpuan rakyat negara ini - selebriti Kelab Kanak-kanak Angkasapuri yang juga gadis sunti berusia 12 tahun, dibunuh seorang penganggur.


Dalam kenangan: Pembunuhan Intan Yusniza

Laporan akhbar Harian Metro Jun 1991

PEMBUNUHAN pengacara Kelab Kanak-Kanak Angkasapuri Radio Televisyen Malaysia (RTM), Intan Yusniza Mohd Yunus dan ibu angkatnya pada Jun 1991, menarik perhatian umum sehingga ada pihak menawarkan RM20,000 kepada sesiapa yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya pembunuh.

Tawaran dibuat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebanyak RM10,000 selain masing-masing RM5,000 oleh Umno Seputih dan seorang individu yang terkesan dengan kejadian tragis itu.

Ganjaran ditawar bagi memastikan penjenayah ditangkap lantaran perbuatan itu tidak berperikemanusiaan kerana membabitkan kanak-kanak kecil selain khuatir keselamatan penduduk lain turut terancam.

Siasatan awal terhadap keadaan kedua-dua mayat mangsa membawa kepada andaian yang ibu angkat Intan Yusniza, Haniza Ismail, 56, dipercayai dirogol manakala gadis sunti itu pula berkemungkinan dicabul kehormatannya sebelum dibunuh di rumah mereka di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

Keputusan awal bedah siasat yang dilakukan pada mayat mangsa mendapati ada lima kesan kecederaan di kepala Allahyarham Haniza manakala pada jasad Intan Yusniza pula dua kesan kecederaan di kepala akibat hentakan kuat benda keras.

Siasatan awal juga mendapati kedua-dua mangsa mungkin dibunuh antara jam 4 hingga 6 pagi hari Ahad dan orang yang terbabit dalam pembunuhan dipercayai masuk ke dalam rumah melalui cara baik kerana tiada kesan pecah rumah ditemui pada kediaman mangsa.

Intan dan ibu angkatnya didakwa penduduk setempat dilihat kali terakhir dalam sebuah van, kira-kira jam 1.15 pagi Ahad iaitu kira-kira 30 jam sebelum mayat mereka ditemui pada jam 8.30 pagi Isnin.

Seorang penduduk mendakwa, ketika sampai di sebuah warung di kawasan perumahan Penempatan Seri Budiman, Jalan Kuchai Lama, Allahyarham Haniza melambai-lambaikan tangannya kepada beberapa jiran yang masih berada di situ.

Kes pembunuhan itu segera mendapat liputan meluas media massa yang antara lain mendedahkan Intan tinggal bersama ibu angkatnya itu sejak kecil selepas diserahkan ibu kandungnya sebaik dilahirkan.

Laporan akhbar berhubung perkembangan kes ketika itu juga memetik sumber-sumber berkaitan menyatakan sepanjang tempoh 24 jam sejak mayat mangsa dijumpai, polis menerima petunjuk penting dan mengesan empat lelaki disyaki terbabit dalam pembunuhan itu.

Empat lelaki itu dipercayai penghuni Penempatan Seri Budiman, Jalan Kuchai Lama, tempat dua beranak itu tinggal.

Sejak kejadian itu mula heboh dan menarik perhatian ramai, seorang lelaki yang tinggal tidak jauh dari rumah kedua-dua mangsa mula menghilangkan diri.

Pada masa sama, rantai leher berukir nama INTAN, dipercayai milik gadis sunti itu selain loket milik Haniza dilaporkan digadai di sebuah kedai pajak gadai oleh seorang lelaki yang membelinya daripada seorang lelaki lain.

Lelaki yang menggadaikan rantai dan loket itu menghubungi polis selepas terbaca kes pembunuhan Intan dan Haniza dalam akhbar lantaran khuatir dia turut dituduh bersubahat dalam kes itu. Lelaki itu menggadai rantai dan loket yang dipercayai milik mangsa tanpa menyedari rantai emas itu mungkin barang kemas yang dicuri ketika pembunuhan itu.

Akhirnya, pada 1 Julai 1991 iaitu seminggu selepas penemuan mayat mangsa, polis Cawangan Jenayah Berat berjaya menahan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an kerana disyaki terbabit dalam kes pembunuhan berkenaan.

MENTARI pagi sudah lama muncul dan menyinari kawasan perumahan di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur pada Isnin, 24 Jun 1991.

Beberapa penduduk yang melalui berhampiran kedai runcit yang diusahakan Hanizah Ismail, 56, berasa hairan tatkala melihat premis itu masih belum dibuka walaupun jam sudah menunjukkan kira-kira 8 pagi.

Aneh, seolah-olah kedai runcit yang pegun itu tidak akan dibuka terus pada hari itu; tidak seperti hari-hari sebelumnya, Hanizah pasti sudah lama memulakan perniagaannya menjelang waktu berkenaan.

Jiran wanita terbabit mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena lalu bergegas ke rumah Hanizah yang terletak berhampiran. Pintu rumah pengusaha kedai runcit itu diketuk dan nama wanita itu dipanggil berulang kali namun tiada sebarang jawapan diterima.

Bersama dua lagi jiran lain, mereka kemudian menjenguk ke dalam rumah Hanizah melalui tingkap cermin hadapan yang tidak berkunci.

Pandangan mereka segera menangkap sesusuk tubuh yang terbaring di ruang tamu bagaikan sedang tidur. Debaran mula mengasak dada tatkala mereka mula menyedari yang jasad itu adalah Hanizah malah tubuh wanita itu dihurungi semut.

Curiga mula membenih di benak minda masing-masing lalu sekali lagi mereka melaung memanggil nama wanita itu. Bagaimanapun, jasad Hanizah tetap tidak bergerak seolah-olah tidak lagi mendengar laungan lantang mereka.

Cemas melihat keadaan itu, jiran wanita terbabit segera meminta pertolongan seorang penduduk lelaki yang berada berhampiran. Lelaki itu menjenguk ke dalam dan mendapati jasad Hanizah sudah kaku dan diharungi semut. Akan tetapi, lebih mencemaskan apabila pandangannya segera menangkap keadaan tubuh wanita itu yang dalam berlumuran darah.

Tidak lama selepas itu, pintu rumah terbabit berjaya dibuka dan sepasukan polis mula masuk memenuhi ruang rumah terbabit bagi menjalankan siasatan.

Di samping jasad Hanizah, turut ditemui adalah mayat anak angkatnya berusia 12 tahun, Intan Yusniza Mohd Yusof. Kedua-dua beranak itu mati dibunuh di dalam rumah berkenaan dengan kepala kedua-dua mangsa berlumuran darah akibat cedera parah dihentak objek tertentu. Polis juga mendapati barang kemas dan wang tunai milik mangsa, hilang.

Mereka kemudian diberitahu yang Allahyarham Hanizah tinggal di situ bersama Intan Yusniza hampir empat tahun lalu iaitu selepas suami wanita terbabit yang juga bekas anggota polis berpangkat sarjan, meninggal dunia pada 1986.

Mayat Hanizah dan Intan Yusniza kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Damansara, kira-kira jam 10 malam, hari sama.


Aku tertarik untuk mencari maklumat berkenaan berita ini selepas perbualan dengan seorang rakan sekerja yang bercerita pasal kes ni. Maklumlah, 1991 aku baru 3 tahun, jadi aku memang tak tahu langsung pasal kes ni, siapa Intan Yusniza dan rancangan kelab kanak-kanak angkasapuri ni. Menurut sahabat aku, kes ni memang mendapat liputan meluas dan sahabat aku merupakan salah seorang peminat Intan Yusliza. Selepas kes pembunuhan itu, sahabat aku dah tak tengok sebarang program kanak-kanak dah.

Semoga Allah merahmati arwah Intan Yusniza dan arwah ibu angkatnya, Hanizah. Semoga dicucuri rahmat, Al-fatihah..

Saturday, February 18, 2012

hidup adalah tak terjangka.

Life is unexpected. Hidup adalah tak terjangka. Dulu, ayat ni sekadar ayat pada aku. Sekarang, aku akui kebenaran ayat ni. Kenapa?

1. Masa dulu-dulu, aku sekadar berangan nak memandu kereta. Pertama, aku takut. Kedua, aku rasa macam tak penting dan tak perlu. Ketiga, aku rasa memandu kereta di jalan raya sangat susah, terutamanya masa belajar memandu dulu dengan cikgu yang potpet-potpet kat sebelah. Bulan Januari tahun lepas, jangan kata nak memandu kereta tapi nak pegang stereng pun aku tak nak. Tapi sekarang, sehingga Febuari 2012, aku dah eksplore satu pahang, dari Kuantan sampailah ke Kuala Lipis, Muadzam dan Cameron Higland. Kuantan-Terengganu, Terengganu-Kota Bharu tu biasa je. Aku dah boleh memandu ke KL sorang diri, pergi Mid Valley walaupun sesat, pergiThe Curve pun tak ada masalah. Aku cuma nak sampaikan, setahun yang lepas, aku tak berani memandu. Tapi sekarang, aku bebas nak pergi kemana saja.

2. Setahun yang lepas jugak, Januari 2011 aku tak terfikir nak beli kereta. Aku tak pernah terfikir nak beli kereta di usia 23 tahun, dengan hasil titik peluh aku sendiri, sebab aku rasa aku tak mampu. Tapi alih-alih April 2011, TBC 5104 dah jadi milik aku. Eh, rupa-rupanya aku mampu! walaupun sekadar Myvi SE. Inilah harta pertama aku yang betul-betul mahal. Kalau orang kata aku bangga tak bertempat, katalah. Aku tetap bangga sebab dari awal beli sampai sekarang aku tak pernah dapat suntikan dana tambahan daripada mak atau abang atau kakak-kakak aku, untuk sebarang bayaran melibatkan kereta aku. Aku tak guna duit orang lain.

3. Aku tak pernah sangka yang aku akan menimba pengalaman di Giant, sebab totally different daripada bidang yang aku ambil masa belajar dulu. Tapi aku ikhlaskan hati timba ilmu dalam bidang peruncitan. Aku juga tak pernah sangka yang aku akan jadi sebahagian daripada warga kerja Pfizer, syarikat farmasi no.1 di Malaysia. Di Pfizer juga, banyak aku belajar. Melihat sisi pergaulan yang berbeza dimana 99% warga kerja merangkap sahabat sepejabat adalah bukan melayu islam. Aku keluar dari zon selesa, dan siapa kata melayu-cina-india tidak boleh bersahabat?

4. Aku juga tak pernah berangan untuk diterima menjadi salah seorang warga Nestle, syarikat pengeluar makanan terbesar di Malaysia. Masa belajar dulu, aku melihat alangkah bertuahnya kalau aku diterima bekerja dengan syarikat besar macam ni. Dan, aku tak sangka, aku ada tuah itu.

5. Dari segi pendapatan, Alhamdulillah syukur. Setahun yang lalu, aku pun tak sangka aku akan mendaki tangga gaji seperti sekarang. Bermula dengan RM1800 sahaja, gaji fresh graduate masa dengan Giant dulu, aku bersyukur walaupun gaji aku sekarang tak la sampai 5K. Untuk bermewah, mungkin belum masanya, tapi cukuplah untuk aku selesa, sambil-sambil berbakti kepada mak dan adik-adik.

Aku tak sangka, dalam masa setahun, banyak benda yang aku tak sangka, aku dapat. Ini semua bukan perancangan aku, dalam masa setahun.
Jadi, macam mana dengan setahun akan datang?
Aku rancang nak beli rumah, sekarang slow-slow survey.
Tak perlu besar, tapi cukuplah aku berpuas hati, kalau itu hasil usaha aku sendiri.

Post ini bukan untuk aku berlagak, bangga diri, menunjuk-nunjuk aku hebat dan sebagainya. Belum cukup tinggi untuk aku rasa macam tu, tapi apa yang aku ada dah cukup banyak untuk aku bersyukur. Alhamdulillah, Allah beri lebih daripada apa yang aku minta.

life is unexpectedkan?

sebab tu lah orang kata, kita merancang, Allah juga merancang. Dan sebaik-baik perancangan adalah daripada Dia.

p/s: pernah tengok drama life unexpected kat saluran Diva, 702? best..

Thursday, February 16, 2012

pernah tak?

Pernah tak rasa kosong
Pernah tak rasa macam
tak tahu nak fikir apa
nak buat apa
nak bereaksi macam mana?
Pernah tak berhadapan dengan sesuatu, tanpa jiwa.
buat sesuatu sekadar buat, tanpa rasa.
Pernah tak rasa rasa bosan dan putus asa?
macam setiap hari adalah sama
tiada warna, tiada perasa.

Pernah tak rasa risau
Pernah tak terfikir
macam mana aku
10 tahun akan datang?
atau mungkin juga setahun dari sekarang?
kerjaya?keluarga?
bekalan menuju ke sana?
masa depan kabur..

pernah tak cuba berubah?
mencari cara
untuk menjadi lebih sempurna
lebih memberi jiwa
lebih menikmati rasa
untuk mengharungi hidup
seikhlas yang boleh.

jawapan aku, semua pernah
bukan setakat pernah
tapi sentiasa.

dan sentiasa juga
aku tak pernah jumpa jawapan
untuk setiap soalan
'pernah tak' itu.


Wednesday, February 15, 2012

dreams comes true

Don't try so hard, the best things come when you least expect them to.

betul jugak kan? kurang berharap, kurang kecewa bila tak dapat.

Sunday, February 12, 2012

love is no title (2)

merah berdarah
pedih menghiris
dalam hati
yang paling dalam

mahu kuat
tapi sayang
aku bukan karang

sekuat ini ujianMu Ya Allah
dalam aku mencari keredhaan
tambahkanlah
iman yang masih bersisa
agar aku kuat
agar mampu aku halau
rasa galau
yang menikam dasar kalbu

Juahkan dia dari aku
jika dia bukan untuk ku.

Monday, February 06, 2012

Epilog

Usailah mimpi yang semalam. Mimpi yang KAU anugerahi. Sedarlah kini, semalam bukan hari ini dan hari ini bukan esok yang menanti. Barangkali selama ini, terbelenggu kita oleh muslihat hati. Lunaskan fikiran bahawa bah besar yang melimpah sudah berkalih arah. Kemarau nan panjang berundur kalah. Mimpi semalam tiada apa-apa, melainkan sekadar sebuah mimpi.

Sekali lagi, ayuh buka jendela yang terkatup sekian lama. Lihatlah kembang mekar mewangi. Sedutlah aroma semerbak rumput yang mengilham. Pepohon yang saling memperindahkan. Barangkali tersungkurnya kita kelmarin membawa dimensi baru yang lebih bermakna untuk harungi hidup ini. Hakikatnya, realiti ini lebih bererti.

-Bulan berbisik, Samsiah Mohd. Nor

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...