Sekadar perkongsian satu kejadian pembunuhan yang berlaku lebih 20 tahun lalu. Maklumlah, masa tu memang kes-kes jenayah pembunuhan tak sehebat sekarang, lepas tu mana ada teknologi DNA. Jadi, bila keluar cerita jenayah macam ni, memang liputan meluaslah sampai satu Malaya heboh bercakap. Kalau sekarang, kes jenayah terlampau memang sampai tak ingat sebab banyak sangat. Setakat bunuh-rogol-lupuskan mayat tu, biasa sangat lah sekarang. Jom tengok salah satu kes yang meletup masa tahun 1984, terkenal sebagai Tragedi Salmah.
Fail Jenayah: Dua beradik dibenam dalam lubang tandas
...akibat melihat hubungan terkutuk
MAYAT Azman Wardi, 10, dan adik perempuannya, Saniah, 3, ditemui dalam lubang
najis di belakang sebuah rumah di Kampung Muhibbah, Peserai, Batu Pahat, Johor
dalam satu insiden pada 1984. Mayat mereka ditemui dalam keadaan reput dan
berulat. Dua beradik itu dikatakan dibunuh dengan dicekik hingga mati dan
diikat. Mayat mereka kemudian disumbat ke dalam lubang najis untuk mengelak
daripada dikesan. Cara pembunuhan dua beradik ini menggambarkan perwatakan
pembunuhnya sebagai seorang yang amat kejam. Bagaimanapun jenayah kejam itu
terbongkar juga...
FAKTA KES
Tertuduh: Sam Ser Abdul Rahim, 31.
Pekerjaan: Buruh ladang
Asal: Kampung Muhibbah, Perserai, Batu Pahat dan menetap di Kampung Telok
Bakung (kira-kira lima kilometer dari kampung kelahirannya).
Tuduhan: Membunuh dua beradik, Azman Wardi, 10, dan Saniah, 3.
Tempat kejadian: Di sebuah rumah di Kampung Muhibbah.
Masa: 9.30 pagi, 30 April 1984.
Hakim Mahkamah Tinggi Muar: Datuk Mohamad Eusoff Chin
Juri: 7 orang
Pendakwa: Timbalan Pendakwaraya Saufee Affandi Mohamad.
Peguambela: GF Nelson.
Tempoh perbicraan: Bermula 17 Januari 1987 dan berlangsung selama 20 hari.
Saksi pendakwa: 16 orang
Saksi utama: Salmah Mohamed Salleh, 26.
Saksi pembela: 4 orang.
PEMANDANGAN Kampung Muhibbah di Peserai, Batu Pahat, tidak ada bezanya dengan
kampung lain di Johor, yang penuh dengan suasana ketenangan.
Penduduk bukan setakat saling mengenali, malah ramai yang mempunyai ikatan
persaudaraan. Hubungan erat ini menyebabkan ibu bapa biasanya tidak bimbang
melepaskan anak-anak bermain sekitar kampung.
Anak-anak pula tahu bahawa mereka mesti pulang sebelum senja menjelang. Jika
tidak, berbiratlah belakang badan dirotan atau telinga merah dipulas.
Kejadian jenayah jarang sekali didengar.. Setakat hilang ayam atau itik itu
biasalah. Itu pun belum tentu dilakukan oleh manusia. Mungkin juga ular sawa
kelaparan punya angkara.
Tanggal 30 April 1984 bagaimanapun mengocak suasana keharmonian itu.
Petang hari yang malang itu bukan lagi petang biasa seperti sebelum ini kepada
sepasang suami isteri yang mempunyai lima anak, Wardi Wasis, 48 dan Sukiam
Hassan, 42.
Ketika anak-anak jiran sudah berada di rumah, kebimbangan mula menyerang hati
mereka kerana dua anak kesayangan, Azman dan Saniah, masih belum muncul-muncul
walaupun azan Maghrib sayup kedengaran.
Belum pernah dua beradik itu buat hal untuk pulang lewat seperti petang itu.
Penarik beca, Wardi, akhirnya membuat keputusan membuat laporan polis pada hari
itu kerana bimbang ada sesuatu yang tidak kena menimpa kedua-dua anaknya.
Hari-hari berikutnya, Wardi, dibantu sanak saudara dan penduduk kampung
berusaha mencari anaknya, tetapi menemui kehampaan.
Kira-kira seminggu kemudian, iaitu pada 7 Mei, Kampung Muhibbah, gempar apabila
Azman dan Saniah dijumpai dalam keadaan mengerikan dalam lubang najis di
belakang rumah jiran Wardi, Salmah Mohamed Salleh.
Berdasarkan persamaan tali rapia yang digunakan untuk mengikat kanak-kanak
malang dan yang dijumpai di rumah Salmah, polis tidak menunggu lama untuk
mencari orang yang disyaki.
Salmah ditahan dan keesokan hari pada 8 Mei, seorang buruh ladang di Ayer
Bemban dekat Kulai, Sam Ser Abdul Rahim, ditahan di Kampung Teluk Bakung, Batu
Pahat.
Dengan penahanan mereka bermulalah pendedahan demi pendedahan menggemparkan
bukan saja mengenai pembunuhan itu, tetapi hubungan terlarang antara lelaki
bujang, Sam Ser dan isteri orang, Salmah.
Cara dua beradik itu yang dibunuh dengan kejam juga menarik perhatian orang
ramai untuk mengikuti perbicaraan Sam Ser yang dituduh membunuh mereka.
Selepas didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, kes Sam Ser dipindahkan ke
Mahkamah Tinggi Muar pada 17 Januari 1987.
Keghairahan orang ramai untuk mengikuti perbicaraan Sam Ser menyebabkan kes itu
dilabelkan sebagai `perbicaraan mayat dalam lubang najis
Di depan Hakim Mohamad Eusoff Chin, Sam Ser dibela oleh GF Nelson, manakala
pendakwaan oleh Timbalan Pendakwaraya Saufee Affandi Mohamed.
Dalam perbicaraan awal, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Batu Pahat, Asisten Superintendan (ASP) Abdul Rahman Kamil, menceritakan
detik penemuan mayat dua beradik itu.
Sebagai pegawai penyiasat kes itu, Abdul Rahman, berkata dia mengetuai
sepasukan polis ke Kampung Muhibbah selepas dimaklumkan penemuan mayat itu
kira-kira jam 2.15 petang, 7 Mei 1984.
Katanya, lubang najis itu ditutupi kepingan papan dengan sekeping papan lapis
di bahagian atas dan apabila dialihkan, ternampak mayat Azman menghadap ke atas
dan adiknya, Saniah, ke bawah.
Kedua-dua mayat itu diikat bersama mulai bahagian perut hingga bahagian leher.
Azman memakai seluar panjang warna coklat dan baju lengan panjang, manakala
Saniah memakai baju-T warna merah hati dan seluar bercorak bunga.
Yang hanya dapat dilihat pada mayat Azman hanya bahagian tulang belakangnya,
manakala bahagian badan lain hilang. Mayat Saniah walaupun lebih reput, tetapi
tidak seteruk Azman, katanya.
Abdul Rahman berkata, polis menghadapi masalah untuk memisahkan mayat mereka
kerana diikat tali yang kemudian terpaksa dipotong.
Kira-kira jam 6.30 petang, katanya seorang pegawai polis wanita, Inspektor Lee
Siew Kee, memeriksa rumah Salmah dan menjumpai empat utas tali.
Katanya, seutas tali dijumpai di alang rumah, dua utas di ruang tamu dan seutas
lagi di dapur.
Selepas membandingkan tali yang dijumpai dan tali yang digunakan mengikat
mangsa, anggota polis menangkap Salmah pada hari itu juga, diikuti Sam Ser
keesokan hari, katanya.
Pada 21 Mei, katanya anggota polis menemui sehelai baju-t di rumah Salmah dan
hasil pemeriksaan di Jabatan Kimia di Johor Bahru, menemui kesan beberapa
warna.
Sumber: CariGold