Bertimpa-timpa rasanya kesedihan dan kebimbangan yang Kau uji ke atas kami. Tak terdaya rasanya hati-hati kami menanggung walang ini. Mendengar lemah suaranya menyampaikan khabar, terasa mahu terbang untuk berada disisi dia agar dia tahu bahawa dia tidak sendirian. Apakan daya, pada saat ini bebanan kerja menuntut pengorbanan masa. Perlahan dan lemah, menahan rasa yang mungkin hanya dia yang tahu.
"Alhamdulillah, setakat ni sel kanser dah tak ada. Tapi.."
Mendengar ungkapan 'tapi' , ditambah dengan lemah suaranya sudah cukup untuk memberitahu ianya bukan khabar yang menggembirakan. Khabar selepas menjalani rutin medical check up semalam, akibat kanser yang ditanggung hampir 13tahun lamanya.
"...tapi MRI result, ada ketulan dekat kepala. Setakat ni, bukan tumor lagi. Mungkin cyst. Dah 5cm"
Ketulan di kepala, walau bukan tumor, walau mungkin cyst tapi itu tetap bahaya. Ketulan bersaiz 5cm di kepala, bukan benda main-main. Ini antara hidup dan mati. Tak pernah terfikir yang sakit kepala selama ini disebabkan oleh ketulan asing tu. Tiada cara lain melainkan pembedahan. Demi sebuah nyawa, yang kehadirannya masih ditagih oleh orang-orang sekeliling, kami harus akur. Buat kesekian kalinya, ini ujian ke atas kami.
Walau apa yang bakal terjadi, kau takkan pernah sendiri meniti hari. Kami akan terus berada disisi mu. Ikatan yang telah terjalin, tak akan kami biarkan putus. Dikau tetap seorang kakak yang teristimewa dihati kami. Segala pengorbanan dan perhatian suatu ketika dulu, tak mungkin mampu kami balas. Izinkan kami untuk terus menjadi adik-adikmu, untuk sama-sama harungi pedih dan perit walau sesukar mana pun ujian yang diberikan
Dia seorang kakak yang penuh pengertian, memberi kata semangat saat aku hilang arah, memberi kata hikmah saat aku buntu mencari jalan. Dia penyokong saat merasakan tindakan aku benar. Dia pengkritik saat aku tersalah membuat keputusan, lalu dia ujarkan pandangan. Dimata aku, dia seorang kakak terhebat. Menerima kami seadanya, sewaktu masih anak kecil masih berhingus hinggalah kami semakin matang.
Tuhan, dia wanita kuat. Dia wanita tabah yang telah menjalani hidup selama 13 tahun dengan penyakit kanser yang telah Kau uji keatasnya. Dia wanita sabar yang tekun menjalani hari-hari kehidupannya dalam sakit yang ditanggung. Dia wanita teguh yang baru sahaja kehilangan seorang teman pendamping hidup, tapi masih mampu berdiri menghadapi sebuah realiti. Dia masih senyum, masih tenang.
Tuhan, kehilangan sebelum ini masih segar terasa. Belum cukup kuat lagi untuk kami menghadapi kehilangan yang seterusnya. Bantulah kami untuk redha dengan ujianMu, dan bantulah kami untuk tenang dengan keadaan ini. Sesungguhnya kami sedar ujian ini adalah peringatan agar kami terus dijalanMu, sentiasa mengingati kebesaranMu, dan sabar dengan setiap ketentuanMu. Kuatkan kami Ya Allah..
Pintaku jua, selamatkanlah dia kak long ku.
Semoga semuanya akan baik-baik saja.