Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Sunday, June 16, 2013

Selamat hari bapa

Hari ni 16 Mei, Sambutan hari bapa sedunia. Hari untuk menghargai insan-insan yang bergelar bapa. Timeline kt facebook pun penuh dengan ucapan hari bapa, scroll daripada atas sampai ke bawah. Bertuahlah bapa-bapa yang dihargai oleh anak-anak mereka dan bertuahlah juga anak-anak yang masih punya bapa untuk dihargai. Aku tak pernah ucapkan selamat hari bapa kat arwah abah, sebab abah pergi sebelum aku tahu wujudnya hari bapa. Tapi bila aku tahu adanya hari bapa, antara orang yang selalu aku ucapkan ialah 2 orang abang yang dah bergelar ayah - abang long dan abang Edi.

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sehingga ke hujung nyawa. Teringat lagi macam mana kelam-kabutnya arwah abah waktu aku terminum minyak tanah, masa dalam lingkungan 6-7 tahun, atau mungkin 5 tahun. Teringat lagi mak kena leter sebab tak perasan minyak tanah ada dalam cawan di atas meja. Teringat lagi Kak Liza kena leter sebab tak tengok adik minum apa. Sementara nak ke klinik, arwah abah paksa minum air masak banyak-banyak. Sampai rasa kembung perut. Alhamdulillah, aku hidup benyawa dan bernafas lagi hingga ke hari ini. Terima kasih abah, untuk perhatian dan kebimbangan tu.

Rotan arwah abah juga, tak mungkin kami lupa. Aku adalah yang terakhir dalam hierarki adik beradik, yang merasa ketegasan abah. Rotan abah pernah singgah kat belakang dan kaki, sebab bawa adik-adik main air banjir dalam hujan. Sekali balik lewat lebih daripada pukul 6 petang, abah jeling je dulu. Kali kedua, abah panggil tanya kenapa dan bagi amaran. Kali ketiga, bersedialah untuk hukuman rotan dan leteran. Hafalan sifir bermula daripada darjah satu lagi, kalau tak ingat memang bersedialah tadah telinga. Tiga orang adik lagi tak sempat merasa sebab abah jatuh sakit masa diorang masih kecil.

Lepas arwah abah pergi, arwah abang long gantikan tempat abah. Dialah abang tempat kami mengadu rasa. Abang long memang tak diktator macam abah. Tapi tegas dalam diamnya abang long membuahkan rasa hormat yang tak terhingga. Dulu, muka gatal-gatal sebab allergic, naik jerawat banyak, pun mintak duit dengan abang long. Bukan sepuluh ringgit dua, paling kurang dua tiga ratus sebab jumpa pakar. Demi adik perempuan, abang long tak pernah berkira. Setiap kali nak cuti semester mesti abang long tanya dah beli tiket bas ke belum.

Sepanjang hidup berasrama daripada tingkatan 1, abang long tak pernah lupa nak jenguk kami adik-adik. Boleh dikatakan setiap minggu atau 2 minggu, abang long balik jenguk mak dan adik-adik. Semakin kami besar, semakin kami jauh tinggalkan kampung, kekerapan abang long makin kurang. Abang long kata, dia sedih dan sunyi bila balik rumah mak tapi adik-adik tak ada. Tapi bila Haziq masuk ke MRSM Besut, rutin lama abang long kembali semula. Boleh dikatakan setiap minggu abang long balik kampung untuk jenguk Haziq kat asrama. Sehinggalah antara perkara terakhir yang arwah abang long buat sebelum sakit ialah hantar Haziq ke asrama dan balik ke rumah mak.

Dua orang lelaki terpenting yang sangat berjasa ini, dah pergi tinggalkan kami. Abah pergi tanpa sempat lihat kami dewasa. Abang long pergi, dan sempat tengok kami berjaya. Kami hari ini sememangnya bukanlah insan yang hebat. Masih terlalu jauh untuk kami capai kehebatan dalam hidup ni. Tapi kami berjaya, kerana sekurang-kurangnya abang long pergi tanpa rasa risau dengan masa depan adik-adiknya. Abang long tahu amanah yang dipikul sebagai abang sulung, telah hampir berjaya dia tunaikan. Terima kasih abah, terima kasih abang long. Kasih kalian, membentuk kami hari ini. Jasa kalian, akan aku kenang sampai mati. Rindu pada kalian yang takkan pernah surut, aku kirimkan dalam setiap doa dan al-fatihah. Semoga kita bertemu kembali suatu hari nanti. 

Untuk Abang Edi, selamat hari bapa. Benarlah perkahwinan itu merubah kedewasaan seorang manusia. Daripada seorang lelaki biasa (yang masa kecil-kecil dulu selalu buat hal), sekarang dah jadi ayah yang sangat penyayang untuk tiga orang puteri yang comel. Semoga dirimu abang akan terus menjadi bapa yang terhebat untuk anak-anak. Semoga dirimu juga kuat untuk mengambil alih tugas abang long, menjadi tempat kami merujuk kata dan mengadu rasa.

Akhir kata, selamat hari bapa untuk semua bapa-bapa di dunia. Kalianlah lelaki yang memimpin sebuah institusi terpenting, kerana daripada keluarga yang indah akhlaknya akan melahirkan masyarakat yang sempurna. Semoga keluarga sakinah mawaddah warahmah, milik kita semua. Kasih ibu membawa kesyurga, kasih ayah hingga ke hujung nyawa, kasihnya saudara lelaki tempat mengadu duka-lara gundah-gulana dan kerana kasih-kasih nan ikhlas ini menjadikan kita menghargai sebuah ikatan bernama kekeluargaan. Selamat hari bapa.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...