Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Friday, April 19, 2013

Bangunlah abang long

Baru semalam aku lihat kamu senyum. Dalam demam yang tiba-tiba datang, kamu masih ceria dengan cerita dan usikan. Baru semalam aku dengar suara kamu, rancak bertanya dan kita berbincang soal masa depan. Kamu seperti biasa, tetap rajin memberi pesan. 

Orang belikan abang long kuih bakar pelbagai perisa yang abang long suka tu. Orang singgah rumah abang long, tapi abang long tengah tidur. Sebab tahu abang long demam, orang tinggalkan kuih tu atas meja. Orang ingatkan semuanya normal sampailah kak long telefon dua jam lepas tu.

"Mie, baliklah sini. Teman kak long. Kak long takut. Doktor sedang berusaha selamatkan abang long. Abang long kritikal"

Hampir luruh jantung, hampir putus nafas, hampir hilang langkah. Abang long yang ceria semalam, kini sedang bertarung nyawa, bergelut antara hidup dan mati. Hanya doa yang mampu terluah masa tu. Allah, selamatkan dia abang long ku.

Memang ramai yang takkan faham atau hairan kenapa dia sangat penting pada aku. Kerana dia, adalah abang long aku. Dia bukan sekadar seorang abang sulung, tapi dialah pengganti saat abah hilang daya suatu ketika dulu. Dia korbankan masa, tenaga, mahupun wang ringgit demi adik-adik. Daripada pendaftaran MRSM, membawa ke Gambang untuk program matrikulasi, sehinggalah graduasi aku di UTM skudai. Selama berbelas tahun, cutinya banyak dihabiskan untuk keperluan adik-adik. Dia korbankan tawaran degree di luar negara, demi untuk adik-adik yang masih perlukan perhatian. Dia sekadar melihat, seorang demi seorang rakan sekerja berubah angin mencuba nasib menimba pengalaman di negara luar. Dia masih tetap disini, walau tawaran di negara teluk lebih lumayan. Dia masih di sini, demi emak yang semakin tua, demi adik-adik yang masih meniti tangga keremajaan waktu itu.

Dia terlalu istimewa pada aku. Dia memang bukan manusia sempurna, tapi dia adalah abang long aku yang paling sempurna. Orang takkan mungkin akan faham, kerana kasih abang long hanya kami yang rasa. Abang long ajar aku kenapa keluarga itu penting, kenapa ikatan silaturrahim adik beradik harus sentiasa dijaga.

Long, bangunlah. Dah lama abang long terbaring. Long, kuatlah. Kami masih perlukan abang sulung untuk membimbing walau kini kami telah sedikit dewasa. Allah yang Maha Agung, kembalikanlah abang long kami. Kembalikanlah kekuatan kami. Kembalikanlah semangat kami. Pulihkan kesakitan yang diuji keatas dia. Sungguh kami tak sanggup melihat dia hilang daya.

Bangunlah abang long, kami rindu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...