Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Sunday, April 21, 2013

Wanita kuat

Meminjam semangat 2 wanita kuat, yang aku jumpa sepanjang perjalanan musibah ini. 

Kak long, seorang isteri tabah yang air matanya hanya tumpah pada minit-minit pertama tapi melalui detik seterusnya dengan tenang dan sabar. Kamu sungguh kuat kak long, melihat seorang suami yang sedang bergelut dengan kesakitan dan kamu tetap mampu untuk senyum. Maaf aku tak mampu untuk tiupkan kata semangat buat kamu, kerana aku sendiri lemah dan dalam diam aku pinjam kekuatan kamu. Walau kamu sendiri tidak sihat, tapi kamu abaikan demi untuk suami. Kamu, kak long terhebat yang pernah aku jumpa dan takkan mungkin ada galang gantinya.

Mak, juga seorang wanita tabah lagi hebat. Mak pernah meniti usianya selama bertahun bersama abah yang tiada daya, sehingga ke hujung nyawa abah. Alhamdulillah mak bersama abah sewaktu nafas abah yang terakhir. Mak kuat melihat kesakitan yang abah perlu harungi. Dan kini, sekali lagi mak berdiri melihat kesakitan anak lelaki sulungnya. Memang air mata mak tak berhenti, sebab hati seorang ibu sememangnya tak sanggup melihat anak yang dibesarkan dari sekecil ibu jari kini sedang bertarung nyawa menahan ujian dari Dia.

Mereka wanita tabah, dan aku berdoa aku mampu untuk jadi sekuat dan setabah mereka. Aku berdoa agar aku mampu untuk berdiri dengan tenang andai aku juga ditimpa dugaan yang sama. Benar, bukan  mudah untuk mengumpul semangat apabila si suami, lelaki yang selama ini menjadi pendamping mereka sedang bergelut dengan kesakitan. Tuhan, kau rahmatilah wanita -wanita hebat ini. Izinkan aku untuk mewarisi setia dan kasih yang mereka pegang.

Sesungguhnya musibah itu ujian keredhaan, dan semoga redha itu milik kami. Abang long, bangunlah. Kami tunggu, kami rindu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...