Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Thursday, May 02, 2013

Selamat tinggal abang long..

Rasa tak percaya. Rasa kehilangan. Rasa terbang semangat yang ada. Rasa macam tak berdaya nak menerima takdir yang abang long dah kembali menemui pencipta yang Esa.

Petang Jumaat 26 April 2013 jam 6.50 pm, abang long hembuskan nafas terakhirnya tanpa sedikit pun kami sangka dia akan pergi tinggalkan kami. Jam 5 petang, kami masih mampu untuk tengok abang long duduk sambil bergurau dengan kami ahli keluarga. Jam 5 petang tu juga kami masih mampu tengok abang long duduk tanpa wayar yang berselirat seperti sebelumnya. Jam 5 petang tu juga kami masih mampu untuk dengar suara dan melihat senyuman abang long.

 'Bang, Imie dah balik dari KL" 
Kak long beritahu. Abang long senyum sambil tunjuk betis minta dipicit. Aku picit sampai beberapa ketika aku keluar daripada bilik rawatan AMC Hospital Kemaman. Baru tengahari Jumaat 1.40 pm abang long dipindahkan ke wad tu memandangkan Doktor kata abang long dah stabil dan semakin pulih. Sebab kepenatan dan pening kepala memandangkan baru je lepas pembedahan mata, aku minta izin abang long untuk balik awal. Aku janji esok aku datang tengok abang long lagi.

"siapa akan jaga pak long malam ni? Abang long tanya Nabila.
Nabila tanya abang long balik, "Pak long nak siapa jaga?" 
"Haziq"
"Abang haziq kat asrama Pak long, tak boleh balik lagi"
"Bukan Haziq, Najib pm"

Abang long bergurau, kami sama-sama gelak. Dan itu gurauan terakhir. Siapa sangka long, malam tu kami semua tunggu abang long dengan linangan air mata dan bacaan yaasin.

Jam 6.30 pm. Aku, Amir dan Idah baru je sampai kat rumah di kerteh. Kak Liza call, dengan suara menangis. " Mie, abang long berhenti bernafas lagi. Cepat datang hospital balik." Bergegas kami kembali ke hospital. Tapi sayang, abang long pergi semasa kami dalam perjalanan.

Menurut kak long, semuanya terlalu cepat. Masa kak long suapkan puding, abang long batuk ada kahak, abang long minta panggilkan nurse untuk sedut kahak. 15 minit kak long tinggalkan abang long untuk nurse sedut kahak, tiba-tiba doktor panggil beritahu abang long berhenti bernafas. Tepat Jam 6.50 pm. Tapi doktor akan cuba berusaha lagi. Tapi usaha doktor tak mampu menandingi takdir Yang Esa. 

Kami nampak abang long dah sihat, selepas 9 hari bergantung kepada mesin bantuan penafasan. Abang long makin rancak bercerita bila tiub penafasan ditanggalkan. Abang long minta nak makan aiskrim. Abang long minta nak makan pizza. Abang long minta nak bubur lambuk masak sendiri, tak nak bubur mc'D bila nurse cakap abang long dah boleh makan bubur. "Tak boleh long..nanti dah sihat, baru abang long boleh makan ye" Abang long angguk setuju. Abang long senyum menurut.

Long, kami tak sangka abang long tinggalkan kami saat kami semua fikir abang long akan sihat balik. Kami dah tengok abang long senyum, berborak, makan. Abang long beri kami harapan yang abang long mampu untuk kembali menjadi abang sulung kami yang sihat! Tapi abang long tinggalkan kami dalam 15 minit yang sangat kami tak jangka.

Long, kami masih perlukan abang long. Kami masih lagi adik-adik abang long yang mentah, yang masih perlukan perhatian dan nasihat abang long. Selama ni, abang long lah tempat rujukan kami. Abang long umpama kepala kami, umpama tali yang mengikat hubungan kita adik beradik. Semangat apa lagi yang tinggal untuk kami long? Abang long pergi meninggalkan rasa perit yang amat dalam dalam hati ni. Rindu pada abang long yang dah pergi takkan kembali, yang kami tahu takkan mampu kami ketemu lagi, rindu yang amat menyakitkan long.

"Mie, pagi tadi abang dah boleh bangun. Abang dah sihat" 
Kalau abang long dah sihat, kenapa abang long tinggalkan kami?

Long, kami menangis bukan tanda kami meratapi abang long pergi. Jauh sekali untuk kami menolak ketentuan takdir. Kami menangis kerana rindu. Kami menangis kerana tak percaya lelaki terpenting dalam hidup ni telah pergi. Sedih dan pilu yang bersarang bukan boleh dibuang dicampak sesenang itu.

Long, tenang lah abang long di sana. Kami redha. Kami takkan pernah berhenti merindui abang long. Doa ikhlas kami akan sentiasa mengiringi kehidupan abang long disana. Abang long tetap abang sulung terbaik yang paling sempurna yan kami ada.

Al-fatihah untuk abang long, Saharudin Mokhtar (13/06/1970- 26/04/2013)

2 comments:

san_lulu said...

Al-Fatihah...saya pun tumpang sedih mak mie... :(

anakpakmud said...

sedihnya..mcm arwah mak saya yg pergi 1 mac lepas..sehari sblm dia g mmg nampak sgt sihat..al fatihah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...