Terduduk kepenatan. Menghela nafas, panjang. Membuang pandang, jauh ke depan. Hidup mana yang tak letih? Meniti hari ini seperti hari-hari yang semalam, jujur memenatkan. Penat memikirkan masalah disekeliling yang tak pernah habis dan semestinya tak akan pernah habis. Masalah yang mempengaruhi emosi setiap kita, yakni manusia-manusia yang melihat dan memerhati walaupun tidak terlibat. Dunia ini benar-benar sarat sebenarnya, sarat dengan segala tingkah-laku manusia yang kadang-kadang tak mampu kita fahami dengan minda, apatah lagi untuk kita huraikan dalam bentuk cerita. Tingkah laku yang kerap kali tersasar dari landasan kemanusiaan yang sebenar.
Terlalu banyak rasanya permasalahan yang memberikan aura negatif kepada aku sendiri. Sehinggakan, hari demi hari, aku jadi terlalu malas untuk mengharungi dunia. Terasa macam mahu berputus asa dengan kehidupan sendiri. Sepertinya, setiap semangat yang pernah aku kutip sepanjang kehidupan ini, telah dikupas satu persatu oleh manusia-manusia dewasa yang aku jumpa saban hari. Ya, manusia-manusia dewasa yang beremosi. Emosi yang seringkali mengganggu emosi aku sendiri.
Walau apa pun, setiap kali ingin rebah, aku bisikkan pada diri sendiri. Aku katakan pada hati, untuk terus tabah dan menerima. Aku sedarkan kembali semangat yang hampir mahu lena, bahawa aku bukan sendiri di dunia ini. Aku katakan juga, masalah yang mendatang, bukan hanya aku seorang mengalami. Sesungguhnya, rasa jatuh dan ingin bangun itu ada dan wujud pada setiap makhluk bernyawa. Setiap kali murung, aku tanamkan azam bahawasanya aku tidak boleh mengalah sekarang, selepas 24 tahun kehidupan. Jika aku ingin kalah, aku sepatutnya menarik diri 24 tahun yang lalu. Dan, jika aku kalah sekarang, maknanya aku menafikan hakikat pembalasan yang dijanjikan tuhan.
Jadi, bergembiralah wahai seorang aku. Walau seteruk mana hari yang kita lalui, jangan biarkan emosi hari ini terus mengganggu perjalanan kehidupan hari esok. Bertenanglah wahai seorang aku, agar tak terlepas walau sesaat nikmat kehidupan yang diredhai.
Tuhan, bantu aku hadapi realiti kehidupan matang yang mencabar.
Perjalananmu jauh. Tetapi itulah yang dituntut olehmu demi mengejar sinar dihujung destinasi.
No comments:
Post a Comment