Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya aku masih mampu untuk menghirup udara syawal 2012. Hari ini 7 Syawal telah berlalu, menyaksikan banyak perkara telah berlaku. 7 Syawal yang berbeza daripada syawal terdahulu. Untuk 7 Syawal yang telah menyapa, ingin aku kirimkan pesanan buat insan-insan hebat disekeliling, khas buat kalian yang bakal memulakan fasa kehidupan baru.
Pertamanya, khas buat kekanda ku Aisyah yang telah diijabkabulkan dengan pasangannya pada 2 Syawal, aku titipkan setulus doa untuk kalian. Sebagai adik, tinggi harapanku untuk melihat mahligai yang kalian bina berkekalan hingga ke syurga. Telah dewasa rupanya kamu. Terasa seperti baru semalam kita meniti hari-hari membesar bersama. Bergaduh, berebut dan kembali berdamai. Jujur, aku akan rindu saat itu. Dalam gembira melihat kalian bahagia, sedikit sayu terselit. Sayu mengenangkan keutamaan mu selepas ini teralih pada suami, bukan lagi kami. Buat Irfan, besar harapanku untuk melihat kamu menjadi pemimpin terbaik untuk kekanda ku. Pimpinlah dia ke syurga, bentuklah dia sebaiknya.
Seterusnya, buat sahabat-sahabatku, Raziana & Fahmi (a.k.a Moky), Apis & pasangan, serta Zeqt & Liey. Setinggi tahniah untuk kalian. Tahniah kerana telah berani menyahut cabaran kehidupan matang. Doaku, semoga bahtera yang kalian layari akan tetap terus teguh berlayar walau sekuat mana badai dan ribut melanda. Tetapkanlah hati kalian untuk terus menjadi pencinta halal yang setia. Semoga dengan iman kalian, akan lahirlah putera puteri cahaya mata generasi terdidik suatu masa nanti. Sungguh, aku kagum dengan kalian.
Buat Ainun, selamat belajar menjadi dewasa sahabat! Selamat melangkah untuk melihat dunia luar yang lebih luas dari bumi Pahang ini. Selamat berdikari dan belajar untuk hidup sendiri, jauh dari pandangan dan jagaan keluarga. Percayalah, sudah tiba masanya untuk kamu belajar dan memerhati, lebih daripada apa yang kamu lihat sebelum ini. Semoga perjalanan kehidupanmu nanti akan mematangkan lagi seorang Sharifah Ainun Nor yang aku kenal. Jaga diri, jaga hati.
Juga pesanan buat kamu, terima kasih. Sungguh saya kagum dengan keberanian yang ditunjukkan, hingga saya rasakan bahawa tak layak sebenarnya untuk kita beriringan. Saya tak punya apa-apa, tiada harta mahupun rupa. Yang saya ada hanyalah harga diri yang selama ini saya junjung (seorang sahabat kata, saya ego). Saya tidak sempurna dan tidak mencari sempurna. Saya tidak berani menjanjikan apa-apa, cukuplah kalau saya katakan saya akan sentiasa belajar. Doa saya, walau apa jua takdir yang tertulis, semoga segalanya dipermudahkan.
Akhir sekali, pesanan untuk diri sendiri. Yakinlah wahai hati dengan keputusan yang diambil. Untuk segala rasa ragu yang bertandang, ingin aku campakkan sejauh yang boleh. Tuhan, bantulah aku perbaiki iman yang masih rapuh. Permudahkanlah langkahku, tetapkanlah hati dengan pilihanku.
Aku doakan semuanya yang baik-baik, untuk kalian dan juga untuk aku. Kerana sesungguhnya, kita layak untuk hidup bahagia jika kita pilih jalan bahagia yang betul.
Sebelum terlupa, Salam lebaran 2012. Maaf jika ada salah dan khilaf, dalam sengaja atau diluar kewarasan akal. Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Owh ya, untuk maryani dan yat juga. Tolong, jangan komen pada post ini. haha