Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Tuesday, October 30, 2012

Kosong



Positif. Rasional. Kuat.
itu yang kita selalu nak
bukan nak orang pandang kita hebat
tapi nak diri rasa selamat
selamat diri.selamat emosi.
walau apapun terjadi.

Sesekali mungkin hilang semangat.
Buntu. Keliru.
arah mana harus kita lalu
apa harus kita tuju
dan apa bakal berlaku.

Tapi hidup adalah hidup.
hadapilah.
seru semangat, kembalilah.

Walau apapun yang terjadi
berjalanlah tanpa henti..

Wednesday, October 10, 2012

Tahniah sahabat


2-3 malam yang lepas, aku bertanya khabar dan bertukar cerita dengan seorang sahabat. Sahabat yang aku kenali sepanjang pengajian satu ketika dulu. Sahabat yang baik, walau tidak setiap masa bersama dengan aku tapi masih punya waktu menghulurkan telinga untuk mendengar beban keluh kesah aku.

Sahabat aku itu, telah pun bertukar status beberapa bulan yang lepas. Daripada seorang gadis riang yang lincah tingkahnya, kini telah pun bergelar isteri orang. Melewati kisah cinta sahabat aku itu, jujur aku rasakan bahawa dia bertuah. Dia bertuah kerana jiwanya kental. Di bahu inilah pernah dia hamburkan tangis sewaktu air matanya sudah tak mampu bertahan, saat jiwanya sudah terlalu sakit, saat hatinya bagai dirobek oleh si lelaki yang juga sahabat aku. Saat dia merasakan bahawa kesetiaan dirinya tidak dihargai, saat cintanya bagaikan sudah tiada nilai, saat perasaannya jadi kosong-sekosong-kosongnya. Waktu itu, dia bagaikan tiada semangat apatah lagi melewati hari-hari dengan menatap wajah orang yang menghancurkan hati dia.

Sememangnya aku diantara yang benci pada couple. Tapi, aku juga tak sanggup melihat sahabat aku hilang arah hanya kerana cinta. Sebagai sahabat yang dia pernah percaya, aku sekadar mampu untuk tiupkan kembali kata-kata semangat dan harapan. Entah bagaimana terjadi selepas beberapa ketika jiwanya pulih,  hubungan mereka kembali bertaut. Awalnya aku marah, kerana pada aku dia terlalu mudah menyerah. Apabila melihat dia semakin gembira dengan jalan yang diambil, marah aku hilang. Terserahlah, itu perjalanan hidup dia dan dia berjanji yang dia tak akan jadi selemah dulu lagi.

Setelah lebih kurang beberapa tahun berkawan, mereka akhiri hubungan itu dengan akad yang menghalalkan ikatan. Alhamdulillah buat kalian. Aku gembira, kerana sebagai sahabat yang melihat mereka (kedua-duanya) jatuh, bangun dan cuba bertahan dengan cinta yang mereka semai, akhirnya kini mereka bersatu. 

Berbalik kepada cerita beberapa malam yang lepas, dia khabarkan berita yang mengejutkan untuk aku. Tunas cinta mereka sudah tersemai subur dalam kandungan. Alhamdulillah sekali lagi. Aku katakan pada sahabat itu, telah lengkaplah perjalanan seorang wanita dalam dirinya. Daripada seorang anak kecil yang tumbuh membesar menjadi gadis cantik, kemudian bertukar status kepada isteri orang dan kini sedang membawa satu nyawa didalam rahimnya. Sekali lagi aku gembira. Bukan sahaja kerana menjadi antara orang terawal yang dikhabarkan berita itu, tetapi aku juga gembira melihat dia meniti hari-hari bahagia dengan kematangan. Aku gembira, melihat dia gembira.

Nah! apalagi yang diingini oleh setiap jiwa perempuan? Pada aku, bukanlah karier yang tinggi melangit ataupun harta yang terlalu bertimbun. Cukuplah sebuah keluarga bahagia yang lengkap, punya suami dan anak-anak. Kerana sehebat mana pun wanita mengejar kehendak material itu, jauh di sudut hatinya dia tetap mahu bina syurganya sendiri. Buatmu sahabat, tahniah!

Akhir kata, rezeki itu bukan hanya pada harta dan kerjaya, tapi juga pada jodoh dan anugerah keturunan. Antara kita, rezeki kurniaan tak sama. Hebat dalam kerjaya, tapi jodoh belum menjelma. Kurang dalam berharta, tapi awal jodohnya. Kaya dan mampu memilik semua, tapi lewat atau tiada cahaya mata. Berbahagia dan bersyukurlah kita, walau punya satu daripadanya. Usah berkeluh kesah kerana tanpa sedar kita mungkin miliki apa yang insan lain masih tercari-cari.

Selamat malam manusia, semoga kita redha dengan rezeki yang kita perolehi.

Friday, October 05, 2012

Maaf


Kalau kita sedang marah, maknanya syaitan sedang mendampingi kita. Kalau kita tak mampu nak kawal kemarahan tu, maknanya syaitan dah berjaya menguasai kecetekan nafsu dan lemahnya akal fikiran kita. Apatah lagi, jika kerana perasaan marah tu kita mengeluarkan perkataan-perkataan yang boleh menyinggung perasaan orang lain sama ada kita sedar ataupun tak.

Ya, semalam aku agak marah. Atau lebih tepat lagi mungkin kecil hati? Entah, aku tak tahu. Yang penting, apa yang aku rasa semalam ialah perasaan yang tidak sihat. Rasa panas dan terbakar yang aku cuba kawal, tapi aku tak berjaya padamkan sepenuhnya. Aku mahu untuk tidak marah, menjadi tak kisah dan tidak terkesan walau sedikit pun dengan apa yang sudah dan akan berlaku. Aku mahu jadi seorang sahabat yang sentiasa mahu menyokong tanpa sebarang rasa prejudis. Aku mahu jadi ikhlas dalam memberi tanpa mengharapkan apa-apa penghargaan. Aku mahu jadi seorang teman yang kamu akan selesa bila berdampingan. Aku mahu jadi manusia yang punya perasaan baik-baik saja. Tapi sayang, apa yang aku mahu tak semestinya itu yang terjadi kan?

Aku kecil hati, merasakan diri kurang dihargai. Itu tak ikhlas namanya kan? Aku cuba buang, tapi setakat ini aku belum mampu campakkan jauh-jauh. Syaitan masih cuba menghasut untuk aku tinggalkan rasa itu walau sedikit. Ikhlaslah wahai hati. Bila ini terjadi, aku cuba jarakkan diri seketika. Untuk aku berfikir sejenak, mencari dimana silap dan untuk elakkan diri daripada terus disimbah amarah yang memburukkan lagi keadaan. Walau cuba menjauh, tapi aku tetap mahu kamu dekat. Pelikkan manusia?

Aku termalu sendiri. Aku cuba untuk menjadi sebaik mungkin yang aku mampu, walau jauh untuk mencapai tahap kesempurnaan. Aku berusaha, tapi aku tetap melakukan silap yang sama. Aku masih seorang aku yang pentingkan keinginan diri. Aku rupanya bukan penyokong yang hebat, kadang-kadang aku sekadar melemahkan semangat. Aku tidak sematang dan setenang, seperti yang selalu aku inginkan. Aku buntu bagaimana seharusnya aku memberi reaksi terbaik dalam setiap perkara.

Buat sesiapa sahaja yang diluar sana, maaf atas karenah ini. Terima kasih jika kamu masih sudi bertahan, maaf jika kamu rasa ini membebankan. Maaf atas reaksi keanak-anakan. Maaf..

p/s: oh ya, saya tak nak jadi Gayah yang kehilangan Zali nya. Alfatihah untuk Amirul Mazlan a.k.a zali, pelakon drama masihkah ada ramadhan yang telah kembali ke rahmatullah. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.


Wednesday, October 03, 2012

Mencari Bahagia

Untuk setiap apa yang sedang bermain dijiwa
diwaktu saat dan ketika ini
sama ada bahagia dan gembira
berharap pada bunga-bunga
yang sedang tumbuh mekar dikamar hati
terus berseri indah kembang mewangi
bersama kelopak warna-warni
rama-rama yang menari
dengan riang menebarkan sebuah rasa
yang tak terluah dengan bicara kata-kata

Ini cerita perjalanan mencari bahagia
seorang aku yang tak punya apa-apa
sekadar manusia kecil yang sentiasa percaya
takdir tuhan itu pasti menyapa
walau selewat atau seperit mana yang dilalui
pasti ada
adil untuk mereka yang yakin pada realiti
walau sesekali keliru menyapa di penghujung hari

Tetapkan hati aku
demi bahagia yang aku cari
di jalan redha-Mu
demi bahagia yang Kau kurnia
di jalan benar-Mu
demi bahagia yang Kau janji
selagi mana aku mencari bahagia dijalan-Mu

Jika seorang dia, jawapan yang Kau utuskan
untuk setiap doa bahagia yang aku pinta
saban waktu meniti hari sejak dulu hingga kini
perkenankanlah. permudahkanlah.

Ikhlaskan aku
dalam mencari bahagia itu.
redhakanlah perjalanan ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...