Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Monday, December 31, 2012

Tolong selamatkan dia, abangku.

I'm tired, I want to sleep but I can't because I'm worried.

Ini cerita penghujung tahun 2012 dan permulaan 2013 yang aku tak pernah jangka. Seharian di hospital, menemani saudara kandung yang sedang diuji dengan dugaan kesihatan. Sungguh, aku tak mampu. Pertama kali dalam seumur hidup ini rasanya, melihat saudara rapat sedarah dan sedaging terlantar lemah tak berdaya dengan mesin dan wayar disekeliling. Waktu aku kehilangan arwah abah suatu ketika dulu, bukan pemandangan begini yang aku lihat. Abah harungi kesakitan tanpa wayar yang berselirat. Pemandangan ini benar-benar menakutkan.

Sepasang tangan yang pernah memimpin aku suatu ketika dulu, sedang terketar lemah dan layu. Sepasang telinga yang sebelumnya menjadi pendengar untuk setiap cerita duka dan gembira aku, kini seolah semakin tak berdaya. Suara yang dulu tak pernah lokek memberi pendapat juga nasihat, tadinya kedengaran perlahan. Mata yang dulunya selalu menjadi pemerhati kepada adik-adik, tadinya semakin kuyu. Nafas yang dihela seolah-olah terlalu berat. Dada tidak lagi berombak tenang saat nafas dihembus dan ditarik.  Tapi, jenaka dan tawanya masih mampu menghiasi ruang kecil ICU/HDU.

Seorang abang yang seminggu dua ini tampak biasa-biasa, sungguh aku tak sangka akan terbaring hari ini. Melihat kesakitan itu, aku jadi terdiam. Seperti hampir mengalir air mata. Tapi aku cuba pinjam semangat dan kekuatan kak long, seorang isteri yang tampak seperti tabah dan tenang dari luarannya. Semoga emosinya juga begitu. Aku tidak mahu jadi lemah, kerana untuk hari ini hanya aku peneman dan pemberi sokongan untuknya.

Hari ini, abang long disahkan mengalami kegagalan buah pinggang. Terlalu drastik rasanya, tanpa kami ketahui apa puncanya dan bila bermula. Padahal abang long bukan lah terlalu kerap mengambil ubat berisiko. Dialisis kali pertama tak mampu abang long habiskan kerana pengsan dipertengahan rawatan. Tak pernah aku lihat dia selemah itu. Terlalu sukar untuk digambarkan dengan kata-kata bagaimana abang long yang aku lihat  tadi sangat berbeza dengan abang long yang aku kenali sepanjang hidup ini.

Harapan untuk tahun baru ini, tiada lain yang aku mahu. Cukuplah, kesihatan yang baik untuk kami sekeluarga, dan semoga abang long terus kuat kerana belum mampu untuk aku hadapi sebuah kehilangan.

Tuhan, tolong selamatkan dia abangku. 

p/s: Syukur dan terima kasih Allah, kerana mengelakkan aku dari kemalangan sebentar tadi. Aku terleka seketika, akal tiba-tiba kosong, fikiran melayang hingga aku hilang perhatian. Maaf, aku alpa.


Thursday, December 27, 2012

Itu Ini Begitu Begini



Itu ini begitu begini, Beza persepsi di sana-sini,
Cara dia dan cara mereka, Masing-masing punya citarasa,
Itu ini begitu begini, Gosip sensasi di sana-sini,
Kisah dia cerita mereka, Tak peduli benar atau dusta

Mirwana&Altimet

Tuesday, December 25, 2012

Peduli

There are only two reasons why people can hurt you.
1. You really care about them.
2. They don't really care about you
Betulkan? Maksud kat sini bukan 'hurt' yang biasa-biasa, yang lepas 5-10 minit boleh hilang, paling lama pun setengah jam. Bukan 'hurt' yang kalau seseorang tu buat sesuatu yang dasyat baru terkesan kat hati kita. Tak. Ini adalah 'hurt' yang super-duper menyakitkan walaupun puncanya sebesar zarah.

Kalau seorang kawan yang biasa-biasa je dengan kita, lupa nak ucapkan selamat hari lahir. Bukan lupa, bahkan tak tahu langsung pun bila hari lahir kita. Adakah kita akan rasa kecil hati? Jangan kata kecil hati, bahkan kita langsung tak kisah pun sebenarnya. Sebab dia adalah kawan kita, yang kita tak berapa peduli pasal dia dan kita pun tahu dia tak berapa peduli kat kita. (Peduli kat sini bukan bermakna tak ambil kisah langsung)

Kalau seorang kawan yang biasa-biasa je dengan kita balas mesej selepas seminggu kita hantar text kat dia, kita tak rasa apa-apa kan? Dan kawan tu balas dengan jawapan pendek, sekerat-sekerat. Walaupun mesej tu, 'Hai, ape khabar? Lama tak dengar cerita kau" dan dia reply " Hai, sihat. Aku busy sikit sekarang". Kenapa kita tak rasa apa-apa? sebab kedua-dua pihak, samaada kita ataupun dia tak peduli sangat kat antara satu sama lain.

Peduli kat sini bukan bermakna tak ambil kisah langsung. Tapi peduli yang aku maksudkan ialah tak melibatkan soal peribadi yang mendalam. Kita tak pernah mesej kawan biasa-biasa kita untuk tanya dia dah makan ke belum, kat mana, dengan siapa, buat apa, sihat atau tak, bla-bla-bla-bla. Sebab kita tahu, tak penting untuk kita tahu semua tu. Itu personal life masing-masing dan kalau kita tahu pun, untuk apa kan?

Tapi dengan orang yang kita betul-betul peduli, kisah jadi lain. Keadaan jadi sebaliknya bila orang yang kita peduli, kurang peduli kat kita. Dan kita mudah rasa berjauh hati dengan orang yang kita peduli."Hai, kat mane ni? Buat apa?" kemudian 2 jam lepas tu baru dapat reply " Hai, kat rumah. Tido". Confirm hati rasa macam ada luka sikit kan? sebab macam orang di pihak sana tak berapa minat nak reply mesej kita, sebab tu la reply lambat dan pendek.

Contoh lain, ucap birthday lewat sehari atau pergi mana-mana tak beritahu. Kalau ikutkan hukum dan logik akal, memang tak perlu pun nak berkecil hati sebab birthday is just like the other normal day and every people have their own rights where to go and when. Tapi hukum perasaan menidakkan hukum logik tersebut. Kerana tu lah, perkara sekecil zarah macam ni pun boleh menyebabkan pihak yang satu lagi rasa 'hurt'.

Pada aku, kebanyakan kes 'hurt' ni disebabkan oleh alasan yang pertama yakni terlalu peduli dan cakna pada seseorang. Jadi untuk mengelakkan kita rasa sakit, apa kata ubah diri untuk tak terlalu ambil berat dan berharap pada pihak yang satu lagi. Berkawan dan berhubung seadanya. Bila kita tak terlalu ambil berat ke atas seseorang, maka kita takkan mudah terasa hati bila dia pun abaikan kita. Boleh? Kita peduli, biar yang bertempat.

p/s: Yat, dah tahu ke makna cakna?

I pretend that I don't care, but it makes me miss U more. Eh?

Sunday, December 23, 2012

Selamat tinggal 2012

2012 yang bakal pergi, beberapa detik lagi melabuhkan tirai hari. Membawa impian menjadi mimpi bersama makna hidup yang dicari. 2012 yang pernah memberi  putus asa dan 2012 juga yang kembali memberi rasa. 2012 yang pernah buat aku terduduk seketika, dan 2012 yang kembali memberi senyuman bahagia.

Permulaan 2012 yang penuh dengan keterujaan, memulakan januari dengan penuh rasa ingin tahu akan apa yang bakal terjadi. Perpindahan karier daripada Pfizer ke Nestle, dengan harapan tiap-tiap hari aku akan bersemangat dan ikhlas buat kerja berbanding dengan masa kat Pfizer dulu (tapi sayang impian ni tak berapa menjadi kenyataan). Sehingga selalu juga aku terfikir, ini ke destiny aku? Tak apa, biar takdir yang tentukan.

Permulaan 2012 juga membawa aku menjadi lebih pasrah dan redha. Lebih memikir hala tuju kehidupan Bebaskan pemikiran tak matang dan harapan yang tak berkesudahan. Yang berlalu, aku biarkan ia berlalu. Aku cari semangat yang baru.

Meniti 2012, sendirian merantau di bumi Kuantan, tidak banyak yang berubah. Hampir menyerahkan surat berhenti kerja kepada boss masa probation sebab tak tahan dengan tekanan, takut tak mampu menggalas amanah, tapi kesabaran membawa aku bertahan sehingga hari ini. Setiap hari bangun pagi aku bisikkan pada diri, ikhlaskan hati, kerja itu ibadat. Cabaran kerja memang pelbagai, tapi telankan saja wahai diri.

Pengakhiran 2012, tak mampu aku tulis. Hampir setahun bergelar pekerja Nestle. Setahun lebih membina hidup di bumi Kuantan. Cuba dan terus mencuba, untuk lalui hidup dengan ikhlas. Terlalu banyak rasanya harapan di penghujung tahun ini.

2012 ini, banyak yang berlaku, banyak yang istimewa dan banyak juga pahitnya. Tapi, entah lah.. Selamat tinggal 2012.

p/s: ini bukan post yang bagus. Banyak benda nak ditulis, tapi hilang idea untuk terjemahkan dalam bentuk ayat.

Sunday, December 02, 2012

Catatan hari lahir 021212

Syukur aku panjatkan kehadrat Ilahi kerana masih memberi peluang dan ruang untuk aku bertapak dibumi Mu..

Tarikh hari ini mungkin tak akan punya erti pada orang lain, tapi cukup bermakna pada aku. Tarikh dimana, 24 tahun lalu takdir membawa aku menjadi salah seorang penghuni dunia. Sedar tak sedar, setahun kehidupan ini berjaya aku lepasi lagi. Tiada apa yang ketara berbeza. Penghargaan terbesar untuk insan-insan yang telah bersama aku meniti jatuh bangun, kerana tanpa mereka tak mungkin aku lalui 24 tahun kehidupan dengan penuh erti.

Untuk emak yang melahirkan, dikaulah manusia agung dimata dan hati aku. Bukan sedikit keringatmu tumpah untuk melihat aku tumbuh membesar menjadi manusia. Tuhan, berkatilah dia ibuku. Berilah dia kesihatan yang baik serta sedikit lagi masa untuk melihat kami menjalani hidup bahagia. Peliharalah lidah dan percakapan serta perbuatanku, daripada mengecilkan hati tuanya. Terima kasih mak, untuk semuanya..

Untuk arwah abah, dikau tetap dihati walau masa terus berlalu. Walau abah tak sempat melihat aku menjadi dewasa, tapi percayalah bahawa abah tak pernah hilang dihati. Tanpa garang dan tegas abah, tak mungkin untuk aku berdiri sebagai aku yang hari ini.

Untuk abang long dan kak long yang telah banyak menabur jasa, dari aku sekecil budak yang masih berhingus sehinggalah sedewasa sekarang. Terima kasih kerana menjadi pembimbing dalam sedar ataupun tidak. Terima kasih atas segala pengorbanan material mahupun masa dan waktu yang telah kalian laburkan dari dulu hingga kini. Buat kak long, kaulah kakak ipar kebanggaan yang benar-benar meletakkan diri sebagai kakak sulung kami.

“Kak long panjat bukit Jabal Rahmah sebab nak berdoa untuk kau Mie”

Terima kasih kak long! Tiada ungkapan sehebat syukur dan terima kasih pada Allah kerana mendatangkan insan seperti kak long dalam kehidupan kami.

Buat abang dan kakak-kakak yang lain, terima kasih yang tak terhingga juga.Waktu kecil dulu, kalianlah rakan sepermainan yang paling setia. Dalam bergaduh dan bertengkar, aku masih tetap selamat dalam perlindungan kalian. Meniti perjalanan menuju dewasa, walau berjauhan kerana tuntutan kehidupan masing-masing kalian masih lagi saudara kandung terhebat. Kalianlah antara semangat terkuat setiap kali aku hampir jatuh terduduk menghadapi lewat cabaran dunia. Walau jarang ungkapan sayang antara kita meniti dibibir, tapi jauh disudut hati kita tahu sayang itu kukuh memagari silaturrahim ini.

Buat adik-adik, kalian juga warna terpenting dalam hidup ini. Dari dulu, aku ingin jadi kakak yang boleh kalian banggakan. Aku ingin jadi kakak yang melindungi walau kadangkala tanpak garang dan tak memahami. Leteran yang kadang-kadang membingitkan, tanda bahawa aku sayang dan cakna pada kalian. Walau hakikatnya kalian juga sedang meniti tangga-tangga kedewasaan bersama dengan aku, pada mata ini kalian masih lagi adik-adik kecil hingusan yang masih perlu perhatian. Terima kasih adik-adik, kerana tak pernah bosan mendengar bebelan meletihkan jauh sekali untuk hilang rasa hormat. Terima kasih kerana menjadi sahabat paling rapat dari dulu hingga kini.

Buat keluarga tersayang, kalianlah kekuatan sebenar dalam aku meniti perjalanan ini. Tanpa kalian, aku selemah si tua yang kehilangan daya. Semoga ukhwah ini akan sentiasa terpelihara walau kadangkala bergelora. Kekuatan, semangat, harapan. Itu untuk kalian, juga dari kalian. Untuk 24 tahun genap kehidupan ini, terima kasih atas bakti suci yang kalian berikan.

Buat teman-teman, kalian datang dan pergi. Tak ramai yang mampu untuk kekal disini. Tidak mengapa, kerana tuntutan hidup sememangnya begitu. Terima kasih juga kerana sekurang-kurangnya kalian pernah hadir memberi warna dan rasa walau apa pun ia. Walau cerah atau gelap, walau putih atau kelabu, walau rasa itu pahit atau payau, mahupun manis berselang kelat, sekurang-kurangnya kalian pernah hadir. Untuk yang masih kekal disini, masih terus memahami dan bertahan dengan karenah aku, apa lagi ucapan terhebat yang mampu aku berikan selain terima kasih?

Ya Allah, aku mohon kau berkatilah mereka-mereka ini. Mereka-mereka yang telah membahagiakan aku. Mereka-mereka yang telah memahat semangat dan kekuatan untuk aku terus bertahan dibumi-Mu. Mereka-mereka yang tak lokek menghulur telinga saat aku terlalu ingin untuk berkata meluahkan rasa. Mereka-mereka yang memberikan bahu untuk aku bersandar saat aku terlalu lelah dan penat menyahut cabaran kehidupan. Berkatilah mereka Ya Allah..

Ya Allah, Jika masih diberi peluang untuk aku berjumpa dengan 2 Disember yang akan datang, aku mohon Kau kuatkan dan teguhkan hatiku lebih dari sebelumnya. Kerana aku tahu, hari-hari yang mendatang cabarannya bukan calang-calang. Kau ikhlaskanlah hati ku untuk terus menjadi manusia syukur yang berbudi dibumi-Mu.

                         
p/s: happy birthday untuk diri sendiri! Abang long kata tak sempat beli kek tadi, cepat sangat nak balik sini. Orang baru tengah nak uli tepung kat kedai =p.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...