Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Wednesday, July 24, 2013

Kamu, Ramadhan.

Seperti putaran bumi
yang tak pernah gagal mengelilingi mentari
demi sejalur cahaya memberi bakti
menyinari nafas manusiawi
begitulah datangnya kamu
tanpa cepat atau lewat
walau sedetik mahupun sesaat.

Hadir kamu kali ni. Hadir lagi. Menepati janji
Kamu mungkin sama pada mereka
tapi kamu kali ini berbeza untuk aku
dulu kamu datang kami sambut bahagia
kini bahagia itu berselang walang duka

Kamu,
hadir saat aku terasa kehilangan (kamu ada gantinya)
datang saat aku terduduk seketika (kamu kuatkan aku bangkit semula)
mampir saat aku menangis hiba (kamu berikan aku senyuman ceria)
kamu muncul saat aku didatangi cubaan kehidupan
dan aku tahu kamu tiupkan semangat juang untuk bertahan

Kamu akan tetap setia, cuma aku yang terkadang leka
tetap akan datang seperti sekarang dan sebelumnya
tetap memberi cahaya pada yang mengharap bahagia
dan semoga kamu terus sebarkan kuat semangat jiwa
untuk aku, untuk mereka.

Kamu, bulan kerinduan
Ramadhan penuh kemulian

..kerna dalam hatiku selalu ada kamu (takut)

                                          

mungkin ku tak bisa menyatakan
apa yang terlintas di benakku
bukan kerana ku tak mencinta
cuma kerana ku tak mampu menatap matamu

tapi bukankah semua rasaku
sedia kau tahu tanpa ku perlu
menggapai pena dan menulis
apa yang ada di hatiku

kerna dalam hatiku,
selalu ada kamu

Tuhan tolonglah ku
kerna aku takut kehilangan dia
kerna aku takut dia kan pergi
meninggalkan ku sendiri di sini

Tuhan tunjukkanlah
apa yang terukir dalam hatinya
jalan mana yang harus ku datangi
agar terlerai kusut ini

tapi bukankah semua rasaku
sedia kau tahu tanpa ku perlu
menggapai pena dan menulis
apa yang ada di hatiku

kerna dalam hatiku,
selalu ada kamu

Tuhan tolonglah ku
kerna aku takut kehilangan dia
kerna aku takut dia kan pergi
meninggalkan ku sendiri di sini

Tuhan tunjukkanlah
apa yang terukir dalam hatinya
jalan mana yang harus ku datangi
agar terlerai semua kusut ini

Tuhan tolonglah ku
pinjamkan kembali dia padaku
pegangkanlah takdir ini untukku
kembalikan dia seperti dulu

Tuhan tunjukkanlah
apa yang terukir dalam hatinya
jalan mana yang harus ku datangi
agar terlerai kusut ini

Takut, AmalinaAlias

Monday, July 15, 2013

Ramadhan, dugaan dan hikmah.

Ramadhan bulan hikmah. Bulan kesabaran. Bulan terujinya keimanan. Bulan baraqah yang penuh kemeriahan pada yang ikhlas meraikan. Dan ramadhan pada tahun ini, sememangnya bulan dugaan.

Melihat seorang kak long bertarung dengan kesakitan sejurus selepas pembedahan membuang tumor di kepala, air mata gugur lagi. Melihat dia mengadu sakit, memuntahkan segala isi perut sambil memanggil-manggil abang long, air mata memang tak mampu berhenti. Melihat dia tiada kekuatan untuk terus melawan dugaan penyakit ini, aku sendiri kalah dengan emosi. Pantang jururawat bertanya dimana suaminya, pasti mengundang rasa sebak dan diam dalam beberapa ketika.

Pembedahan 5 hari sebelum ramadhan, menjadikan aku seolah-olah terlupa untuk mengalu-alukan kedatangan bulan mulia ini. Menghadapi kak long yang seperti kembali menjadi kanak-kanak bukan sahaja mengundang rasa sayu yang amat sangat, bahkan mengingatkan aku pada saat-saat akhir hayat abang long. begitulah keadaanya.

Saat lega melihat kak long yang menunjukkan peningkatan positif walaupun berperangai kebudak-budakkan, 2 ramadhan sekali lagi memberi kejutan. Saat menerima khabar mak pengsan beberapa kali, sememangnya aku risau tapi masih mampu untuk bertenang. Tapi saat menerima perkhabaran kedua, peluang mak 50-50 kerana kegagalan jantung, risau yang bersarang tak mampu dibendung. Petang jumaat itu, terus aku ke IJN sambil dalam hati tak habis berdoa semoga semuanya akan selamat.

Dugaan menjelma lagi. Jantung mak semakin lemah dan tak mampu untuk dikawal sendiri. Mak perlukan alat ICD, untuk memberikan kejutan elektrik automatik apabila jantung mak berhenti berdegup secara tiba-tiba. Mak semakin lemah, tapi untuk menghadapi sebuah lagi kehilangan selepas pemergian abang long, kami memang belum kuat. Pada mulanya aku ingatkan ratusan ringgit atau mungkin mencecah ribuan ringgit, tapi kos ICD single chamber bukan semurah itu. Dalam masa yang terdekat ini untuk membolehkan hayat mak masih bersama kami, RM32K diperlukan bagi membolehkan ICD ditanam didada mak. 

Pesan doktor, "your mother's life now, depend on that device".

Bertimpa-timpa ujianMu Allah. Kami masih perlukan mak. Kami masih perlukan kak long. Kedua-dua insan ini adalah kekuatan kami. Luarannya aku senyum, aku ketawa, aku masih mampu bersenda gurau. Tapi dalam hati ini, hanya tuhan yang tahu betapa rasa risau ini mengatasi segalanya. Walau penat dan letih, terpaksa berulang alik daripada PJ ke Sime Darby Medical Centre Ara Dmansara dan ke IJN Kuala Lumpur, tapi demi dua orang insan kesayangan ni, aku lupakan rasa penat dan lelah itu. Hanya puasa pertama aku berbuka di rumah, selebihnya IJN adalah tempat wajib aku setakat ini.

'Kalau abang long ada, apa agaknya keputusan abang long? mesti kita tak secemas ni. Sekarang keputusan penting ni, kita kena buat sendiri"

Walau apapun, kami tetap kena terima dugaan ni. Kami tak ada pilihan. Abang long dah tak ada, keputusan penting ini perlu kami buat. RM32K perlu kami cari. Kalau dulu abang long tempat kami bergantung, sekarang semuanya terpulang atas pundak kami. Ya Allah, permudahkan urusan kami. Kuatkan kami menghadapi dugaan Mu kerana aku percaya ada hikmah diatas setiap kesulitan yang kau berikan ini.

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan
6 Ramadhan 1434 Hijrah.

Tuesday, July 02, 2013

Tolong sampaikan pada dia

Tolong beritahu si dia aku ada pesanan buatnya

Tolong beritahu si dia, cinta agung adalah cintaNya
Tolong beritahu si dia, cinta manusia bakal membuatnya alpa

Tolong nasihati si dia, jangan menyintaiku lebih dari dia menyintai Yang Maha Esa
Tolong nasihati si dia, jangan mengingatiku lebih dari dia mengingati Yang Maha Kuasa
Tolong nasihati si dia, jangan mendoakanku lebih dari dia mendoakan ibu bapanya

Tolong katakan pada si dia, dahulukan Allah kerana di situ ada syurga
Tolong katakan pada si dia, dahulukan ibu bapanya kerana di telapak itu syurganya

Tolong ingatkan si dia. Aku terpikat kerana imannya bukan rupa
Tolong ingatkan si dia. Aku lebih cintakan zuhudnya bukan harta
Tolong ingatkan si dia aku kasihinya kerana santunnya

Tolong tegur si dia, bila dia mula mengagungkan cinta manusia
Tolong tegur si dia, bila dia tenggelam dalam angan-angannya
Tolong tegur si dia, andai nafsu mengawal fikirannya

Tolong sedarkan si dia. Aku milik Yang Maha Esa
Tolong sedarkan si dia. Aku masih milik keluarga
Tolong sedarkan si dia, tanggungjawabnya besar kepada keluarganya

Tolong sabarkan si dia, usah ucap cinta di kala cita-cita belum terlaksana
Tolong sabarkan si dia, andai diri ini enggan dirapati kerana menjaga batasan cinta
Tolong sabarkan si dia, bila jarak mejadi penyebab bertambah rindunya

Tolong pesan padanya. Aku tidak mahu menjadi fitnah besar kepadanya
Tolong pesan padanya. Aku tak mahu menjadi punca kegagalannya
Tolong pesan padanya aku membiarkan Yang Esa menjaga dirinya

Tolong khabarkan pada si dia. Aku tidak mahu melekakan dia
Tolong khabarkan pada si dia. Aku mahu dia berjaya dalam impian dan cita-citanya
Tolong khabarkan pada si dia, jadilah penyokong dalam kejayaanku

Tolong sampaikan pada si dia. Aku mendambakan cinta suci yang terjaga
Tolong sampaikan pada si dia, cinta kerana Allah tidak ternilai harganya
Tolong sampaikan pada si dia, hubungan ini terjaga selagi dia menjaga hubungan dengan Yang Maha Kuasa
Tolong sampaikan kepada si dia kerana aku tidak mampu memberitahunya sendiri

Hanya Engkau Ya Allah mengetahui siapa si dia

Moga pesananku sampai padanya walau aku sendiri tidak mengetahui siapa dan di mana si dia

P/s: aku copy paste tulisan ini daripada blog seorang teman. Pesanan penuh makna, lalu aku ingin sampaikan pesanan ini juga. Ya Allah, tolong beritahu dia. Tolong nasihati dia. Tolong katakan pada dia. Tolong ingatkan dia. Tolong tegur dia. Tolong sedarkan dia. Tolong sabarkan dia. Tolong pesan padanya. Tolong khabarkan dia. Tolong sampaikan pada dia. Ya Allah, tolong aku juga sebagaimana pinta pertolongan ke atas dia. Terima kasih Seni Jari, untuk pesanan ikhlas ini.

Monday, July 01, 2013

Pesan pada diri

Pesan pada diri,
Ucapkan selamat tinggal kepada Jun. Selamat tinggal penggal pertama untuk tahun 2013. Selamat tinggal air mata yang pernah mengalir hiba. Selamat tinggal duka, menangisi sebuah kehilangan yang tak terjangka. Selamat tinggal rasa kecewa yang lama. Untuk setiap rasa bahagia, semoga kalian akan terus disini. Terus menemani aku menyahut perjuangan, meniti suka duka tangis tawa sepanjang perjalanan mendatang.

Pesan pada diri,
Ucapkan selamat datang kepada Julai. Selamat datang penggal ke dua untuk tahun 2013. Selamat datang cabaran yang sedang menunggu giliran. Selamat datang dugaan yang akan mendewasakan sebuah kejadian manusia bernyawa. Selamat datang juga kesabaran yang sudah diasah setiap kali kesukaran menjengah. Selamat datang semangat untuk meneruskan perjuangan kehidupan. Selamat datang kekuatan.

Pesan pada diri,
Izinkan aku untuk terus berdiri, walau kadang-kadang aku terduduk lemah. Izinkan aku untuk terus bernafas, walau kadang-kadang aku hampir lemas. Izinkan aku untuk terus senyum, walau kadang-kadang amarah bergilir menjengah. Izinkan aku untuk terus kuat, walau kadang-kadang terasa ingin mengalah. Izinkan aku untuk bangkit, setiap kali aku tersungkur rebah.

Pesan pada diri,
Kehidupan ini milik aku. Izinkan aku untuk jadi matang, dalam setiap pemikiran dan perbuatan. Ya Allah, redhakan nikmat yang telah kau kurniakan untuk aku selama ini.

p/s: Dah bulan 7. Tolong sedar diri, buat sesuatu! Masa tu sekejap je sebenarnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...