Ramadhan bulan hikmah. Bulan kesabaran. Bulan terujinya keimanan. Bulan baraqah yang penuh kemeriahan pada yang ikhlas meraikan. Dan ramadhan pada tahun ini, sememangnya bulan dugaan.
Melihat seorang kak long bertarung dengan kesakitan sejurus selepas pembedahan membuang tumor di kepala, air mata gugur lagi. Melihat dia mengadu sakit, memuntahkan segala isi perut sambil memanggil-manggil abang long, air mata memang tak mampu berhenti. Melihat dia tiada kekuatan untuk terus melawan dugaan penyakit ini, aku sendiri kalah dengan emosi. Pantang jururawat bertanya dimana suaminya, pasti mengundang rasa sebak dan diam dalam beberapa ketika.
Pembedahan 5 hari sebelum ramadhan, menjadikan aku seolah-olah terlupa untuk mengalu-alukan kedatangan bulan mulia ini. Menghadapi kak long yang seperti kembali menjadi kanak-kanak bukan sahaja mengundang rasa sayu yang amat sangat, bahkan mengingatkan aku pada saat-saat akhir hayat abang long. begitulah keadaanya.
Saat lega melihat kak long yang menunjukkan peningkatan positif walaupun berperangai kebudak-budakkan, 2 ramadhan sekali lagi memberi kejutan. Saat menerima khabar mak pengsan beberapa kali, sememangnya aku risau tapi masih mampu untuk bertenang. Tapi saat menerima perkhabaran kedua, peluang mak 50-50 kerana kegagalan jantung, risau yang bersarang tak mampu dibendung. Petang jumaat itu, terus aku ke IJN sambil dalam hati tak habis berdoa semoga semuanya akan selamat.
Dugaan menjelma lagi. Jantung mak semakin lemah dan tak mampu untuk dikawal sendiri. Mak perlukan alat ICD, untuk memberikan kejutan elektrik automatik apabila jantung mak berhenti berdegup secara tiba-tiba. Mak semakin lemah, tapi untuk menghadapi sebuah lagi kehilangan selepas pemergian abang long, kami memang belum kuat. Pada mulanya aku ingatkan ratusan ringgit atau mungkin mencecah ribuan ringgit, tapi kos ICD single chamber bukan semurah itu. Dalam masa yang terdekat ini untuk membolehkan hayat mak masih bersama kami, RM32K diperlukan bagi membolehkan ICD ditanam didada mak.
Pesan doktor, "your mother's life now, depend on that device".
Bertimpa-timpa ujianMu Allah. Kami masih perlukan mak. Kami masih perlukan kak long. Kedua-dua insan ini adalah kekuatan kami. Luarannya aku senyum, aku ketawa, aku masih mampu bersenda gurau. Tapi dalam hati ini, hanya tuhan yang tahu betapa rasa risau ini mengatasi segalanya. Walau penat dan letih, terpaksa berulang alik daripada PJ ke Sime Darby Medical Centre Ara Dmansara dan ke IJN Kuala Lumpur, tapi demi dua orang insan kesayangan ni, aku lupakan rasa penat dan lelah itu. Hanya puasa pertama aku berbuka di rumah, selebihnya IJN adalah tempat wajib aku setakat ini.
'Kalau abang long ada, apa agaknya keputusan abang long? mesti kita tak secemas ni. Sekarang keputusan penting ni, kita kena buat sendiri"
Walau apapun, kami tetap kena terima dugaan ni. Kami tak ada pilihan. Abang long dah tak ada, keputusan penting ini perlu kami buat. RM32K perlu kami cari. Kalau dulu abang long tempat kami bergantung, sekarang semuanya terpulang atas pundak kami. Ya Allah, permudahkan urusan kami. Kuatkan kami menghadapi dugaan Mu kerana aku percaya ada hikmah diatas setiap kesulitan yang kau berikan ini.
Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan
6 Ramadhan 1434 Hijrah.
1 comment:
Berat dugaan.. Aku tau kau kuat. Semoga Allah tunjukkan jalan & permudahkan segalanya mie.. Ameenn..
Post a Comment