Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Wednesday, January 30, 2019

Anak juling, apa nak buat?

Ramai yang tanya, kenapa Zinnirah kena pergi klinik pakar mata? Alhamdulillah kesihatan zinnirah baik-baik sahaja. Cuma, mata Zinnirah juling sikit.
Juling yang tak ketara. Kadang -kadang terjadi. Pagi petang siang malam? Tak kira, bila-bila masa boleh jadi juling. Kebanyakan masa juling tu tak kelihatan. Sampaikan 3kali mengadu kat doktor dulu, doktor kata mata Zinnirah ok.
Bila juling dikesan? Kalau tak silap masa umur dia 5-6bulan. Tapi masa tu doktor kata kecil lagi, masih baby. Jadi mata mungkin belum centre, lemak ditepi mata belum mencair sepenuhnya menyebabkan bukaan mata tak sama besar.
Kali ke 4 mengadu, barulah doktor perasan mata zinnirah juling. Sebab kebetulan kejadian juling berlaku depan doktor pada masa tu. Masa tu umur Zinnirah dalam 1 tahun 6bulan. Selepas doktor check, doktor buat surat refer ke klinik pakar mata HRPB ipoh.
Maka bermulalah beberapa siri lawatan ke klinik pakar mata. Beberapa ujian dan test optometris buat, sebelum dan selepas jumpa doktor. Bukan mudah nak buat test kat kanak-kanak sebab mereka mudah hilang fokus dan payah nak menerima arahan. Alhamdulillah, Zinnirah budak baik. Mudah buat test dan tak mengamuk.
Pemeriksaan awal untuk Zinnirah, keputusannya alhamdulillah saraf mata Zinnirah ok. Setakat sekarang, belum ada kerabunan dan lazy eye. Kenapa terjadi juling? Terlupa nak tanya doktor semalam ðŸ˜….
Tapi semalam jumpa ramai kanak-kanak dengan masalah kejulingan yang sangat teruk dan ketara (sebab semalam klinik pakar mata kanak-kanak).
Ada satu kes, seorang budak lelaki usia 10 tahun. Baru je menjalani pembedahan memasukkan kanta baru ke dalam mata. Pada usia 3tahun, mata kiri dia mengalami kerabunan yang sangat tinggi hingga mencecah power 1000. Sedang menunggu untuk pembedahan mata kanan pulak.
Kes lain, kanak-kanak lelaki sama umur dengan Zinnirah (1tahun 10bulan). Kejulingan yang teruk jugak, dijadualkan pembedahan kosmetik untuk membetulkan kedudukan anak mata tu. Kejulingan anak ni sampaikan selalu terlanggar dinding bila berlari. Dikhuatiri bila besar nanti, dia tak mampu untuk menganggarkan jarak dan kedudukan objek dengan tepat. Nak parking kereta pon tak boleh, confirm tergesel kereta orang (doktor yang bagi contoh ni).
Prosedur yang mudah sebenarnya. Hari ni masuk wad, pagi esok operate, kalau tak ada apa-apa, petang dah boleh discaj.
Kebanyakan kes lain, kanak-kanak ni kena pakai cermin mata untuk membetulkan juling dan keadaan lazy eye tu. Tak pasti kes tu macam mana sebab Zinnirah tak perlu semua tu.
Bagi kes Zinnirah, doktor pakar minta selalu bawa dia main outdoor dan terdedah kepada cahaya matahari. Silau cahaya matahari boleh membantu dia mengawal anak mata sendiri. 6 bulan daripada sekarang, doktor pakar akan tengok dia lagi. Semoga natural remedies tu akan membantu menyembuhkan mata zinnirah.
Jadi, doktor minta ambil 1 gambar dan rekod 1 video dia setiap bulan untuk tengok jika ada perubahan. Selain daripada tu, semestinya elakkan bagi tengok gadjet dan lebihkan kepada permainan kanak-kanak yang sebenar. (Jangan salah faham, Zinnirah juling bukan sebab gadjet ðŸ˜…)
Ada beberapa orang kawan yang pm beritahu keadaan anak masing-masing dan tanya, perlu ke berjumpa doktor. Ask yourself dear. Its your kid. Tapi pendapat saya, jumpalah orang yang pakar dalam bidangnya untuk pemeriksaan yang lebih teliti.
Memang ramai yang cakap, tak payah pergi hospital pun nanti juling hilang sendiri bila besar. Pada saya, alhamdulillah kalau hilang sendiri. Tapi kalau tak? Anak akan membesar dengan kejulingan tersebut yang boleh menyebabkan dia rasa rendah diri dan mengganggu keyakinan dia.
Setiap kali jumpa orang, orang akan pandang dia 3-4kali. Orang mungkin akan tanya, “kenapa dengan mata awak?”
Lagi parah, kalau kejulingan tu sebenarnya berkait dengan saraf mata, atau mungkin menyebabkan kerabunan, atau anak akan mengalami mata malas yang teruk.
Sebagai ibu bapa, kita yang akan melihat keadaan anak bila dia besar nanti. Bukan orang-orang yang memberi nasihat, “tak apa nanti juling akan hilang sendiri”. Kita yang akan melihat anak kita kurang keyakinan diri dan mengganggu kehidupan seharian dia.
Saya bukanlah ahli dalam bidang ini, pakar jauh sekali. Maaf kalau info ini ada salah dimana-mana.
Kawan-kawan, doakan kejulingan mata Zinnirah akan baik. Sama ada secara natural remedies atau perubatan moden, saya terima. Asalkan mata Zinnirah tiada masalah, terutamanya rabun. Peritnya rabun teruk tu saya dah rasa. Sebab tu saya bersungguh cuba membawa Zinnirah untuk rawatan, sebelum terlambat.
Terima kasih untuk optometris dan doktor-doktor klinik pakar mata HRPB ipoh yang melayan mood anak kecil saya semasa pemeriksaan. Semoga Allah s.w.t balas kebaikan anda.💗

Friday, September 26, 2014

3: 5 Bulan 2 minggu.

Duhai anak,

5 bulan 2 minggu perjalanan ini telah dilengkapi. Satu perjalanan yang penuh cabaran, sakit perit penat yang bukan sedikit. Seksa dan bahagia yang hanya ibu rasa. Bimbang dan tenang yang hanya ibu mengerti.

Benar anakku,
Perasaan ini sungguh indah. Walau kadang ibu menangis sendiri, menahan emosi yang sentisa berubah kerana hadirnya kamu dalam tubuh ibu. Walau ibu terjaga di tengah malam,kerana kesakitan yang tiba-tiba mengganggu lena ibu. Walau ibu rasa penat dan letih yang teramat tanpa sebab.

harapan ibu,
Tumbuhlah membesar didalam tubuh ibu ini dengan sihat dan sempurna. Apabila tiba waktunya untukmu menjenguk dunia, semoga segalanya akan dipermudahkan. Semoga kamu akan jadi pelindung yang membawa ibu ke syurga. Semoga kamu akan menjadi anak kebanggaan yang akan sentiasa meyenangkan hati ibu.

Janji ibu,
Akan ibu jaga kamu duhai anak, setulus hati ibu. Sungguh ibu tidak sabar menanti hari kamu bakal tiba menjenguk dunia. Andai waktu itu nyawa ibu menjadi galang ganti untuk hidupmu anak, ibu redha. Andai waktu itu ibu tidak sempat menatap wajahmu, mengucup dahimu, mencium pipimu apatah lagi untuk memelukmu seerat yang ibu mahu, ampunkan ibumu anak. Takdir memang selamanya tidak memihak kepada kita dan kita perlu sentiasa bersedia.

Anakku,
Walau apa pun yang akan terjadi, teruslah bertahan. Bernafas dan bernyawalah kerana kasih sayang ibu akan sentiasa mengiringi hidupmu.

Thursday, August 14, 2014

2: Doa untukmu anak

Ya Allah,
Peliharalah anakku selama ia berada didalam perutku dan sihatkanlah dia. Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada penyembuhan selain daripada penyembuhanMu, penyembuhan yang tidak meninggalkan penyakit.

Ya Allah,
Rupakanlah dia yang ada diperutku dengan rupa yang baik dan tetapkanlah ke dalam hatinya iman kepadaMu dan kepada RasulMu.

Ya Allah,
Jadikanlah dia sihat yang sempurna dan berakal dan pandai, alim lagi beramal.

Ya Allah,
Panjangkanlah umurnya sihatkanlah badannya dan baikkanlah akhlaknya. Fasihkanlah lisannya, baguskanlah suaranya untuk membaca al-Quran dan hadis dengan berkat nabi Muhammad S.A.W dan segala puji bagi Allah tuhan semesta alam.

Amin.

Monday, June 23, 2014

1: Catatan pertama ibu.

Duhai anak,
Saat pertama kali ibu tahu bahawa ada satu kejadian kecil sedang tumbuh didalam rahim ibu, ibu senyum sendiri. Hampir air mata kegembiraan ibu menitis. Tak sabar untuk ibu kongsikan berita gembira itu dengan ayahmu. Sungguh ibu bersyukur, setelah beberapa bulan ibu mencuba dan menanti, akhirnya Allah S.W.T makbulkan doa ibu. Setiap hari entah berapa kali ibu usap perut yang sudah mula nampak sedikit membonjol ini. Setiap kali itu jugalah ibu berdoa yang dikau akan tenang dan selesa didalam sana. Setiap kali itulah ibu berharap dikau akan melalui proses perkembangan dengan sempurna.

Duhai anak,
Ibu mungkin bertuah kerana alahan ibu tidaklah seteruk orang lain. Ibu tidaklah terbaring lemah sepanjang masa, muntah setiap kali sebelum dan selepas makan hingga nikmat selera hilang. Tapi setiap yang ibu lalui ini, sudah cukup buat ibu rasa terseksa. Bukan mudah membawa satu nyawa rupanya. Seksanya hanya ibu yang rasa. Malam ibu kini tidak lagi selena dulu. Daripada tidur berbaring ibu mengiring, kemudian duduk, dan kemudian bangun. Semuanya serba tak kena dan serba tak selesa. Entah berapa kali ibu perlu berulang ke tandas di setiap malam. Senak diperut dan sakit di pinggang ini membuatkan ibu menjadi cukup malas untuk melakukan kerja rumah. Pening kerana alah dengan bauan mengganggu ibu setiap masa. Jangan rasa bersalah anakku, pening dan muntah ini masih lagi mampu ibu kawal.

Duhai anak,
Walau terkadang ibu rasa seperti mahu waktu terus melompat ke bulan-bulan akhir kelahiranmu nanti kerana sukarnya melalui hari-hari sekarang ini, percayalah itu sekadar bisikan kosong ibu yang tak bermakna apa-apa. Sungguh ibu tidak mahu terlepas walau sesaat pun, menikmati detik-detik dikau membesar didalam perut ibu. Walau berapa minggu pun usiamu sekarang, ibu tidak peduli sayang. Ibu tidak sabar untuk melihat perkembanganmu nanti. Tidak sabar rasanya untuk merasai tendangan  kecilmu daripada dalam. Tidak sabar rasanya untuk merasai gerakan-gerakan perlahan mu nanti. Tidak mengapa anak, segala keperitan dan kesakitan sementara ini akan ibu tanggung dengan rela jika itu akan membuatkanmu selesa didalam.

Duhai anak,
Berkembanglah kamu dengan sempurna. Ibu mahu lihat keluarnya kamu nanti dengan sihat dan gembira. Kamu ialah malaikat kecil ibu. Kamu bukti cinta dan kasih sayang antara ibu dan ayah. Kamu penyambung zuriat keturunan kami. Kamu akan jadi tanda suka duka kehidupan kami dihari mendatang. Dan ibu akan terus mengusapmu setiap hari walaupun sekadar daripada luar. Semoga dikau rasa betapa ibu menyayangimu walau kamu masih lagi di dalam.

Salam sayang,
Ibumu.

Wednesday, May 21, 2014

Hampa kacau

Bangkitlah semangat
Hapuslah airmata
Berdirilah kembali

Hidup memang begini
Sesekali kamu bahagia
Tapi duka dan kecewa
Tetap kan bersilih gilir

Syukurlah.
Walau dalam hampa
Nafas iman masih lagi bersama.
Walau dalam kacau
Waras akal masih lagi dijangkau.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...