Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Monday, January 27, 2014

Dulu. Sekarang. Akan datang.

Kata Tegar, si cilik dari Indonesia yang mengalami perubahan total dalam hidupnya " Aku yang dulu, bukanlah yang sekarang. Dulu-dulu aku menderita, sekarang aku bahagia'. Betul, dulu dan sekarang kita mungkin bukan orang yang sama. Sekarang dan masa akan datang, kita mungkin bukan orang yang hari ini. Masa yang berjalan, membawa kemungkinan yang manusia akan berubah. Sama ada berubah kerana kemahuan dan kesedaran diri, mahupun berubah tanpa disedari akibat peubahan sekeliling, kita tetap akan berubah.

Dulu, aku ada seorang kak long. Seorang kakak ipar yang menjadi telinga saat aku perlu untuk meluahkan apa jua rasa. Seorang kakak ipar yang matang, yang penyayang, yang memahami dan menjadi 'jambatan' kalau aku takut untuk menyampaikan sesuatu kepada abang long.

Kini, seorang kak long ini tidak lagi sesempurna sebelum ini. Luarannya mungkin orang lihat dia tiada apa-apa. Tapi untuk kami yang mengenali dia bertahun lamanya, dia kini seorang kak long yang berbeza. Lagak gaya pertuturan, perbuatan malah pemikiran dia seperti seorang kanak-kanak kecil selepas menjalani pembedahan membuang tumor di kepala. Hilang kematangan seorang kak long yang sebelum ini pernah jadi tempat rujukan, sebaliknya kami yang perlu berikan perhatian kepada dia kini.

Seterusnya, kisah seorang sahabat saya. Hatinya baik, tutur katanya terjaga, tingkahnya sopan. Sedikit kurangnya, kerana dia tidak menyempurnakan salah satu tuntutan agama- tidak bertudung. Memang ramai yang mengutuk dan bercakap belakang. Alhamdulillah hari ini hidayah Allah S.W.T sampai kepada beliau, dan beliau menjadi lebih baik daripada mereka-mereka yang selalu mengata sebelum ini. Bukan sahaja bertudung, bahkan pemakaiannya lebih sempurna.

Hari ini kita dengar pula daripada media, kisah seorang penyanyi wanita baru bertudung yang hanya akan menyanyi dihadapan penonton wanita sahaja. Daripada seorang artis yang dulunya sangat seksi bahkan pernah membuat persembahan yang ditaja oleh syarikat pembuatan arak, kini beliau berubah perlahan-lahan. Bermula daripada bertudung, sedikit demi sedikit menyempurnakan pemakaian, mengalunkan lagu rohani dan ketuhanan, dan kini cuba sebolehnya untuk menyelaraskan kerjayanya dengan hukum agama sebaik mungkin. Artis itu- Miss Nina, semoga beliau akan terus menjadi lebih baik.

Kisah sahabat yang lain pula. Mengenali beliau di zaman sekolah, aku menjadi sangat rendah diri. Seorang yang bertudung labuh, luas dalam ilmu agama, dia ibarat seorang anak gadis muslimah sempurna. Pakej lengkap menjadikan beliau layak untuk memimpin sebuah pertubuhan keagamaan di sekolah. Dialah naqibah, dialah penggerak usrah. Kini, dia ialah dia yang sebaliknya. Tudung labuhnya sudah hilang, sopan santunnya sudah ditelan dek masa yang berjalan, Daripada seorang anti couple, kini gambar bersama teman lelaki memenuhi album di facebok.

Ini sekadar contoh. Kita yang dulu, bukanlah yang sekarang. Dan kerana itu, kita yang sekarang mungkin bukan kita di masa depan. Hari ini, kita mungkin rasakan kita manusia sempurna yang punya segalanya. Tapi tak mustahil satu hari nanti bila kita celikkan mata dari lena, kita ialah manusia yang hilang kewarasan pemikiran. Kita mungkin akan jadi manusia dewasa yang kembali ke zaman kanak-kanak, atau mungkin jadi manusia hilang upaya sehingga kembali menjadi seorang bayi. Siapa tahu kan?

Jika hari ini kita rasakan kita manusia baik yang terjaga pemakaian, tingkahlaku, atau gaya hidup yang selaras dengan kehendak agama. Usah takbur. Jangan kerana kita lebih baik, maka kita mengutuk dan menghentam orang lain seolah-olah kita akan sempurna sehingga ke akhir hayat. Dunia ini bulat dan berputar. Begitu juga hidup kita. Orang yang dikutuk dan dikata hari ini, mungkin akan jadi berjuta kali lebih baik dan sempurna di masa akan datang.

Kita yang dulu, berbeza dengan sekarang. Dan kita yang sekarang mungkin juga akan berbeza dimasa depan. Semoga perubahan itu, adalah perubahan yang membawa kebaikan. Atas apa juga perubahan, itu adalah dengan keizinan daripada Dia yang Esa bilamana dia berkata 'Kun Fayakun'.. Semoga takdir perubahan hidup kita sentiasa dibawah keredhaan dia.

Dulu, sekarang, dan masa akan datang- kita jadi manusia berbeza. Semoga kita bersedia.




Saturday, December 28, 2013

Tahniah Sahabat (Edisi Khas)

Suatu masa dulu, sahabat yang seorang ini bukanlah siapa-siapa pada aku. Dia sekadar seorang kenalan yang aku kenal muka dan nama sahaja. Sempat sama sekolah untuk 3 tahun, dan sempat satu kelas selama lebih kurang sebulan mungkin, sebelum masing-masing berpindah ke sekolah lain.

Suatu masa dulu, sahabat yang tak pernah rapat ini, berkunjung ke rumah di hari lebaran bersama seorang sahabat yang lain Daripada kenalan biasa yang tak pernah bertegur sapa walau berselisih bahu disekolah,  kami mulakan perbualan pertama (mungkin). Ini kisah kunjungan 10tahun yang lalu.

Daripada kunjungan pertama, sahabat ini ulangi lagi kunjungan untuk ke 2-3kali kunjungan yang seterusnya. Juga dihari lebaran, juga kerana mengikut kawan. Yang pasti setiap kunjungan itu, bukan kerana aku. Kunjungan itu untuk si kakak, yang lebih rapat dengan mereka.

Mengenali sahabat ini, dulu aku tak tahu siapa dia dan aku tak tahu untuk huraikan bagaimana seorang dia. Tak kenal maka tak cinta. Tapi walau tak kenal, Allah S.W.T ilhamkan aku untuk setuju dan mengenali seorang dia. Kunjungan lebaran 2012, yang aku pasti kerana aku, berkunjung seorang diri tanpa menemani atau ditemani kawan seperti sebelum-sebelumnya, merubah dia daripada seorang sahabat kepada kedudukan yang agak istimewa. Makin aku kenal, makin aku cinta.

Perkenalan serius bermula. Restu keluarga dipohon. Perancangan mula dilakar. Perjalanan sememangnya tak seindah yang disangka. Sesekali dipukul gelombang ego, sesekali rasa mahu menyerah kalah. Bertahan kerana percaya, andai takdir itu telah ditetapkan, maka tak kan ada yang mampu merubahnya.

Kini seorang sahabat itu, telah pun bertukar status. Daripada seorang lelaki bujang biasa, kini telah memikul amanah berat menjadi pemimpin sebuah keluarga. Kehidupan barumu telah bermula. Amanah berat itu telah kau sanggupi saat kau lafazkan "Aku terima nikahnya.." Sahabat, semoga dikau akan menjadi suami paling sejati dimata isteri. Semoga dikau menjadi imam teragung untuk masjid yang baru kamu dirikan tiangnya. Semoga dikau menjadi pemimpin terhebat buat isteri dan malaikat kecilmu nanti. Semoga keluarga mawaddah sakinah wa rahmah itu mampu dikau bina.

Tanggal 6 Disember 2013, kamu bukan lagi lelaki yang dulu. Kamu kini seorang suami. Kamu memegang syurga untuk seorang isteri. Redha Ilahi keatas isteri, bergantung pada redhamu sebagai suami. Untuk bahagia yang baru kamu kecapi, aku juga merasa gembira. Untukmu Wan Ahmad Hafizuddin W. Mohd, tahniah sahabat. Semoga kamu akan terus menjadi sahabatku, berkongsi segala rasa yang akan merentangi kehidupan ini.Kerana kini, kamu adalah segala-galanya.

Tahniah sahabat. Teristimewa lagi, tahniah untukmu suamiku.


Sunday, November 17, 2013

Undangan Majlis Perkahwinan

Walimatul Urus

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Berkenal sudah bertunang pun sudah, Nikah dilafaz sunnah diwarisi,
Termeterai sudah janji bermadah, Majlis pernikahan kini dirai

Sireh bertepuk, pinang menari, dua hati memaut janji,
Salam bersahut kata bersambut, Hasrat terpaut,
Dan dengan izin Illahi, kami mempersilakan Dato’/Datin/Tuan/Puan/Encik/Cik

……………………………………………………………………………………………………….......
suami/isteri seisi keluarga bagi menyerikan ikatan janji,
izin berwali, ijab bersaksi antara dua hati,
saya,
 Siti Aminah Binti Mokhtar
dan pasangan
Wan Ahmad Hafizuddin Bin W Mohd

Bertakhtakan adat berzaman, Bersendikan Sunnah Rasullullah S.A.W.
Mendirikan istana kasih pertemuan dua hati di teratak berseri,

Pada
7 Disember 2013 (Sabtu)
Bertempat Di
Kampung Gong Tengah Merang, Setiu, Terengganu.

Bunga mawar kami taburi,
Air mawar direnjis wangi, Berkembang kasih menabur budi,
Undangan kami setulus hati, Harap sudi datang merai,
Terima kasih.


Sunday, November 10, 2013

Mampukah aku

Dulu aku berkalung yakin
andai itu jalan takdir yang tertulis
dengan restu, aku lapang kan dada
aku bukakan pintu
moga dia juga masuk melangkah yakin

Perjalanan diharungi. Sedikit berbatu.
Ada onak duri. Ada ribut taufan.
Tapi banyak juga musim bunga mekar mewangi
Perjalanan ini seakan adil
Setiap duka, diiringi bahagia.

Hari ini aku termanggu
Ini bukan cerita aku dan dia sahaja
ini juga cerita mereka dan mereka
cerita ini akan terus berkembang
akan wujud mereka disekeliling yang lain
yang pastinya harus aku terima

bukan senang
untuk aku duduk sama rendah
dan berdiri sama tinggi
untuk aku hidup dalam diri dia
dan dia hidup dalam diri aku
kerna aku dan dia berbeza.

mampukah aku?

Friday, November 01, 2013

Jawapan untuk kenapa

Kita tahu, selalu tahu Allah S.WT itu adil tapi kita kadang-kadang masih mempersoalkan. Kita tahu Allah S.W.T kurniakan sesuatu kepada kita berdasarkan kemampuan kita, tapi kadang-kadang kita masih persoalkan tentang keadilan.

"Kenapa aku, kenapa bukan orang lain?"

Kita selalu bertanya kenapa. Bukan kau saja, kerana aku pun selalu begitu dan aku percaya setiap orang selalu bertanya kenapa kepada diri sendiri. Sedar tak sedar sebenarnya kita sedang mempersoalkan kenapa takdir perjalanan kita sedemikian rupa.

" Kenapa aku tercampak kat sini? Kenapa aku berada dalam bidang ni?"
" Kenapa abang long pergi awal saat aku belum bersedia?" 
" Kenapa Allah S.W.T uji kami adik beradik dengan pelbagai ujian ni? "
" Kenapa bertimpa-timpa dugaan datang?"

Ini soalan kenapa yang selalu bertanda soal dalam diri aku. Walau aku tahu, ini adalah ketetapan Allah S.W.T tapi kadang-kadang minda tetap degil untuk bertanya soalan kenapa.

Sama seperti kau sahabat, aku juga selalu bertanya soalan kenapa. Tapi, soalan 'kenapa' kita memang tak sama. 
Tak sangka tau aku pernah menitiskan airmata sebab fikir tentang ni. Kenapa kawan-kawan senang dapat kerja? Apply > interview > start. Gaji jejak RM3000 pulak tu.
Mungkin aku ada dalam setiap soalan 'kenapa' kau itu. Mungkin kerja aku stabil. Mungkin gaji aku berpatutan. Mungkin nampak aku agak bahagia bila sedang merancang untuk berkahwin. Tapi sahabat, untuk setiap 'mungkin' yang kau nampak aku ada, hanya aku yang tahu apa yang aku lalui. Hanya aku yang tahu setiap tekanan  yang pernah dan sedang aku rasa. Setiap kecewa yang tak terucap. Setiap putus asa saya sering bersarang.

Aku sendiri pernah mendaki hari-hari sukar dalam kerjaya. Aku sendiri pernah bertanya "kenapa aku tak dapat kerja kerajaan?". Aku sendiri pernah merasa betapa kecilnya RM1800 di awal permulaan bergelar pekerja. Aku pernah merasa kerja yang kau tak pernah rasa.

Kalau kau pernah menitiskan airmata sebab fikirkan tentang gaji dan seerti dengannya, ketahuilah sahabat bahawa pernah suatu ketika air mata aku sangat murah menghadapi kehilangan saudara kandung, melihat ibu bertarung nyawa, melihat kesakitan, kesedihan, kepedihan dan semua yang sama erti dengannya. Dan aku percaya, kau belum pernahkan?

Kau dan aku, kita hanya perlu sama-sama bersyukur. Ujian dan dugaan kita tak sama. Aku ada apa yang kau tiada, dan kau ada apa yang aku tiada. Kenapa? untuk kita sama-sama muhasabah diri bahawa dalam hidup ni kita tak perlukan semua benda, cukuplah perkara yang boleh membahagiakan kita dan menjadikan kita manusia yang lebih baik. Sememangnya kau juga selalu ada dalam setiap soalan kenapa aku. Kenapa aku tak dapat kereta free jadi aku tak perlu keluar duit bayar bulan-bulan? Kenapa aku tak dapat bercuti dan duduk oversea percuma? Kenapa aku tak kurus macam kau? Kenapa kau boleh makan apa saja dan banyak mana sekalipun tanpa perlu fikir berat badan akan naik? Kenapa kulit aku tak cerah macam kau? Kenapa, kenapa dan kenapa? Sedangkan kau ada semua tu.

Soalan kenapa kau itu mungkin bukan untuk aku.Sememangnya aku belum berada pada tahap teramat bertuah untu menjawab setiap soalan kenapa kau. Aku sekadar rasa terpanggil untuk menjawab. Sapulah airmata mu dan sambunglah makan lempeng mu itu sahabat :).

P/s: mendapat berita kak long baru diserang sawan. mungkin kerana saki baki tumor yang sedang membengkak, memberi tekanan kepada saraf. Semoga kak long akan selamat. Semoga Allah S.W.T kuatkan kak long. Semoga Allah S.W.T kuatkan kami.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...