Pages

Menjadi cermin tamsilankendiri, untuk melakar satu wacana. Buatmu bernama wanita..

Saturday, December 28, 2013

Tahniah Sahabat (Edisi Khas)

Suatu masa dulu, sahabat yang seorang ini bukanlah siapa-siapa pada aku. Dia sekadar seorang kenalan yang aku kenal muka dan nama sahaja. Sempat sama sekolah untuk 3 tahun, dan sempat satu kelas selama lebih kurang sebulan mungkin, sebelum masing-masing berpindah ke sekolah lain.

Suatu masa dulu, sahabat yang tak pernah rapat ini, berkunjung ke rumah di hari lebaran bersama seorang sahabat yang lain Daripada kenalan biasa yang tak pernah bertegur sapa walau berselisih bahu disekolah,  kami mulakan perbualan pertama (mungkin). Ini kisah kunjungan 10tahun yang lalu.

Daripada kunjungan pertama, sahabat ini ulangi lagi kunjungan untuk ke 2-3kali kunjungan yang seterusnya. Juga dihari lebaran, juga kerana mengikut kawan. Yang pasti setiap kunjungan itu, bukan kerana aku. Kunjungan itu untuk si kakak, yang lebih rapat dengan mereka.

Mengenali sahabat ini, dulu aku tak tahu siapa dia dan aku tak tahu untuk huraikan bagaimana seorang dia. Tak kenal maka tak cinta. Tapi walau tak kenal, Allah S.W.T ilhamkan aku untuk setuju dan mengenali seorang dia. Kunjungan lebaran 2012, yang aku pasti kerana aku, berkunjung seorang diri tanpa menemani atau ditemani kawan seperti sebelum-sebelumnya, merubah dia daripada seorang sahabat kepada kedudukan yang agak istimewa. Makin aku kenal, makin aku cinta.

Perkenalan serius bermula. Restu keluarga dipohon. Perancangan mula dilakar. Perjalanan sememangnya tak seindah yang disangka. Sesekali dipukul gelombang ego, sesekali rasa mahu menyerah kalah. Bertahan kerana percaya, andai takdir itu telah ditetapkan, maka tak kan ada yang mampu merubahnya.

Kini seorang sahabat itu, telah pun bertukar status. Daripada seorang lelaki bujang biasa, kini telah memikul amanah berat menjadi pemimpin sebuah keluarga. Kehidupan barumu telah bermula. Amanah berat itu telah kau sanggupi saat kau lafazkan "Aku terima nikahnya.." Sahabat, semoga dikau akan menjadi suami paling sejati dimata isteri. Semoga dikau menjadi imam teragung untuk masjid yang baru kamu dirikan tiangnya. Semoga dikau menjadi pemimpin terhebat buat isteri dan malaikat kecilmu nanti. Semoga keluarga mawaddah sakinah wa rahmah itu mampu dikau bina.

Tanggal 6 Disember 2013, kamu bukan lagi lelaki yang dulu. Kamu kini seorang suami. Kamu memegang syurga untuk seorang isteri. Redha Ilahi keatas isteri, bergantung pada redhamu sebagai suami. Untuk bahagia yang baru kamu kecapi, aku juga merasa gembira. Untukmu Wan Ahmad Hafizuddin W. Mohd, tahniah sahabat. Semoga kamu akan terus menjadi sahabatku, berkongsi segala rasa yang akan merentangi kehidupan ini.Kerana kini, kamu adalah segala-galanya.

Tahniah sahabat. Teristimewa lagi, tahniah untukmu suamiku.


Sunday, November 17, 2013

Undangan Majlis Perkahwinan

Walimatul Urus

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Berkenal sudah bertunang pun sudah, Nikah dilafaz sunnah diwarisi,
Termeterai sudah janji bermadah, Majlis pernikahan kini dirai

Sireh bertepuk, pinang menari, dua hati memaut janji,
Salam bersahut kata bersambut, Hasrat terpaut,
Dan dengan izin Illahi, kami mempersilakan Dato’/Datin/Tuan/Puan/Encik/Cik

……………………………………………………………………………………………………….......
suami/isteri seisi keluarga bagi menyerikan ikatan janji,
izin berwali, ijab bersaksi antara dua hati,
saya,
 Siti Aminah Binti Mokhtar
dan pasangan
Wan Ahmad Hafizuddin Bin W Mohd

Bertakhtakan adat berzaman, Bersendikan Sunnah Rasullullah S.A.W.
Mendirikan istana kasih pertemuan dua hati di teratak berseri,

Pada
7 Disember 2013 (Sabtu)
Bertempat Di
Kampung Gong Tengah Merang, Setiu, Terengganu.

Bunga mawar kami taburi,
Air mawar direnjis wangi, Berkembang kasih menabur budi,
Undangan kami setulus hati, Harap sudi datang merai,
Terima kasih.


Sunday, November 10, 2013

Mampukah aku

Dulu aku berkalung yakin
andai itu jalan takdir yang tertulis
dengan restu, aku lapang kan dada
aku bukakan pintu
moga dia juga masuk melangkah yakin

Perjalanan diharungi. Sedikit berbatu.
Ada onak duri. Ada ribut taufan.
Tapi banyak juga musim bunga mekar mewangi
Perjalanan ini seakan adil
Setiap duka, diiringi bahagia.

Hari ini aku termanggu
Ini bukan cerita aku dan dia sahaja
ini juga cerita mereka dan mereka
cerita ini akan terus berkembang
akan wujud mereka disekeliling yang lain
yang pastinya harus aku terima

bukan senang
untuk aku duduk sama rendah
dan berdiri sama tinggi
untuk aku hidup dalam diri dia
dan dia hidup dalam diri aku
kerna aku dan dia berbeza.

mampukah aku?

Friday, November 01, 2013

Jawapan untuk kenapa

Kita tahu, selalu tahu Allah S.WT itu adil tapi kita kadang-kadang masih mempersoalkan. Kita tahu Allah S.W.T kurniakan sesuatu kepada kita berdasarkan kemampuan kita, tapi kadang-kadang kita masih persoalkan tentang keadilan.

"Kenapa aku, kenapa bukan orang lain?"

Kita selalu bertanya kenapa. Bukan kau saja, kerana aku pun selalu begitu dan aku percaya setiap orang selalu bertanya kenapa kepada diri sendiri. Sedar tak sedar sebenarnya kita sedang mempersoalkan kenapa takdir perjalanan kita sedemikian rupa.

" Kenapa aku tercampak kat sini? Kenapa aku berada dalam bidang ni?"
" Kenapa abang long pergi awal saat aku belum bersedia?" 
" Kenapa Allah S.W.T uji kami adik beradik dengan pelbagai ujian ni? "
" Kenapa bertimpa-timpa dugaan datang?"

Ini soalan kenapa yang selalu bertanda soal dalam diri aku. Walau aku tahu, ini adalah ketetapan Allah S.W.T tapi kadang-kadang minda tetap degil untuk bertanya soalan kenapa.

Sama seperti kau sahabat, aku juga selalu bertanya soalan kenapa. Tapi, soalan 'kenapa' kita memang tak sama. 
Tak sangka tau aku pernah menitiskan airmata sebab fikir tentang ni. Kenapa kawan-kawan senang dapat kerja? Apply > interview > start. Gaji jejak RM3000 pulak tu.
Mungkin aku ada dalam setiap soalan 'kenapa' kau itu. Mungkin kerja aku stabil. Mungkin gaji aku berpatutan. Mungkin nampak aku agak bahagia bila sedang merancang untuk berkahwin. Tapi sahabat, untuk setiap 'mungkin' yang kau nampak aku ada, hanya aku yang tahu apa yang aku lalui. Hanya aku yang tahu setiap tekanan  yang pernah dan sedang aku rasa. Setiap kecewa yang tak terucap. Setiap putus asa saya sering bersarang.

Aku sendiri pernah mendaki hari-hari sukar dalam kerjaya. Aku sendiri pernah bertanya "kenapa aku tak dapat kerja kerajaan?". Aku sendiri pernah merasa betapa kecilnya RM1800 di awal permulaan bergelar pekerja. Aku pernah merasa kerja yang kau tak pernah rasa.

Kalau kau pernah menitiskan airmata sebab fikirkan tentang gaji dan seerti dengannya, ketahuilah sahabat bahawa pernah suatu ketika air mata aku sangat murah menghadapi kehilangan saudara kandung, melihat ibu bertarung nyawa, melihat kesakitan, kesedihan, kepedihan dan semua yang sama erti dengannya. Dan aku percaya, kau belum pernahkan?

Kau dan aku, kita hanya perlu sama-sama bersyukur. Ujian dan dugaan kita tak sama. Aku ada apa yang kau tiada, dan kau ada apa yang aku tiada. Kenapa? untuk kita sama-sama muhasabah diri bahawa dalam hidup ni kita tak perlukan semua benda, cukuplah perkara yang boleh membahagiakan kita dan menjadikan kita manusia yang lebih baik. Sememangnya kau juga selalu ada dalam setiap soalan kenapa aku. Kenapa aku tak dapat kereta free jadi aku tak perlu keluar duit bayar bulan-bulan? Kenapa aku tak dapat bercuti dan duduk oversea percuma? Kenapa aku tak kurus macam kau? Kenapa kau boleh makan apa saja dan banyak mana sekalipun tanpa perlu fikir berat badan akan naik? Kenapa kulit aku tak cerah macam kau? Kenapa, kenapa dan kenapa? Sedangkan kau ada semua tu.

Soalan kenapa kau itu mungkin bukan untuk aku.Sememangnya aku belum berada pada tahap teramat bertuah untu menjawab setiap soalan kenapa kau. Aku sekadar rasa terpanggil untuk menjawab. Sapulah airmata mu dan sambunglah makan lempeng mu itu sahabat :).

P/s: mendapat berita kak long baru diserang sawan. mungkin kerana saki baki tumor yang sedang membengkak, memberi tekanan kepada saraf. Semoga kak long akan selamat. Semoga Allah S.W.T kuatkan kak long. Semoga Allah S.W.T kuatkan kami.

Friday, October 18, 2013

Berapa ribu kali?

Entah untuk yang keberapa ribu kali
dada terasa sesak
suara tersekat
air mata tertakung kejap
menahan sebak.

Entah untuk yang keberapa ribu kali
dalam diam aku mengharap
agar semua ini hanya mimpi sesaat
bila aku buka mata
dia masih ada
seperti sediakala dan sebelumnya.

Entah untuk yang keberapa ribu kali
aku bertanya pada diri
sampai bila aku harus begini
mengenang pada dia yang telah pergi
dan takkan mungkin kembali.
Rindu.

Al-fatihah.

*sekali lagi, ini bukan meratapi. ini sekadar melepaskan rasa rindu dihati.

Saturday, September 07, 2013

jadi matang

Hidup bukan untuk berkerat rotan berpatah arang berputus juang. Jangan berhenti berharap selagi masih punya peluang. Tanamkan dalam diri sedalam-dalamnya, cuba dan terus mencuba, walau ke akhir nyawa.

Dugaan hidup ialah cabaran kematangan.


3months to go.
jadi matang mie.

Friday, August 30, 2013

Salam merdeka Malaysia

can't let August pass without any entry even just a simple wish.

SALAM MERDEKA MALAYSIA!

Wednesday, July 24, 2013

Kamu, Ramadhan.

Seperti putaran bumi
yang tak pernah gagal mengelilingi mentari
demi sejalur cahaya memberi bakti
menyinari nafas manusiawi
begitulah datangnya kamu
tanpa cepat atau lewat
walau sedetik mahupun sesaat.

Hadir kamu kali ni. Hadir lagi. Menepati janji
Kamu mungkin sama pada mereka
tapi kamu kali ini berbeza untuk aku
dulu kamu datang kami sambut bahagia
kini bahagia itu berselang walang duka

Kamu,
hadir saat aku terasa kehilangan (kamu ada gantinya)
datang saat aku terduduk seketika (kamu kuatkan aku bangkit semula)
mampir saat aku menangis hiba (kamu berikan aku senyuman ceria)
kamu muncul saat aku didatangi cubaan kehidupan
dan aku tahu kamu tiupkan semangat juang untuk bertahan

Kamu akan tetap setia, cuma aku yang terkadang leka
tetap akan datang seperti sekarang dan sebelumnya
tetap memberi cahaya pada yang mengharap bahagia
dan semoga kamu terus sebarkan kuat semangat jiwa
untuk aku, untuk mereka.

Kamu, bulan kerinduan
Ramadhan penuh kemulian

..kerna dalam hatiku selalu ada kamu (takut)

                                          

mungkin ku tak bisa menyatakan
apa yang terlintas di benakku
bukan kerana ku tak mencinta
cuma kerana ku tak mampu menatap matamu

tapi bukankah semua rasaku
sedia kau tahu tanpa ku perlu
menggapai pena dan menulis
apa yang ada di hatiku

kerna dalam hatiku,
selalu ada kamu

Tuhan tolonglah ku
kerna aku takut kehilangan dia
kerna aku takut dia kan pergi
meninggalkan ku sendiri di sini

Tuhan tunjukkanlah
apa yang terukir dalam hatinya
jalan mana yang harus ku datangi
agar terlerai kusut ini

tapi bukankah semua rasaku
sedia kau tahu tanpa ku perlu
menggapai pena dan menulis
apa yang ada di hatiku

kerna dalam hatiku,
selalu ada kamu

Tuhan tolonglah ku
kerna aku takut kehilangan dia
kerna aku takut dia kan pergi
meninggalkan ku sendiri di sini

Tuhan tunjukkanlah
apa yang terukir dalam hatinya
jalan mana yang harus ku datangi
agar terlerai semua kusut ini

Tuhan tolonglah ku
pinjamkan kembali dia padaku
pegangkanlah takdir ini untukku
kembalikan dia seperti dulu

Tuhan tunjukkanlah
apa yang terukir dalam hatinya
jalan mana yang harus ku datangi
agar terlerai kusut ini

Takut, AmalinaAlias

Monday, July 15, 2013

Ramadhan, dugaan dan hikmah.

Ramadhan bulan hikmah. Bulan kesabaran. Bulan terujinya keimanan. Bulan baraqah yang penuh kemeriahan pada yang ikhlas meraikan. Dan ramadhan pada tahun ini, sememangnya bulan dugaan.

Melihat seorang kak long bertarung dengan kesakitan sejurus selepas pembedahan membuang tumor di kepala, air mata gugur lagi. Melihat dia mengadu sakit, memuntahkan segala isi perut sambil memanggil-manggil abang long, air mata memang tak mampu berhenti. Melihat dia tiada kekuatan untuk terus melawan dugaan penyakit ini, aku sendiri kalah dengan emosi. Pantang jururawat bertanya dimana suaminya, pasti mengundang rasa sebak dan diam dalam beberapa ketika.

Pembedahan 5 hari sebelum ramadhan, menjadikan aku seolah-olah terlupa untuk mengalu-alukan kedatangan bulan mulia ini. Menghadapi kak long yang seperti kembali menjadi kanak-kanak bukan sahaja mengundang rasa sayu yang amat sangat, bahkan mengingatkan aku pada saat-saat akhir hayat abang long. begitulah keadaanya.

Saat lega melihat kak long yang menunjukkan peningkatan positif walaupun berperangai kebudak-budakkan, 2 ramadhan sekali lagi memberi kejutan. Saat menerima khabar mak pengsan beberapa kali, sememangnya aku risau tapi masih mampu untuk bertenang. Tapi saat menerima perkhabaran kedua, peluang mak 50-50 kerana kegagalan jantung, risau yang bersarang tak mampu dibendung. Petang jumaat itu, terus aku ke IJN sambil dalam hati tak habis berdoa semoga semuanya akan selamat.

Dugaan menjelma lagi. Jantung mak semakin lemah dan tak mampu untuk dikawal sendiri. Mak perlukan alat ICD, untuk memberikan kejutan elektrik automatik apabila jantung mak berhenti berdegup secara tiba-tiba. Mak semakin lemah, tapi untuk menghadapi sebuah lagi kehilangan selepas pemergian abang long, kami memang belum kuat. Pada mulanya aku ingatkan ratusan ringgit atau mungkin mencecah ribuan ringgit, tapi kos ICD single chamber bukan semurah itu. Dalam masa yang terdekat ini untuk membolehkan hayat mak masih bersama kami, RM32K diperlukan bagi membolehkan ICD ditanam didada mak. 

Pesan doktor, "your mother's life now, depend on that device".

Bertimpa-timpa ujianMu Allah. Kami masih perlukan mak. Kami masih perlukan kak long. Kedua-dua insan ini adalah kekuatan kami. Luarannya aku senyum, aku ketawa, aku masih mampu bersenda gurau. Tapi dalam hati ini, hanya tuhan yang tahu betapa rasa risau ini mengatasi segalanya. Walau penat dan letih, terpaksa berulang alik daripada PJ ke Sime Darby Medical Centre Ara Dmansara dan ke IJN Kuala Lumpur, tapi demi dua orang insan kesayangan ni, aku lupakan rasa penat dan lelah itu. Hanya puasa pertama aku berbuka di rumah, selebihnya IJN adalah tempat wajib aku setakat ini.

'Kalau abang long ada, apa agaknya keputusan abang long? mesti kita tak secemas ni. Sekarang keputusan penting ni, kita kena buat sendiri"

Walau apapun, kami tetap kena terima dugaan ni. Kami tak ada pilihan. Abang long dah tak ada, keputusan penting ini perlu kami buat. RM32K perlu kami cari. Kalau dulu abang long tempat kami bergantung, sekarang semuanya terpulang atas pundak kami. Ya Allah, permudahkan urusan kami. Kuatkan kami menghadapi dugaan Mu kerana aku percaya ada hikmah diatas setiap kesulitan yang kau berikan ini.

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan
6 Ramadhan 1434 Hijrah.

Tuesday, July 02, 2013

Tolong sampaikan pada dia

Tolong beritahu si dia aku ada pesanan buatnya

Tolong beritahu si dia, cinta agung adalah cintaNya
Tolong beritahu si dia, cinta manusia bakal membuatnya alpa

Tolong nasihati si dia, jangan menyintaiku lebih dari dia menyintai Yang Maha Esa
Tolong nasihati si dia, jangan mengingatiku lebih dari dia mengingati Yang Maha Kuasa
Tolong nasihati si dia, jangan mendoakanku lebih dari dia mendoakan ibu bapanya

Tolong katakan pada si dia, dahulukan Allah kerana di situ ada syurga
Tolong katakan pada si dia, dahulukan ibu bapanya kerana di telapak itu syurganya

Tolong ingatkan si dia. Aku terpikat kerana imannya bukan rupa
Tolong ingatkan si dia. Aku lebih cintakan zuhudnya bukan harta
Tolong ingatkan si dia aku kasihinya kerana santunnya

Tolong tegur si dia, bila dia mula mengagungkan cinta manusia
Tolong tegur si dia, bila dia tenggelam dalam angan-angannya
Tolong tegur si dia, andai nafsu mengawal fikirannya

Tolong sedarkan si dia. Aku milik Yang Maha Esa
Tolong sedarkan si dia. Aku masih milik keluarga
Tolong sedarkan si dia, tanggungjawabnya besar kepada keluarganya

Tolong sabarkan si dia, usah ucap cinta di kala cita-cita belum terlaksana
Tolong sabarkan si dia, andai diri ini enggan dirapati kerana menjaga batasan cinta
Tolong sabarkan si dia, bila jarak mejadi penyebab bertambah rindunya

Tolong pesan padanya. Aku tidak mahu menjadi fitnah besar kepadanya
Tolong pesan padanya. Aku tak mahu menjadi punca kegagalannya
Tolong pesan padanya aku membiarkan Yang Esa menjaga dirinya

Tolong khabarkan pada si dia. Aku tidak mahu melekakan dia
Tolong khabarkan pada si dia. Aku mahu dia berjaya dalam impian dan cita-citanya
Tolong khabarkan pada si dia, jadilah penyokong dalam kejayaanku

Tolong sampaikan pada si dia. Aku mendambakan cinta suci yang terjaga
Tolong sampaikan pada si dia, cinta kerana Allah tidak ternilai harganya
Tolong sampaikan pada si dia, hubungan ini terjaga selagi dia menjaga hubungan dengan Yang Maha Kuasa
Tolong sampaikan kepada si dia kerana aku tidak mampu memberitahunya sendiri

Hanya Engkau Ya Allah mengetahui siapa si dia

Moga pesananku sampai padanya walau aku sendiri tidak mengetahui siapa dan di mana si dia

P/s: aku copy paste tulisan ini daripada blog seorang teman. Pesanan penuh makna, lalu aku ingin sampaikan pesanan ini juga. Ya Allah, tolong beritahu dia. Tolong nasihati dia. Tolong katakan pada dia. Tolong ingatkan dia. Tolong tegur dia. Tolong sedarkan dia. Tolong sabarkan dia. Tolong pesan padanya. Tolong khabarkan dia. Tolong sampaikan pada dia. Ya Allah, tolong aku juga sebagaimana pinta pertolongan ke atas dia. Terima kasih Seni Jari, untuk pesanan ikhlas ini.

Monday, July 01, 2013

Pesan pada diri

Pesan pada diri,
Ucapkan selamat tinggal kepada Jun. Selamat tinggal penggal pertama untuk tahun 2013. Selamat tinggal air mata yang pernah mengalir hiba. Selamat tinggal duka, menangisi sebuah kehilangan yang tak terjangka. Selamat tinggal rasa kecewa yang lama. Untuk setiap rasa bahagia, semoga kalian akan terus disini. Terus menemani aku menyahut perjuangan, meniti suka duka tangis tawa sepanjang perjalanan mendatang.

Pesan pada diri,
Ucapkan selamat datang kepada Julai. Selamat datang penggal ke dua untuk tahun 2013. Selamat datang cabaran yang sedang menunggu giliran. Selamat datang dugaan yang akan mendewasakan sebuah kejadian manusia bernyawa. Selamat datang juga kesabaran yang sudah diasah setiap kali kesukaran menjengah. Selamat datang semangat untuk meneruskan perjuangan kehidupan. Selamat datang kekuatan.

Pesan pada diri,
Izinkan aku untuk terus berdiri, walau kadang-kadang aku terduduk lemah. Izinkan aku untuk terus bernafas, walau kadang-kadang aku hampir lemas. Izinkan aku untuk terus senyum, walau kadang-kadang amarah bergilir menjengah. Izinkan aku untuk terus kuat, walau kadang-kadang terasa ingin mengalah. Izinkan aku untuk bangkit, setiap kali aku tersungkur rebah.

Pesan pada diri,
Kehidupan ini milik aku. Izinkan aku untuk jadi matang, dalam setiap pemikiran dan perbuatan. Ya Allah, redhakan nikmat yang telah kau kurniakan untuk aku selama ini.

p/s: Dah bulan 7. Tolong sedar diri, buat sesuatu! Masa tu sekejap je sebenarnya.

Wednesday, June 26, 2013

Tolong selamatkan dia, kak long ku..

Bertimpa-timpa rasanya kesedihan dan kebimbangan yang Kau uji ke atas kami. Tak terdaya rasanya hati-hati kami menanggung walang ini. Mendengar lemah suaranya menyampaikan khabar, terasa mahu terbang untuk berada disisi dia agar dia tahu bahawa dia tidak sendirian. Apakan daya, pada saat ini bebanan kerja menuntut pengorbanan masa. Perlahan dan lemah, menahan rasa yang mungkin hanya dia yang tahu.

"Alhamdulillah, setakat ni sel kanser dah tak ada. Tapi.."

Mendengar ungkapan 'tapi' , ditambah dengan lemah suaranya sudah cukup untuk memberitahu ianya bukan khabar yang menggembirakan. Khabar selepas menjalani rutin medical check up semalam, akibat kanser yang ditanggung hampir 13tahun lamanya.

"...tapi MRI result, ada ketulan dekat kepala. Setakat ni, bukan tumor lagi. Mungkin cyst. Dah 5cm"

Ketulan di kepala, walau bukan tumor, walau mungkin cyst tapi itu tetap bahaya. Ketulan bersaiz 5cm di kepala, bukan benda main-main. Ini antara hidup dan mati. Tak pernah terfikir yang sakit kepala selama ini disebabkan oleh ketulan asing tu. Tiada cara lain melainkan pembedahan. Demi sebuah nyawa, yang kehadirannya masih ditagih oleh orang-orang sekeliling, kami harus akur. Buat kesekian kalinya, ini ujian ke atas kami.

Walau apa yang bakal terjadi, kau takkan pernah sendiri meniti hari. Kami akan terus berada disisi mu. Ikatan yang telah terjalin, tak akan kami biarkan putus. Dikau  tetap seorang kakak yang teristimewa dihati kami. Segala pengorbanan dan perhatian suatu ketika dulu, tak mungkin mampu kami balas. Izinkan kami untuk terus menjadi adik-adikmu, untuk sama-sama harungi pedih dan perit walau sesukar mana pun ujian yang diberikan

Dia seorang kakak yang penuh pengertian, memberi kata semangat saat aku hilang arah, memberi kata hikmah saat aku buntu mencari jalan. Dia penyokong saat merasakan tindakan aku benar. Dia pengkritik saat aku tersalah membuat keputusan, lalu dia ujarkan pandangan. Dimata aku, dia seorang kakak terhebat. Menerima kami seadanya, sewaktu masih anak kecil masih berhingus hinggalah kami semakin matang.

Tuhan, dia wanita kuat. Dia wanita tabah yang telah menjalani hidup selama 13 tahun dengan penyakit kanser yang telah Kau uji keatasnya. Dia wanita sabar yang tekun menjalani hari-hari kehidupannya dalam sakit yang ditanggung. Dia wanita teguh yang baru sahaja kehilangan seorang teman pendamping hidup, tapi masih mampu berdiri menghadapi sebuah realiti. Dia masih senyum, masih tenang.

Tuhan, kehilangan sebelum ini masih segar terasa. Belum cukup kuat lagi untuk kami menghadapi kehilangan yang seterusnya. Bantulah kami untuk redha dengan ujianMu, dan bantulah kami untuk tenang dengan keadaan ini. Sesungguhnya kami sedar ujian ini adalah peringatan agar kami terus dijalanMu, sentiasa mengingati kebesaranMu, dan sabar dengan setiap ketentuanMu. Kuatkan kami Ya Allah..

Pintaku jua, selamatkanlah dia kak long ku.
Semoga semuanya akan baik-baik saja.

Sunday, June 16, 2013

Selamat hari bapa

Hari ni 16 Mei, Sambutan hari bapa sedunia. Hari untuk menghargai insan-insan yang bergelar bapa. Timeline kt facebook pun penuh dengan ucapan hari bapa, scroll daripada atas sampai ke bawah. Bertuahlah bapa-bapa yang dihargai oleh anak-anak mereka dan bertuahlah juga anak-anak yang masih punya bapa untuk dihargai. Aku tak pernah ucapkan selamat hari bapa kat arwah abah, sebab abah pergi sebelum aku tahu wujudnya hari bapa. Tapi bila aku tahu adanya hari bapa, antara orang yang selalu aku ucapkan ialah 2 orang abang yang dah bergelar ayah - abang long dan abang Edi.

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sehingga ke hujung nyawa. Teringat lagi macam mana kelam-kabutnya arwah abah waktu aku terminum minyak tanah, masa dalam lingkungan 6-7 tahun, atau mungkin 5 tahun. Teringat lagi mak kena leter sebab tak perasan minyak tanah ada dalam cawan di atas meja. Teringat lagi Kak Liza kena leter sebab tak tengok adik minum apa. Sementara nak ke klinik, arwah abah paksa minum air masak banyak-banyak. Sampai rasa kembung perut. Alhamdulillah, aku hidup benyawa dan bernafas lagi hingga ke hari ini. Terima kasih abah, untuk perhatian dan kebimbangan tu.

Rotan arwah abah juga, tak mungkin kami lupa. Aku adalah yang terakhir dalam hierarki adik beradik, yang merasa ketegasan abah. Rotan abah pernah singgah kat belakang dan kaki, sebab bawa adik-adik main air banjir dalam hujan. Sekali balik lewat lebih daripada pukul 6 petang, abah jeling je dulu. Kali kedua, abah panggil tanya kenapa dan bagi amaran. Kali ketiga, bersedialah untuk hukuman rotan dan leteran. Hafalan sifir bermula daripada darjah satu lagi, kalau tak ingat memang bersedialah tadah telinga. Tiga orang adik lagi tak sempat merasa sebab abah jatuh sakit masa diorang masih kecil.

Lepas arwah abah pergi, arwah abang long gantikan tempat abah. Dialah abang tempat kami mengadu rasa. Abang long memang tak diktator macam abah. Tapi tegas dalam diamnya abang long membuahkan rasa hormat yang tak terhingga. Dulu, muka gatal-gatal sebab allergic, naik jerawat banyak, pun mintak duit dengan abang long. Bukan sepuluh ringgit dua, paling kurang dua tiga ratus sebab jumpa pakar. Demi adik perempuan, abang long tak pernah berkira. Setiap kali nak cuti semester mesti abang long tanya dah beli tiket bas ke belum.

Sepanjang hidup berasrama daripada tingkatan 1, abang long tak pernah lupa nak jenguk kami adik-adik. Boleh dikatakan setiap minggu atau 2 minggu, abang long balik jenguk mak dan adik-adik. Semakin kami besar, semakin kami jauh tinggalkan kampung, kekerapan abang long makin kurang. Abang long kata, dia sedih dan sunyi bila balik rumah mak tapi adik-adik tak ada. Tapi bila Haziq masuk ke MRSM Besut, rutin lama abang long kembali semula. Boleh dikatakan setiap minggu abang long balik kampung untuk jenguk Haziq kat asrama. Sehinggalah antara perkara terakhir yang arwah abang long buat sebelum sakit ialah hantar Haziq ke asrama dan balik ke rumah mak.

Dua orang lelaki terpenting yang sangat berjasa ini, dah pergi tinggalkan kami. Abah pergi tanpa sempat lihat kami dewasa. Abang long pergi, dan sempat tengok kami berjaya. Kami hari ini sememangnya bukanlah insan yang hebat. Masih terlalu jauh untuk kami capai kehebatan dalam hidup ni. Tapi kami berjaya, kerana sekurang-kurangnya abang long pergi tanpa rasa risau dengan masa depan adik-adiknya. Abang long tahu amanah yang dipikul sebagai abang sulung, telah hampir berjaya dia tunaikan. Terima kasih abah, terima kasih abang long. Kasih kalian, membentuk kami hari ini. Jasa kalian, akan aku kenang sampai mati. Rindu pada kalian yang takkan pernah surut, aku kirimkan dalam setiap doa dan al-fatihah. Semoga kita bertemu kembali suatu hari nanti. 

Untuk Abang Edi, selamat hari bapa. Benarlah perkahwinan itu merubah kedewasaan seorang manusia. Daripada seorang lelaki biasa (yang masa kecil-kecil dulu selalu buat hal), sekarang dah jadi ayah yang sangat penyayang untuk tiga orang puteri yang comel. Semoga dirimu abang akan terus menjadi bapa yang terhebat untuk anak-anak. Semoga dirimu juga kuat untuk mengambil alih tugas abang long, menjadi tempat kami merujuk kata dan mengadu rasa.

Akhir kata, selamat hari bapa untuk semua bapa-bapa di dunia. Kalianlah lelaki yang memimpin sebuah institusi terpenting, kerana daripada keluarga yang indah akhlaknya akan melahirkan masyarakat yang sempurna. Semoga keluarga sakinah mawaddah warahmah, milik kita semua. Kasih ibu membawa kesyurga, kasih ayah hingga ke hujung nyawa, kasihnya saudara lelaki tempat mengadu duka-lara gundah-gulana dan kerana kasih-kasih nan ikhlas ini menjadikan kita menghargai sebuah ikatan bernama kekeluargaan. Selamat hari bapa.

Wednesday, June 05, 2013

Genap 40 hari

5 Jun 2013, Rabu.

Genap 40 hari abang long pergi. Selama 40 hari ini juga lah aku berdoa, agar aku diberi peluang untuk berjumpa dengan abang long walau sekadar dalam mimpi sesaat. Sungguh, rindu ini sangat hebat. Ya Allah, Kuatkan hati kami untuk menerima kehilangan ni dengan redha. Ikhlaskan hati kami untuk menerima takdir ketentuanMu. Yakinkan hati kami untuk melihat hikmah pada pemergian ini. Sesungguhnya mati itu pasti untuk setiap yang bernyawa. Dan sesungguhnya setiap apa yang kita punya, sekadar satu pinjaman. Kuatlah, tabahlah, redhalah, ikhlaslah wahai hati. 

..dan hujan renyai-renyai membasahi bumi kuantan saat ni, seperti turut memahami apa yang tersirat dalam hati. Rindu. Semoga rindu ini menguatkan lagi iman dan amal kami padaMu Ya Allah.

Al-fatihah.

Monday, June 03, 2013

"Carilah pasangan hidup betul-betul, kawan"

Mari mari marilah
Dengarlah ini kisah silam oh kawan
Sangatlah berguna
Moga hidup aman bahgia

Di malam yang pertama jumpa mertua
Tersentak si jejaka diberitakan
Isterinya tidak sempurna rupa
Anggota zahirnya lumpuh semua
Tiada upaya mengurus diri

Terkejut si jejaka
Penuh persoalan di hatinya
Mungkinlah sudah jodoh
Itulah isterinya

Hibanya rasa hati
Namun tetap redha pada takdir
Asalkan punya iman itulah paling penting

Saat saat berjumpa
Terpesona memandang
Benarkah isterinya menawan sungguh cantik

Cari cari carilah
Pasangan hidup betul betul oh kawan
Bahgia berseri
Rumah tangga akan harmoni

Terhurai jawablah oleh mertua
Zahirnya tak sempurna kiasan saja
Memberi makna sucinya diri
Wanita solehah terpelihara

Terharu jejaka tunduk bersyukur
Terkejut si jejaka
Penuh persoalan di hatinya
Mungkinlah sudah jodoh
Itulah isterinya

Jangan mudah percaya
Harta ataupun rupa
Indahnya di mata berawaslah
Rasul sudah bersabda
Insan punya agama
Akhlaknya mulia fahamilah

Cari cari carilah
Pasangan hidup betul betul oh kawan
Bahgia berseri
Rumah tangga akan harmoni
Cari cari cari

Monday, May 27, 2013

Cerita Manis: Relevan ke?

Stop cerita sedih. Kali ni cerita happy. Cerita suka. Cerita bahagia. Cerita klise. Cerita cinta. (Kononnya)

Sebenarnya baru je terbaca e-cerpen Hai, boleh berkenalan karangan BulanHijau. Kisah seorang Isaac yang tersuka dengan seorang Faiqa di lapangan terbang. Cinta dalam diam, bila selalu lepak bersama secara kebetulan. Kisah bagaimana Isaac masuk meminang Faiqa, tanpa bertanya sepatah pun perasaan Faiqa pada dia dan tanpa mereka mengenali sesama sendiri, sekadar tahu nama dan beberapa maklumat asas yang lain. Memang nampak sangat sweet, ala-ala bahagia sangat.

Tapi betul ke hidup boleh jadi sesenang tu? Dulu-dulu aku selalu beritahu kat kawan-kawan lelaki yang minta pendapat soal cinta ni.

"Kalau betul suka, apa kata jumpa je mak bapak perempuan yang kau suka tu? Beritahu yang kau suka anak dia, dan ikhlas nak jadikan isteri. Senangkan? Tak payah nak habiskan banyak masa dan duit ringgit untuk mengorat perempuan tu dulu. Minta izin wali dia untuk jadikan dia yang sah. Kalau keluarga setuju, terus move on to the next step"

Nampak macam sangat senang. Sangat naif. Sangat baik. Sangat tak perlu bercintan-cintun, bercouple buang masa. Sangat mengikut ujaran agama. Tapi dalam ramai-ramai kawan tu, seorang kawan bertanya balik pada aku.

"Zaman sekarang ni, relevan lagi ke terus jumpa mak ayah untuk beritahu yang si lelaki ni suka dekat anak diorg? Buatnya kalau yang si perempuan tu tak suka pun kat si lelaki ni macam mana? Tak ke malu dia? Dah la perempuan sekarang ni kalau dia reject seseorang, suka sangat update status kat facebook. Macam mana kalau sekarang ni, si lelaki tu tanya perempuan tu dulu? Kalau perempuan tu tak ada masalah, baru jumpa family then move to the next step?"

Ok, kira ni tambah satu step lagi untuk pastikan si lelaki tu ambil keputusan yang betul tanpa perlu menghadapi penolakan bila jumpa mak ayah si perempuan tu nanti. Relevan juga kan? Terdiam aku sekejap. Dalam keadaan sekarang, di mana perempuan bukan lagi duduk di ceruk dapur dan terdedah kepada dunia luar, agak patut sebenarnya untuk lelaki tu bertanya pendapat si perempuan terlebih dahulu. Bukan tanya lebih- lebih. Bukan tanya "saya suka awak, awak suka saya tak?" atau "saya suka awak, kita couple nak?" itu soalan budak bawah umur yang belum matang. Bukan apa, takut nanti bila dah jumpa family, rupa-rupanya si perempuan tu dah ada steady boyfriend yang dah berjanji nak sehidup semati. Tak ke malu dia?

Cuma tanya,
"Saya nak berkawan dengan awak. Serius. Kalau serasi, saya nak move on to the next step. Kalau awak setuju, saya akan jumpa keluarga awak untuk minta izin dan berbincang" 

Kalau si perempuan kata tak ada masalah, si lelaki pun boleh teruskan dengan perancangan dia tu. Akhir sekali, satu soalan dari aku untuk perempuan-perempuan diluar sana. Andai kata suatu hari nanti, kalian balik ke rumah dan tiba-tiba mak beritahu ada orang masuk meminang, dan kalian tak kenal pun siapa gerangan lelaki tu (kalau kenal pun, mungkin cuma kenal nama dan muka), tak tahu macam mana perangai dan pegangan hidup dia, adakah kalian akan kata "Ya mak, saya setuju" Fikir, dan jawablah dalam hati. Mungkin ini yang kawan lelaki aku tu maksudkan, atau mungkin takutkan. Sebab, kalau aku sendiri pun aku akan jawab TAK.

Sekian, bukanpakarcinta memberi pendapat. )=

p/s: dalam e-cerpen ni, faiqa minum coffee latte yang Isaac belanja. Masa baca, memang rasa macam sweet. Tapi dalam dunia realiti, kalau aku kat tempat Faiqa aku tak mungkin minum coffee tu. Pertama, sebab aku tak suka coffee. Kedua, sebab aku tak kenal Isaac. Dulu, seorang kawan pernah bagi aku strawberry, aku tak makan. Sebaliknya bagi kat orang lain, sebab takut dia guna-gunakan aku dengan strawberry tu. I'm sorry, my bad me.

p/s 2: Entry ini bukan untuk menggalakkan couple. Sekadar sebuah peringatan yang tak payah la berharap cerita-cerita sweet tu akan berlaku dalam kehidupan kita. Suka jatuh cinta-Kahwin-Hidup bahagia selamanya, adalah satu penipuan sebab ditengah-tengah tu wajib wujud bertimbun-timbun halangan.

Sunday, May 26, 2013

Genap Sebulan

Hari ini 26 May 2013.

Hari ni, genap sebulan abang long tinggalkan kami. Sedar tak sedar dah sebulan rupanya long. Tapi air mata orang tetap mengalir bila terpandang gambar abang long. Macam tak terasa yang orang dah tak ada seorang abang long.

Minggu lepas orang balik kerteh, wifi internet rumah abang long tak menjadi. Mungkin sebab dah lama tak digunakan. Nak tanya kak long, confirm kak long tak tahu. Terdetik dalam hati orang, 

"Tunggu abang long balik kerja nanti lah, suruh abang long tengokkkan"

Waktu tu juga orang terpandang MPV abang long kat parkir, masa tu juga orang tersedar. Astaghfirullahal'azim.. Abang long dah tak ada.

Hari tu hari rabu, kak long kerja malam. Tiba-tiba orang terasa nak makan yong taufu yang kita suka makan tu. Terus orang drive kereta ke pasar malam tu. Guna jalan kampung, tersesat pulak. Biasanya abang long yang bawa kereta atau jadi penunjuk jalan. Bila dah jumpa, tapak pasar malam tu kosong. Rupa-rupanya pasar malam tu hari selasa. Orang senyum, termenung sendiri dalam kereta. Serba tak kena rasanya. 

Malam tu seorang diri kat rumah, duduk depan tv. Kelainan memang terasa. Biasanya kalau kak long tak ada, kita duduk depan tv sambil tengok berita walaupun orang tak suka berita tv3. Abang long pun tak suka, tapi abang long kata tetap kena tengok barulah tahu perkembangan dan apa yang orang sedang tipu. Masa tu lah macam-macam analisa politik kita yang keluar. Masa tu juga lah biasanya kita sama-sama belek koleksi kereta kebal abang long. Long, kotak kereta kebal tu banyak bertimbun kat bilik orang tidur. Abang long tak sempat buka pun koleksi terbaru tu hari tu.

Terpandang pintu bilik abang long, terbayang-bayang lagi kat mata kali terakhir orang tengok abang long tergolek tidur atas katil masa demam tu. Tak sangka tu lah kali terakhir abang long berada kat dalam rumah tu. Terasa lagi tangan ni usap ubun-ubun kepala abang long, basahkan muka, garu bahu abang long yang gatal, picit tangan dan kaki abang long yang lenguh. Terngiang-ngiang lagi di telinga ni, suara abang long bercerita. Uniform baru abang long masih ada dalam seat kereta belakang, ada borang tulisan tangan abang long dalam tu.

Long, seksanya kehilangan yang Allah uji kali ni. Walau orang tahu hakikat mati tu pasti, tapi untuk jalani hidup biasa macam dulu lepas abang long tak ada bukanlah senang. Setiap jalan yang orang lewati, ada kenangan dengan abang long. Rindu pada abang long yang dah tak ada memang menyakitkan. Bukan orang tak redha long, orang redha dengan sepenuh hati. Tapi untuk hilangkan setiap kenangan dan bayangan tu, orang tak mampu.

Orang sayang abang long, sepenuh hati. Tenanglah abang long di sana. Al-fatihah.

Tuesday, May 21, 2013

Mimpi aku


What is my dream?

Aku cuma nak jadi anak yang baik.

adik yang baik.

kakak yang baik.

sahabat dan teman yang baik.

pekerja yang baik.

tetangga yang baik.

kalau ada jodoh, isteri yang baik.

kalau ada rezeki, ibu yang baik.

Tapi nak jadi baik bukan senangkan? Ya Allah, permudahkan jalanku untuk menjadi hambaMu yang baik.  Permudahkan jalan aku untuk menjadi seorang insan yang tidak  membebankan sesiapa. Permudahkan jalan aku untuk  menjadi seorang insan yang mampu  memberi erti kepada orang sekeliling. 

Mimpi aku,  untuk jadi manusia yang baik.
Rabbi Yassir Wala Tu'assir Ya Karim
Ya Tuhan,  permudahkanlah urusanku. Permudahkanlah jangan disulitkan.

Sunday, May 19, 2013

Hebatkah wanita itu?

Hebat wanita bukan kerana kepintarannya
Hebat wanita bukan kerana kecantikannya
Hebat wanita bukan kerana dirinya dikenali ramai
Dan bukan kerana disampingnya ada lelaki kacak dan kaya

Tapi wanita hebat adalah
Wanita yang mampu terus berdiri menyelesaikan masalahnya
Mampu berdoa dan percaya bahawa ALLAH yang adalah sumber “kekuatan”

Wanita hebat melukis kekuatan melalui proses kehidupan
Bersabar saat tertekan
Tersenyum saat hati menangis
Diam saat terhina
Mempesona kerana memaafkan

Itulah WANITA HEBAT

sumber: pakarcinta

Saturday, May 11, 2013

seorang dia

Gugurnya seorang dia
dalam sempat senyum bangga
melihat benih yang dulu sedang bertunas
dia siram dia baja
kini mekar berbunga
indah. harum. istimewa.

dahulunya seorang dia
menadah tangan menerima amanah
dari seorang bapa dengan hati terbuka
waktu kami masih adik kecil tak kenal dunia
sekadar tahu bermain dan meminta
perlahan, seorang dia
ajar kami apa itu hidup
menangis tertawa sedih gembira
semuanya ada.

kini kami kian matang
hampir sempurna sebuah kejadian
dan seorang dia pergi
selepas melihat kami dewasa

seorang dia,
abang sulung teristimewa.

Tuesday, May 07, 2013

Pesan Abang

Abang long dedicate lagu ni, masa ucap birthday dia tahun lepas.


PESAN ABANG
Adikku muda remaja
Awasi bila melangkah
Wajahmu manis bak gula
Pasti ramai kan tergoda

Tidak dilarang kau bersuka
Asal tahu kan batasnya
Jangan sampai adik terlupa
Harapan dan cita-cita

( korus )
Ibu dan ayah
Menaruh harapan
Agar kau berjaya
Di hari kemudian

Bila tiba waktu petang
Dari sekolah kau pulang
Bergalas buku di pinggang
Siapa lihat tertawan

Adik masih bersekolah
Awas segala dugaan
Adik kan ambil periksa
Agar senang masa depan

Tumpukan perhatian
Dengan sepenuhnya
Serahkan selainnya
Kepada yang Esa

Bila adik telah berjaya
Abangkan turut gembira
Tapi andai sebaliknya
Jangan kau rasa kecewa

Sekali kau terkandas
Bukan untuk selamanya
Lihat disematkan pesanan
Ingat abang tetap sayang


Long, terima kasih untuk semua jasa dan pengorbanan abang long pada kami. Terima kasih untuk kasih sayang dan perhatian selama ni. Terima kasih untuk setiap kata semangat dan nasihat. Terima kasih untuk setiap buah fikiran dan peringatan. Terima kasih untuk setiap duit ringgit, masa dan tenaga, harapan dan cita-cita yang abang long dah korbankan demi adik-adik. Walau apa pun jadi keluarga adalah keutamaan, jangan pentingkan diri sendiri, elakkan bergaduh - Pesan abang long orang akan sentiasa ingat.

Rindu ini akan sentiasa ada dalam hati. Setiap kenangan dengan abang long takkan mungkin mampu orang padamkan. Setiap cerita yang abang long kongsi, setiap jalan yang pernah kita lalu, setiap kedai yang pernah abang long bawakan, setiap barang kesukaan abang long- semua itu kenangan. Memang sakit bila terpaksa berhadapan dengan kenangan, seolah-olah abang long masih ada sedangkan hakikatnya abang long dah tinggalkan kami. Long, orang tak kuat. Sampaikan kadang-kadang orang terfikir, kalaulah abang long tak panggil nurse untuk sedut kahak masa tu, mungkin orang masih ada abang long sekarang. Mungkin abang long dah semakin sihat. Mungkin dah boleh balik rumah. Apakan daya, takdir yang terjadi tak mampu untuk kita tolak. Orang sedang cuba untuk menerima dengan hati yang lapang.

Terima kasih Allah, kerana pinjamkan kami seorang abang long seperti dia. Terima kasih kerana memberi nafas selama 42 tahun 10 bulan 13 hari kepada seorang Saharudin bin Mokhtar. Terima kasih kerana memberi kami peluang untuk berada disisi dia disaat Kau timpakan ujian ini. Terima kasih kerana sempat membenarkan tangan ini mengusap ubun-ubun rambutnya, memicit lenguh dibadannya, membasahkan wajah dan bibirnya, mendengar dia berceloteh walau dalam payah dia berkata-kata. Terima kasih kerana mengizinkan kami berada disisi pada saat-saat akhir kau pinjamkan dia kepada kami. Terima kasih atas anugerah seorang abang long seperti dia. Kau tempatkanlah dia dikalangan orang-orang yang beriman, dan kau kuatkanlah hati kami untuk meneruskan hidup tanpa dia disisi.

Tuhan, ikhlaskan aku untuk redha dengan takdir ini.

Thursday, May 02, 2013

Selamat tinggal abang long..

Rasa tak percaya. Rasa kehilangan. Rasa terbang semangat yang ada. Rasa macam tak berdaya nak menerima takdir yang abang long dah kembali menemui pencipta yang Esa.

Petang Jumaat 26 April 2013 jam 6.50 pm, abang long hembuskan nafas terakhirnya tanpa sedikit pun kami sangka dia akan pergi tinggalkan kami. Jam 5 petang, kami masih mampu untuk tengok abang long duduk sambil bergurau dengan kami ahli keluarga. Jam 5 petang tu juga kami masih mampu tengok abang long duduk tanpa wayar yang berselirat seperti sebelumnya. Jam 5 petang tu juga kami masih mampu untuk dengar suara dan melihat senyuman abang long.

 'Bang, Imie dah balik dari KL" 
Kak long beritahu. Abang long senyum sambil tunjuk betis minta dipicit. Aku picit sampai beberapa ketika aku keluar daripada bilik rawatan AMC Hospital Kemaman. Baru tengahari Jumaat 1.40 pm abang long dipindahkan ke wad tu memandangkan Doktor kata abang long dah stabil dan semakin pulih. Sebab kepenatan dan pening kepala memandangkan baru je lepas pembedahan mata, aku minta izin abang long untuk balik awal. Aku janji esok aku datang tengok abang long lagi.

"siapa akan jaga pak long malam ni? Abang long tanya Nabila.
Nabila tanya abang long balik, "Pak long nak siapa jaga?" 
"Haziq"
"Abang haziq kat asrama Pak long, tak boleh balik lagi"
"Bukan Haziq, Najib pm"

Abang long bergurau, kami sama-sama gelak. Dan itu gurauan terakhir. Siapa sangka long, malam tu kami semua tunggu abang long dengan linangan air mata dan bacaan yaasin.

Jam 6.30 pm. Aku, Amir dan Idah baru je sampai kat rumah di kerteh. Kak Liza call, dengan suara menangis. " Mie, abang long berhenti bernafas lagi. Cepat datang hospital balik." Bergegas kami kembali ke hospital. Tapi sayang, abang long pergi semasa kami dalam perjalanan.

Menurut kak long, semuanya terlalu cepat. Masa kak long suapkan puding, abang long batuk ada kahak, abang long minta panggilkan nurse untuk sedut kahak. 15 minit kak long tinggalkan abang long untuk nurse sedut kahak, tiba-tiba doktor panggil beritahu abang long berhenti bernafas. Tepat Jam 6.50 pm. Tapi doktor akan cuba berusaha lagi. Tapi usaha doktor tak mampu menandingi takdir Yang Esa. 

Kami nampak abang long dah sihat, selepas 9 hari bergantung kepada mesin bantuan penafasan. Abang long makin rancak bercerita bila tiub penafasan ditanggalkan. Abang long minta nak makan aiskrim. Abang long minta nak makan pizza. Abang long minta nak bubur lambuk masak sendiri, tak nak bubur mc'D bila nurse cakap abang long dah boleh makan bubur. "Tak boleh long..nanti dah sihat, baru abang long boleh makan ye" Abang long angguk setuju. Abang long senyum menurut.

Long, kami tak sangka abang long tinggalkan kami saat kami semua fikir abang long akan sihat balik. Kami dah tengok abang long senyum, berborak, makan. Abang long beri kami harapan yang abang long mampu untuk kembali menjadi abang sulung kami yang sihat! Tapi abang long tinggalkan kami dalam 15 minit yang sangat kami tak jangka.

Long, kami masih perlukan abang long. Kami masih lagi adik-adik abang long yang mentah, yang masih perlukan perhatian dan nasihat abang long. Selama ni, abang long lah tempat rujukan kami. Abang long umpama kepala kami, umpama tali yang mengikat hubungan kita adik beradik. Semangat apa lagi yang tinggal untuk kami long? Abang long pergi meninggalkan rasa perit yang amat dalam dalam hati ni. Rindu pada abang long yang dah pergi takkan kembali, yang kami tahu takkan mampu kami ketemu lagi, rindu yang amat menyakitkan long.

"Mie, pagi tadi abang dah boleh bangun. Abang dah sihat" 
Kalau abang long dah sihat, kenapa abang long tinggalkan kami?

Long, kami menangis bukan tanda kami meratapi abang long pergi. Jauh sekali untuk kami menolak ketentuan takdir. Kami menangis kerana rindu. Kami menangis kerana tak percaya lelaki terpenting dalam hidup ni telah pergi. Sedih dan pilu yang bersarang bukan boleh dibuang dicampak sesenang itu.

Long, tenang lah abang long di sana. Kami redha. Kami takkan pernah berhenti merindui abang long. Doa ikhlas kami akan sentiasa mengiringi kehidupan abang long disana. Abang long tetap abang sulung terbaik yang paling sempurna yan kami ada.

Al-fatihah untuk abang long, Saharudin Mokhtar (13/06/1970- 26/04/2013)

Sunday, April 21, 2013

Wanita kuat

Meminjam semangat 2 wanita kuat, yang aku jumpa sepanjang perjalanan musibah ini. 

Kak long, seorang isteri tabah yang air matanya hanya tumpah pada minit-minit pertama tapi melalui detik seterusnya dengan tenang dan sabar. Kamu sungguh kuat kak long, melihat seorang suami yang sedang bergelut dengan kesakitan dan kamu tetap mampu untuk senyum. Maaf aku tak mampu untuk tiupkan kata semangat buat kamu, kerana aku sendiri lemah dan dalam diam aku pinjam kekuatan kamu. Walau kamu sendiri tidak sihat, tapi kamu abaikan demi untuk suami. Kamu, kak long terhebat yang pernah aku jumpa dan takkan mungkin ada galang gantinya.

Mak, juga seorang wanita tabah lagi hebat. Mak pernah meniti usianya selama bertahun bersama abah yang tiada daya, sehingga ke hujung nyawa abah. Alhamdulillah mak bersama abah sewaktu nafas abah yang terakhir. Mak kuat melihat kesakitan yang abah perlu harungi. Dan kini, sekali lagi mak berdiri melihat kesakitan anak lelaki sulungnya. Memang air mata mak tak berhenti, sebab hati seorang ibu sememangnya tak sanggup melihat anak yang dibesarkan dari sekecil ibu jari kini sedang bertarung nyawa menahan ujian dari Dia.

Mereka wanita tabah, dan aku berdoa aku mampu untuk jadi sekuat dan setabah mereka. Aku berdoa agar aku mampu untuk berdiri dengan tenang andai aku juga ditimpa dugaan yang sama. Benar, bukan  mudah untuk mengumpul semangat apabila si suami, lelaki yang selama ini menjadi pendamping mereka sedang bergelut dengan kesakitan. Tuhan, kau rahmatilah wanita -wanita hebat ini. Izinkan aku untuk mewarisi setia dan kasih yang mereka pegang.

Sesungguhnya musibah itu ujian keredhaan, dan semoga redha itu milik kami. Abang long, bangunlah. Kami tunggu, kami rindu.

Friday, April 19, 2013

Bangunlah abang long

Baru semalam aku lihat kamu senyum. Dalam demam yang tiba-tiba datang, kamu masih ceria dengan cerita dan usikan. Baru semalam aku dengar suara kamu, rancak bertanya dan kita berbincang soal masa depan. Kamu seperti biasa, tetap rajin memberi pesan. 

Orang belikan abang long kuih bakar pelbagai perisa yang abang long suka tu. Orang singgah rumah abang long, tapi abang long tengah tidur. Sebab tahu abang long demam, orang tinggalkan kuih tu atas meja. Orang ingatkan semuanya normal sampailah kak long telefon dua jam lepas tu.

"Mie, baliklah sini. Teman kak long. Kak long takut. Doktor sedang berusaha selamatkan abang long. Abang long kritikal"

Hampir luruh jantung, hampir putus nafas, hampir hilang langkah. Abang long yang ceria semalam, kini sedang bertarung nyawa, bergelut antara hidup dan mati. Hanya doa yang mampu terluah masa tu. Allah, selamatkan dia abang long ku.

Memang ramai yang takkan faham atau hairan kenapa dia sangat penting pada aku. Kerana dia, adalah abang long aku. Dia bukan sekadar seorang abang sulung, tapi dialah pengganti saat abah hilang daya suatu ketika dulu. Dia korbankan masa, tenaga, mahupun wang ringgit demi adik-adik. Daripada pendaftaran MRSM, membawa ke Gambang untuk program matrikulasi, sehinggalah graduasi aku di UTM skudai. Selama berbelas tahun, cutinya banyak dihabiskan untuk keperluan adik-adik. Dia korbankan tawaran degree di luar negara, demi untuk adik-adik yang masih perlukan perhatian. Dia sekadar melihat, seorang demi seorang rakan sekerja berubah angin mencuba nasib menimba pengalaman di negara luar. Dia masih tetap disini, walau tawaran di negara teluk lebih lumayan. Dia masih di sini, demi emak yang semakin tua, demi adik-adik yang masih meniti tangga keremajaan waktu itu.

Dia terlalu istimewa pada aku. Dia memang bukan manusia sempurna, tapi dia adalah abang long aku yang paling sempurna. Orang takkan mungkin akan faham, kerana kasih abang long hanya kami yang rasa. Abang long ajar aku kenapa keluarga itu penting, kenapa ikatan silaturrahim adik beradik harus sentiasa dijaga.

Long, bangunlah. Dah lama abang long terbaring. Long, kuatlah. Kami masih perlukan abang sulung untuk membimbing walau kini kami telah sedikit dewasa. Allah yang Maha Agung, kembalikanlah abang long kami. Kembalikanlah kekuatan kami. Kembalikanlah semangat kami. Pulihkan kesakitan yang diuji keatas dia. Sungguh kami tak sanggup melihat dia hilang daya.

Bangunlah abang long, kami rindu.

Thursday, March 28, 2013

Samrah Mentari

Sang mentari senyumlah sepanjang zaman
Yang memberi segunung sinar harapan
Tiap pagi wajah mu pasti menjelma
Tiap janji tidak kau dustai

Bila mentari enggan tersenyum
Alam jua turut derita bersama

Dengarilah pandangilah sentuhilah rasailah
Yang tertinggal cuma hati dan kalimah

(Bila terbukti) firasat
(Akan bertemu) hakikat
(Pasti semua) akan musnah dan binasa
(Temui arah) haluan
(Agar mengenal) jalanan
(Di waktu pulang) tidak sesat kegelapan

(Ku selami) cintanya
(Ku rindui) nikmatnya
(Tiap masa) kucari segenap suasana
(Ku kagumi) sucinya
(Ku mencari) mistiknya
(Lima waktu) kupasti akan ketemui jua

(Hayatilah) agungnya
(Abadilah) kasihnya
(Dan semoga) mentari sudi lagi bersama

(Syukurilah) nikmatnya
(Kembalilah) padanya
(Dan semoga) mentari masih tersenyum manja


Dalam hal kerja,
kawan sekerja selalu pesan,
kalau tertekan luahkan.
berkongsi.
biar rasa tertekan itu berkurang.

Dalam hal peribadi,
kawan selalu pesan,
kalau sayang tunjukkan.
melalui ucapan atau perbuatan.
biar orang yang kita sayang tu tahu.

tapi inilah kelemahan.
aku tak pandai untuk berkongsi rasa tertekan
pendam sendirian sehingga pecah

aku tak pandai meluahkan sayang
walau jauh disudut hati
sayang aku tak ternilai

Entahlah.

Monday, March 18, 2013

I'm happy

Dear you,

I'm happy. I'm just happy. But I don't know how to transfer this happiness into the words. Yes, that is one of my weaknesses. Admit it. I just want you to know that, I'm happy.

Sincerely Me.



p/s: sekali sekala entry sampah, tak apa kan? :)

Wednesday, March 13, 2013

Untukmu kawan

"Macam best je hidup kau. Ada kerja tetap, ada kereta, ada rumah, ade suami hensem, ada anak-anak comel, ada itu, ada ini, ada bla3.."

Senyum. Sambil mulut cakap
"Eh mana ada, biasa-biasa je la. Kau je yang nampak macam tu"

Sebenarnya orang tu teringin nak cakap,
"Kamu tahu tak aku struggle setiap hari? Setiap kali aku buka mata di setiap pagi? Kamu tahu tak macam mana susahnya nak paksa hati untuk ikhlas dengan apa yang aku buat sekarang? Kamu tahu tak selalu aku terfikir sampai bila aku kena paksa diri? Kamu tahu tak yang aku ni hebat jadi hipokrit? Kamu tahu tak dilema yang aku rasa? Kamu tahu tak berapa juta kali aku bisikkan sabar sambil tarik nafas panjang-panjang-dalam-dalam? Kamu tahu tak harga yang perlu aku bayar sampai kamu nampak hidup aku 'macam best'? Kamu tahu tak setiap hari aku berdoa semoga Allah tunjukkan aku jalan hidup yang sebetul-betulnya untuk aku?"

Tapi orang tu tak perlu cakap macam tu, sebab kamu tak kan tahu. Kamu hanya nampak senang dan gembira dia, kamu tak nampak saat dia bergelut dengan kemahuan dan keterpaksaan. Seperti kata Nadia, hanya kita yang merasa perit jerih perkara ni akan faham apa yang aku rasa dan apa yang dia rasa. Sampai masanya mungkin redha kita sekadar pada mulut, tidak pada sebenar-benarnya. Lalu akal kita memberontak, dan hati kita jadi keliru.

Untukmu kawan, hidup ni memang tak ada yang senang. Aku tahu dan kamu pun tahu. Mungkin kamu nampak perjalanan kehidupan seseorang 'macam best', hakikatnya kamu tak tahu kalau-kalau dia tengah menyapu air mata dalam senyum dia. Untukmu kawan,  bagi setiap hidup sempurna yang kamu lihat sebenarnya ada tangisan yang kamu tak pernah dengar. Untukmu kawan, setiap gundah gulana atau perang jiwa yang bergolak dalam diri seseorang, dia mungkin sekadar simpan peram sendirian tanpa perlu beritahu kamu- hingga kamu lihat dia seolah bahagia sepanjang masa. Untukmu kawan, sekadar pesanan bahawa perjalanan kita berbeza dan semestinya ujian kehidupan kita juga tak sama. Doakan aku kawan, dan aku doakan kamu juga. Semoga setiap keputusan dan pilihan kita, itu yang terbaik.

p/s: ini sekadar situasi biasa

terasa mahu rebah
akan adakah tangan gagah
menghulur ikhlas diri
membawa aku berdiri kembali?
(Segalanya aku, Oct 2011)

Monday, March 11, 2013

Dear me, stay strong.


Dear me, myself- Please remember,

Difficulties in life don’t come to destroy
but to help us realize our hidden potential

When we seek something with passion and persistence
it seeks us

We think failure is the end of all hope
but maybe God is rescuing us from a bigger loss in the future
HE has something better

Life is a journey that never stops
no matter how bad things seems to be
always live life and look forward for a better tomorrow

Beautiful life is not just happen
seems easy but it is not
Dear me, stay strong.

p's: Thanks twitter @ihatequotes. Copy  paste dari sana.

Saturday, March 09, 2013

A journey: Utm. Krp. Fbb. SSB. 07/10.

Hari ni diluar kebiasaan, hujung minggu aku disini. Istilah berhujung minggu di Kuantan sangat jarang ada dalam fikiran aku, melainkan terpaksa apabila ada perkara-perkara yang tak boleh nak dielakkan. Untuk separuh hari disini, aku rasa seperti sedang mengulang satu rutin yang sangat aku rindu. Bangun pagi - kemas bilik- basuh baju dengan tangan - keluar kedai tapau makanan - lepak. Rutin hidup kat Kolej Rahman Putra, UTM di hujung minggu. Bezanya hari ni, semua aktiviti tu aku buat seorang diri.

Beberapa tahun yang dulu- Bangun pagi buka pintu bilik luas-luas, sapu, lap habuk, kemas locker dengan meja study. Memandangkan ada roomate tapi macam tak wujud, jadi bilik memang aku conquer. Lepas tu, kalau rajin basuh baju dengan tangan. Kalau malas, kumpul syiling RM2 sumbat je dalam mesin basuh. Dah siap semua kerja, melepak kat bilik Kiah. Kadang-kadang sambil tengok movie, jarang sangat buat assignment. Tengahari, aku-Zura-Kiah keluar tapau makanan untuk lunch. Kadang-kadang Lana dengan Abby join sekali. Tempat pilihan tak jauh, sama ada Cafe Sabina KRP atau Arked Meranti yang sangat meriah tu. Biasanya bilik aku yang jadi pilihan untuk bersantap memandangkan roomate memang tak ada. Lepas makan, isi masa lapang dengan macam-macam aktiviti. Buat assignment, buang masa dengan internet, study, baca novel atau aktiviti paling best, tidur. 

Bilik budak-budak aras bawah pun selalu jadi tempat buang masa. Kadang-kadang dengan Zura dan Kiah, kadang-kadang seorang diri. Kat bilik Yat atau bilik Aja&Jiji, macam-macam cerita daripada isu semasa sampailah gosip orang yang aku tak pernah kenal. Diorang ni juga la yang ajar aku banyak benda, daripada aktiviti berfaedah sampailah yang tak ada faedah. Keluar tengok wayang sampai pukul 4pagi (ampun, sekali tu je), Konon-konon nak jogging sampai balai cerap tapi sebab tak larat, masuk hutan rekreasi. Berkayak kat tasik kecil dalam hutan rekreasi UTM yang memang tak ramai tahu. Masak nasi goreng atau spaghetti guna rice cooker. Konon ber-bbq kat gelanggang bola jaring KRP tengah-tengah malam masa semua orang balik bercuti. Makan pisang goreng dengan air cendol kat Taman U. Bersuka-ria kat Pulau Sentosa, Singapore. Buat bilik macam panggung wayang, sediakan air teh dengan biskut, tutup lampu, rapatkan katil, pasang movie 3 Idiots dan tengok ramai-ramai.

Sehingga ke hari ni aku takkan lupa pada Cool blog. Nasi ayam penyet Pinang. Jaya Jusco Taman U.  Nasi ambang paling sedap bazar ramadhan kat tapak Fakulti Alam Bina. Sanggup ponteng kelas demi J-card day JJ. Cuci mata kat Skudai Parade. Wayang kat U-mall. Dinner Bionite kat Pulai Spring Resort. SUTRA kat Dewan Sultan Ismail. Program Jelajah Kasih PERNIM. Industrial visit Singapore. Join kelab Pemadam. Join kelab Budi Penyayang. Lawatan ke Hospital Tampoi. Sukarelawan bersihkan Zoo Johor. Jadi Fasilitator kem motivasi kat SK Medoi, Segamat. Menang pertandingan esei bulan kemerdekaan walaupun sekadar saguhati. Sir Affendi yang sangat cerewet. Sukarelawan banci untuk bancian Wilayah Pembangunan Iskandar. Karnival keusahawanan yang sangat penat. Berkelah kat pantai Batu Layar. Sampailah malam terakhir sebelum balik, pusing Senibong dan Danga Bay.

2007-2010 adalah kehidupan berasrama yang paling best, tak terikat dengan jadual yang dah diatur macam asrama zaman sekolah. Dikelilingi kawan-kawan yang sangat happening. Jatuh bangun bersama. Bermasam muka tu memang ada, tapi takkan berpanjangan. Kalianlah sahabat yang sudi meminjam telinga untuk mendengar, memberi pendapat bila diperlukan, sama-sama mengingatkan apa yang baik dan apa yang tidak. Masa tu, walau macam mana banyak kerja dengan assignment yang berlambak, tekanannya takkan sama dengan sekarang. Tekanan yang dirasa waktu tu, kita kongsi bersama. Yang berat jadi ringan, yang  susah jadi senang. Apapun kejadian yang berlaku,  tanpa sedar merapatkan lagi hubungan sesama kita. Daripada kes Syakira yang tak dapat dikesan, cerita kali pertama Kiah nak jumpa dengan mak Emi (lagi 2 bulan, dah nak jadi mak mertua Kiah rupanya), sama-sama sakit hati dan bengang dengan Dr. Goh, sampailah aktiviti hari-hari terakhir kita kat UTM.

Mengenali kalian, memang antara cerita terindah sepanjang hidup ni. Kalau boleh, memang nak sangat kembali ke waktu tu. Tapi sedetik masa yang berlalu takkan mampu untuk kita ulangi lagi. Semoga kita semua terus kuat meniti kehidupan. Semoga berbahagia dengan jalan pilihan sekarang. Semoga yang baik-baik sahaja mengiringi perjalanan kita. Semoga persahabatan ini akan terus utuh. Semoga kita dipertemukan kembali suatu hari nanti. Friendship has never ending story. Salam rindu untuk kalian.

p/s: Terima kasih untuk hujung minggu kali ini, sebab bawa aku mengimbau kenangan ni. Kenangan menjalani hidup sebagai warga Universiti Teknologi Malaysia, penghuni Kolej Rahman Putra, pelajar Faculty Biosains & Biokejuruteraan, penuntut BSc (Industrial Biology) -SSB, sepanjang 2007 hingga 2010.

Mendua- Hampir ke situ :)

Saturday, March 02, 2013

Marah ke merajuk?



Memang betul. Kadang-kadang perkara terbaik bila marah ialah jangan fikir, CUBA untuk jangan fikir. Kalau aku, aku diam. Aku tidur. Aku tak memberi respon. Aku mengelak. Aku lari. Aku asingkan diri. Sebab semasa otak tengah serabut, emosi tak stabil, marah yang amat, inilah ketikanya kita takkan kuat. Kalau bersuara tu boleh memburukkan keadaan, maka diam aku mungkin sebaik-baik jalan. Dalam keadaan tertentu, aku tunggu hingga marah hilang. Tapi dalam keadaan lain juga, aku akan diam dan takkan mengalah. Pada aku diam bukan saja untuk kembali mencari kekuatan diri, tapi diam juga adalah protest paling berkesan.

Marah dan merajuk tu pula berbeza. Marah tak semestinya berakhir dengan merajuk, tapi merajuk tu adalah lebih daripada marah. Marah ialah hamburkan semua kata-kata, luahkan rasa tak puas hati, jerit sekuatnya sampai puas. Kadang-kadang selepas marah,orang akan kembali kepada situasi normal sebab dah luahkan apa yang terbuku dihati. Kalau rasa marah tu masih belum hilang lepas meluahkan, barulah terjadinya merajuk. Merajuk pula ialah rasa yang terpendam, yang tak terluah, yang biasanya hanya untuk orang-orang istimewa yang sangat rapat (sebab kita takkan mungkin merajuk dengan stranger kan?). Rajuk aku yang paling dasyat, cuma dua kali (rasanya). Sekali dengan kawan-kawan sebilik di KMPh, dan sekali dengan Zurairah masa semua tengah serabut dengan final year project.

Eh eh, motif tiba-tiba bercerita pasal marah? Entry ni sebenarnya khas untuk seorang sahabat yang tengah merajuk. Jangan risau, sebab aku akan jadi guru kamu yang paling kejam macam mana nak buat dan bereaksi bila merajuk :) Just ignore, leave a mark to that heart, stand with your feeling and make that person know the meaning of understanding and appreciating.  Don't worry, I'm your teacher. *grin*

Bila kita merajuk dengan orang, maknanya orang tu special pada kita. Bila merajuk tu ekstrem, maknanya  orang tu saaaangat special pada kita. Jadi kepada Zeqt, Ainun, Tiehah, Zura, dan sesiapa saja  insan terpilih yang pernah aku merajuk, kalian insan istimewa untuk aku. Tapi awas , jangan sampai rajuk tu memakan diri merosakkan hubungan. Merajuk juga ada hadnya. Hurt is the accumulation of thousands angry. Trust me :)

p/s: Selamat datang March! Bulan 3 dah? aduiii..tak tahu nak rasa apa.=p

Wednesday, February 27, 2013

Soalan, jawapan dan perbezaan

Satu soalan biasa dengan jawapan yang sama, boleh memberikan reaksi dan kesan yang berbeza bagi orang yang berbeza.

Contohnya soalan biasa, "ada kat mane tu?"

Apabila kawan-kawan bertanya soalan tu dan kita dalam mood tidak serius, maka jawapan biasa kita mungkin "masih di Malaysia". Jawapan tu biasanya disambut dengan balasan gurauan.

"Lambat la kau ni. Aku dah ada kat US, nak fly ke Mexico pulak esok, macam mana nak travel sekali kalau gini".
"Terlepas flight ke? Bukan semalam kau patutnya dah ke Saudi?".
"Eh eh, aku ingatkan kau dah jejak bumi Australia".

atau balasan mesej agak kejam,
"aku taulah kau kat malaysia, kau mana mampu nak pergi cuci-cuci mata kat oversea. Specific location please"

Nampak macam tak ada apa-apakan? Malahan gurauan tu nampak macam hidup je. Kita bebas untuk memberi jawapan tak serius yang sangat main-main.

Tapi awas kalau yang bertanya tu adalah seorang 'kawan', maka jawapan biasa tu rupanya boleh mengundang situasi tidak biasa, tambah-tambah lagi kalau berada dalam mood yang tak berapa nak ok. Seorang 'kawan' mungkin menganggap itu jawapan yang sangat annoying, seolah-olah memberi isyarat yang "jangan tanya soalan macam tu boleh tak?". Jawapan main-main rupanya mungkin boleh mengundang rasa hati pada seorang 'kawan'. Siapa tahu?

Contoh soalan paling biasa lain, " Buat apa tu?" 

Kalau kawan-kawan yang bertanya, jawapan biasa kita mungkin, " tengah buat bodoh je".

Balasan jawapan daripada kawan-kawan jugak takkan kurang meriahnya.
"Yeah I know that, it's u. Totally u"
"Bila masa kau pernah buat benda cerdik pandai" atau lagi kejam,
"Tak payah buat, kau memang semula jadi macam tu"

Kebiasaan memberi jawapan begitu kepada kawan-kawan, akan memungkinkan kita untuk memberi jawapan yang sama kepada 'kawan' juga. Masalahnya, seorang 'kawan' mungkin tak akan menerima jawapan tu, sebagaimana penerimaan kawan-kawan yang lain. Cara jawapan "tengah buat bodoh" mungkin diinterpretasikan sebagai " saya tak ada mood, tolong jangan kacau saya sekarang" atau mungkin juga boleh disalah ertikan sebagai "suka hati sayalah nak buat apapun". Dari situ, tercetuslah masalah lain pulak yang mungkin kita takkan jangka.

Hati seorang 'kawan', dengan kawan-kawan memang tak sama. Bukan je cara nak jaga hati tu berbeza, bahkan cara nak memberi jawapan pada soalan-soalan biasa juga rupanya berbeza. Sekarang, nampak tak perbezaan yang cuba nak disampaikan ni? Soalan yang sama, dengan jawapan yang sama pada individu yang berbeza, kesannya juga berbeza. Tak percaya? silakan mencuba!

p/s: ini sekadar contoh.

Tuesday, February 19, 2013

Perempuan dan memasak.

'Pandai macam mana pun perempuan, akhirnya kedapur jugak'

Kata-kata ni memang sangat terkenal. Hampir setiap mulut orang tua dulu-dulu duk sebut ungkapan ni. Sinis senada. Bagi telinga yang mendengar, ada yang mengiya kan, ada juga yang menidakkan. Terpulang, itu hak masing-masing. 10 Tahun dulu, aku dalam golongan yang menidakkan.

'Belajar je la pandai-pandai. Nanti dah kerja, ada duit, cari orang gaji. Orang gaji boleh tolong masak dan buat semua kerja rumah'. 

10 tahun dulu, aku pernah fikir macam tu. Naifnya aku 10 tahun yang dulu, aku tak suka ambil tahu hal masak-memasak. Ditambah pula dengan kehidupan berasrama seawal 13 tahun sampailah pengajian ijazah, menjadikan aku seorang yang tak pakar bab-bab bersilat dengan periuk kuali.  Bukan aku tak tahu langsung, tapi memasak bila hanya keadaan terdesak.

Sehingga hari ini, aku mengalami kesukaran untuk bezakan yang mana lengkuas, dan yang mana halia. Selalu tertukar. Mak kata lengkuas keras, tapi pada aku halia pun keras juga. Mak kata halia kecil sikit, tapi aku tengok selalu je lengkuas pun ada dalam saiz kecil. Bila aku kena beli lengkuas atau halia di kedai yang tak pamerkan label nama, aku kena tebalkan muka bertanya yang mana satu lengkuas, yang mana satu halia. Kunyit aku tahu, jangan risau.

Ada satu cerita masa aku tengah pilih sayur di supermarket. Seorang lelaki (mugkin pertengahan 20-an) datang kat aku, bawa sejenis sayur dan tanya, "awak, tumpang tanya. Ni bunga kubis kan?"

Serius, aku blur masa tu. Bunga kubis ke ni? macam bukan je. Eh, bunga kubis macam mana eh? Jadi aku pun jawab, " Bunga kubis ke ni? Entah, saya pun tak pasti. Cuba tanya akak kat timbang tu'.

Lepas tu, satu area sayur tu boleh dengar lelaki tu gelakkan aku sebab tak tahu tu adalah bunga kubis! Sekarang, aku berterima kasih kat lelaki tu. Sebab kalau dia tak tanya aku, mungkin aku masih lagi tak ambil tahu atau kurang pasti sayur tu namanya bunga kubis.

Tapi sekarang, aku faham kenapa orang dulu-dulu kata perempuan akhirnya ke dapur juga. Memang itu realiti. Sehebat mana pun perempuan, keinginan nak memasak memang akan ada bila sampai masanya. Dan itulah keinginan aku sekarang, memasak. Bak kata Maryani- tak ada perempuan yang tak pandai memasak, antara malas atau rajin je. Kau betul, kawan. Komen negatif menjadikan kita bersemangat untuk membaiki apa yang terkurang. Komen positif akan mejadikan kita bersemangat untuk sajikan sesuatu yang lebih hebat. Adalah satu perasaan yang cukup indah, bila hasil tangan kita lesap di balik suapan demi suapan dalam sekelip mata.

Tapi memasak, tak kan mungkin menjadi hobi aku. Mungkin untuk masa sekarang.

Friday, February 08, 2013

Tahniah Sahabat (4)

Berkawanlah bertahun-tahun pun, tapi kalau dah bukan jodoh memang bukanlah jawabnya. Akhirnya, masing-masing bawa haluan masing-masing. Vice versa, walau berkawan dalam masa yang singkat tapi kalau dah tertulis di Loh Mahfuz yang si dia tu adalah jodoh yang ditetapkan, maka ke jinjang pelamin juga akhirnya.

Tahniah untuk Nunu, salah seorang sahabat rapat sepanjang pengajian di utm dulu dan pasangannya Ahmad! Cerita Nunu ialah salah satu kisah yang aku kutip sepanjang perjalanan ni. Kisah yang mana, tempoh perkenalan bukanlah satu syarat untuk seseorang tu ambil keputusan melangkah ke alam matang. 9 bulan perkenalan mereka, dan Alhamdulillah kerana niat yang baik di awal perkenalan memudahkan urusan mereka untuk bersatu.

Sebelumnya, pernah berkawan dengan seseorang yang lain hingga memakan masa bertahun. Betul kata Nunu, seharusnya kita perbetulkan niat bila berkawan. Terima orang yang melamar kita untuk menjadi isteri, sanggup datang memohon restu daripada keluarga dan berterus-terang dengan bakal wali. Bukan sekadar yang melamar untuk dijadikan teman wanita, menyorok dan bersembunyi dari pengetahuan keluarga kerana selayaknya lelaki begitu adalah dayus. 

Buat Nunu, semoga terus berbahagia dalam meniti alam baru kehidupan. Semoga menjadi isteri,menantu, ibu dan anak yang mithali. Semoga yang baik-baik sahaja, yang akan mengiringi kehidupan mu. Tahniah sahabat, untuk alam baru yang sedang kamu langkahi.

p/s: I remember one of the Nunu's status. She wrote ' when he proposed me, I said YES'. Honestly i thought it was her somebody before because never heard about the clash story.

Tahniah sahabat (1)
Tahniah Sahabat (2)
Tahniah Sahabat (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...